Aku ingin menemui seseorang di sini."
Alasan itu bercampur kebenaran.
Kasturi memerhati sekeliling. Kemudian dia bertanya, "Rombongan dari Melaka masih ada di istana?"
"Pada hematku mereka telah pulang beristirahat ke penempatan tetamu di kediaman Mahapatih."
Seketika kemudian Arya datang sambil menatang dulang.
"Letakkan di situ." Aku halakan muncung bibir ke sisi Kasturi.
Apabila Kasturi masih merenung makanan di dalam dulang, Arya menegur, "Usah khuatir tuan hamba. Hidangan ini disediakan oleh gerau istana Melaka."
Setelah itu ketawa Arya meletus. Mata Arya meluah rahsia kepadaku ketika dia berkata, "Tidak salah firasat Yang Mulia Paduka Raja semasa membina ruang tambahan dapur khusus buat kunjungan orang-orang Melaka. Bakal menantunya itu amat bijaksana dan teliti orangnya. Sedangkan penyarung keris dibawanya bersama, apatah gerau."
Sah. Ada cerita di sebalik cerita Arya. Cerita yang aku telah terlepas dengar. Aku menarik Arya menjauhi Kasturi. Soalan aku terus ke sasaran.
"Apa yang berlaku di Paseban Agong tadi?"
Begitu teruja Arya bercerita peristiwa yang menurutnya amat menarik. Aku mendengar cerita Arya dengan minda yang terbuka luas. Meneliti setiap kisah di paseban agong dengan teliti. Cuba memahami apa yang terselit di sebalik suratan peristiwa. Tanpa aku sedari di akhir cerita Arya, pandanganku telah melayang ke arah Kasturi.
Angin malam menderu-deru membawa hawa dingin nan segar, menggoyang-goyangkan rumbai ikatan celana aku dan Arya. Malangnya angin dari luar tembok kotaraja ini juga pandai bercerita.
"Semilir pasti telah mempersembahkan kisah siang tadi," keluhku kegusaran.
Arya yang mengetahui maksud pandanganku terus meneka.
"Kau khuatirkan dia atau diri sendiri?"
"Kalau dia selamat, bukankah itu bermakna aku juga akan bernyawa?" bidasku.
Ketawa Arya memaksa aku mencerun pandang ke arah lelaki itu.
"Kau yang sengaja mencari bala. Tidak, Tidak. Kau menolak tuah sebenarnya."
Panas membahang di cuping telinga apabila Arya mengungkit hal yang aku tidak suka.
"Usah dibangkit lagi hal itu. Bantu aku."
Tangan Arya menepuk-nepuk bahuku. Dia mengukir senyuman. "Katakan sahaja, sahabatku."
"Sehingga masalah aku selesai, gantikan tempatku. Beri apa sahaja alasan kepada Gusti Puteri dan... awasi baginda. Laporkan segala gerak-gerinya kepadaku."
"Baiklah sahabat. Lalu, gadis itu, apa rencanamu?"
"Mangsa lebih selamat andai berada di dalam kawanannya. Mereka akan melindungi dia dari Pemangsa."
Hanya rancangan itu yang terlintas di fikiranku buat masa ini. Arya tidak membantah tetapi mengkritik rencanaku.
"Sundari. Tidakkah kau bimbang?"
Itu kenyataan utama yang aku paling sedar hari ini. Pemilihan kata Arya amat tepat.
"Apakah kau punya rencana yang lebih baik?"
Pertanyaan aku menempelak kritikan Arya. Pemuda itu berdiam diri. Arya hanya menitip pesan.
"Tingkatkan waspadamu. Jangan bertindak sendirian."
"Terima kasih, Arya," ucapku sembari melangkah menghampiri Kasturi. Senyum lebar di wajah gadis itu barangkali menandakan keadaannya yang baik-baik sahaja.
"Awak tak makan sekali ke?"
Soalan yang mempamerkan timbang rasa Kasturi mendamaikan seketika jiwaku yang tidak tenteram. Apa yang aku perlukan kini adalah bersiaga, bukannya makanan.
Tangan Kasturi aku tarik dan pimpin sehingga mendekati kuda.
"Ayuh, aku hantar kau pulang."
Apabila tarikan terasa memberat, aku tahu keputusan itu hanya dari sehala, tanpa persetujuan Kasturi. Akal ligat menokok alasan.
"Tiada siapa yang berani menganggumu selagi kau bersama-sama hulubalang-hulubalang Melaka. Di situlah tempat yang paling aman."
Apa yang aku katakan adalah hal yang benar. Di dalam tempoh terdekat ini, tempat paling selamat di kotaraja adalah kawasan kediaman Mahapatih. Bukan sembarang perajurit yang berkawal di situ. Ditambah dengan hulubalang Melaka, musuh yang berani menjejakkan kaki di situ bakal menempah maut.
Pujukan aku berjaya. Meskipun berdiam diri, Kasturi menurut.
Pendopo masih terang dan riuh ketika aku membawa Kasturi ke situ.
"Hana! Ke mana tuan hamba menghilang?"
Salah seorang pemuda di situ mara lalu menarik Kasturi ke tengah-tengah pendopo. Kasturi bak nyalaan dian yang dihurung kelkatu semasa gadis itu di kelilingi hulubalang-hulubalang Melaka. Masing-masing sibuk bertanya khabar Kasturi.
Jadi nama lain Kasturi adalah Hana.
