Bab 15

Romance Completed 19208

Luluh hatinya melihat Zarul segak mengenakan sepasang baju Melayu putih yang lengkap bersamping hitam dengan benang emas. Terketar-ketar tangannya memakaikan butang baju Melayu itu.

Tidak lama lagi. Cuma tiga jam saja untuk dia menerima madu. Madu yang menjadi racun mengenangkan pertemuan pertama dan terakhirnya dengan Sherina minggu lalu. Pertemuan yang dirahsiakan daripada Zarul dan kedua mentuanya.

Mata Zarul yang tidak berganjak memerhatikan dia yang cuba menunjukkan lagak bersahaja mengenakan butang baju Melayu kemudian berpura-pura membetulkan samping tidak dihiraukan.

Yasmin tidak mahu menentang sinaran mata itu kerana tahu dia tidak cukup kuat menahan airmata untuk terus mengalir. Dia tidak mahu airmata mengiringi langkah Zarul menerima akad memiliki seorang lagi isteri.

Yasmin mahu melangkah selepas selesai membetulkan samping apabila tubuhnya diraih ke dalam dakapan. Erat.

“How should I thank you, Min?” Bergetar suara Zarul kedengaran di telinga.

“Just love me.” Ringkas dia menjawab.

Terasa sedu-sedan Zarul, Yasmin segera meleraikan pelukan. Airmata sang suami disapu lembut. Ciuman dihadiahkan di kedua-dua pipi Zarul.

“Don’t cry. Awak nak melangkah ke gerbang kebahagiaan yang awak cari selama ni. Saya tak nak airmata ni buat awak teragak-agak.”

Tangan Yasmin dikucup lembut. Di mana lagi dia hendak mencari wanita seistimewa ini? Sherina sendiri tidak begitu. Dia bertuah kerana menjadi wanita pertama dicintai Zarul. Itu saja.

“I’m sorry. I really am. Awak paling istimewa dalam hati saya, Min. Tak akan ada yang dapat ambil alih tempat tu. Tidak Sherina sekalipun.”

Yasmin tersenyum mendengar kata-kata Zarul. Perlahan dia merebahkan kepala ke dada bidang suaminya. Ingin mendengar degup jantung buat kali terakhir sebagai satu-satunya isteri Zarul sebelum berkongsi meletakkan kepala di dada itu dengan wanita lain. Wanita yang lebih dicintai suaminya.

Kepala Yasmin diusap lembut. Harum rambut hitam lebat itu dihidu sepuas-puasnya. Jika tiba-tiba ada rasa cinta untuk Yasmin ketika itu, sumpah dia sanggup membatalkan majlis pernikahan dengan Sherina.

Lama mereka begitu sehingga deringan telefon mengejutkan kedua-duanya. Mata Yasmin cekap menangkap nama yang terpampang di skrin. Tak menyempat-nyempat, kutuknya dalam hati.

“Pergilah. Nanti terlewat pulak. Awak pandu hati-hati. Kalau Firas ada, tak adalah saya bimbang sangat.”

“Firas dah macam berpatah arang dengan saya lepas tahu saya nak nikah dengan Sherina. Tak tahulah macam mana nak pujuk dia.”

“Lama-lama oklah tu. Dia tu mana boleh berpisah lama dengan awak. Kadang-kadang saya lebih cemburu pada Firas daripada Sherina.”

Zarul ketawa hambar. Sejak mengetahui dia mahu mengahwini Sherina, Firas bersemuka dengannya. Pertama kali dalam sejarah persahabatan mereka, dia dan Firas hampir bertumbuk jika bukan Yasmin yang meleraikan.

“Aku akan buktikan betina tu ada agenda nak kahwin dengan kau.” Itu kata-kata terakhir yang keluar daripada mulut Firas.

Sejak itu mereka bagaikan tidak mengenali satu sama lain. SMS dan panggilan telefon tidak pernah dijawab Firas. Sahabatnya juga lebih senang menggunakan medium emel, nota ringkas atau setiausahnya jika ingin berbincang mengenai kerja. Sungguh Zarul merindui sahabatnya yang satu itu.

Dengan kucupan lama di dahi, Zarul melangkah daripada bilik tidurnya tanpa berpaling lagi. Airmata yang ditahan sejak tadi mencurah bagaikan air paip di pipi Yasmin yang sudah terduduk di birai katil.

“Selamat pengantin baru, abang. Min doakan abang beroleh kebahagiaan dengan Sherina. Maafkan Min tak dapat membahagiakan abang selama ni.” Dia merintih sendiri.

Yasmin bangun menuju ke almari. Tiket kapal terbang yang disorokkan ditarik dan diteliti. Biarlah dia membawa diri pada hari bahagia Zarul untuk sementara.

“Ampunkan Min keluar dari rumah tanpa kebenaran abang.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience