PAGI itu, Balqis membantu Mak Siti menyediakan sarapan di dapur. Mak Siti sudah melarangnya, namun dia tetap berdegil. Itulah Balqis, sejenis manusia yang tetap dengan pendiriannya.
Sementara Balqis mengacau mihun di dalam kuali, Mak Siti pula menyediakan air, manakala Datin Sarimah sedang duduk bersembang dengan suaminya di meja makan.
Mereka bersarapan bersama-sama seperti biasa. Mak Siti dengan suaminya iaitu Pak Rodi turut serta makan bersama mereka di meja makan. Sejak mereka mula bekerja di rumah agam itu, Datin Sarimah pasti akan mengajak suami isteri itu makan bersama mereka.
Seusai bersarapan, mereka terus menuju ke halaman belakang dan duduk di dalam pondok di dalam taman kecil yang dipenuhi dengan bunga-bunga kesayangan Datin Sarimah untuk bersembang.
Balqis dan Datin Sarimah tersenyum melihat Alif dan Pak Rodi yang sedang bermain kejar-kejar dengan senapang mainan. Alif sememangnya manja dengan Pak Rodi sejak umurnya setahun lagi.
"Alif ada tanya mama pasal ayah dia kelmarin." Datin Sarimah memecahkan kebisuan di antara mereka.
Balqis yang sedang fokus memandang anaknya bermain terus menoleh. "Jadi, apa mama jawab?" soalnya disusuli dengan keluhan panjang.
"Mama cuma cakap yang ayah dia sibuk kerja kat tempat jauh," jawab Datin Sarimah sambil merenung wajah Balqis. "Aqis tak nak cuba cari lagi ke?"
"Aqis dah puas cari dia dulu, ma… masa Aqis dapat tahu Aqis mengandung, tapi Aqis hilang arah tak tahu mana nak cari. Sekarang ni, hati Aqis dah tertutup. Tak terfikir lagi nak cari," luah Balqis sambil menekur permukaan meja bulat di dalam pondok itu.
"Kenapa tak pergi ke mahkamah je?" Soal Datin Sarimah. Dia sebenarnya tertanya-tanya juga selama ini kenapa Balqis tidak membuat aduan sahaja dengan pihak berwajib.
Balqis mendongak. Wajah wanita kesayangannya itu direnung dengan muka tenang. "Kalau betul dia dah tak nakkan Aqis, Aqis nak dia lafaz sendiri, ma. Kalau tak pun, Aqis akan failkan cerai bila dia dah ada depan mata, itupun kalau dia masih hidup."
"Tapi dah tujuh tahun, Qis. Sampai bila nak tunggu? Tu Alif tu, kesian dia tak pernah dapat kasih sayang daripada seorang ayah. Tempoh hari ayah ada bagitau mama, Farhan ada cakap dengan ayah pasal dia nak lamar Aqis. Tapi Aqis sedarkan status Aqis?" tuturnya panjang lebar.
Farhan merupakan pengurus di kilang kain mereka. Sememangnya Balqis dan Farhan sangat rapat, namun ada sesuatu yang menghalang mereka daripada meneruskan hubungan itu untuk pergi lebih jauh. Dia masih sedar tentang statusnya, tetapi entah sampai bila dia harus merahsiakan statusnya daripada semua orang.
Balqis melepaskan keluhan panjang. Sejujurnya, dia masih berharap agar suaminya masih hidup supaya dia boleh berdepan dengan lelaki itu. Dia hanya perlukan jawapan kepada persoalan kenapa dia ditinggalkan dan dia hendak menamatkan hubungan mereka yang sudah lama tergantung. Itu sahaja.
SEPERTI biasa, Balqis menghantar Alif ke sekolah. Ketika dalam perjalanan menuju ke pejabat, sebuah kereta memotongnya. Serta merta dahinya berkerut selepas dia melihat pemandu kereta itu sekilas pandang melalui cermin bahagian pemandu yang terbuka.
Perasaan aku je kot. Lantas dia membelok ke kiri untuk singgah sebentar di pasar raya untuk membeli makanan khusus untuk di bilik pantri.
Sebaik sahaja dia keluar dari kedai, dia terpandang sosok tubuh pemandu yang memotong keretanya tadi baru masuk ke dalam kereta yang berparkir tidak jauh dari tempat dia berdiri. Niatnya hendak melihat pemilik kereta itu dengan lebih dekat lagi, tetapi niatnya terbantut kerana kereta itu sudah memecut pergi.
Hisy, tak mungkin dia! Balqis terus masuk ke dalam keretanya dan memulakan pemanduan menuju ke pejabat.
"Qis, kita ada tetamu."
Balqis menoleh. Tidak jadi dia memulas tombol pintu biliknya. "Siapa, yah?"
"CEO dari syarikat Crowns Cooperation. Dia datang nak bincang pasal nak ambil syarikat kita jadi supplier diorang. Jomlah, dia tunggu dalam bilik ayah tu," kata Dato' Rahman.
"Kenapa CEO dia datang sendiri? kenapa dia tak hantar wakil je?" soal Balqis sambil mengerutkan dahinya.
"Tak pastilah. Mungkin dia tak harap pekerja dia kot. Dahlah, jom pergi ke bilik ayah."
"Okey, sekejap. Aqis pergi ambil fail dulu," ujar Balqis lalu dia masuk ke dalam biliknya dan dia keluar semula selepas mengambil apa yang dia perlukan.
"Qis! kau dah jumpa dengan CEO Crowns tu ke?" soal Azlin yang tiba-tiba meluru ke tempatnya.
"Belum lagi, kenapa?" soal Balqis dengan lagak bersahaja.
"Aku ingatkan asal CEO ni orang tua tau, tapi CEO yang ni muda lagi... handsome pulak tu," kata Azlin sambil memegang kedua-dua belah pipinya dengan muka teruja.
"Hisy, gedik! dah kalau handsome, kau pergilah mengurat. Kau kan pandai bertukar jadi buaya betina," ujar Balqis sambil ketawa kecil. "Dah, dah dah! pergi sambung kerja. Aku ada meeting kat bilik dato' ni."
"Dengan CEO handsome tu ke?" soal Azlin.
Balqis hanya tersenyum sambil menjongket-jongketkan keningnya, lalu dia terus melangkah menuju ke bilik Dato' Rahman yang hanya berjarak tiga meter dari kedudukannya.
Azlin memerhati Balqis sehingga rakan baiknya itu memegang tombol pintu.
"Jangan jealous tau," ujar Balqis dengan nada berseloroh sebelum dia memulas tombol pintu dan terus masuk ke dalam.
"Eleh! macamlah aku jealous! Hmm... tapi jealouslah juga sikit," ujar Azlin sendirian, lalu dia terus kembali ke meja kerjanya.
"Haa, tu Pegawai Pemasaran kami dah datang," kata Dato' Rahman sambil tersenyum sebaik sahaja Balqis masuk ke dalam biliknya yang serderhana luas.
Lelaki yang sedang duduk berhadapan dengan Dato' Rahman itu pun terus menoleh ke belakang sambil tersenyum, namun senyumannya serta merta hilang dari wajahnya. Wanita cantik yang baru masuk itu dipandang dengan mata yang tidak berkedip langsung.
Begitu juga dengan Balqis. Dia masih terpacak di tepi pintu dengan tangannya yang masih memegang tombol pintu. Dua pasang mata itu saling berbalas pandang untuk satu tempoh yang agak lama.
"Eh, kenapa terpacak kat situ tu, Cik Balqis? Duduklah. Kita terus mulakan perbincangan," tegur Dato' Rahman.
Balqis berdeham, lalu dia mengorak langkah menghampiri dua orang lelaki itu di sudut meja kopi dengan muka tenang. Tenang pada wajah, tetapi bergelora di dalam hati.
"Selamat pagi, tuan err..." Balqis menaikkan keningnya memandang lelaki itu.
Lelaki itu berdiri seraya menghulurkan tangannya untuk bersalaman. "Haziq, nama saya Haziq."
