Hembusan bayu dingin dan bunyi deruan ombak menghempas pantai yang selalunya mampu mendamaikan jiwanya, kini hilang kemampuannya kerana pada ketika ini, ia tidak mampu lagi menenangkan fikiran dan jiwanya yang sedang berkecamuk dan bergelora.
Balqis duduk di tepi pantai beralaskan sepasang seliparnya sambil memeluk lutut. Keluhan demi keluhan tidak henti-henti terluah dari mulutnya. Kedua-dua tangannya menggenggam pasir.
"Aku benci kau, aku benci kau! Arghhh!" Pasir yang digenggamnya dilemparkan ke depan membayangkan dirinya sedang menghumban pasir tersebut ke wajah manusia yang telah menyebabkan hidupnya kucar-kacir, iaitu lelaki yang menjadi asbab dia dibuang oleh keluarga kandungnya sendiri.
"Kau memang jantan tak guna! aku benci kau! aku benci! benci!!!" jeritnya lagi sambil mencengkam baju di dadanya. Air mata yang semakin deras mengalir pada kedua-dua belah pipinya dibiarkan terus mengalir tidak diseka. Pipi yang sudah lama tidak dibasahi air mata itu, kini terasa sejuk dan lembap ditiup sang bayu.
"Baguslah kau dah munculkan diri. Aku nak kau putuskan tali yang selama ni jerut aku nak mampus tapi tak mampu-mampus!" gumamnya sambil menyeka air mata di pipinya, lalu dia bingkas berdiri. Dia janji, ini merupakan kali terakhir dia membazirkan air matanya kerana lelaki itu.
Pasir yang melekat pada kain di punggungnya ditepuk-tepuk untuk menyingkirkannya tanpa menyedari dirinya sedang diperhatikan oleh seseorang dari jauh sejak mula-mula dia tiba di situ.
"Mama harap Aqis akan jumpa suami Aqis," desis Datin Sarimah yang sedang berdiri di balkoni yang menghadap pantai. Keluhan panjang dilepaskan. Dia fikir, mungkin Balqis teringatkan kisah lama kerana pertanyaan daripada Alif, si anak polos yang masih belum mengerti situasinya.
Sudah lama dia tidak melihat wanita yang sudah dianggapnya seperti anak kandung itu menangis dan menjerit melepaskan kemarahan seperti yang dilihatnya tadi. Tahun pertama dan kedua Balqis tinggal bersama mereka dulu, setiap hari dia melihat pemandangan seperti yang dilihatnya tadi.
Kadang-kadang, terbit rasa terkilannya setiap kali dia melihat keadaan Balqis begitu. Dia berasa serba salah kerana tidak dapat membantu anaknya itu mencari suaminya. Hanya berdoa sahaja yang mampu dia lakukan. "Mama harap, Aqis akan terus kuat," desisnya lagi sebelum dia masuk ke dalam rumah.
HAZIQ baru balik daripada berjoging ketika dia berselisih dengan ibunya yang hendak ke dapur.
"Ziq."
Haziq mendengus, lalu dia memandang wajah ibunya dengan pandangan kosong.
"Sekejap lagi, Puan Sri Zaitun dengan Intan nak..."
Belum sempat Datin Maznah menghabiskan percakapannya, Haziq terus melangkah melepasinya menuju ke tangga.
"Ziq, Haziq!" panggilnya, namun panggilannya tidak diendahkan langsung. "Haih, budak ni! Makin lama, makin besar kepala!" gumam Datin Maznah sambil menggeleng disusuli dengan dengusan geram.
Dalam keadaan seluruh tubuhnya berpeluh, Haziq duduk di atas lantai menyandarkan kepala dan tubuhnya pada sisi katil. Kedua-dua tangannya diletakkan di atas lutut. Matanya dipejam rapat. "Aku dah tak boleh biar diri aku kena atur lagi! Cukuplah! cukuplah!" Kenangan masa lalu, bermain di layar fikirannya seperti layar panggung.
Matanya dibuka. "Pencarian aku selama ni dah berakhir. Kali ni, aku yang akan tentukan sendiri hidup aku!" tekadnya.
Kalau dulu neneknya yang mengatur hidupnya, kali ini ibunya pula. Tetapi, kini sudah tiba masanya dia mengatur hidupnya sendiri.
Selepas seketika berkeadaan begitu, dia berdiri. Peluhnya juga sudah kering. Tuala yang bersangkut dicapai, lalu dia terus menuju ke bilik air.
Seusai mandi, dia tidak terus keluar dari bilik untuk bersarapan, tetapi dia duduk di atas katil menyandarkan tubuhnya yang hanya bertuala. Ingatannya tertumpu pada satu wajah. Pertemuan di syarikat Dato' Rahman kelmarin, benar-benar tidak disangka. Ya, dia terkejut. Benar-benar terkejut.
Dia menekur lantai buat seketika. Semalam dia tidur lewat kerana fikiran dan perasaannya terganggu. Bayangan jelingan tajam Balqis kelmarin, berlegar-legar di mindanya. "Abang tahu Aqis marahkan abang sebab abang pergi macam tu je," desisnya, lalu dia membuka laci meja yang bersebelahan dengan katilnya dan lantas dia mengeluarkan sesuatu dari dalam laci. "tapi, abang terpaksa, Qis. Abang ada sebab kenapa abang buat macam tu," lanjutnya sambil mengelus wajah di dalam sekeping gambar yang dipegangnya.
Gambar itulah yang setiap hari di tatapnya. Gambar itulah yang setiap hari diciumnya dan gambar itulah yang setiap hari dipeluknya ketika tidur. Keluhan buat kesekian kalinya terpacul dari mulutnya.
Kali ini, dia benar-benar bertekad untuk memperjuangkan hubungan mereka, walaupun dia sendiri tidak pasti sama ada dia masih ada tempat di hati wanita yang masih bergelar isterinya itu atau tidak, namun yang pastinya dia tidak akan berputus asa dengan mudah untuk meraih semula cintanya.
Selepas beberapa minit, dia menyimpan semula gambar yang dipegangnya ke dalam laci, lalu dia menuju ke almarinya untuk mencari pakaian yang sesuai kerana dia hendak keluar menenangkan fikiran. Berkurung di dalam bilik membuatkan fikirannya lebih berserabut.
"Oii, mak cik! menungkan apa tu?" Azlin menyiku lengan Balqis sambil ketawa kecil.
"Tengah fikir pasal boyfriend dia si Farhanlah tu," sampuk Fazura yang merupakan salah seorang pekerja di syarikat Dato' Rahman dan agak rapat dengan Balqis dan Azlin.
"Bila masa pula si Farhan tu jadi boyfriend aku? Pandai-pandai je kau, kan?" Balqis menjegilkan matanya memandang Fazura. "Aku tengah fikir nak makan apa ni," bohongnya, lalu dia cepat-cepat mencapai buku menu. Padahal sebetulnya, bukan itu yang mengganggu fikirannya, tetapi tentang pertemuan yang tidak disangka-sangka kelmarin.
"Order jelah makanan yang biasa kau makan kat sini... kau kan suka makan nasi ayam," balas Fazura dan diiakan oleh Azlin.
"Hmm, yelah. Lin, tolong panggil pelayan," kata Balqis, lalu dia meletakkan buku menu yang dipegangnya di atas meja.
Seusai makan, mereka masih terus duduk di situ meneruskan sesi bersembang. Restoran yang berdekorasi ala-ala barat di dalam pasar raya besar itu sememangnya menjadi pilihan mereka setiap kali mereka keluar bertiga. Biasanya mereka bertiga akan meluangkan masa keluar bersama-sama membeli-belah sekali dalam sebulan.
"Weh! aku nak beli set mekap barulah. Kali ni aku nak beli bedak muka sama macam jenama yang Aqis guna," kata Azlin sambil memandang Fazura sebelum pandangannya beralih ke wajah Balqis yang sedang termenung.
"Samalah," balas Fazura sambil mengherotkan bibirnya. "Weh! tapi jenama bedak muka Aqis bukan murah tau."
"Ya, aku tahu, tapi mahal-mahal pun, berbaloi tau." Azlin tiba-tiba mengerutkan dahinya memandang Balqis. "Weh! kau okey ke ni? termenung je aku tengok dari tadi. Kau tak sihat ke?" soalnya sambil menyentuh dahi Balqis menggunakan belakang tapak tangannya.
"Aku okeylah, cuma sejak akhir-akhir ni, badan aku letih sebab banyak ulang alik dari office ke kilang. Kau tulah! kalau aku minta tolong ambil fail kat kilang, macam-macam alasan kau bagi!"
"Aku bukan apa, Qis. Aku cuma malas nak hadap muka si Asif tu. Selagi aku kat kilang tu, selagi tulah dia asyik ikut aku tau!" balas Azlin sambil menayang muka sebal.
"Kau terima jelah dia jadi boyfriend kau, Lin. Kesian dia. Handsome apa si Asif tu... kan, Zura?" usik Balqis sambil tersengih.
"Kalau handsome, kau ambillah. Tak nak aku! Aku seramlah tengok lelaki badan besar tinggi ni. Dahlah bulu dada dia lebat sampai terkeluar kat butang baju atas dia tu. Heee, tak nak aku!" ujar Azlin sambil menggeleng-geleng laju.
Serentak Balqis dan Fazura ketawa mendengar kata-kata rakan mereka yang sememangnya jenis manusia yang main cakap lepas itu.
"Aku nak pergi ke bahagian makanan kejap," kata Balqis kepada dua orang rakannya yang sedang ralit memilih barangan mekap.
"Okey." Serentak mereka menjawab.
"Dah pindah tempat ke? Hari tu, kalau tak silap aku... hmmm, kat bahagian nilah," desis Balqis sambil melilau-lilau ke sekeliling mencari barang yang dicarinya.
Setelah berpusing-pusing di seluruh bahagian makanan, akhirnya dia terjumpa juga apa yang dicarinya. Jumpa pun Nabati favourite aku!
"Hmm, nak ambil semua jenis ke?" Jari telunjuknya diketuk-ketuk ke bibirnya sambil memandang setiap kotak pelbagai versi snek itu.
Agak lama dia berdiri sambil berfikir untuk membuat pilihan. Ambil yang roll jelah! Kakinya dijongketkan sedikit untuk mencapai kotak sasarannya, tetapi tiba-tiba ada satu tangan turut mencapai kotak yang sudah dipegangnya. Spontan dia menoleh dengan niat hendak menghamburkan rasa marahnya. Geram.
"Aku yang..." Kata-katanya serta merta terhenti di situ. Balqis segera melepaskan pegangan tangannya pada kotak tadi, lalu dia berpaling dan melangkah hendak pergi dari situ, tetapi lengannya ditarik.
"Aqis..." Lembut nada suara garau itu menyebut namanya.
"Lepaskan tangan aku!" kata Balqis dengan suara yang ditekankan sambil mengetap gigi menahan rasa marah. Mujur tiada orang lain di situ, kalau tidak entah apa nanti orang cakap melihat situasi yang sedang berlaku di antara mereka sekarang.
"No, abang tak nak lepaskan Aqis kali ni. We need to talk, Aqis."
"Aku cakap lepas, lepaslah!" Balqis membentak keras sambil menarik kasar tangannya sehingga terlepas daripada pegangan lelaki itu.
"Qis! Aqis!"
Balqis mempercepatkan hayunan langkah kakinya tanpa mempedulikan panggilan itu sambil menggumam geram.
"Hisy, kenapalah aku boleh terjumpa dia kat sini! Dalam banyak-banyak kedai kat bandar ni, kenapa kedai ni juga dia pergi!" Balqis memanjangkan lehernya mencari kelibat dua orang rakannya setelah lelaki tadi sudah tidak kelihatan pada pandangannya. Aku kena cepat-cepat keluar dari sini!
Haziq merenung tangannya yang memegang lengan Balqis tadi. Lantas, tapak tangannya dibawa ke hidungnya, lalu dihidu. Spontan matanya terpejam saat wangian minyak wangi menusuk masuk ke rongga hidungnya. Wangian itu membuatkan otaknya serta merta mengimbas kenangan masa lalu. Nampaknya, wanita itu masih menggunakan wangian yang sama dia gunakan ketika mereka mula kenal dulu.
"Aqis..." Matanya dibuka, lalu dia menarik nafas dalam-dalam. "Abang takkan putus asa, Aqis. Abang akan tawan hati Aqis balik. Aqis abang punya!" tekadnya dengan muka bersungguh-sungguh.
Share this novel