Bab 1

Romance Completed 170389

"AQIS, tak sarapan dulu ke?" soal Datin Sarimah melihat Balqis sedang tergesa-gesa menuruni anak tangga.

"Nanti Aqis sarapan kat luar je, ma. Dah lewat ni. Alif mana?" soalnya sambil melilau-lilau mencari kelibat anaknya.

"Pak Rodi dah hantar Alif ke sekolah tadi. Mama ketuk pintu bilik panggil Aqis tadi, tapi tak ada respond," jawab Datin Sarimah.

"Maaf mama, Aqis betul-betul tak dengar. Bunyi alarm pun Aqis tak dengar. Aqis lewat tidur semalam sebab nak siapkan kerja," ujarnya lantas menyalami Datin Sarimah sebelum dia melangkah laju menuju ke pintu utama.

Kalau bukan sebab dia tidur balik selepas solat subuh tadi, tidaklah dia terlewat bangun macam ni.

Datin Sarimah hanya mampu menggeleng dan memerhati Balqis sehingga dia menghilang di sebalik pintu.


Balqis memberhentikan keretanya kerana lampu trafik sedang menyalakan lampu merah. Dia memandang dereten kedai di depan dan pandangannya terus tertumpu kepada seorang kanak-kanak perempuan yang sedang makan aiskrim berpimpin tangan dengan ibunya. Agak lama dia memerhati dua beranak itu.

Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman. Senyuman yang terselit dengan kesedihan dan rasa terkilan yang tiba-tiba hadir menggamit jiwa. Matanya dipejam buat beberapa saat sambil melepaskan keluhan berat.

Ponn! Ponn!

Bunyi hon kereta di belakangnya membuatkan dia tersentak. Bukan main luas lagi matanya terbeliak kerana terkejut. Tanpa membuang masa, dia terus memulakan pemanduannya menuju ke syarikat fabrik tempat dia bekerja selepas dia melihat lampu trafik sudah bertukar hijau.

Sedang ralit menyemak butiran di dalam fail di atas mejanya, pintu biliknya diketuk.

"Masuk!" laung Balqis dari dalam tanpa memandang pintu. Matanya fokus bersilih ganti pada skrin komputer dan butiran yang tertera pada kertas yang dipegangnya.

"Selamat pagi Cik Balqis," ucap Rozita yang merupakan pekerja yang bertugas sebagai pereka corak di syarikat itu.

"Selamat pagi, duduklah," balas Balqis bersama dengan secalit senyuman di bibirnya. Pandangannya kini difokuskan pada wajah wanita cantik yang tampak elegan dengan pakaian kasual yang sedang berdiri di depannya.

"Terima kasih, Cik Balqis." Rozita melabuhkan punggungnya, lalu dia membuka sebuah fail berkulit keras yang dibawanya. "Cik Balqis, ni beberapa sample corak terbaru yang cik minta hari tu. Cik tengoklah dulu. Hari tu, Cik Balqis minta tiga je, kan? Saya sengaja buat enam. Cik Balqis pilihlah mana yang cik berkenan untuk tunjuk kat Tuan CEO." Fail yang dipegangnya lantas diletakkan di depan wanita cantik yang memakai tudung shawl jenis satin itu.

Balqis mencapai fail tersebut lalu dibuka. Terherot-herot bibirnya ketika dia memeriksa satu per satu kain contoh berbeza corak yang dipegangnya.

"Baiklah Cik Balqis, kalau macam tu, saya keluar dulu" kata Rozita meminta diri.

Tidak lama kemudian, Balqis berdiri lalu dia keluar dari biliknya menuju ke bilik CEO syarikat fabrik tempat dia bekerja itu. Setelah mendengar arahan menyuruhnya masuk, dia terus membuka pintu dan masuk ke dalam.

"Selamat pagi, dato'. Ni contoh corak terbaru yang baru dihasilkan oleh pereka kita. Dato' tengoklah dulu mana yang berkenan nanti saya akan hantar contoh ni ke kilang dan maklumkan dengan pihak kilang untuk mulakan proses cetak dan pengeluaran," ujarnya setelah dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

Dato' Rahman membuka cermin matanya dan meletakkannya di atas meja, lalu lelaki berusia separuh abad yang masih kacak itu tiba-tiba ketawa.

"Tak perlulah nak formal sangat. Bukannya ada orang lain kat sini pun," kata Dato' Rahman yang masih dengan sisa tawanya.

"Alah, ayah ni! Tak sportinglah," ujar Balqis dan turut ketawa memandang lelaki kesayangannya itu.

Kalau bukan sebab Dato' Rahman dan isterinya yang membantu dan memberikannya perlindungan, mana mungkin dia sampai ke tahapnya sekarang.

TUJUH TAHUN LEPAS.

Datin Sarimah menuju ke kaunter untuk membayar barangannya di troli, namun terhalang oleh seorang gadis muda bertudung yang sedang sarat mengandung sedang bercakap dengan pekerja di kaunter pembayaran. Dia mendengar setiap butiran perbualan gadis itu dengan pekerja kaunter.

"Tolonglah kak. Saya betul-betul perlukan kerja sekarang. Kak... tolonglah," rayu gadis muda yang tengah sarat mengandung itu.

"Maaf, dik... akak tak dapat tolong. Kalau adik tak mengandung mungkin akak boleh tolong. Maaf ya dik," balas pekerja kaunter tersebut.

Gadis itu kemudian berlalu dari situ dengan muka kecewa dan runsing. Datin Sarimah mengerutkan dahinya memerhati gadis itu dari belakang dengan perasaan simpati.

