Bab 12

Romance Completed 19208

Airmata ditahan sungguh-sungguh ketika membawa kaki melangkah ke ruang tamu sambil tangannya memegang erat beberapa helai borang. Sejak seminggu lalu, Yasmin sudah banyak membuang airmata dan malam ini dia tidak mahu ia menitis lagi.

Lagipun dia sudah nekad, hasratnya sudah bulat. Dia cintakan Zarul dan akan berbuat apa saja demi kebahagiaan Zarul selagi ia tidak bercanggah dengan agama. Dan apa yang bakal dilakukan ini langsung tidak ditegah agama.

Di ruang tamu, perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan Zarul yang asyik menonton siri CSI:NY.

Bahunya dipaut erat. Yasmin melentokkan kepala ke bahu sasa Zarul.

“Manja lain macam je malam ni. Nak ke? Tak nak tunggu malam Jumaat?” Usikan Zarul dibalas dengan cubitan di paha.

“Adoi! Sakit sayang.”

“Lain kali otak tu cuci sikit. Asyik nak melencong je.”

“Sebab otak dah kena cuci yang saya tanya tu. Biar lama-lama nanti sangkut kat mana-mana. Awak juga yang merana.”

Tangan Yasmin sekali lagi mencari sasaran tetapi sempat disambar Zarul. Jari jemari runcing itu dikucup lembut. Rasa sebak mula bertandang melihat perlakuan itu. Sungguh dia cintakan lelaki ini dan rasa cinta itulah yang mendorong Yasmin melakukan pengorbanan sebegini besar.

“Orang perempuan ni memang dilahirkan dengan kepakaran tahu mencubit ke? Atau perlu belajar kat mana-mana untuk dapatkan jenis cubitan yang standardize gitu? Min punya cubit dengan umi, dengan kak Ida sama je.” Rungut Zarul.

Jelingan tajam Yasmin sekali lagi mengundang ketawa Zarul. Sepantas kilat satu ciuman dihadiahkan di pipi Yasmin. Penuh kudus.

Tolonglah airmata. Jangan kau menitis lagi jika ikhlas mahu berikan kebahagian kepadanya.

“Zarul.”

“Hmm.” Bahu Yasmin masih dipaut erat.

“You know that I love you. Awak tahu saya sanggup buat apa saja untuk bahagiakan awak.” Bahu Yasmin dilepaskan perlahan. Zarul beralih mengadap Yasmin yang tenang di sebelah kirinya.

Tangan menarik bahu Yasmin duduk mengadapnya. Seraut wajah tenang tetapi penuh sendu itu ditatap lama.

“Mengapa ni? Apa yang tak kena?” Lembut Zarul bersuara. Jika Yasmin sudah bersuara mungkin ini masanya dia mengorek apa yang mengganggu isterinya kebelakangan ini.

“Do you love me?” Zarul segera melarikan pandangan mendengar pertanyaan itu.

“Min, please…”

“It’s ok. Saya tak perlukan jawapan. Soal hati tak boleh dipaksa.” Yasmin cepat-cepat memotong percakapan.

“Awak bahagia dengan saya?” Pantas Zarul mengangguk. Itu kenyataan. Dia tidak mahu menafikan. Cuma ada kekosongan yang sesekali membuatkan dia menjeruk rasa.

“Awak pula? Bahagia dengan saya?” Giliran Zarul bersuara.

“Saya bahagia kalau awak bahagia. Awak sanggup buat apa demi kebahagiaan saya?” Sekali lagi Zarul pantas mengangguk. Kalaulah ada sesuatu yang boleh membuatkan dia mengubah rasa cinta tidak bertepi itu kepada wanita di depannya, Zarul mengeluh dalam hati.

“Then, do this.” Ucapnya ringkas sambil menghulurkan borang yang sedari tadi diterbalikkan.

Zarul kaku tidak bersuara sebaik melihat borang yang dihulurkan Yasmin. Dahinya berkerut. Riak wajahnya tidak dapat dibaca Yasmin. Marahkan dia? Terharu? Bahagia? Gembira?

“Apa ni, Min?”

“Borang kebenaran poligami.” Yasmin cuba berjenaka melindungi hati yang sudah bengkak. Renungan tajam Zarul dibalas lembut.

“Saya cintakan awak bukan sekadar di dunia. Saya cintakan awak sehingga ke akhirat. Saya berusaha menjadi isteri solehah supaya nanti awak terlepas daripada menanggung dosa saya.

“Saya tak boleh pejam mata lihat awak membuat dosa. Cinta saya mendorong saya lakukan semua ini. Saya nampak awak dan Sherina di restoran tempoh hari. Saya nampak Sherina pegang tangan awak dan awak tak biarkan. Itu dosa, Zarul. Dosa besar. Awak dengan dia bukan muhrim.

“Saya tak akan biarkan awak terus lakukan dosa tu. So, please. Marry her. I know you love her. Cuma ini mampu saya lakukan supaya awak dan dia tak terus bergelumang dosa dan pada masa sama, saya bahagiakan awak. Hanya satu yang saya minta. Jangan ketepikan saya daripada hidup awak. Saya tak boleh tanpa awak, Zarul. I just can’t.”

Airmata tidak dapat ditahan lagi. Yasmin tidak mampu berpegang kepada ikrar sendiri.

Zarul segera menarik tubuh langsing itu ke dalam dakapan. Sungguh dia tidak menyangka gerak-gerinya selama ini dalam pengetahuan Yasmin. Di kala dia baru mencari ayat yang sesuai untuk disampaikan, Yasmin sudah pun mendahuluinya. Demi kebahagiannya, Yasmin tega menoreh luka di hati sendiri. Dan dia? Tegakah untuk terus membiarkan luka itu terus berdarah dengan mengahwini Sherina.

Hangat airmata Yasmin dibahu terus terbawa-bawa sepanjang malam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience