KISAH 4 - ADIK

Short Story Series 3537

Pagi-pagi lagi adik dah bangun tidur. Adik berasa sangat teruja. Adik teruja kerana inilah hari pertama adik bakal ke tadika. Adik dah lama cemburu tengok Kak Long dan Abang Ngah yag dah masuk sekolah. Adik cemburu bila Abang Ngah suka bercerita tentang kawan-kawan sekolahnya. Kak Long dah berada di tingkatan empat, dan Abang Ngah pula baru darjah 5 sekolah rendah.

Adik nak juga. Adik pun nak ramai kawan. Adik pun dah bosan duduk rumah. Ibu sibuk buat kuih. Setiap hari pun begitu. Daripada pagi. Bila tengah hari pula, ibu masak nasi. Ibu masak banyak, sebab ibu nak hantar ke gerai Pak Abu untuk dijual.

Adik tiap-tiap hari makan apa yang ibu masak untuk jual. Lauk kegemaran adik adalah ayam goreng, dan kari ayam. Adik suka bila ibu masak lauk macam itu. Ibu handal memasak. Adik pernah makan kari ayam yang dimasak oleh Mak Long Yam, tapi rasanya tak sama macam apa yang ibu masak.

Ayah pula seawal Subuh sudah ke kebun getah. Ayah kerja memotong getah. Ayah pergi ke kebun mengayuh basikal tuanya setelah menghantar Kak Long dan Abang Ngah. Sekolah mereka berdua terletak sebelah menyebelah.

"Adik, mari makan, lepas ni ibu hantar adik ke taska", kata ibu.

Adik cepat-cepat turun ke dapur. Ibu buatkan adik segelas Milo. Pagi itu juga ibu buat karipap sardin. Kuih itupun adik suka. Adik suka apa yang ibu masak. Pendek kata semuanya kegemaran adik.

"Eee adik ni, tahu makan ae, patutlah gemuk", ejek Kak Long kepada adik sambil tertawa mengejek.

"Eleh, biarlah, adik kan suka makan", jawab adik.

Terkekel-kekel Abang Ngah ketawa. Abang Ngah pun turut makan dan dia juga perlu cepat-cepat sebab takut ayah marah. Ayah memang tak suka kalau anak-anak dia meleceh.

Kak Long dan Abang Ngah dah siap-siap memakai seragam sekolah. Mereka ke sekolah lebih awal daripada adik. Ayah menghantar mereka berdua sebelum ayah ke kebun.

Adik pula, ibu yang akan hantarkan. Waktu taska adik bermula jam 8.30 pagi. Ibu bakal menemani adik ke taska. Taska itu pun tak jauh, cuma beberapa meter sahaja daripada rumah adik.

Adik sarungkan baju bewarna biru. Baju tersebut ibu yang jahitkan. Adik teringat ayah awak balik 2 meter kain bewarna biru yang ayah beli daripada kedai kain Kian Seng. Adik seronok tak terhingga dapat baju baru. Adik cium baunya pun bau macam kedai kain.

Masuk sahaja di pintu kelas, adik jumpa ramai kawan-kawan yang sebaya adik. Ada yang malu, ada yang terus bertegur sapa dengan adik. Adik pun buat biasa. Bukan apa, beberapa orang di taska itu merupakan kawan-kawan adik yang tinggal berdekatan rumah adik. Adik dah kenal mereka semua.

Adik suka sangat belajar di taska. Cikgu Fariha, cikgu kelas adik pun sangat baik. Adik belajar ABC, adik belajar mengira 123 dan adik belajar menyanyi. Adik seronok tak terhingga.

Sampai di rumah, tak sempat adik nak buka kasut sekolah lagi, adik dah cerita semuanya dengan ayah. Ayah dengar dan senyum sahaja melihat telatah adik. Adik pun tak tahu apa maksud ekspresi muka ayah itu. Adik tak faham.

Hari demi hari, adik belajar semakin banyak. Adik gembira dapat pensel warna yang baru. Mak Long Yam yang bagi. Gembiranya hati adik hanya tuhan yang tau. Tertulis huruf L, U, N, A di atas kotak pensel warna itu.

Pulang sahaja daripada taska, adik selalu cepat ke dapur. Adik nak tengok juadah apa yang ibu sediakan untuk makan tengah hari adik. Di taska ada makanan, tetapi adik tak berapa suka, walaupun adik makan semua sampai habis.

Kadangkala, apabila Mak Long Yam melawat adik, dia akan bawa jajan dan kek coklat untuk adik. Adik suka semuanya. Adik memang suka makan, itulah sebabnya badan adik agak berisi walaupun adik baru 6 tahun.

Satu hari tu, CIkgu Fariha bagi adik satu borang. Adik kena bawa pulang, dan biar ibu yang isikan. Adik pun tak tahu borang itu borang apa. Tapi adik menurut sahaja apa yang Cikgu Fariha suruh.

Tiba di rumah, adik beri ibu borang itu. Terkial-kial adik tengok ibu nak isi kertas bewarna putih itu. Ibu lihat satu per satu soalan, dan ada salah satunya tentang imunisasi. Tiba-tiba ibu toleh kat adik dan bertanya

"Eh, adik, ingat tak bila yang terakhir pergi cucuk dulu?" tanya ibu.

"Tak tahu", adik menjawab.

"Ala, yang cucuk di klinik tu, ada kan ibu bawa dulu?", gesa ibu

"Adik tak tahu ibu, adik tak ingat", adik menjawab.

Adik pun tak pasti apa dia maksud cucuk tu. Tapi seingat adik, tak pernah lagi adik dicucuk di klinik atau di mana-mana. Adik pun jarang sakit, jarang demam.

Kalau demam selsema pun, sehari dua lepas tu dah baik. Adik tak suka pergi klinik. Adik takut. Bau klinik tu pun cukup menyesakkan nafas adik. Bau ubat. Kalau ibu paksa adik makan ubat memang adik tak nak, sampai akhirnya ibu suruh ayah bagi. Mahu tak mahu, adik kena makan.

Ayah garang. Ayah rotan punggugng adik kalau adik melawan cakap atau tak menuruti apa perintahnya. Pendek kata, janganlah sekali-kali adik terbantah cakap abah, silap-silap berbirat punggung adik kena rotan.

"Ah, tanda 'YA' sudah la", adik dengar ibu bermonolog. Walaupun tak berapa jelas. Tapi sememangnya adik langsung tak faham apa yang terjadi, kemudian ibu tandatangan di bawah. Adik tengok macam cacing pun ada tandatangan ibu tu.

Esoknya adik beriadah di taska. Adik tak lupa nak memberi semula Cikgu Fariha borang tersebut. Cikgu Fariha senyum sahaja tengok gelagat adik bermain dengan kawan-kawan. Selalu dia panggil adik 'montel'. Adik tak terasa hati, sebaliknya adik tertawa setiap kali terdengar Cikgu Fariha jerit

"Montel!", kalau adik bising-bising dan tak duduk diam dalam kelas. Memang satu kelas ketawa, termasuklah adik sendiri. Kadangkala sampai merah padam muka Cikgu Fariha melayan kerenah adik dan kawan-kawan adik di kelas.

Esok, umat Islam bakal berpuasa. Adik tak perlu puasa, adik kecil lagi. Tapi bila bulan puasa mendatang, Ibu dan Kak Long akan sibuk buat kuih-muih untuk dijadikan kuih Raya. Adik rasa seronok, sebab orang lain tak boleh makan, tapi adik boleh.

Adik tidur selepas waktu tengah hari, sebaik pulang dari taska. Lepas itu adik bangun pula, mencari makanan. Macam biasalah, itulah rutin harian adik.

"Adik!"

Adik terdengar suara Kak Long memanggil daripada dapur. Adik tersentak. Segera adik bingkas bangun mendapatkan Kak Long di dapur.

"Ada apa kak?", tanya adik sebaik tiba di dapur.

Adik nampak Kak Long sedang sibuk mengadun tepung, dan ibu pula sedang mencetak kuih. Bauh kuih yang dibakar memenuhi ruang dapur.

"Tu, pergi makan nasi, ada atas meja. Dah la tak puasa, makan pun nak kena suruh, menyusahkan orang betul", kata Kak Long dengan nada keras.

"Adik kan kecil lagi, mana larat nak puasa", jawab adik.

"Eleh, sikit-sikit tak larat, sikit-sikit tak larat. Belajarlah puasa, ini asyik sibuk nak melantak je kerja. Tidur sampai petang, bangun-bangun nak makan lagi", tambah Kak Long.

"Ala Kak Long pun bukannya puasa. Semalam adik nampak Kak Long makan sorok-sorok"

Adik berkata dengan yakin. Memang terang=terang adik nampak Kak Long makan. Sambil bercakap, adik menyuap nasi berlaukkan ayam goreng itu.