Ketika Datin Sarimah sedang berjalan menuju ke kereta, dia terpandang gadis tadi sedang duduk bersandar di tepi dinding bangunan kedai sambil mengusap perutnya yang memboyot. Ada satu beg kain di sebelah gadis itu. Timbul rasa simpatinya melihat gadis tersebut. Dia mengambil keputusan untuk menghampiri gadis itu dan menyapanya.

"Assalamualaikum dik, adik tinggal kat mana?" soal Datin Sarimah.

Gadis tadi mendongak dan memandangnya. "Waalaikumussalam. Err... sebenarnya saya sedang cari bilik sewa tapi belum jumpa lagi," jawabnya jujur.

"Siapa nama adik?" soal Datin Sarimah lagi.

"Nama saya Balqis mak cik."

"Dah nak gelap ni. Apa kata Balqis ikut mak cik balik ke rumah? Bahaya kat luar sorang sorang ni, apalagi dalam keadaan Balqis yang sedang mengandung ni. Kesian baby kat dalam tu," ujarnya prihatin.

"Tak menyusahkan ke?" soal Balqis.

"Tak menyusahkan pun, lagipun mak cik tinggal berdua je dengan suami kat rumah tu, tapi ada bibik juga," balas Datin Sarimah sambil tersenyum mesra.

"Patutlah lambat, kat sini rupanya," tegur satu suara dari belakang.

Dua orang wanita itu serentak menoleh.

"Ni bang, kesian budak ni. Dia tengah cari bilik sewa tapi belum jumpa. Dah nak gelap ni. Kesian pula kalau budak ni tidur kat luar dalam keadaan macam ni. Kita bawa dia balik ye, bang?" kata Datin Sarimah dengan nada memujuk lalu dia memegang lengan suaminya berharap agar lelaki itu bersetuju dengan cadangannya.

Dato' Rahman memerhati gadis itu dan dia perasan gadis itu sedang mengandung. Terbit rasa simpatinya. Lagipun, apa salahnya jika dia menumpangkan gadis itu untuk seketika waktu.

"Haa, jomlah," kata Dato' Rahman, lalu dia membantu gadis tadi membawa beg pakaiannya ke kereta.

Sesampai sahaja di kediaman mereka, Datin Sarimah menyoal Balqis bermacam-macam soalan kerana tertanya-tanya kenapa gadis itu ada di luar seorang diri dengan beg pakaian. Mengandung pula tu.

Balqis pun menceritakan segala-galanya kepada pasangan itu.

Atas dasar simpati dan selepas berbincang, pasangan suami isteri itu bersetuju untuk mengambil Balqis sebagai anak angkat. Lagipun, mereka tidak mempunyai anak.

Selepas bersalin dan habis berpantang, Dato' Rahman mencadangkan supaya Balqis melanjutkan pelajaranya memandangkan usianya masih terlalu muda. Dato' Rahman menawarkan diri untuk menanggung segala kos pembiayaan pengajiannya nanti.

Setelah tamat pengajian, Dato' Rahman menawarkannya pula untuk bekerja di syarikatnya.

Selama tempoh tujuh tahun tinggal bersama mereka, Balqis sudah menganggap mereka sama seperti orang tua kandung sendiri. Terlalu banyak jasa mereka kepadanya.

Bunyi petikan jari di depan wajahnya membuatkan Balqis tersentak daripada lamunannya.

"Menungkan apa tu?" soal Dato' Rahman sambil tersenyum.

"Fikir pasal sample nilah," bohongnya sambil menjuihkan bibirnya ke arah fail di atas meja. "Hmm, okeylah yah, Aqis keluar dulu. Nanti lepas rehat, Aqis bawa sample ni pergi ke kilang," ujarnya lalu berdiri dan keluar dari bilik itu melangkah menuju kembali ke biliknya.

Krkrkrkkkrkrkrk!

Balqis yang sedang duduk mencatat sesuatu di atas kertas di mejanya terus memegang perutnya. Baru dia teringat yang dia belum makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Dia mengerling jam tangannya. "Baru pukul 10.00 pagi," desisnya.

Dia terus berdiri dan keluar menuju ke bilik pantri. Diselongkarnya almari kecil yang ada di dalam pantri tersebut dan hanya ada beberapa pek Milo dan biskut kering yang ditemuinya.

"Ah, bolehlah. Janji ada isi perut."

Dia segera membancuh air Milo dan menikmatinya bersama biskut kering yang ditemuinya di dalam almari tadi.

Tiba-tiba, pintu bilik pantri terbuka.

"Kau tak sarapan ke tadi?" soal Azlin sambil mengerutkan dahinya memandang Balqis.

"Aku lewat bangun. Semalam dekat jam dua pagi dah aku tidur sebab nak siapkan report, tau tak?" jawab Balqis sambil menyuapkan biskut yang baru dicelupnya di dalam air Milo ke dalam mulutnya.

"Haa tulah. Tidur lagi lepas subuh," ejek Azlin.

Balqis hanya mencebikkan bibirnya sambil meneruskan suapannya.

Azlin merupakan orang pertama yang menegurnya ketika hari pertama dia masuk kerja di situ. Sejak itu, mereka menjadi teman rapat namun tiada sesiapa pun di situ yang mengetahui status Balqis termasuk Azlin.

Setelah menghabiskan air milonya, dia kembali semula ke biliknya untuk menyambung kerjanya yang bertimbun. Begitulah rutin hariannya yang sentiasa sibuk dengan kerja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience