Bab 2

Romance Completed 170389

BALQIS mengangkat kedua-dua tapak tangan ke atas dahi memayungi wajahnya untuk menghalang sinaran mentari yang menyilaukan pandangan matanya.

Dia memanjangkan lehernya memandang ke arah puluhan kanak-kanak yang jalan berhimpit keluar dari pagar sekolah.

Dalam kesesakan kanak-kanak yang sedang berlumba-lumba hendak pulang itu, seorang kanak kanak melambaikan tangan sambil tersenyum kepadanya.

"Ibu!" kanak-kanak tersebut meluru ke arahnya dan lantas menyalami dan memeluk dirinya.

Sudah menjadi kebiasaan dia akan menjemput anaknya balik dari sekolah setiap hari, kecuali jika keretanya rosak.

"Alif belajar apa kat sekolah tadi?" soal Balqis sambil memandang sekilas anaknya setelah pemanduan dimulakan.

"Alif belajar pasal adab dengan orang tua. Cikgu cakap, kita mesti patuh dan hormat dengan ibu bapa. Tapi... Alif kan cuma ada ibu, jadi Alif kena patuh dengan ibu sorang jelah, kan?" ujar Alif yang baru berusia tujuh tahun tetapi sangat petah berkata-kata.

Balqis membungkam buat seketika. "Alif jangan lupa tok ayah dengan tok ma. Kan diorang pun orang tua juga. Kita kena hormat dengan semua orang tua tak kira siapapun, okey?"

"Okey... tapikan bu, ayah Alif mana?" soalnya sambil mengerutkan dahi memandang ibunya yang sedang fokus dengan pemanduan.

Balqis tidak terkejut dengan soalan yang diajukan oleh anaknya sebentar tadi, kerana dia sudah menjangka yang satu hari nanti, anaknya itu pasti akan bertanyakan tentang hal tersebut, cuma dia tidak menjangka pula Alif akan bertanyakan tentang hal itu sekarang.

Balqis masih membungkam, tidak tahu ayat apa yang sesuai untuk menjawab pertanyaan kanak-kanak sekecil itu.

"Err, Alif nak makan aiskrim tak? kita singgah kat kedai Tok Din beli Cornetto favourite Alif tu nak?" Balqis cuba mengalihkan perhatian anaknya daripada soalan tadi.

"Nak, nak, nak! Alif nak yang perisa coklat," jawab anak kecil berbulu mata panjang dan lentik itu sambil bertepuk tangan kerana teruja.

Balqis tersenyum melihat tingkah anaknya disusuli dengan keluhan kecil.

Setelah menghantar Alif balik ke rumah, dia memandu menuju ke pejabat semula. Niatnya hendak terus ke kilang tadi, tetapi dia terlupa pula contoh kain di bilik pejabatnya.

"Eh Qis, ingatkan dah pergi ke kilang tadi," tegur Dato' Rahman yang baru hendak masuk ke dalam biliknya.

"Ingatkan nak terus pergi tadi, yah, tapi Aqis lupa ni," balasnya sambil menjuihkan bibir ke arah fail di tangannya.

"Haaa, yelah. Hati-hati memandu," pesan Dato' Rahman sebelum dia masuk ke dalam bilik pejabatnya.

Sepanjang perjalanannya menuju ke kilang, dia asyik memikirkan tentang soalan Alif tadi. Bagaimana dia hendak menjawab soalan anaknya itu, sedangkan dia sendiri pun tidak tahu dimanakah keberadaan suaminya sekarang. Entah hidup lagi atau sudah meninggal, dia pun tidak tahu. Sebab dan alasan dia ditinggalkan begitu sahaja pun dia tidak tahu.

Kali terakhir dia berjumpa dengan suaminya di hotel bajet, suaminya tiba-tiba berpesan supaya dia menjaga diri. Bodohnya, dia tidak mengesyaki apa-apa langsung pada ketika itu.

Selepas pertemuan itu, mereka sudah tidak pernah berjumpa lagi. Nombor lelaki itu sudah tidak dapat dihubungi dan yang lebih parah, dia juga sebenarnya tidak pernah mengetahui di mana rumah suaminya.

Sejak mereka berkenalan di sekolah menengah dulu, suaminya tidak pernah langsung membawanya ke rumah.

Selepas bernikah secara rahsia di sempadan dulu pun, mereka hanya akan berjumpa di hotel bajet untuk melepaskan rindu.

Semakin difikirkan, semakin sakit hatinya. Sakit hati memikirkan kebodohannya yang suatu ketika dulu pernah mempercayai kata-kata cinta daripada seorang lelaki sehinggakan dia sanggup membelakangkan keluarganya.

Usianya yang masih mentah dan naif pada ketika itu membuatkan dia tidak berfikir panjang dan akhirnya dia sendiri yang menjadi mangsa atas tindakan akal pendeknya. Semuanya atas dasar cinta.

"Cinta? Ceh, kesian! Cinta kau tak pernah wujudlah Qis! Kau memang bodoh sebab percayakan cinta kau tu dulu!" Balqis menggumam memarahi dirinya sendiri.

Malam itu, setelah dia memastikan Alif sudah tidur, dia menuju ke balkoni yang menghadap pantai. Walaupun dia tidak mampu melihat pantai pada ketika ini, angin laut yang bertiup lembut, terasa dingin menerpa tubuhnya.

Bunyi ombak laut menghempas pantai yang jelas kedengaran, terasa sangat mendamaikan hati. Balqis menarik nafas dalam-dalam sambil menutup mata.

Dia mengatur nafasnya dan cuba menenangkan fikirannya yang sejak siang tadi serabut dan kusut kerana satu soalan yang terpacul dari mulut anaknya.

Matanya ditutup semakin erat cuba untuk mengusir segala kenangan lalu yang kini kembali bermain di fikirannya seperti tayangan filem. Kenangan yang sudah bertahun-tahun lamanya dia cuba untuk tidak ambil peduli lagi.

Kalau boleh biarlah kenangan itu tersimpan rapi di dalam kenangan masa lalunya tanpa mengintainya walaupun sekali. Dia sangka dia mampu, ternyata fikiran dan perasaan kadangkala ada waktunya tidak seiring.

"Qis, abang janji akan jaga Aqis dan cinta Aqis sampai ke hembusan nafas abang yang terakhir." Haziq menggenggam erat tangan Balqis ketika mereka sedang berjalan keluar dari masjid di sempadan. Mereka baru sahaja sah menjadi suami isteri 15 minit yang lalu.

Balqis melakar senyuman bahagia pada wajah cantiknya. Hari itu mereka tidak terus balik, tetapi mereka mengambil keputusan untuk menginap di sebuah hotel kecil selepas berbincang.

"Abang nak mandi dulu ke?" soal Balqis.

"Kita mandi sama-sama jom?" ajak Haziq sambil menjongket-jongketkan keningnya bersama dengan senyuman nakal.

Balqis menunduk sambil tersipu malu. Hari ini merupakan pertama kali di dalam seumur hidupnya berada sebilik dengan lelaki. Selama ini dia cukup menjaga batas dirinya walaupun mereka sudah lama bercinta.

"Abang mandilah dulu."

Haziq masih tersenyum nakal memandang wajah cerah isterinya yang sedang merona merah.

"Cepatlah! nanti lewat nak solat asar ni," kata Balqis sambil menolak tubuh Haziq masuk ke dalam bilik air, tetapi Haziq sengaja mengeraskan tubuhnya dengan niat hendak mengusik isterinya, namun dia akur selepas satu tamparan hinggap di bahunya.

Setelah selesai mandi, Haziq keluar dari bilik air. Dia memandang isterinya yang masih lengkap memakai baju kurung dan tudung yang dipakainya ketika akad nikah tadi dan sedang duduk di hujung katil.

Dia menghampiri Balqis dan dia berdiri tepat di depan isterinya. Tertunduk malu wanita itu kerana segan melihat tubuh suaminya yang hanya bertuala tidak berbaju itu.

"Qis." Haziq memanggil lembut sambil menarik tangan Balqis sehingga sekujur tubuh ramping dan tinggi itu berdiri. Pipi mulus isterinya dielus lembut, lalu perlahan-lahan dia membuka tudung yang bersarung di kepala Balqis.

Balqis tidak menepis tindakan lelaki itu. Auratnya yang selama ini dijaga elok, akhirnya ditayang dengan hati yang rela kepada seorang lelaki yang kini sudah halal baginya itu.

Haziq tergamam sebaik sahaja tudung isterinya dibuka.

"Cantiknya isteri abang." Spontan perkataan itu terpacul dari mulutnya memuji kecantikan dan keindahan makluk ciptaan Tuhan di depannya.

"Abang... abang solatlah dulu," ujar Balqis sambil menunduk. Wajahnya terasa membahang kerana malu direnung.

"Eh, haah kan... tapi, eh, aduh! dah batal pula wuduk abang." Haziq menepuk dahinya lalu dia berpaling menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Balqis memerhati suaminya masuk ke dalam bilik air sambil menggeleng dan tersenyum.

Setelah Haziq keluar dari bilik air, giliran Balqis pula mandi. Dia mengambil tuala dan membawa terus persalinannya masuk ke dalam bilik air.

"Jangan lama-lama tau, kita solat berjemaah," pesan Haziq sebelum isterinya menghilang di sebalik pintu bilik air.

"Bang, Aqis mengantuk sangat-sangat. Boleh tak kalau Aqis tak ikut abang keluar? Aqis nak tidur sekejap," kata Balqis yang sudah menghenyakkan tubuhnya di atas tilam. Matanya kuyu kerana terlalu mengantuk.

"Apa pula tidur waktu asar ni... tak elok," tegur Haziq yang sedang bersiap hendak keluar membeli makanan kerana mereka belum makan tengahari lagi. Perutnya sudah berhalilintar kelaparan.

"Alaa, bang. Kejap je, asal dapat lelap 15 minit pun, cukuplah."

"Hmm, yelah. Abang keluar sekejap je ni. Jangan buka pintu kalau ada orang ketuk. Abang bawa kunci ni," pesan Haziq sebelum dia keluar dari bilik sederhana luas itu.

Malam itu, hilanglah status perawan dan teruna masing-masing. Suasana romantis mereka ditempuhi dengan hati kedua-duanya yang sarat dengan rasa cinta yang sudah lama disemai dan dibaja.

"I love you Aqis." Haziq membisikkan kalimah cinta itu di telinga Balqis dengan suara tenggelam timbul.

Balqis sudah tidak mampu menjawab. Hanya anggukan dalam keadaan mata separuh tertutup sahaja yang mampu dia berikan kerana terbuai dengan aktiviti mereka yang sedang berlangsung.

Haziq rebah di atas tubuh Balqis sambil melepaskan keluhan lega. Dia kemudian berbaring di samping insan yang dicintainya itu. Sempat dia terpandang tompokan darah di atas cadar tadi.

Nafas kedua-duanya masih kencang. Dada masing-masing kelihatan berombak-ombak kerana kepenatan seperti baru selesai berlari mengelilingi padang.

Haziq mencapai tangan isterinya, lalu dikucup buat beberapa saat. "Abang sayang Aqis tau. You are the first and the last," luah Haziq sambil mengeratkan lagi pelukannya di tubuh tanpa seurat pun benang itu di sebalik kain selimut.

"I love you more, bang. Aqis sayang abang juga. Sayang sangat-sangat," ujar Balqis dengan muka bersungguh-sungguh dan turut mengeratkan lagi pelukannya di tubuh lelaki yang telah berjaya mencuri hatinya dan kini telah bergelar suaminya. "Jangan tinggalkan Aqis tau!"

"Hisy, kenapa cakap macam tu! Abang takkan tinggalkan Aqislah. Mana mungkin abang akan tinggalkan cinta hati abang ni," balas Haziq sambil mencubit manja hidung mancung isterinya bersama dengan senyuman bahagia yang terlakar di wajahnya.

Angin yang bertiup kuat menerpa wajah dan bahagian tubuhnya yang terdedah membuatkan lamunannya terhenti.

"Aku... aku benci kau!" gumamnya sambil mengetap gigi. Sejujurnya sejak dulu lagi, dia seringkali cuba untuk tidak mengingati kenangannya yang menyesakkan dada, namun otaknya tidak mahu memberikan kerjasama. Kesudahannya, dia sendiri yang sakit hati.

Share this novel

DHIA AMIRA
2022-10-09 06:04:16 

lama xmkn cornetto ...


NovelPlus Premium

The best ads free experience