"Kakak kau tu perempuan. Kau tu lelaki, perempuan ada hari cuti dia, lelaki tak ada", jawab ibu pula sambil tangannya pantas mencetak kuih, satu per satu.

Adik lihat Kak Long senyum malu-malu. Adik pun turut tersenyum. Tapi senyum untuk apa, adik pun tak tahu.

Keesokkan petang, adik baru sahaja bermain bola bersama kawan-kawan di kawasan kejiranan tiba-tiba adik rasa badan adik tak sedap. Lain macam sahaja. Adik berasa tersangat letih, dan tak bermaya.

Malam itu, ibu meletakkan belakang tangannya ke dahi adik. "Panas", kata ibu.

"Mari ibu bawa ke klinik", tambah ibu lagi

"Abang, mari bersiap, tolong hantar adik ke klinik", ibu menjerit memanggil ayah.

Tiba di klinik, adik diperiksa oleh seorang doktor lelaki. DIa meletakkan stetoskopnya di dada adik, dan kemudian di belakang. Adik rasa betul-betul tak larat.

"Jangan risau, saya bagi ubat antibiotik dan ubat demam, tapi kalau masih tak sembuh, tolong bawa dia ke hospital ya", kata doktor tersebut kepada ayah. Ayah mengangguk sahaja.

Setelah mengambil ubat dan membuat bayaran sebanyak RM40, ayah membawa adik pulang mengayuh basikal. Apabila tiba di rumah, ayah menyuruh ibu menyuapkan adik nasi, dan kemudiannya ubat-ubatan.

Selepas sesuap nasi sahaja, adik rasa tekak adik terlalu perit untuk menelan. Terbatuk-batuk adik nak menelan. Adik hilang selera makan selepas itu. Adik cuba menelan ubat dengan susah payah. Walaupun perit, adik faham, adik perlu makan ubat untuk sembuh, untuk kembali sihat sediakala.

Pahit. Itulah rasa ubat-ubatan tersebut, memang adik rasa nak termuntah, namun adik cuba tahan sedaya upaya. Selepas itu adik terus tidur. Mengantuk sangat adik rasa.

Bangun daripada tidur, adik rasa sama sahaja. Semakin teruk. Adik mula batuk tak henti-henti. Terasa betapa banyaknya kahak adik. Adik terpaksa batuk berkali-kali untuk meludahkan kahak. Ibu datang menepuk-nepuk belakang adik, memudahkan adik meludahkan kahak semua.

Tiba-tiba, di salah satu sapu tangan yang ibu guna untuk adik batuk, terdapat darah. Tak banyak, tetapi ada tompokan darah di situ. Ibu jadi gelabah. Segera ibu dapatkan ayah. Ibu cuba mengangkat adik sebab adik tak larat nak berdiri, terlalu lemah dan letih. Ayah segera memapah adik ke basikal. Nampak betapa risaunya ayah.

Tapi adik tak boleh nak duduk di tempat duduk belakang. Adik rasa nak jatuh. Ibu segera menelefon Mak Long Yam. Mak Long Yam ada kereta. Biarlah kereta buruk pun, tetapi asalkan ada dan boleh bergerak. Ayah letakkan adik di tempat duduk belakang, ibu juga masuk dan duduk di belakang. Mak Long Yam mula memandu kenderaan ke hospital secepat mungkin. Menderam-deram bunyi enjin kereta lama itu.

Sampai sahaja di hospital, doktor yang memeriksa adik meminta rekod perubatan atau buku kesihatan adik. Ibu tercengang, tak tahu menahu apakah benda yang diminta itu. Adik diletakkan di atas katil, satu topeng diletakkan di muka adik.

Aliran udara yang sedikit laju menyebabkan adik terbatuk-batuk kecil. Seorang doktor memegang tangan adik, dan mencucuk jarum. Adik rasa tersangat sakit, namun adik tak berupaya nak melawan atau meronta. Adik diam sahaja walaupun sakitnya, hanya tuhan yang tahu. Adik rasa terlalu lemah dan tak larat.

Adik tertidur. Adik tak larat dan seluruh badan adik rasa terlalu sakit. Yang paling perit dan pedih adalah tekak adik. Langsung adik rasa tak boleh menelan apa-apa makanan mahupun minuman.

Sebaik sahaja adik tersedar, adik rasa sedikit segar. Adik dah boleh duduk, dan berjalan. Ibu gembira betul melihatkan perkembangan positif adik. Petang tersebut, Mak Long Yam datang membawa makanan dan buah-buahan untuk adik.

Ada kek coklat, kuih muih kegemaran adik, dan juga buah epal, limau dan anggur. Adik suka semuanya. Adik cuba makan, namun tak boleh. Tekak adik seolah-olah rasa tersumbat dengan makanan tersebut. Macam adik menelan pasir rasanya.

Tetapi adik sedikit aktif petang itu. Adik mengikut ibu ke bilik air dan mampu menemani dia bersembahyang. Sampai waktu malam, kali ini adik jadi tak larat semula. Terasa betapa lemahnya badan adik sampai nak berdiri pun tak boleh.

Seorang doktor perempuan menghampiri ibu adik.

'Difteria', itulah nama penyakit adik. Adik juga mereka kata perlu ditolak ke ICU. Sebabnya, penyakit adik dah semakin teruk. Bacaan tekanan darah adik pun rendah, mengikut kepada apa yang diperkatakan oleh doktor.

Sampai di ICU, adik diberi topeng oksigen yang lain. Lebih kuat. Adik pandang ibu, adik lihat wajah ibu berlinangan dengan air mata. Ibu jadi sedih dan muram. Ibu pandang kat adik, ibu kata

"Maafkan ibu adik.... Ibu lalai, ibu ingat kau sihat, tak perlu cucuk vaksin atau apa-apa. Ibu abaikan sahaja, ibu tak ingat, ibu lupa", kata ibu.

Adik tenung mata ibu yang berkaca itu. Adik tak faham apa yang ibu kata. Bagaimana pula penyakit adik ini disebabkan oleh ibu? Apa salah ibu kepada adik? Adik tak mampu dan tak larat untuk berfikir.

Adik lihat, ada beberapa orang jururawat berada di tepi adik. Adik nampak seorang doktor memegang satu tiub panjang. Doktor tersebut bercakap-cakap dengan ibu. Adik tak berapa dengar apa yang mereka katakan. Adik cuma dapat dengar, adik akan dipengsankan, dan dimasukkan tiub ke kerongkong adik. Tapi adik tak berapa faham.

"Ibu sibuk sangat nak cari duit nak besarkan kau bertiga. Ibu betul-betul tak tahu perkara ini boleh terjadi", kata ibu kepada adik.

Ibu memegang erat tangan adik. Seorang doktor membawa satu picagari berisi ubat-ubatan, dan diletakkan di jarum yang tertusuk di tangna kiri adik. Adik lihat muka ibu. Adik tenung

"Maafkan ibu ya adik. Ampunkan ibu", itulah ayat terakhir adik dengar sebelum semuanya gelap. Adik tak tahu apa yang berlaku.

Beberapa kali adik tersedar. Macam adik dalam tidur. Tetapi setiap kali adik membuka mata, adik rasa sakit sangat di tekak, di leher dan di tangan. Adik tak mampu nak bergerak. Adik tak boleh bercakap. Macam ada satu tiub besar di mulut adik. Adik nampak ibu di sebelah. Ibu belai dahi adik. Ibu menangis. Adik nak cakap dengan ibu supaya jangan risau, tetapi adik tak boleh.

Ibu bertanya 'Rindu ibu tak? Sayang ibu tak?". Suara ibu tersekat-sekat. Adik tak mampu memberi respons. Adik hanya mampu mengangguk. Kemudian, semuanya gelap gelita semula.

Adik memang rindukan ibu. Adik tak tahu kenapa segalanya gelap dan hitam. Adik rindukan ayah, Kak Long, Abang Ngah, CIkgu Fariha dan kawan-kawan di taska. Adik tak tahu apa yang terjadi di luar. Bagaimana keadaan mereka. Adik ibarat dibelenggu dengan sesuatu yang mengehadkan pergerakkan dan percakapan adik.

Adik memang dapat mendengar suara doktor dan jururawat. Adik juga dapat merasa kesakitan di leher apabila satu jarum ditusuk di leher adik

"Buah pinggang dah gagal, jantung tak mampu nak kekalkan tekanan darah walaupun dah diberi ubat inotrop. Encik, Puan, saya minta maaf, saya memang dah buat sepenuhnya dengan terbaik", adik mendengar kata seorang doktor perempuan kepada ibu.

"Jadi macamana ni doktor? Kan dah cuci buah pinggang semua? Kenapa macam ni doktor?", suara ayah pula tiba-tiba.

"Memang kami dah buat semua tu. Antibiotik yang paling kuat kami dah beri, tapi nampaknya keadaannya semakin tenat", jawab doktor tadi

"Encik, Puan. Kalian perlu bersedia. Mengikut ujian darah yang kami buat, memang kritikal sangat-sangat. Boleh panggil saudara-mara lain untuk melihat dia, selagi dia masih bernafas", kata doktor tadi.

Di dalam kegelapan, adik dapat dengar suara Mak Long, Mak Ngah. CIkgu Fariha pun ada. Adik gembira mereka datang melawat adik, tetapi mereka tidak. Mereka bersedih, menangis. Adik tak mengapa. Adik nak bangun dan kata adik kuat, adik boleh lawan sakit ini.

"Puan, bacaan ujian darah ni memang dah tersangat kritikal. Kami dah tak boleh nak beri ubat-ubatan lagi. Ubat yang kami beri tu yang paling kuat ada di hospital ini. Harap Puan dan Encik boleh memahami keadaan dia, ada apa-apa soalan?", kata seorang doktor kepada ayah dan ibu.

"Bila doktor, berapa hari lagi dia boleh bertahan kalau macam ni?", kata ayah. Suara ibu menangis teresak-esak semakin kuat.

"Hmm, saya rasa dah boleh bisikkan dan ajarkan 2 kalimah syahadah. Insha Allah dia boleh dengar", kata doktor tersebut.

Kemudian, semua senyap. Gelap gelita.

Tiba-tiba terdengar suara bisikan jauh di telinga adik. Suara yang diiringi tangisan. Adik tahu itu suara ibu, dan suara ayah.

"Adik, kalau adik dengar, adik ikut ya", kata suara itu

"Ash hadualah ilahailallah. Wa'ash haduanna muhammmadu rasulullah, Lailaha'ilallah", bisiknya.

Adik cuba mengikuti. Sepatah demi sepatah adik sebut. Suara terebut datang berulang-ulangkali di telinga adik. Ash hadualah ilahailallah. Wa'ash haduanna muhammmadu rasulullah, Lailaha'ilallah.

Tiba-tiba adik rasakan nyawa adik bakal berakhir. Wajah ayah, ibu dan saudara-mara terdekat mula muncul melintas di mata adik. Nafas adik rasa tersekat-sekat. Adik boleh merasai air mata mula luluh di mata adik.

Adik minta maaf juga pada ibu, ayah dan saudara-mara. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa adik selama ini. Ibu, halalkan air susumu yang mengalir dalam tubuh adik ini. Ayah, kasih sayangmu memang adik tak akan lupakan sampai bila-bila. Kak Long, Abang Ngah, adik sayang dan rindu pada kalian.

Nafas adik terasa terhenti. Adik rasa sakit. Sakit yang adik tak pernah rasa sebelum ini. Ibarat ada satu benda yang menarik adik keluar daripada tubuh, menyiat-nyiat kulit adik. Pedih, dan perit.

Lintasan bayang -bayang kawan-kawan adik, ahli keluarga adik mula melalui di hadapan mata adik. Kenangan-kenangan manis turut terbayang di mata adik.

Tiba-tiba nafas adik terhenti. Adik dapat rasakan jantung adik tidak lagi berdegup. Semakin lemah, dan akhirnya tiada.

La'ilahaiallah muhammadur rasullullah...

Allah...Allah...

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Suasana jadi hiba di perkarangan ICU. Puan Intan, dan Encik Daud baru sahaja kehilangan seorang anaknya. Anak bongsu dalam keluarga mereka. Kematiannya adalah disebabkan oleh penyakit 'difteria', iaitu satu jenis jangkitan kuman yang boleh dicegah melalui vaksin.

Selama 5 hari anaknya itu bertahan dan berjuang melawan penyakit difteria itu. Akhirnya dia tewas. Beberapa organnya gagal walaupun cuba dirawat.

Puan Intan dan Encik Daud akur. Mereka redha. Perginya anak mereka ini adalah disebabkan oleh kelalaian mereka, yang terlalu sibuk mencari duit sehingga mengabaikan kesihatan dan tanggungjawab terhadap anak mereka.

Kehilangan anak tidak sama dengan kehilangan ibu bapa. Tak kira berapa banyak kali pun seseorang ibu itu melahirkan anak selepas itu, memang sememangnya tidak akan dapat menggantikan anak yang sudahpun pergi. Mereka berdua bertekad, mengarahkan semua anak-anak saudara mereka untuk mendapatkan vaksin. Mereka berjanji, dan bertekad, tidak mahu perkara yang sama berulang kepada orang lain.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience