Tak sangka dalam takut, aku boleh terlena. Langsung tak sangka, mimpiku bersambung lagi. Saat mata terbuka, tubuh masih membuai-buai. Aku tetap terperangkap dalam mimpi yang sama. Terkurung di dalam kamar sempit bersama seorang lelaki.
Bezanya hanyalah perasaan aku. Ketakutan telah hilang berganti asyik?
Entahlah. Tetapi mungkin betul sebab semakin lama aku pandang wajah lelaki itu, makin aku nak pandang lama-lama. Kucing comel, teddy bear comel, itu biasa. Lelaki comel? Dalam Astro Korean Pack memang banyak. Kalau depan mata? Jawapan yang aku ada bak kata P. Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang, jarang-jarang.
Daripada berbaring aku bingkas duduk menghadap lelaki itu. Reaksiku terlajak berani. Itu adalah kerana lelaki itu bukan lelaki semalam. Aku pamerkan senyuman. Leretkan simpulan bibir. Mulut tidak sabar nak menyapa tetapi tak tahu nak kata apa. Kalau di alam nyata, dah lama aku tegur, "Muka awak macam penyanyi K-Pop la." Memandangkan pakaian yang tersarung di tubuh kurus itu ala-ala pelakon drama Wuxia, aku masih mencari-cari ayat yang sesuai. Dalam masa yang sama terfikir juga boleh ke lelaki ini berbahasa Melayu?
"Tuan hamba sudah jaga?"
Aku hamburkan ketawa. Kenyataan dia boleh berbahasa Melayu menggembirakan aku sekaligus melapangkan dada. Tak jauh mana mimpi aku. Tak sampai ke hujung dunia. Aku masih berada di sekitar alam Melayu. Lega di situ tetapi runsing pula di tempat lain. Nada suara dan kosa kata lelaki itu mengingatkan aku kepada panggung budaya dan teater purbawara. Aku bermimpikan drama bangsawan ke? Seorang pegang pedang, seorang lagi berbasa-basi dengan perkataan klasik.
"Tuan hamba boleh berjalan? Biar hamba mengiringi tuan hamba keluar."
Ironi, aku tengok muka dia lagi pucat daripada muka aku. Siap picit-picit kepala lagi. Silap gaya aku pula yang kena papah dia berjalan.
"Nak pergi mana?" Walau tidak ke mana-mana, aku kena tahu keberadaanku. Empat dinding kayu ini tidak mungkin akan bersuara jika aku bertanya soalan yang sama.
"Dari mana tuan hamba datang."
Hampeh! Jawapan serupa macam soalan, daa. Engkau tanya aku balik? Kau tahu ke dari mana aku datang? Akupun tak pasti, Cik Abang oii! Kata-kata itu aku lepaskan dalam hati sahaja. Mulut masih menutur sopan.
"Hurm, dari mana ya?" Aku gelak-gelak cuba selindung apa yang aku rasa. Aku rasa ini hanyalah mimpi. Mimpi yang bertali. Panjang pula talinya, huh!
"Bukan dari kamar bahtera ini."
Aaa! Bahtera? Patutlah asyik membuai-buai badan aku. Siap pening lagi. Aku berada di atas kapal laut rupanya. Maklumat itu buat aku rasa nak hantuk kepala sekuatnya ke dinding. Biar cepat terjaga dari lena. Biar lekas keluar dari mimpi. Itu adalah kerana aku pasti setiap pelayaran ada destinasinya. Ke mana kapal laut ini akan membawa aku? Mungkin tekaan awal aku tadi tentang alam Melayu tidak lagi benar. Hujung dunia mungkin sahaja menjadi perhentian pelayaran ini.
"Kenapa saya kena keluar dari sini?"
Lelaki itu lepaskan ketawa. Dinamik deraian tawanya merdu daripada crescendo kepada decrescendo. "Tidak molek tuan hamba berlama-lama di sini. Kamar ini dihuni lelaki."
