KISAH 9 TRAUMA II - EMOSI

Short Story Series 3537

Bunyi siren ambulan yang semakin lama semakin kuat membuatkan aku tersedar. Ku buka mataku perlahan-lahan. Memang aku masih dapat merasai darah panas yang keluar daripada bahagian atas kepalaku. Tudungku tadinya yang bewarna cerah, kini bewarna merah kehitaman.

Aku lihat sekeliling, "Masha Allah", terpacul daripada mulutku.

Saat matahari mula memancar menerangi kegelapan mendedahkan segalanya. Aku kira, satu per satu kereta yang terlibat dalam kemalangan. Ada yang remuk, ada yang terbalik. Bau hangit getah tayar yang terbakar memenuhi ruang udara. Serpihan kaca dan plastik memenuhi ruangan, ibarat medan petempuran. Minyak, air radiator dan pelbagai cecair membanjiri jalan tersebut. Cecair yang sebelum ini memenuhi ruangan enjin dan sistem kereta.

Ada juga mangsa yang terperangkap dalam kenderaan, meronta-ronta kesakitan meminta tolong. Beberapa buah ambulans, bomba dan kereta polis peronda telahpun tiba. Kon-kon merah diletakkan bagi memeberi laluan kenderaan lain di lebuhraya. Sekurang-kurangnya, dapat mengalirkan kesesakan jalan yang semakin teruk, lantaran pemanduan perlahan dan sifat ingin tahu manusia daripada kedua-dua belah arah yang menerukkan lagi keadaan.

Segera aku duduk perlahan-lahan. Seorang lelaki beruniform putih pantas menghampiriku. Aku kenal uniform itu, dia adalah seorang medical assistant (MA). Dipapahnya aku ke ambulans kerana keengganan aku untuk diletakkan di atas stretcher.

Bukan aku sombong mahupun larat, cuma aku rasa lebih baik mereka letakkan lelaki yang dilanggar secara head-on tadi. Terus aku tunjukkan MA mangsa tersebut. DIa lebih memerlukan. Mereka berlari bersama pemandu ambulans sambil menyorong stretcher ke arah mangsa yang aku kira paling teruk dikalangan mangsa-mangsa lain.

Fikiran aku, sekurang-kurangnya mangsa lain berada di dalam kenderaan saat kemalangan berlaku, tetapi dia tidak. Dia sedang berdiri di luar keretanya saat dirempuh kereta yang ketiga.

Selesai meletakkan pesakit di atas stretcher, segera mereka menyorongnya masuk ke ambulans yang terbuka luas. MA itu memberitahu aku untuk menuruti mereka sekali.

"Jom doktor!, jom kita pergi hospital!", katanya

Dalam hatiku terfikir juga. Mungkin pengalaman cetek aku dalam bidang perubatan boleh membantu mangsa tersebut. Aku segera masuk kedalam ambulans. MA yang aku kira berusia awal 20-an itu memberi aku gauze. Aku letakkan dan beri sedikit tekanan bagi menghentikan pendarahan di kulit kepalaku.

Selepas itu aku memberi tumpuan sepenuhnya kepada mangsa. MA tersebut telahpun meletakkan topeng oksigen di muka mangsa, saat dia perhatikan bahawa kandungan oksigen dalam badan mangsa yang tertera di skrin kurang daripada 92%.

Aku masih lagi sedikit bingung dan memaksa diri aku dan otak aku untuk berfikir. Segera kuberikan perhatian kepada pesakit, yang masih tidak sedar. Kulihat bibirnya yang bewarna kebiru-biruan, cyanosis, konsisten dengan kandungan oksigen dalam badannya yang rendah. Ku lihat alunan dadanya yang tidak simetri saat dia bernafas.

"Ni mesti pneumothorax!" jeritku kepada MA. Dia mengangguk, bersetuju. Aku mengarahkan MA tersebut mengeluarkan jarum brannula yang paling rendah gaugenya, bermaksud jarum yang paling besar.

Needle decompression. Aku ingat-ingat lupa bagaimana nak melakukan prosedur tersebut, ditambah pula dengan kesakitan kepala aku yang berdenyut-denyut, semakin lama semakin kuat. Lagipun berapa kerap sangatlah pesakit memerlukan needle decompression di wad. Hampir tiada. Ku periksa landmark, tempat untuk mencucuk jarum tersebut. Aku fikir, pesakit tak sedar, tak perlu ubat bius, lagipun keadaan amat mendesak.

Aku cucuk dengan tekanan yang cukup, cukup untuk memberi jarum besar itu menembusi kulit pesakit terus ke arah pleura nya, iaitu ruang yang terletak di antara tulang rusuk dan paru-paru.

Dalam kes pneumothorax, aku jangkakan angin yang menghimpit, menghalang pengembangan paru-paru akan keluar melalui jarum yang aku cucuk. Apabila angin itu keluar, barulah paru-paru dapat mengembang sepenuhnya. Tetapi jangkaan aku meleset.

Yang keluar bukannya angin, tetapi darah. MA tadi yang baru sahaja memasang jarum di tangan pesakit turut melihat perkara itu dengan pandangan yang cuak. Ini bukan perkara biasa, ini sudah teruk!.

"Haemothorax", kataku. 

Aku sambungkan jarum tersebut dengan tiub intravena, bagi mengeluarkan kesemua darah yang menghimpit paru-paru kiri mangsa. MA tersebut terus menggantungkan satu beg cecair yang mengandungi garam galian dipanggil normal saline disambungkan dengan jarum ditangan pesakit bagi menstabilkan tekanan darah mangsa. Tindakan refleksnya yang pantas mungkin mampu mengubah keadaan.

Aku terfikir, sama ada di dalam ambulans itu ada kelengkapan untuk memasukkan chest tube. Malangnya tiada. Saat itu, aku hanya mampu mengeluarkan darah di pleura pesakit perlahan-lahan, sambil menunggu ketibaan ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah, tempat aku bekerja.

Terasa begitu jauh sekali perjalanan itu. Jam 6.15 pagi, ambulans yang dipandu laju tiba di perkarangan wad kecemasan. Ada sedikit kelewatan saat beberapa pemandu-pemandu yang memandu di lorong kecemasan menghalang ambulans daripada bergerak dengan lebih pantas ke hospital.

Tanpa membuang masa, pesakit di bawa ke zon merah. Zon kritikal. Aku ingin membantu, tetapi tidak dibenarkan, Dah cukup ramai doktor dan jururawat serta MA di situ, lagipun aku sendiri pun harus dirawat juga.

Aku menerima 10 jahitan di kepala. Sambil-sambil kepalaku dijahit, sempat juga aku mencuri-curi untuk melihat keadaan pesakit tadi di zon sebelah. Berhempas pulas aku lihat staf di sana. Doktor berlari ke sana sini, arahan demi arahan dikeluarkan. Mereka mencuba dengan usaha yang terbaik, usaha yang bersungguh-sungguh menyelamatkan nyawa pemuda itu.

Malangnya, jam 7.00 pagi, pesakit menghembuskan nafasnya yang terakhir, dan diisytiharkan meninggal dunia...

Wad kecemasan masih dibanjiri pesakit yang terlibat dalam kemalangan tadi. 10 pesakit jumlahnya, termasuk aku. Patah kaki, patah tangan, abrasion wound, laceration wound dan patah tulang rusuk, itulah antara kecederaan yang mereka alami. Dalam keadaan hiruk-piruk sedemikian, sempat juga aku menghubungi suamiku, Hanif.

"Abang, saya terlibat dalam kemalangan", kataku saat dia menjawab panggilan.

"Inalillah. Sayang okay tak? Ada kecederaan apa-apa?", katanya. Suaranya bercakap dalam nada yang resah gelisah.

"Ina okay abang. Tapi kereta total lost", kataku. 

Aku dah tahu benar perangai suamiku mengenai betapa dia tekankan penjagaan kereta. Calar sikit digilapnya secepat mungkin. Bengkok sedikit, segera dia hantarkan ke mekanik. Sayang dengan keretanya, dan juga keretaku. Aku teringat dia mempunyai satu buku nota kecil, di situ tertulis segala-galanya tentang kereta aku dan dia. Mileage, service terakhir, roadtax, tarikh tamat tempoh pemanduan dan lain-lain. Ala lelaki, kau tahu-tahulah saja. 

"Tak, abang tak kisah pasal semua tu, yang penting awak... Abang ke tempat sayang secepat mungkin", katanya. Aku menunggunya di wad kecemasan.

Hanif tiba di hospital sejam kemudian. Dia memeluk erat-erat tubuhku saat betemu di situ. Ku rasakan betapa leganya dia. Betapa tuhan memakbulkan doanya untuk aku. Doa untuk aku selamat. Aku tidak apa-apa. Selamat tanpa kecederaan yang kekal.

Seterusnya aku harus ke balai polis trafik, membuat laporan, menceritakan apakah yang berlaku sehingga menjadi punca penglibatan 6 buah lagi kenderaan dalam kemalangan tersebut.

Laju, gelap dan tidak sempat mengelak.Itulah punca bagaimana satu per satu kenderaan terlibat dengan kemalangan tersebut. Ditambah pula dengan lokasinya yang berdekatan dengan selekoh, menjadi titik buta (blind spot) pemandu-pemandu lain.

Otak aku masih memproses lagi apa yang berlaku. Terlalu laju. Segalanya berlaku dengan pantas. Saat aku kesakitan, perasaan lega akibat masih lagi berpeluang untuk bernafas di bumi tuhan perlahan-lahan bertukar kepada perasaan cuak dan rasa bersalah..

Ditambah pula dengan pihak polis yang menuding jari kepada aku. Menyalahkan aku. Mengatakan akulah puncanya. Akulah sebabnya. Akulah sebabnya kemalangan dan menyebabkan kematian seorang mangsa.

"Kalau bukan pasal awak, tak jadi tau semua benda ni....saya tak tahu awak dapat lesen memandu dari mana!"

Ayat seorang inspektor polis trafik tersebut menambah-nambah lagi rasa bersalah dalam diri aku. Saat itu Hanif perasan riak wajahku bertukar. Perhubungan kami selama 2 tahun sudah cukup untuk dia memahami isterinya ini. Apa yang sedang aku fikirkan, apa yang sedang aku rasakan dan lain-lain telah dapat dibaca olehnya.

Dipimpinnya aku keluar daripada balai polis. Aku mula tertanya-tanya, memikirkan ayat yang dikatakan kepadaku oleh inspektor polis itu. Akukah yang bersalah sepenuhnya? Akukah penyebab kematiannya? Tindakan refleks aku mengelak objekdi tengah lebuhraya itu salahkah? Salah sepenuhnya?

Aku meminta Hanif menghantar aku ke hospital semula daripada balai polis trafik. Dia hairan. Seboleh-bolehnya dia ingin membawa aku pulang. Aku pula seboleh-bolehnya ingin ke hospital semula. Aku tak beritahu sebabnya, Sebab mengapa aku ingin ke bilik mayat hospital tersebut. walaupun Hanif tahu apa tujuanku. 

Hanif akhirnya akur dengan paksaan dan desakan aku. Dipandunya perlahan ke tempat meletakkan kenderaan yang terletak di belakang hospital. Aku keluar daripada kereta. Hanif menuruti aku daripada belakang.

Aku berjalan ke arah bilik mayat hospital itu. Dalam hatiku cuma satu. Aku nak minta maaf kepada waris pesakit sekiranya mereka berada di situ.. Aku nak minta maaf atas kecuaian aku memandu, atas segalanya yang menyebabkan kematian seorang manusia kalau-kalau dia ada.

Ku lihat seorang wanita berumur 30-an bersama anak kecil di pintu masuk bilik berkenaan. Matanya bengkak. Merah. Dapat kulihat kesan air mata yang telah mengering di pipinya. Anaknya berusia 3 tahun itu tertanya-tanya.

Kenapa ibu menangis? Di mana ayah? Mengapa kita ke sini? Untuk apa? Ibunya memeluknya dengan rapi. Erat. SI kecil termangu-mangu, tak tahu apa-apa.

Budak kecil, apalah yang mereka tahu. Mereka tidak mampu memproses maklumat serumit itu. Ayahnya yang telah ke alam barzakh. Masa depannya yang bakal dipenuhi pancaroba dan liku-liku kehidupan saat membesar tanpa ayah. Tanpa ketua keluarga. Segalanya bakal ditanggung oleh ibunya, yang kini bergelar ibu tunggal.

Ku lihat seorang MO keluar daripada pintu bilik tersebut, membawa borang di tangannya sambil bercakap-cakap dengannya. Habis sahaja ayat itu, si ibu yang tadinya berdiri, tiba-tiba jadi lemah longlai. Dapat kudengari si ibu menangis semula. Semakin kuat. Teresak-esak. Di sisinya, anak perempuannya yang masih bingung. Hairan.

Aku cuba melangkah ke arah mereka berdua. Aku ingin meminta maaf. Ini semua sebab aku. Akulah puncanya. Akulah yang menyebabkan segalanya. Akulah yang membunuh bapa mereka. Aku ingin memohon keampunan.

Langkah ku dapat kurasakan semakin berat, ibarat kaki aku ditambat oleh satu kuasa yang amat kuat. Ibarat ada sauh yang mengikat kedua-dua kakiku. Lebih kurang beberapa meter daripada mereka, langkahku terhenti. Kaku. Kaget. Pergerakkanku ibarat beku. Perasaan bersalah, berbaur dengan rasa simpati, sedih dan hairan mengapakah aku yang diuji sebegini mula bermukim di hatiku.

Perasaan yang akhirnya menyebabkan segala fizikal, pergerakan aku terhenti. Aku terdiam, tergamam. Lidah aku kelu. Tekak aku ibarat kering dengan tiba-tiba. Pahit. Saat itu kurasakan tangan kanan Hanif memegang bahuku.

"Sudah sayang, sudah. Benda dah terjadi. Baik kita jangan hampiri mereka, sekejap lagi semakin teruk pula keadaanya", bisik suamiku, seakan-akan boleh membaca pemikiran aku yang telah buntu ini. Dipegangnya tanganku dengan lembut, menarik aku kembali ke kereta. Aku menuruti tanpa membantah. Kurasakan segalanya kosong.

Sekembalinya aku dalam kereta, tiba-tiba sahaja kurasakan perkara ini terlalu berat untuk dipikul. Untuk ditanggung oleh insan bergelar Zalina ini. Air mata mula berjuraian membasahi pipi. Aku mula menangis, melepaskan segalanya yang terbuku di hati. Walaupun perkara ini baru sahaja berlaku beberapa jam yang lepas, kurasakan perkara ini memenuhi segenap ruang pemikiranku seolah-olah terbuku selama puluhan tahun. Kulepaskan segalanya dalam tangisan, dalam rintihan.

Andai tuhan dapat berbicara, akan kulontarkan soalan demi soalan ini. Mengapa aku? Mengapa bukan orang lain? Adakah ini rahmat? Atau sebagai ujian? Atau ini dugaan? Apakah salahku? Tak cukupkan kau menguji aku dengan cabaran sebagai seorang doktor? Aku mula mempersoalkan segalanya, seolah-olah menyalahkan takdir. Menyalahkan tuhan mengapa aku yang harus tanggung segalanya.

Aku menangis teresak-esak.Hanif hanya mampu memandangku. Pandangan yang simpati. Kasihan. Pandangan yang dia sendiri tahu, tidak dapat menolong aku. Tidak dapat mengundurkan masa. Ku lihat juga, matanya mula berkaca saat dia menggenggam erat tangan kananku.

"Ina... sayang sabar ya", itu sahaja yang termampu dia ucapkan. Suaranya yang tersekat-sekat jelas menunjukkan bahawa dia juga bersedih.

"Apa-apa yang berlaku sekalipun, abang akan sentiasa ada bersama. Abang janji. Apa-apa hal mari kita balik rumah kita, jumpa ayah dan ibu?"katanya.

Kemudian dia menyambung, "Kalau sayang dah bersedia, kita gerak ke Sungai Petani terus. Abang takkan mula memandu selagi sayang tidak bersedia. Abang ada di sini. Sayang kuat, tabah. Kita tempuhi cabaran ini bersama"

Tak kira badai ombak melanda. Tak kira taufan mendatang. Tak kira kilat sabung-menyabung. Tak kira apa sekalipun, Aku tahu Hanif akan sentiasa berada di sisiku. Aku mengenali sikapnya, yang bukan hanya sekadar berkata-kata untuk nak menyedapkan hatiku. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Aku tahu dia sanggup menggadaikan nyawanya untukku. Sanggup bekorban apa saja demi isterinya ini...

BERSAMBUNG

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Cerpen bersiri ini adalah berdasarkan pengalaman sebenar sahabat saya, seorang doktor yang bekerja di jabatan pembedahan dahulu bersama saya. Beliau secara sukarela menceritakan kejadian yang berlaku sekitar tahun 2013, apabila beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan 7 buah kenderaan dan beberapa orang mangsa.

Nama beliau ditukar walaupun lokasi kejadian latar masa adalah berdasarkan kejadian yang berlaku. Beliau kini sudahpun bergelar seorang medical officer dan masih berkhidmat di hospital kerajaan. Berikut adalah mesej yang disampaikan kepada saya untuk tatapan pembaca.

"Kini, aku sudahpun bergelar medical officer. Aku pernah menceritakan kejadian ini kepada Dr Onn Azli, dan terkejut aku bila beberapa minggu lepas dia mesej kepada aku untuk meminta kebenaran menulis kisah dan titik hitam di dalam hidup aku ini. Kisah ini boleh memberi pengajaran terhadap orang ramai yang doktor juga bisa sakit, bisa memerlukan rawatan, doktor juga seorang manusia biasa. Semua yang terjadi pasti ada hikmahnya, dan Allah tidak akan membebani hambanya melebihi kemampuanya"

Dialog, watak dan beberapa kejadian ditambah bagi menjadikan cerita ini lebih menarik. Cerpen ini bersama cerpen-cerpen lain ada di post di saya.

Kalian boleh follow saya di sana juga. Please follow my fb @drsharky88 for more great articles and short stories. Please do report to me via PM if you find someone is altering, copy pasting without permission or plagiarism. Thank you

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience