Mungkin keterujaan yang berlebihan mencetus imaginasi melampau ke atas stimulasi minda.
Atau mungkin juga latar keadaan yang berubah-ubah mendatangkan kecelaruan fikiran.
Biar apapun rumusan akal, aku lebih percaya pada gerak hati. Apa yang aku saksikan dan rasakan sebentar tadi adalah benar. Bahawa wujudnya lontaran perasaan yang kuat dari Rangga.
Kekeliruan sebegitu berpunca dari hanyut tatapan Rangga yang berlalu dalam detik yang singkat. Sejurus dia mematikan interaksi empat mata lalu menghala pandangan ke hadapan. Apabila dia menoleh ke arahku semula, semua bayangan perasaan yang terpancar di serata wajahnya tadi lenyap sama sekali. Lintasan perasaan tersebut bagai ditelan oleh iris hitam likat Rangga tanpa meninggalkan jejak.
Yang ada kini hanyalah roman selamba.
Hurm... mujur manis air muka Rangga masih berkekalkan di situ.
"Ambil sahaja sebanyak mana masa yang kau mahu. Aku akan tetap di sini... menemanimu."
Lenyap yang lain, timbul pula yang lain.
Rangga, kau nampak aje aku macam ni, okey. Sikap aku macam kisah tak kisah. Macam acuh tak acuh dengan apa yang kau buat. Tapi kau tak tahu, dalam senyap aku ini suka memerhati.
Sudah tentu aku perasan lenyapnya formaliti dalam nada suara Rangga. Hilangnya ber'tuan hamba' berganti aku dan kamu. Lontaran suara Rangga berbunyi akrab. Bagai telah ada jalinan perasaan dari hati ke hati di antara kami. Memang aku tertanya-tanya. Mungkinkah pertukaran bilangan perkataan yang boleh dibilang di antara kami mampu mencetuskan rasa akrab yang sedemikian?
Namun buat masa ini aku hanya kisahkan apa yang diluahkan dari mulut Rangga. Justeru, aku ketepikan luahan dari matanya. Kesempatan di atas peluang, mana mungkin aku tolak. Rugi beb!
Maka dengan segala senang hati, aku bermewah-mewah dengan masa sepertimana yang Rangga izinkan. Aku nikmati pemandangan kotaraja Majapahit sepuasnya tanpa memperdulikan Rangga. Aku tahu dia telah mencipta privasi untuk aku dengan membina benteng sepi di antara kami.
Lenguh berdiri lama-lama aku duduk bersila. Puncak gapura Wringin Lawang bersambung dengan binaan tiang kayu dengan atap genting. Tiada benteng yang memagari kawasan sempit ini. Oleh yang sedemikian aku bebas memusing badan sehingga 360 darjah, saujana mata memandang ke segenap arah pendalaman.
Gapura Wringin Lawang mungkin mempunyai dua fungsi. Sebagai pusat kawalan keselamatan penghuni Kota. Juga sebagai menara tinjau menghalang pencerobohan musuh. Itu kesimpulan yang aku buat setelah berjaya menghabiskan masa dari petang lewat ke senja di sini.
Kalbu aku dengan alam semulajadi memang ngam. Kalau benar bagai dikata Rangga, aku seronok aje melepak di sini sampai esok. Aku lebih rela menunggu matahari terbenam sebentar lagi lalu menanti kemunculan semula bebola api itu di tempat yang sama esok daripada turun ke bawah sana lantas membabitkan diri dengan hal yang tak ada kaitan dengan aku.
Sambil duduk-duduk, tangan tak sengaja menyentuh beg silang. Serta merta muncul idea yang tak berapa siuman. Timbal balas akal lekas bersetuju bagi tujuan eksperimentasi. Lagi pula untuk membina hipotesis perlukan dokongan bahan bukti, bukan? Mungkin misteri keanehan apa yang aku sedang alami boleh dirungkai dengan logik.
Cepat-cepat aku keluarkan handphone. Perkara pertama yang aku buat adalah memeriksa fungsinya. Seterusnya apa yang aku perlu buat hanyalah menyentuh punat yang menangkap imej setelah membuka aplikasi kamera.
Tada! Dapatpun bahan bukti. Sekejap sahaja dah siap. Satu shoot seharusnya sudah memadai. Imej alam yang terakam memang cantik di layar handphone. Malangnya imej indah itulah yang menaikkan ketamakan aku.
