BAB 1

Drama Completed 284

Musim kemarau menjengah lagi, debu-debu nipis menari di udara.
Menyenakkan mata dan hidung. Itu belum lagi yang menempel di kulit dan
pakaian. Baki-baki air yang tersisa di permukaan tanah disejat tanpa
tersisa. Kampung Lama dipeluk kepanasan yang membahang.

Tambah buruk apabila bekalan air juga terputus, mungkin kerana sumber
air utamanya sudah kering. Kampung di pendalaman yang mungkin sudah
dilupakan oleh Kerajaan.

Sudah berbulan, namun sebarang bantuan masih belum tiba. Bil telefon
semakin bertambah, bukan kerana bergayut dengan kekasih tetapi kerana
berulang kali menelefon meminta bantuan. Tetap hampa.

Sebuah rumah di Kampung Lama sedang panas, sepanas bahang yang menjilat.

“Sudahlah mak..itu semua sejarah. Orang tak hidup dengan sejarah.” Adib
mencantas.

“Kalau tak ada sejarah, kita tak akan maju. Kita akan terus ulang
kesalahan yang lalu. Sebab sejarahlah kau tahu siapa diri kau,
kegemilangan agama dan bangsa kau.” Lembut emaknya menjawab.

Dia, menjadi sejuk kerana kelembutan suara emaknya itu.

“Itu sejarah lain, ini sejarah perigi buta. Tak payahlah nak diingat
pasal perigi buta tu.” Adib membantah. Dileretkan senyuman mengusik.

“Perigi tu tak buta! Cuma belibisnya yang runtuh. Mata air tertimbus.
Itu saja.”

“Perigi tu kering kontang. Lempar batu habis debu terbang melayang. Tak
payahlah buat kerja sia-sia. Malu kat orang.”

“Kalau kau tak mahu biar mak yang mintak tolong orang kampung.
Payah-payah biar mak sendiri turun ke dasar.” Emaknya masih melipat
kain, namun nadanya seakan merajuk.

“Nanti nak kena sewa pam air pula. Mahu beratus sekali sewa.”

“Susah-susah kau gadai rantai emas emak.”

“Yelah… Yelah.” Adib bingkas bangun, sebaik kakinya melangkah muka
pintu, bahang panas semakin kuat memeluk, namun tidak dipedulikan.
Dihidupkan motosikal dan berlalu pergi, sekali lagi debu-debu yang diam
berterbangan.

“Biar betul kamu Dip… Perigi tu kering masa arwah ayah kau hidup lagi.
Tak payah nak buat kerja gila.” Osman ketawa geli hati, tangannya ligat
mengatur buah-buah dam aji. Kebiasaan pemuda-pemuda kampung di waktu
senggang.

“Kau bukan tak tahu, mak aku. Degil kalah budak kecil. Mahu berdarah
telinga aku selagi tak menurut.” Adib pula ikut ketawa. Geli hati bila
teringatkan rajuk emaknya.

“Ala… Ikutkan saja. Masa dia ada nielah nak ikut kata. Nanti bila dia
padam, kata sapa lagi kau mahu ikut?” Siva pula mencelah.

“Ikut-ikut jugak. Tapi kalau sah-sah, benda tak betul, mengarut dan
sia-sia. Tidak gila namanya tu. Orang kata nak menurut biar pandai, nak
mengikut biar cerdik.” Osman membantah. Geli hatinya bertambah bila buah
damnya memangkah buah Adib.

“Nak atau tidak, kena buat juga. Kalau kerbau dipegang pada tali,
manusia pada janjinya.” Adib berseloroh.

“Kalau begitu kita pakat-pakat kumpul geng. Esok pakat-pakat pergi gali
perigi kat rumah kamu.” Osman membentang cadangan.

“Aku sokong.” Siva mencelah.

“Ok..Kalu begitu kamu berdua kumpul orang. Aku nak ke rumah Kiong pinjam
pam air.

“OK!” Serentak Osman dan Siva menjawab.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience