Bab 14 RANGGA: APSARA

Fantasy Series 1657

Malam kian larut ketika aku dan Kasturi menghampiri gerbang besi istana. Pilihan waktu yang sememangnya aku sengajakan. Api obor berderetan di laluan menuju ke istana meliukkan tari mengikut rentak angin. Jemari merah jingga itu menghanyutkan fikiranku, memutar masa kembali ke belakang.

Suria baru menyingkap tabir langit Surya Wilwatikta. Panahan cahaya pagi serta-merta membidik titik paling cerah di dalam lancaran terakhir gerombolan Melaka. Warna merah itu terlalu terang untuk aku abaikan. Ia bagaikan lidah api kecil yang menyala dalam sekam. Merah dalam natar kelam. Ke mana aku menghala, kelibat merah itu pasti akan menyambar perhatian dan menarik aku ke arahnya.

Dari jauh tubuh itu nampak seperti nyalaan batang mancis. Semakin dekat baru aku sedar bahawa susuk merah yang aku amati sebenarnya adalah milik seorang gadis. Merah bajunya pekat dan bertenaga. Citranya menenggelamkan gemilang kuning Diraja.

Hari itu adalah hari yang aku haramkan sebarang kesilapan. Tugas aku kali ini agak mudah. Sebagai prawara, aku perlu menjaga keselamatan semua ahli rombongan dari Melaka. Dari ketibaan mereka sehinggalah saat berangkat pulang. Untuk itu aku kerahkan orang-orang bawahan supaya mengosongkan laluan air. Aku pastikan tiada jong, perahu hatta rakit yang mudik di bengawan melainkan setelah lewatnya lancaran gerombolan Melaka.

Selain menjaga keselamatan di sungai, aku turut memastikan tiada musuh yang mendekati dari daratan. Pasukan-pasukan kuda berlarian mengiringi kumpulan lancaran dari sisi kanan dan kiri daratan. Malah aku sendiri memacu kuda sekejap ke depan, sekejap ke belakang memeriksa segala rancangan agar berjalan lancar.

Di dalam perjalanan ulang dan alik itulah aku perasan muka Si gadis berbaju merah itu selalu terhala ke darat. Dia bagaikan menjejaki pasukanku. Aku tidak tahu apa yang dia cari, akan tetapi perlakuannya mencetus rasa kurang senang. Lantaran itu, aku putuskan untuk memberi sahaja apa yang dia mahu.

Zahir diri kami!
Dengan aku sendiri sebagai wakil yang selayaknya.

Tak perlu dia mencari. Kali ini biar aku yang menanti. Aku tunggu kemunculan lancaran terakhir di hujung jeti. Ketika jarak di antara kami semakin pendek, telahan aku benar. Gadis itu ingin mengenali kami. Perlakuan tergesanya mempamerkan kesungguhan hati. Apa yang aku tidak faham adalah reaksinya selepas itu.

Jelas mimik Si gadis tergamam. Tetapi kenapa dia memalingkan muka enggan bertemu mata?
Apa jeliknya aku di mata dia?

Itu kata awal hati sebelum perasaan lain merasuk. Imej gadis itu muncul bertindih-tindih dalam kepala. Mata bundarnya secerah bintang kejora. Pipinya samar kemerahan seindah kudup mawar. Busana merahnya berkibar-kibar anggun menggamit jiwa lelakiku. Pesona gadis itu persis apsara. Zahir mereka sahaja sudah cukup untuk membutakan mata hati lelaki, membuka pintu keasyikan asmara.

Sebagai salah seorang kesatria Majapahit, aku terlatih mendahulukan kewarasan sebelum emosi. Aku tahu apa yang ingin aku capai dalam hidup. Untuk itu aku senantiasa berusaha keras dan fokus. Sebarang bentuk kelemahan akan aku tepis termasuklah godaan perempuan dan cinta. Namun, buat kali kedua pada hari yang sama, gadis itu berjaya meretakkan tembok hati aku.

Aku patut salahkan suria kerana kedua-dua saat paling lemahku wujud semasa relung cahaya itu mencecah Si gadis. Atau pada merah pakaiannya. Kerana warna itu memancar terang tatkala disimbah sinar matahari sehingga menambat pandangan aku. Sungguhpun sedemikian, aku sedar hakikatnya kesalahan penuh terletak di bahuku. Atau lebih tepat lagi hatiku.

Serakan nyala terakhir mentari di ufuk barat di belakang gadis itu sekali lagi membangkitkan sebuah keasyikan. Sungguh, tatapan mata tak ingin berganjak tatkala merenung imej gadis yang terperangkap di dalam petak kecil di tanganku. Terasa aku turut terperangkap di situ. Di dalam dunia yang aku tidak kenali, yang ada hanya aku dan dia, gadis yang bernama Kasturi.

Gadis itu mungkin sumpahan di atas senda melampau aku. Celupar mulut yang menyatakan bahawa hati ini tak akan bisa ditawan sesiapapun. Tidak puteri hatta Sang Dewi.

Hati aku milik mutlakku.

Hakikat hati telah ditawan tanpa sebarang serangan memang aneh. Aku langsung tiada kekuatan untuk melawan. Sewenang-wenangnya aku tunduk kepadanya. Sedangkan aku tahu gadis itu juga hukuman ke atas aku. Di atas kegagalan melaksanakan tugas hari ini. Dia punca tergugatnya kestabilan hidup aku. Tidak mustahil dia juga bakal penyebab hilangnya nyawa aku.

Di saat tangan halus mulus itu menyambut huluran bunga dari dultannya, aku merasakan ada peluru senapang lantak sedang menembusi dada, menamatkan hari aku yang seharusnya berakhir dengan sempurna.

Ironi.
Dia pembuka hari sulitku.
Dia juga pembuka laluan indah ke jiwaku.

Dua hal bertentangan yang memaksa aku mendekatinya dalam keadaan masa yang tidak berpihak kepadaku. Oleh itu aku putuskan untuk membuang segala jurang di antara kami. Membawa dia rapat di sisiku. Membiarkan dia tenggelam dalam hatiku.

"Rangga."

Aku mentertawakan diri mendengar nama asing itu berkumandang di telinga. Sedangkan prinsip utama diri sudah dikompromi, apa lagi agaknya perkara di luar batasan yang bakal aku izinkan berlaku.

"Rangga!"

Kuat laungan suara membawa aku ke alam sedar.

"Hm, ada apa, Kasturi?"

"Kita tunggu apa lagi?"

Tunggu? Pagar istana telah berada di depan mata. Oh, mungkin Kasturi bermaksud tunggu apa lagi di atas kuda ini.

Aku turun dari belakang kuda dan membantu Kasturi yang kelihatan terkial-kial. Setelah itu aku mengiringi dia ke pondok kawalan di luar pagar istana.

"Bawakan makanan dari dapur orang Melaka serta panggil Arya ke mari," arahku kepada pengawal istana yang sedang menikmati masa rehatnya di situ.

Nada suara aku turut dimengertikan oleh pengawal-pengawal lain yang berada di situ. Mereka segera beredar meninggalkan pondok kawalan.

"Kenapa kita tak masuk dalam istana?"

Kerana itulah tempat yang perlu kau elak, duhai Kasturi.
Punca onarmu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience