Balqis menguis nguis pasir di depannya dengan ranting kayu. Sudah lima bulan berlalu sejak dia keluar dari hospital.
Puan Salmah sudah balik ke kampung setelah dua bulan tinggal bersama mereka di rumah agam milik Dato' Rahman.
Kesihatan fizikalnya sudah pulih, namun ingatannya masih belum pulih sepenuhnya. Dia sudah mengingati semua ahli keluarga dan orang orang terdekatnya, namun masih banyak peristiwa dan kejadian yang dia masih belum ingat termasuk apa yang berlaku sebelum dia kemalangan dulu.
Dia juga sudah mengingati Haziq sebagai bekas suaminya namun dia tidak ingat apa yang pernah terjadi di antara mereka kerana setiap kali dia melihat wajah Haziq akan timbul satu perasaan marah dan tidak selesa sehingga pernah satu masa itu dia berfikir, "Terlalu bodohkah aku dulu sampai aku boleh berkahwin dengan lelaki ini?".
Dia pernah menyatakan hal itu dengan Datin Sarimah tetapi Datin Sarimah memberitahu itu hanya sekadar perasaannya sahaja.
Dia memandang ke arah buih buih ombak yang memukul pantai. Berkibar kibar kain tudung bawalnya di tiup sang bayu. Sungguh tenang dia rasakan setiap kali hembusan bayu menerpa tubuhnya. Namun, ada banyak kekosongan yang dia rasakan di dalam hatinya.
Seringkali dia cuba merungkai misteri perasaannya tetapi dia tidak mampu. Kesudahannya, kepalanya akan terasa seperti hendak pecah, sebab itu dia biarkan sahaja semua itu menjadi persoalan.
Dia berdiri dan mengibas punggungnya lalu berjalan di sepanjang tepian pantai sambil memegang seliparnya.
Datin Sarimah hanya memerhati sahaja dia dari balkoni belakang sambil berpeluk tubuh. Sungguh dia bersyukur kerana Allah masih memanjangkan umur Balqis, insan yang dia sayangi seperti anak kandungnya sendiri.
"Assalammualaikum ayah, Aqis mana?" soal Azad.
Setiap hari ketika waktu rehat tengahari dia akan datang ke rumah agam itu untuk menghantar Alif kerana dia yang menawarkan diri untuk menjemput Alif dari sekolah.
Begitu juga pada hujung minggu. Dia akan datang bertandang ke rumah agam itu untuk meluangkan masa bersama dengan wanita yang dicintainya dan kadangkala dia akan membawa Balqis dan Alif keluar berjalan jalan.
"Aqis ada kat pantai tu" jawab Dato' Rahman yang sedang duduk di kerusi santai depan rumah sambil membaca surat khabar.
"Okey Azad pergi dulu ye. Terima kasih ayah" ujarnya lalu melangkah ke arah jalan yang menuju ke pantai.
"Assalammualaikum my love, menungkan apa tu?" sapanya sambil tersenyum.
Balqis menoleh ke sampingnya memandang ke arah Azad dan menguntum senyuman manis.
"Waalaikumsalam. Tak menung apa pun. Aqis suka kat sini, nyaman dan menenangkan" jawabnya sambil memandang ke arah laut.
Azad membuka seliparnya lalu duduk di atasnya. Balqis turut melakukan perkara yang sama.
Kedua dua mereka duduk memandang ke arah laut sambil memeluk lutut.
"Jom keluar jalan jalan. Ajak Alif sekali. Lagipun sekarang kan cuti hujung minggu" cadang Azad.
Balqis menoleh ke arahnya namun tidak memberi respon tentang cadangannya.
"Dah berapa lama kita kenal?" soalnya tiba tiba.
Giliran Azad pula menoleh ke arah Balqis. Dia tersenyum sambil menatap mata bundar milik Balqis yang memandangnya menanti jawapan.
"Kita dah lama kenal. Lebih kurang enam tahun. Kenapa tanya?" soalnya pula.
"Kita pernah bercinta tak?" soalnya lagi.
Sebenarnya sudah lama dia ingin bertanya tentang hal ini dengan Azad.
Azad tersenyum mendengar pertanyaan Balqis.
"Orang tanya dia senyum pula" rajuknya lalu mengalihkan pandangannya ke arah laut.