Tangan mengosok dahi. Aku rasa aku tahu kenapa lelaki itu menggantikan lelaki kelat, beku dan bengis yang mula-mula aku jumpa. Dia mungkin perunding atau pengantara lelaki semalam, tuan kabin ini.
"Awak nak halau saya dari sini?" Nada suara sengaja kulirihkan bagi meraih simpati.
"Tuan hamba tidak berhak berada di kamar ini. Kamar ini ada tuannya."
Lembut sahaja lelaki itu menjawab semua soalan aku. Dah la muka comel, mulut pandai menjawab. Di mana kelemahan lelaki ini? Pada jiwanya?
"Jadi, awak mahu saya melepak dekat luar sana?"
Wajah pucat lesi itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Aku tak tahu apa yang dia fikir. Tapi aku rasa aku boleh bergantung dengan dia di sini. Sekurang-kurangnya air muka lelaki ini sedikit bersih daripada lelaki pertama yang aku jumpa.
"Tuan hamba boleh berpindah ke kamar lain yang selayaknya dan selamat."
Ooo begitu ke. Ada banyak kabin lain rupanya. Namun lelaki itu masih bertegas nak halau aku? Masalahnya...
Aku tak ingin nak berada lama-lama kat sini.
Aku tak nak cari masalah lagi.
Aku dah penat dengan masalah aku sendiri.
Aku malas dah nak fikir hal orang lain.
Kau faham tak? Mestilah kau tak faham sebab kau tak dengar jeritan hati aku ini. Lama juga otak bekerja keras sebelum aku dapat idea. Aku keluarkan sesuatu daripada beg galas. Empat biji gula-gula mentos terdampar di tapak tangan. Hehehe umpan! "Ambillah. Boleh kurangkan pening."
Kening lelaki itu berkerut seribu sebelum dia pandang aku semula. Pancaran mata kuyunya penuh syak wasangka. "Takde maknanya aku nak racun kau." Lantas aku ambil sebiji gula-gula dan hisap. Nyaman yang datang segera mendamaikan kepala aku yang dah ikut sama bergoyang dengan kapal. Agaknya, setelah nampak aku masih hidup dan mampu tersengih-sengih, barulah lelaki kurus itu percayakan aku lalu mencapai baki tiga biji gula-gula.
Seketika kemudian, aku boleh lihat mata sepet lelaki itu semakin segar. Begitu juga dengan wajahnya, telah berwarna. Umpan dah kena, baru aku berani mencuba nasib. Aku gunakan kemahiran utama yang aku miliki, berunding.
"Saya setuju untuk keluar dari sini. Tapi boleh tak awak jangan hantar saya ke tempat lain lagi? Bagi saya sedikit masa untuk berfikir." Aku hulur tiga biji gula-gula lagi sebagai balasan rundingan. Siapa sangka lelaki itu terus mengambilnya.
"Baiklah. Mari kita keluar dari kamar ini dahulu."
Sebaik sahaja lelaki itu menolak daun pintu, tiupan angin buas terus menerpa tubuh. Spontan aku jadikan tangan sebagai perisai untuk menghadang kekasaran alam ke atas kulit muka. Namun aku gagal mengelak hawa dingin daripada menyentuh tubuh. Dalam masa yang sama telinga menangkap deburan ombak yang amat kuat dari arah belakang.
Hajat nak mengintai keadaan tidak kesampaian apabila kedudukan kapal tiba-tiba sahaja tidak stabil. Aku pegang rangka pintu kuat-kuat apabila tubuh tertunduk mencerun sehingga 30 darjah. Elok kaki berubah pasak, badan pula melambung ke belakang. Kaki kiri siap terangkat ketika aku cuba mengimbang badan. Keadaan terolang-aling berterusan selama beberapa ketika.
Selepas beberapa ketika, muncul ngauman yang menakutkan dari sebelah kanan kapal. Dalam posisi hampir tertirap dan terlentang, aku cuba mengangkat muka mencari penjelasan keadaan yang sedang menghuru-harakan aku. Apa yang terbentang depan mata membuatkan aku terlupa di mana aku berada.
Share this novel