?BAB 10
Tiada apa di dunia ini yang kekal begitu juga rahsia, sedalam mana cuba disembunyikan akhirnya terbongkar juga.
Pada satu hari sedang Puan Wan mengemas-ngemas bilik Aminah mengumpul pakaian-pakaian yang ingin disedekahkan ke rumah anak yatim, Puan Wan terjumpa sebuah buku nota bewarna merah yang dibungkus kemas dengan scarf sutera rona hijau.
Puan Wan tahu skarrf itu adalah pemberian arwah Andika pada Aminah dan buku nota yang dipegangnya itu adalah diari Aminah.
Puan Wan membelek-belek diari Aminah, sekeping foto Aminah yang berusia empat tahun sedang duduk di ribanya jatuh dari buku tersebut. Tidak semena-mena air matanya mengalir membasahi pipinya. Kerinduannya kepada anak gadisnya itu kembali menerpa.
Di dalam diari tersebut, Aminah ada menyatakan yang dia kasihan dengan ibu dan abangnya dan maalu kerana menyusahkan keluarganya. Aminah juga menulis betapa dia rindu saat-saat ceria mereka sekeluarga. Puan Wan terus membelek tiap helaian diari Aminah, namun matanya tiba-tiba terhenti pada entri Aminah yang bertarikh 27 Oktober, iaitu pada hari pergaduhan besar antara Aminah dan Andika.
Oktober 27, 2014
Puas hati aku! Puas hati aku kau mati juga! Sekarang aku boleh bernafas dengan tenang. Kalau aku tak dapat kau, tiada siapa yang akan dapat memiliki kau juga! Kau berubah sampai aaku dah tak kenal kau lagi.
Ambil kau! Ini balasan untuk setiap sakit hati dan kekecewaan yang kau berikan, kau abaikan aku, kau enggan jumpa aku dan bagi macam-macam alasan tak nak jumpa aku! Kau ingat aku tak tahu yang kau ada hubungan dengan perempuan lain!
Puas hati aku tengok kau merayu-rayu panggil aku sayang, dah nak mati baru kau bagitau aku yang kau cintakan aku? Kenapa kau tak bagitau aku di saat aku benar-benar perlukan kau? Kenapa kau tak jerit di telinga aku yang kau cintakan aku di saat aku merayu-rayu menyembah kau agar jangan memutuskan pertunangan kita? Jantan tak guna!
Aku sedih sebenarnya melihat kau menangis merayu minta diselamatkan. Entahlah, dalam keadaan kau merangkak-rangkak sambil memuntahkan darah seakan ada satu kepuasan yang ta dapat digambarkan dengan kata-kata, aku harap kau faham dan maafkan aku ya Andika, aku mahu kau lihat kesan yang kau lakukan kerana abaikan dan mainkan perasaan aku selama ini.
Kau mahu putuskan pertunangan kita tanpa sebarang sebab kukuh? Berkali-kali kau kata bukan sebab perempuan lain, Aku tak faham semua tu. Dari aku pening dan sakit biarlah aku putuskan nyawa kau saja.
Aku akan mencari kekuatan untuk minum racun yang sama aku gunakan membunuh kau Andika.
Izinkan aku menghirup sebentar udara segar di muka bumi ini, berjalan di tanah yang rumputnya menghijau, merasai sejenak ketenangan bersama keluarga yang ku abaikan dan untuk tidur nyenyak seketika kerana dua tahun kebelakangan ini aku sering tidur berendam air mata.
Izinkan aku Andika, berikan aku masa seketika dan maafkan aku…
Kau milik aku dan aku, aku dan seluruh tubuh dan nyawaku ini hanyalah milikmu Andika.
Biar nanti kita tidur bersama-sama untuk selamanya…
Aminah Ixafra Ibrahim
TAMAT
Share this novel