Boleh dikatakan kapal layar yang aku naik ini paling mewah ruang kosongnya. Termasuk aku, kami hanya berlima. Lancaran-lancaran di hadapan kami agak sendat dengan manusia dan timbunan barang-barang. Ini kapal yang terakhir berlepas dari Pelabuhan Tuban sebelum mudik ke muara sungai. Kalau ikut prinsip konvoi kenderaan, lancaran aku berperanan sebagai Last Man atau Back Marker Marsyal.
Di hadapan aku kini berdiri tiga pemuda bertubuh sasa dan tegap dan longgokan pelbagai jenis senjata yang tiga kali ganda jumlah kami.
Hurm, ketiga-tiga pemuda ini sedang berdiri betul-betul depan aku. Face to faces. Hadap sahaja tak apa lagi. Renungan mata yang lurus dan memusat yang aku tak tahan tu.
Encik Abang-Encik Abang Oii, ketahuilah bahawa yang korang tengah stare ni masih dara ya! Sila bersopan sikit.
Aku perlu segera keluar dari suasana kekok dan malu ini. Lama lagi macam ini tak pasal-pasal aku terjun dalam sungai kang!
Uhuk. Uhuk.
Tekak tak gatal, aku buat-buat batuk untuk paksa suara keluar lancar.
Mungkin berbual lagi bagus daripada terjun sungai.
"Nak ke Kotaraja Majapahit lalu kot sungai ni?"
Aku pandang Lekir yang duduk di sebelah lalu lajakkan pandangan menyapu raut mereka. Perlakuan aku untuk menzahirkan niat. Soalan aku umum sebenarnya, terbuka untuk semua. Ternyata pemuda-pemuda di hadapan aku bukan sahaja gant?ng malah bijaksana.
"Kita akan mudik ke Kotaraja menelusuri bengawan."
Aku nak buka mulut bertanya lagi, tapi pemuda itu lebih cepat menyambung kata-kata.
"Hamba bernama Hasan. Di tengah ini Iskandar dan yang paling kurang segak di hujung sana kekanda hamba, Husin."
Ekor mata aku nampak tangan Husin melayang ke belakang kepala Hasan. Aku agak semua sedar sebab ketawa mereka meletus selepas itu.
"Saya Hana."
Tembok ais yang meretak di antara kami terus aku pecahkan dengan soalan. "Bengawan itu apa?"
Kali ini aku tujukan soalan buat Hasan dengan menghala mata ke arah lelaki sawo matang yang berkumis nipis.
"Bengawan dalam bahasa Jawa bermaksud sungai yang lebar dan besar."
"Ooo." Itu pembuka perbualan aku dengan mereka. Selepas itu suasana lebih santai dengan pelbagai topik dan soal jawab di antara kami. Antara hal yang menarik perhatian aku adalah lapan nama yang aku kumpul. Lapan pemuda ini bagaikan Hulubalang Elit Diraja Melaka. Mereka bukan sembarang hulubalang tetapi dipilih dan ditapis khas oleh Laksamana, Temenggung dan Bendahara sendiri.
Ramah-tamah betul diaorang ni. Mulut sama becok dengan Lekir. Sambil bersembang, mata melirik ke tebing. Berada di posisi Last Man, aku perasan ada gumpalan bayang hitam yang mengekori kami dari muara lagi. Bayang-bayang hitam itu bersembunyi di belakang rimbunan pohon di kiri dan kanan tebing sungai. Ada masanya bayang hitam itu hilang di sebalik hutan tebal.
Kini, lancaran belayar merentas dataran luas. Walaupun jauh, mata dapat menangkap sekumpulan penunggang kuda lengkap bersenjata sedang mengejar kami.
Dag dug dag. Dan dan dada aku berdebar.
Musuh nak serang hendap?
Aku nampak mata Iskandar menyorot ke arah yang sama.
"Iskandar, itu... itu musuh ke? Mereka nak menyerang kita?"
Maunya aku tak kalut sebab empat lelaki bersama-sama aku ini lepak aje. Siap santai menyilang tangan. Sedangkan aku dah terfikir nak capai senjata spesis bazooka kat atas lantai ini. Err, lela rentaka kot.
"Mereka bukan musuh. Itu kesatria dari istana Majapahit."
Handsome betul Iskandar apabila dia ukir senyuman. Iskandar amat tinggi lampai dan berkulit putih kemerahan. Kelopak mata dia tebal berhias bulu mata yang melentik. Aku syak Iskandar ada kacukan darah Arab.
"Mana awak tahu?"
Hati yang kecut perut ini perlukan bukti selain daripada ayat penenang.
"Dari pakaian mereka."
Ooo. Tak keluar bunyi Oh tu sebab bibir aku membulat tanpa suara. Tapi aku angguk banyak kali tanda faham dan puas hati. Kali ini aku tak pandang dengan ekor mata tapi perhati betul-betul dengan mata kepala sendiri. Badan aku berpusing sepenuhnya ke sisi. Setiap kali pasukan berkuda itu tidak dihadang pokok atau penempatan, aku tajamkan penglihatan, cuba merincikan penyataan Iskandar.
"Hana nampak mereka?" Iskandar bertanya.
"Tak jelas," jawabku kehampaan.
Kuda-kuda kesatria Majapahit berlari pantas bagai meluncur di udara mengejar dan mengiringi konvoi dari dataran. Nak menangkap bayang merekapun payah apatah lagi melihat baju yang tersarung di badan mereka sehinggalah aku bertemu dengan kesempatan itu.
"Pada hemat hamba, jikalau Hana berdiri di haluan sekarang, tuan hamba akan dapat melihat pakaian mereka dengan jelas."
Telunjuk Iskandar lurus ke hadapan. Nun jauh di sana, kelihatan seorang penunggang kuda sedang menanti di hujung jeti. Oleh kerana jeti tersebut menganjur sehingga ke tengah sungai, aku sependapat dengan Iskandar. Barangkali imej lelaki itu akan lebih jelas andai jarak di antara aku dan penunggang kuda itu dekat.
Aku bergegas ke hadapan, melangkah besar-besar lalu berdiri di haluan. Mata dah tak berganjak ke arah lain. Lensa mata fokus ke arah siluet kabur yang beransur-ansur berubah ke susuk manusia. Semakin dekat, semakin jelas bentuk tubuh seorang pemuda dan fesyen pakaiannya.
Agak terlambat ketika aku menyedari mainan Iskandar kerana mata aku bergerak secara songsang. Bermula bawah meninggi ke atas. Aku dapat melihat dengan jelas kaki, kain kampuh dan...
Itu sahaja?
Bebola mata hanya mampu bergerak sehala sehingga ke sanggul kecil di kepala pemuda itu tanpa berpatah balik turun ke bawah.
Secara dasarnya, aku sedang membuat pencerapan terhadap penyataan Iskandar. Kaitan di antara pakaian dan identiti. Realitinya, aku nampak macam gadis yang terkinja-kinja tahap nak pecah ovari semata-mata nak tengok lelaki berlengeng.
Hakikat kedua membuatkan tubuh aku serta-merta kejung. Tak satupun anggota aku bergerak hatta bebola matapun terasa kaku. Cepat benar kepanasan menerjah telinga, menyimbah ke wajah. Dalam masa yang singkat, aku boleh rasa wajah memijar hangat.
Tekaan aku, rona merah di muka dah sama naik dengan warna baju kebaya aku.
Di kala itu, hanya seorang sahaja yang boleh nampak jelas riak malu aku.
Lelaki berkuda itu.
Akal sempat berbisik mungkin lelaki itu bukannya nak tengok aku tetapi nak pastikan keselamatan konvoi ini. Dalam teragak-agak, aku angkat muka.
Di kedudukan selari, pandangan kami bertembung. Anak mata dia lurus memanah mata aku.
Damn Hana, it's just your wishful thinking!
Tak mampu menahan lebih banyak malu, aku cepat-cepat tutup mata, membiarkan masa menyelamatkan aku. Mengharapkan jarak mengaburkan wajah memerah aku.
Giler lama detik itu. Setiap saat aku rasa macam jam. Sekadar memastikan keadaan terburuk telah berlalu, aku buka mata dan menoleh ke kanan. Ternyata pandangan lelaki itu masih mengikutiku walau dari kejauhan. Aku lepaskan kelegaan. Kuat nafas berbunyi semasa udara berhembus keluar dari rongga dada.
Belum sempat aku berpusing ke belakang, aku dah dengar hilai ketawa bak penonton pentas Maharaja Lawak Mega peringkat akhir. Panjang, berderai dan berdekah-dekah. Aku genggam erat penumbuk menahan geram. Bercampur dengan marah dan geram, mesti rona merah yang sedia ada di muka aku bertambah memerah.
Iskandar sedang tertunduk-tunduk ketawa ketika aku melintasi lelaki itu bagi mengambil tempat aku semula di buritan. Lekir, Hasan dan Husin memegang perut masing-masing menahan gegak ketawa yang masih berterusan.
Dalam marah, aku tundukkan muka. Malu aku lagi tebal daripada marah. Apabila ketawa lelaki-lelaki itu tak surut-surut, aku pusingkan tubuh menghadap buritan.
"Ciss Iskandar!"
Meluap marah aku. Awal-awal lagi aku dah jadi mangsa buli hulubalang Melaka ini.
Tak sengaja aku dongakkan kepala. Siluet itu makin mengecil tetapi masih tidak berganjak, kekal di tempat yang sama.
Share this novel