"Salam sejahtera ke atas tuan hamba sekalian." Aku temukan kedua tapak tangan seraya tundukkan sedikit badan tanda hormat.
Sapaan aku menimbulkan suasana hening. Perhatian beralih daripada Hana kepada aku.
"Siapakah gerangannya, Tuah?" Pemuda di sisi kanan Tuah menyoal.
"Bhayangkara."
Serta merta mulutku mengorak senyuman apabila Tuah menyebut pengenalan rasmiku.
"Pengalasan wineh suka. Hulubalang Melaka, asta-Hang yang tiada bertara," balasku.
Aku kenali mereka. Astha (8) Hang yang terkenal. Dwi (2) Hang terbilang; Hang Tuah dan Hang Jebat. Dia sedang bersandar malas di tiang pendopo dengan kaki melanjur ke depan. Tidak asi dengan apa yang sedang berlaku, mata Hang Jebat tertutup rapat. Manakala eka (1) Hang terunggul, Hang Tuah sedang memicing mata ke arah aku.
Lantas seorang demi seorang hulubalang Melaka menghulurkan jabat salam mereka melainkan Tuah dan Jebat. Usai menyapa mereka kembali menghurung Hana.
Aku bersidai di tiang sanggah pendopo, memerhati persekitaran luar penginapan para tetamu sambil mendengar sembang santai di ruang terbuka itu.
"Tuan hamba kerugian. Hana patut melihat riak Betara Majapahit ketika tembelang baginda pecah tadi."
Hana kulihat mengangkat kedua tangannya tinggi dan berkata, "Nanti dulu. Jangan buka cerita lagi. Apa kata kita bertaruh?"
Di kala Sang Bunga membuka pertaruhan, masakan kumbang-kumbang menyembunyi diri di celah daun? Sang kumbang bahkan berlegar-legar di permukaan kelopak menunjuk berani.
"Apa pertaruhannya?" tanya hulubalang yang bernama Husin.
Dari luasnya bukaan kelopak mata Hana aku tahu dia telah menyiapkan helah tatkala berkata, "Biar Hana teka cerita apa. Kalau tekaan Hana betul, beri Hana bilik. Awak semua tidur di luar."
"Setuju!" Pap!
Hentakan tangan Husin di lantai kayu di sahut sorakan gemuruh.
Melihat muslihat Hana, sedikit sebanyak permasalahan yang Arya timbulkan berkenaan sundari memudar. Aku pasti gadis itu tahu menjaga dirinya.
"Hmm... ada kaitannya dengan...."
Apabila Hana memanjangkan jeda, ada suara yang menyampuk, "Mengalah sahajalah, Hana. Kami semua tahu tuan hamba tiada di sana tadi."
"Aish, sabar. Sabar. Kauorang semua mesti kalah punya."
Hanna menekur papan lantai seketika sebelum mengangkat wajah dan berkata, "Tentang keris dan sarungnya. Sultan Melaka berjaya dapatkan kesemua 40 keris, bukan?"
Jawapan Hana membuatkan dia serta-merta menjadi pusat perhatian termasuklah aku dan Tuah. Jebat yang telah menutup matapun kini memaku penglihatan ke arah Hana.
"Ahh, tuan hamba pasti sempat mendengar kisah itu dari budak suruhan istana. Apa lagi cerita yang tuan hamba dengar?"
Hana ketawa besar dan mempertahankan diri. "Iskandar, kau juga yang kata aku tak ada kat situ tadi. Kaki aku tak jejak lagi dalam istana, tau. Sepanjang hari aku bersama Rangga. Tak percaya tanya dia."
Lalu kesemua mata yang curiga serentak memandang aku. Namun, tiada yang berani bertanya.
"Tuan hamba tahu cerita apa lagi?" Iskandar mengulangi soalan. Nada suaranya mengendur. Curiga dan tanda-tanya mewarnai wajah Iskandar.
"Hurm... tentang anjing ke? Siapa namanya... Err... Tun... Tun Bija Sura. Hah! Tun Bija Sura buat helah. Gertak anjing tu dengan perisai. Anjing tu takut dengar bunyi loceng, terus cabut lari, kan?"
"Wah, Hana! Tuan hamba amat menakjubkan. Bak ahli Nujum. Memang itulah yang terjadi di paseban siang tadi."
Ketawa Hana panjang menyertai ketawa Lekir. Namun, soalan berani Hana selepas itu lebih mengejutkan aku.
"Berani bertaruh cerita esok?"
Kening Hana terangkat-angkat melepaskan cabaran.
Kali ini Iskandar menolak.
"Tidak mahu hamba. Tuan hamba menggunakan tipu daya."
Bibir Hana terjongket sebelah ketika merinci maksud.
"Bukan dengan kau la. Aku nak bertaruh dengan Tuah."
Para hulubalang saling menukar pandangan sebelum memandang Tuah. Sedangkan Tuah telah lama memaku matanya kepada aku tanpa aku sedari.
Pandangan Tuah penuh dengan firasat yang bisa aku tebak. Kerana aku tahu, aku gagal mengawal air muka sebentar tadi. Aku benar-benar terkasima. Semua ini gara-gara Hana. Dari mana dia tahu semua cerita yang Arya telah kisahkan padaku sedangkan dia tak lekang di sisiku?
"Aku terima."
Anak mata Tuah masih tepat menikam aku semasa dia menyahut cabaran Hana.
Share this novel