Lukisan Majapahit terlalu indah untuk aku lepaskan begitu sahaja. Jemari aku leka merakam selepas satu foto ke satu foto lagi. Tak cukup dengan rakaman pemandangan, aku siap menyelitkan diri dalam gambar.
Swafoto la, apa lagi hahaha
Maka dengan itu tenggelamlah aku ke dalam alam syok sendiri dengan menggayakan berbagai aksi tanpa mengambil kira mata lain yang ralit memerhati.
Dah puas berswafoto baru aku teringat akan Mamat Jawa dekat sebelah aku ini. Aku sorotkan mata ke arah dia.
Aisheh! Dia sedang ketawakan aku. Ketawa Rangga tersorok di belakang genggaman tangan yang mengunci bibirnya.
Namun, alang-alang berminyak biar licin!
"Rangga, boleh tolong ambil gambar saya?"
Aku ajar dia bagaimana merakam gambar. Telefon pintar, bukannya susah mana nak mengendalikannya. Budak kecil yang tak pandai bercakappun tahu nak buka youtube sendiri. Rangga mengangguk-angguk tanda faham.
Aku tambah jarak agar landskap alam lebih banyak memasuki bingkai dan senyum.
1,2,3,4...
Dah melepasi angka sepuluh kiraan aku akan tetapi Rangga masih meneliti skrin handphone. Matanya tak berkedip menatap imej yang masih belum terakam.
Dia angguk tapi tak faham ke, apa yang aku terangkan tadi. Apabila aku menghampirinya semula, raut Rangga jelas terbias kehampaan. Garis bibirnya mendatar tidak seperti semasa dia fokus menghadap skrin handphone tadi, melengkung manis.
"Awak faham tak apa yang saya cakap tadi?"
Habis bertanya, aku terus ulangi penerangan. Sekali lagi Rangga mengangguk. Aku harap sangat dia benar-benar faham.
Buat kali kedua, aku berdiri di posisi yang sama dengan gaya yang sama. Di kiraan ke enam barulah flash kamera terpancar.
"Boleh saya ambil gambar awak?"
Soalan aku tidak mendapat respons Rangga. Aku agak dia tak faham maksud soalan aku. Lalu aku halakan skrin handphone ke arah kami setelah mengubah tetapan kamera kepada swafoto. Pada mulanya Rangga nampak terkejut menyaksikan wajah sendiri di layar. Selepas itu perlahan-lahan dia mengubah posisi tubuh. Ilusi optik menampakkan kami sebelah menyebelah. Senyuman Rangga merekah sehingga matanya kelihatan turut tersenyum.
Maka berderet-deretlah gambar kami kerana aku rakam dalam tetapan burst shot.
Cepat dan senang Bak Ang!
Gambar yang terakam amat indah. Selain pemandangan alam, lekuk otot abdomen Rangga yang tersimbah kilau jingga senja nampak mengiurkan. Sesuai sungguh untuk menggamit kedengkian rakan alam maya andai aku muat naik di laman Instagram dengan kapsyen 'kau hado?'
Aku tunjukkan kepada Rangga semua gambar-gambar tadi. Aku biarkan handphone di tangan Rangga. Tak perlu aku ajarpun Rangga dah pandai melihat gambar-gambar di dalam galeri. Mata helang Rangga memang peka memerhati segala gerak-geri aku.
Tegak berdiri, perasaan aku turut terlarut bersama warna jingga muda yang kian ditelan kelabu di kaki langit. Senja bakal menjengah. Aku lepaskan keluhan kecil tatkala mengenang malam. Kehadiran malam tidak pernah menakutkan aku sebelum ini. Di mana aku nak tidur? Sibuk mengurut pelipis, aku dengar Rangga bersuara, "Nah, simpan barang ini baik-baik."
Aku sambut huluran handphone Rangga lalu menyimpannya di dalam beg silang. Tak semena-mena aku rasa tangan Rangga kemas melingkar di pinggang. Badan aku ditarik rapat menghimpit tubuhnya.
Aku jegilkan biji mata, terperanjat dengan perlakuan biadap Rangga. Sebelum ini punyalah bersopan-santun Mamat ini.
Eh!Eh! Dia bertambah berani.
Tangan kiri aku dicapai lalu dilingkari pula di sisi pinggang Rangga. Sambil menepuk-nepuk tangan aku, Rangga titipkan pesan, "Jangan sesekali lepaskan."
Share this novel