?BAB 8
Kelibat Andika tiba-tiba muncul di tepinya, Andika pada mulanya tunduk menangis teresak-esak barangkali sedih melihat keadaan dirinya. Aminah memegang paha Andika cuba memintanya untuk bertenang.
Sebaik saja sentuhan tangan Aminah mengena, Andika mendongak dan memandang Aminah dengan tajam. Senyuman sinis dilemparkan sebelum Andika berdekah-dekah ketawa.
Hilaian ketawa Andika bergema memenuhi setiap ruang van tersebut, Aminah menekup telinga dengan kedua tangannya.
‘’Aku memang risaukan kau Aminah, aku sangat-sangat risaukan kau! Kau tahu tak? Aku risau kalau kau mampu bertahan dan masih hidup bebas! Aku risau kau akan move on, bertemu dengan lelaki lain dan boleh pula hidup beranak pinak lepas tu! Aku risau tau tak! Luah Andika.
Aminah kebingungan, dia keliru dan tergamam mendengar kata-kata Andika itu.
Dia keliru dengan semua kata-kata Andika, adakah Andika mahukannya kerana enggan berpisah darinya atau mahukan dirinya ikut ken alam barzakh semata-mata mahu membalas dendam?
Aminah mulai ketakutan. Dia cuba mengelak dari memandang mata Andika. Dia perlu menyelamatkan dirinya tapi pertama sekali yang dia perlu buat adalah, memberitahu perkara sebenar pada ibu dan abangnya.
‘’Kau nak bagitau mak dan abang kau apa Aminah? Nak bagitau segala benda jahat yang kau lakukan pada aku? Aku kagum dengan keberanian kau Aminah,tapi melihat keadaan kau sekarang ni aku tak rasa kau sempat selamatkan diri kau,’’suara Andika memerlinya sekali lagi.
‘’Kau silap Andika, aku Aminah, aku kuat dan aku akan bertahan! Seperti mana aku bertahan dengan segala ujian dan dugaan menimpa kita selama bertahun-tahun lamanya, aku akan bertahan dan akan akan terus hidup, aku layak untuk hidup selepas bertahun-tahun derita melihat kau dengan perempuan lain!’’ ujar Aminah.
‘’Berapa kali aku cakap pada kau Aminah! Itu semua syak wasangka kau! Syak wasangka dan fitnah kau saja! Kau buta kah? Sudah bermacam-macam cara aku lakukan untuk buktikan pada kau yang aku hanya ada kau seorang!’’ Andika berang. Lalu dia mencengkam leher Aminah.
Aminah menjerit-jerit dan meronta-ronta minta dilepaskan, Puan Wan ketakutan melihat Aminah yang seakan-akan berhalusinasi. Dari tadi dia perasan yang Aminah seakan-akan sedang berbual dengan seseorang dan dia beberapa kali mendengar anaknya itu menyebut nama Andika.
Ahli paramedik kelam kabut cuba menenangkan Aminah yang meracau-racau, baju Aminah dipenuhi dengan muntahan darah.
Lima minit kemudian mereka tiba di hospital dan Aminah segera dikejarkan ke wad kecemasan zon kritikal.
Dalam keadaan separuh sedar itu Aminah dapat mendengar yang abangnya berkali-kali memintanya mengucap dan memohon maaf padanya atas segala kekasaran kata-kata dan Ahmad mahu Aminah terus hidup.
Aminah juga dapat melihat ibunya menangis teresak-esak dan berulang kali meminta agar Aminah tidak meninggalkannya.
Hancur hatinya melihat ibu dan abangnya dalam keadaan sebegitu. Benar, yang dia telah menyusahkan orang-orang disekelilingnya dan dia mahu menebus semula kesalahannya. Aminah nekad untuk bertahan namun Andika muncul semula. Kali ini terbang berlegar-legar di atasnya sambil ketawa mengilai.
Mata Aminah terjengil dan keadaan kembali genting. Doktor dan jururawat berlari-lari cuba menyelamatkan Aminah yang sudah tidak sedarkan diri. Kali ini Aminah gagal memberikan sebarang respon.
Share this novel