"Sekarang ni apa perasaan Aqis terhadap Azad?"
Azad memandang wajahnya dari tepi.
"Aqis tak pasti, tapi Aqis rasa selamat setiap kali Azad ada di sisi Aqis. Aqis rasa satu perasaan bahagia setiap kali Azad ada dengan Aqis" jawabnya jujur.
Seperti ada rerama berterbangan di dalam perutnya mendengar jawapan Balqis.
"Aqis nak tahu tak itu apa?" soal Azad yang dari tadi tersenyum bahagia.
Balqis menoleh ke arahnya.
"Apa?" soalnya dengan dahi berkerut.
"Itulah cinta" jawab Azad dengan senyuman yang masih terlakar di bibirnya.
"Jadi, kita memang bercinta ke sebelum Aqis accident?" soalnya polos.
"Sebenarnya kita dah nak nikah pun sebelum Aqis kemalangan, tapi sudah tertulis kejadiannya macam ni. Kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan. Azad tak kisah tunggu sampai Aqis pulih dan sampai Aqis bersedia" ujarnya berubah serius memandang Balqis.
Balqis melepaskan keluhan kecil.
"Tapi Haziq cakap, Aqis cintakan dia".
Berderau darah Azad mendengarnya.
"Dia cakap macam tu ke?" soal Azad.
Balqis mengangguk.
"Habis tu Aqis rasa?" soalnya lagi.
"Aqis tak rasa macam tu pun. Setiap kali Aqis tengok dia, Aqis tiba tiba rasa nak marah dan sakit hati tapi tak tahu kenapa" tuturnya sambil mengerutkan dahi.
Azad tersenyum.
"Perasaan Aqis dah jelaskan. Dahlah, tak perlu fikir sangat pasal tu, yang penting Azad akan sentiasa ada di sisi Aqis dan jaga Aqis seumur hidup Azad" ujarnya sambil tersenyum.
"Dah jom, matahari dah panas ni".
Azad berdiri lalu memakai seliparnya. Dia mengerling jam di tangannya. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 8 pagi.
"Mari sarapan dulu" Panggil Datin Sarimah setelah melihat Azad dan Balqis yang baru masuk ke dalam rumah.
"Papa!" Alif yang baru turun dari tangga berlari menuju ke arah Azad setelah perasan dengan kehadirannya.
Azad memeluk Alif dan mengusap kepalanya. Sejak Balqis keluar dari hospital dulu, Alif sendiri yang meminta untuk memanggilnya papa.
Ketika di hospital dulu, Alif tidak mahu bermanja dengan ayahnya kerana merajuk. Merajuk kerana ayahnya sudah lama tidak datang menjenguknya di rumah.
Sejak Balqis keluar dari hospital pula, pernah beberapa kali Haziq membawa Alif keluar berjalan jalan, namun dia tidak menyukai Intan yang selalu bercakap kasar dengannya. Sebab itu dia akan menolak setiap kali Haziq mahu membawanya keluar.
"Alif ajak papa sarapan dulu" kata Datin Sarimah melaung dari ruang makan.
"Papa jom makan" kata Alif sambil menarik tangan Azad.
Balqis hanya tersenyum melihat kemesraan mereka berdua.
Malam itu selepas makan malam, Balqis menyertai Datin Sarimah dan Dato' Rahman yang sedang berborak di ruang tamu.
"Ayah, Aqis ingat nak mula kerja dah lah. Bosan pula duduk lama lama kat rumah" kata Balqis setelah melabuhkan punggungnya di sebelah Datin Sarimah. Dia memaut lengan sambil menyandarkan kepalanya di atas bahu Datin Sarimah. Datin Sarimah mengusap kepalanya yang ditutupi selendang.
Dato' Rahman memandang wajah Balqis dengan kerutan di dahi.
"Aqis betul betul dah sihat ke ni?" soal Dato' Rahman.
"Aqis dah sihat lah ayah. Lama lama terperuk kat rumah ni, Aqis rasa macam nak sakit pula" ujarnya sambil tersengih.
Dato' Rahman seperti sedang memikirkan sesuatu.
"Bolehlah ayah" pujuk Balqis.
"Hm, okey. Tapi buat masa ni ayah belum benarkan Aqis memandu. Biar Pak Rodi yang jadi driver Aqis. Kalau Aqis setuju, baru ayah setuju" kata Dato' Rahman meletakkan syarat.
Sebenarnya dia masih risau kerana takut kejadian sama berulang memandangkan suspek belum ditangkap sampai sekarang.
"Okey Aqis setuju" Laju sahaja Balqis menjawab.
"Bila Aqis nak mula kerja?" soal Dato' Rahman.
"Esoklah. Kan esok hari Isnin" jawab Balqis.
"Okeylah kalau macam tu" kata Dato' Rahman.
"Kalau Aqis penat, jangan paksa diri tau" pesan Datin Sarimah.
"Mama jangan risau lah. Aqis okey" kata Balqis lalu memeluk dan mencium pipi Datin Sarimah.
"Aqis naik dulu ye mama, ayah. Selamat malam" ujarnya tersenyum lalu berdiri dan melangkah menuju ke tangga.
Datin Sarimah menggelengkan kepalanya sambil memerhati langkah Balqis.
Keesokan harinya, selepas menghantar Alif ke sekolah, Pak Rodi menghantar Balqis pula ke pejabat.
"Aqis! Aku rindu sangat kat kau!" Azlin meluru ke arah Balqis dan memeluknya tanpa mempedulikan mata mata yang memandang mereka.
Terkebil kebil matanya kerana terkejut dengan tindakan spontan Azlin. Selama dia di hospital dulu, Azlin dan Fazura sering datang melawatnya dan tidak mengambil masa yang lama untuk Balqis mengingati mereka semula.
"Kau ni agak agak lah. Tunggulah aku masuk bilik dulu" kata Balqis perlahan dan meleraikan pelukan mereka. Dia memandang ke arah semua staf yang memandangnya tadi dan berpura pura meneruskan kerja.
Balqis melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya dan mengamati segenap ruangan bilik itu.
"Kau ingat juga bilik kau kan?" soal Azlin sambil tersenyum.
Balqis tergelak mendengarkan kata kata Azlin.
"Sebenarnya aku tanya ayah aku pagi tadi" jawab Balqis lalu duduk di kerusinya. Dia meramas permukaan mejanya dan menarik laci meja. Semua barang di dalam biliknya tersusun kemas.
"Siapa duduk kat bilik ni selama aku takda?" soal Balqis kepada Azlin.
"Takda. Tapi aku selalu masuk duduk kat kerusi kau sebab aku rindukan kau" ujarnya terus terang.
Balqis memandang ke wajah Azlin.
"Tapi jangan risau sebab aku juga yang selalu bersihkan habuk kat bilik kau" ujarnya lagi sambil tersengih.
Tidak lama kemudian, pintu biliknya diketuk. Belum sempat Balqis memberikan arahan masuk, daun pintu sudah di tolak.
"Aqis!"
Fazura meluru ke arahnya dan terus memeluknya dari sisi.
Azlin tergelak melihat Balqis tercungap cungap kehilangan nafas.
"Kau tak bagitahu pun nak masuk kerja hari ni" kata Fazura meleraikan pelukannya sambil memuncungkan mulut.
"Baru je semalam aku pujuk ayah aku supaya benarkan aku datang pejabat" jawab Balqis sambil tersenyum.
"Kau dah betul betul okey ke ni?" soal Fazura sambil membelek wajah Balqis.
"Aku dah okey lah. Thanks kat korang berdua tau sebab dari dulu caring dengan aku" ujar Balqis.
"Kita kan bff" serentak Fazura dan Azlin menjawab lalu ketawa.
"Oh ya, kita ada pertukaran pekerja bahagian marketing, baru masuk dua minggu lepas" kata Azlin.
"Tukar dengan siapa?" soal Balqis.
"Dengan Raudah" jawab Fazura menyampuk.
"Kejap aku panggil dia" kata Azlin lalu keluar.
Tidak lama kemudian, Azlin masuk dengan seorang lelaki dan lelaki itu terus berdiri di depan meja Balqis.
"Selamat pagi Cik Balqis, saya Norman" sapanya dengan gaya profesional.
"Selamat pagi" jawab Balqis.
Dia merenung wajah lelaki di depannya dengan seribu satu kerutan di dahi.
"Kita pernah jumpa ke?" soal Balqis.
Share this novel