Balqis hanya melirik tangan lelaki itu dengan lagak tenang, tetapi dia tidak menyambut huluran tangan berurat itu. "Oh, Tuan Haziq. Selamat pagi, saya Balqis, Pegawai Pemasaran syarikat ni."
Haziq memandang sepi huluran tangannya yang tidak bersambut. Perlahan-lahan dia menarik tangannya sambil tersenyum untuk menghilangkan suasana canggung.
"Okey, Tuan Haziq, boleh kita mulakan perbincangan kita?" soal Balqis dengan lagak profesional sambil membuka fail setelah dia melabuhkan punggungnya berhadapan dengan dua orang CEO itu.
Haziq memandang Dato' Rahman, lalu dia memandang Balqis semula sebelum dia mengangguk bersama dengan senyuman yang diukir paksa.
Selama Balqis memberikan penerangan, Haziq tidak terlalu memberikan perhatian terhadap setiap butir bicara yang terpacul dari mulut wanita cantik itu. Hanya sesekali dia mengangguk-angguk, padahal dia sendiri tidak tahu apa yang dia anggukkan.
Haziq duduk berpeluk tubuh dengan sebelah tangannya meramas-ramas dagunya yang licin bercukur. Matanya tidak lepas daripada memandang wanita yang kelihatan sungguh yakin dan berkarisma di depannya pada ketika ini.
"Jadi, macam mana, Tuan Haziq?" soal Balqis sambil memandang lelaki yang sejak tadi merenungnya itu. Dia sedar lelaki itu merenungnya sepanjang dia bercakap, tetapi dia bijak mengawal emosi. Dia kekal bersikap tenang dan profesional.
"Macam mana Tuan Haziq? setuju?" Dato' Rahman pula menyoal.
"Saya setuju," jawab Haziq. Entah apa yang dipersetujuinya itupun dia tidak tahu. Apa yang dia inginkan sekarang ialah mengikat perjanjian dengan syarikat itu.
"Nice! Baiklah kalau macam tu. Tuan Haziq boleh pilih model kain yang encik nak, nanti saya akan maklumkan kepada pihak kilang kami untuk sediakan stok yang cukup setiap bulan. So, mulai dari hari ini, perjanjian bermula. Kita cuma perlu tandatangan surat perjanjian je sekejap lagi," kata Dato' Rahman panjang lebar bersama dengan senyuman lebar, lalu dia berdiri dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman.
"Rasanya saya tak perlu pilih lagi, dato', sebab saya nak semua yang ada dengan dia. Dengan orang dia sekali pun boleh," balas Haziq dengan nada berseloroh sambil memandang Balqis disertai dengan satu senyuman yang penuh makna tersirat.
"Oh! yang tu kena tanya tuan badan sendirilah nampaknya," kata Dato' Rahman disusuli dengan tawa kecil.
Balqis memandang lelaki muda yang kacak dan segak itu dengan satu pandangan kosong, namun pada hakikatnya, hatinya benar-benar terbakar melihat seraut wajah bersahaja itu.
"Baiklah kalau macam tu. Cik Balqis, nanti awak. pergi ke kilang dan maklumkan kepada pengurus di situ untuk mulakan pengeluaran stok untuk Crowns Cooperation ya?"
"Baik, dato'," jawab Balqis sambil mengangguk. "Perbincangan dah habis, kan? kalau macam tu, saya balik ke bilik saya dulu ya, dato'."
"Haa, yelah. Tinggal nak tandatangan surat perjanjian je lagi ni," balas Dato' Rahman.
"Terima kasih, Cik Balqis," ucap Haziq sambil tersenyum.
Balqis hanya membalas dengan senyuman nipis, lalu dia terus keluar dari bilik itu.
"Kau memang jantan tak guna! kenapa baru sekarang kau muncul!" Balqis membentak geram sambil berdiri berpeluk tubuh di depan jendela bilik pejabatnya yang menghadap lalu lintas yang kurang sibuk pada ketika ini.
"CEO? Kau CEO?" gumamnya sambil mengetap gigi. Sejujurnya, dia tidak pernah mengetahui latar belakang lelaki itu dan itulah juga yang membuatkan dia berasa dirinya terlalu naif pada suatu ketika dulu.
Cinta benar-benar telah membutakannya. Mungkinkah hanya dia sahaja satu-satunya perempuan di muka bumi ini yang berkahwin dengan lelaki yang tidak diketahui latar belakangnya?
Keluhan berat terpacul dari mulutnya. Pertemuan sebentar tadi benar-benar mengejutkannya. "Jadi betullah tu kau yang aku nampak masa on the way ke sini tadi. Hmm, bagus! masa untuk kita selesaikan apa yang sepatutnya!"
Sedang mengelamun melayan fikiran, interkomnya berbunyi.
"Ya, yah?"
"Qis, kat kilang nanti, Aqis jangan lupa minta Farhan report untuk dua bulan sebelum ni ye?"
"Okey, yah. Nanti Aqis minta." Balqis terus duduk di kerusi empuknya setelah dia selesai bercakap. Dagunya ditongkatkan dengan kedua-dua tangannya sambil menekur meja. Bergerak-gerak bola matanya memikirkan sesuatu.
"Haihhh!" Keluhnya, lalu dia mengambil beg tangannya dan sebuah fail untuk dibawa ke kilang.
Ketika pintu lif hampir tertutup, tiba-tiba ada satu tangan menahan pintu. Cepat-cepat Balqis menekan butang HOLD. Membulat matanya sebaik sahaja dia melihat gerangan manusia yang baru masuk itu, tetapi dia berusaha sedaya upaya mengawal emosi dan reaksinya. Degupan jantungnya mulai berdegup kencang.
"Hai Cik Balqis... oops, silap. Hai, Puan Balqis," tegur Haziq tanpa menoleh sambil meleret senyuman yang entah apa maknanya. Matanya lurus memandang skrin digital lif.
Tiada balas daripada Balqis. Giginya diketap, kedua-dua tangan pada sisi tubuhnya dikepal kuat. Ya Allah... bagi aku kekuatan, ya Allah.
Entah kenapa dia rasa belum bersedia lagi, padahal selama tujuh tahun meniti waktu tergantung tidak bertali, berulang kali dia berlatih cara untuk berhadapan dengan suaminya di depan cermin sehinggakan dia sudah hafal skrip yang perlu didialogkan. Tetapi sekarang, lelaki itu sudah ada di depan mata, lain pula jadinya. Walaupun cuma hanya mereka berdua di dalam lif itu, dia memilih untuk berdiam diri.
"You look so different. Makin cantik... nampak lebih matang.. menarik and... profesional."
Balqis mendengus dengan muka sebal. Siapa sahaja yang tidak suka dipuji, namun pujian yang terpacul dari mulut lelaki itu malah membuatkan dia sakit hati, marah dan juga benci. Wajah tenang dan selamba lelaki di sebelahnya, dilirik tajam. Tiada muka serba salah langsung!
"Are you free tonight, Mrs. Balqis? Maybe we can hang out for dinner, macam mana?" Haziq cuba memancing suara wanita itu.
Balqis masih berdiam diri. Remain silent, Aqis. Not now... relaks, relaks. Dia memujuk hatinya. Masa yang ada di dalam lif ini tidak cukup untuk dia menghamburkan segala yang hendak dia hamburkan. Dia akan tunggu masa yang benar-benar sesuai nanti dan apabila dia sudah rasa bersedia.
"Puan Balqis, apa kata..."
Tinggg!
Balqis sempat melemparkan jelingan tajam sebelum dia melangkah pantas keluar dari lif tanpa memandang kiri dan kanan lagi.
Haziq meraup rambutnya ke belakang sambil melepaskan keluhan panjang memerhati sosok tubuh yang semakin jauh meninggalkannya. Jelingan tajam tadi, jelas menunjukkan kemarahan dan kebencian wanita itu terhadapnya. "Aqis..."
Share this novel