Bab 10

Romance Completed 19208

“Min dengan Zarul, ok?” Yasmin pantas menoleh memandang Zuraida di sebelah sebaik mendengar pertanyaan itu. Sesekali matanya melirik memandang tiga anak Zuraida yang riuh rendah bergusti dengan Zarul dan abang iparnya, Hadi, di laman depan.

“Maksud kak Ida?”

“Biarlah kak Ida terus-terang. Kak Ida datang ni boleh dikatakan serampang dua mata. Nak bawak budak-budak itu jenguk mak ngah dan pak ngah. Bising sangat mulut mereka ajak kak Ida dan abang ke sini. Satu lagi nak risik Min dan Zarul bagi pihak umi.”

“Min masih tak faham kak. Nak risik kami?”

“Umi tu bimbang. Min dan Zarul dah dekat lapan bulan kahwin tapi belum ada tanda-tanda Min berisi. Umi bimbang kalau-kalau Zarul buat perangai. Min jangan marah kalau kak Ida tanya. Min dan Zarul pernah…?”

Yasmin tergelak besar mendengar pertanyaan Zuraida. Sungguh dia tidak menyangka perkara itu yang difikirkan ibu mentua dan kakak iparnya. Cuma kerana dia masih belum mengandung.

“Min tak mengandung sebab belum ada rezeki kak. Pasal Min dengan Zarul tu beritahu umi jangan bimbang. Kami tidur sebilik dan pasal hak dia yang satu tu, awal-awal lagi Zarul dah tuntut.

“Hubungan Min dan Zarul macam suami isteri lain. Tak adanya nak tidur bilik asing. Tak berpeluang pun. Dia sebut je dah mengantuk alamatnya Min kena tinggal semua kerja.” Zuraida menarik nafas panjang. Yasmin masih dengan ketawa kecil.

“Bukan setakat umi, kak Ida pun bimbang jugak. Manalah tahu Zarul tu buat perangai bodoh tak nak sentuh isteri sendiri ke, disuruhnya Min tidur bilik asing ke. Iyalah dah kena paksa kahwin.”

Yasmin tergelak sekali lagi. Tak nak sentuh isteri sendiri? Iyalah tu. Tak sempat mengelak adalah, hatinya berkata sendiri.

“Mengapa dia macam tu sebelum kahwin dengan Min? Maksud Min macam berdendam dengan orang perempuan?”

“Dia tak cerita?” Zuraida menyoal. Agak hairan.

“Min tak pernah tanya.”

“Frust. Bercinta sejak sekolah menengah dengan Sherina tu. Tapi umi, baba dan kami adik beradik memang tak berkenan dengan budak tu. Mak bapanya orang biasa saja tapi lagaknya mengalahkan anak hartawan. Nak kata cantik, Min lagi cantik. Entah apalah yang si Zarul nampak kat budak tu. Mak bapak dia pun sama naik tocang. Sakit sikit tak ada kelas nak pergi hospital kerajaan. Masuk hospital swasta. Bil beribu-ribu Zarul yang bayar.

“Apa yang Zarul tak beri pada Sherina. Kondo, kereta, wang belanja bulanan walaupun belum ada ikatan. Dua minggu sebelum bertunang dia lari ikut bos orang putihnya ke London. Alasannya dengan Zarul dia tak bebas. Iyalah Zarul tak kasi dia pakai dedah sana sini, tak bagi dia ke kelab malam, marah sebab dia merokok.

“Dia kata dah jemu dengan imej ustaz-ustaz Zarul. Lagipun jantan tu dah beli rumah banglo untuk dia, beli BMW sport. Bukan sekadar kondo dengan Vios yang Zarul berikan kat dia.”

Yasmin mengangguk perlahan. Baru mengerti cerita sebenar. Kalau begitu caranya memang sayang betul Zarul pada gadis bernama Sherina itu. Tiba-tiba saja cemburunya membuak-buak.

Memang Zarul melayannya dengan baik. Tidak pernah berkasar dengannya. Marah pun tidak. Tetapi dia tidak merasakan getaran cinta dalam setiap layanan, sentuhan dan belaian Zarul. Tetapi Yasmin tidak pernah jemu menunggu. Itu tekadnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience