KISAH 1 - GULI YANG BERGOLEK

Short Story Series 3537

Aku masih ingat lagi satu kejadian yang berlaku pada tahun 2011, yang mana pada ketika itu aku merupakan seorang pelajar perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM), dan berada di tahun 4 pengajian. Sewaktu itu aku bersama beberapa kumpulan pelajar lain ditempatkan di wad 2 Intan, yang mana berada di dalam rotation posting surgeri (pembedahan).

Posting di jabatan ini memerlukan kami mengisi logbook dan mencari serta membentangkan sebanyak mungkin kes pembedahan kepada medical officer (MO) dan doktor pakar bedah. Salah satu kes yang selalu aku jumpa di sini adalah kes jangkitan pundi hempedu, di mana dalam terminologi perubatannya dipanggil sebagai cholecystitis.

Terdapat beberapa risiko untuk seseorang itu mengalami cholecystitis, dan salah satu risiko utamanya adalah gallstone, iaitu pembentukkan batu di pundi hempedu. Gallstone atau cholelithiasis ini lain dengan batu karang yang terbentuk di organ buah pinggang, dan selalunya, batu ini terbentuk adalah disebabkan oleh faktor penyakit yang dialami oleh pesakit seperti tinggi kolesterol.

Walaupun dinamakan batu, tetapi gallstone ini sebenarnya terbentuk daripada gumpalan-gumpalan kolesterol, yang mana akan memakan ruang di dalam pundi hempedu di mana lama kelamaan, risiko untuk pesakit terkena jangkitan kuman di situ meningkat. Keadaan ini memerlukan rawatan antibiotik, dan kadangkala memerlukan rawatan pembedahan sekiranya antibiotik gagal menghilangkan gejala yang dialami oleh pesakit.

Pesakit yang aku jumpa ini bernama Mustafa, seorang lelaki berumur 54 tahun yang berbadan sedikit gempal. Peskait ini sama seperti mana-mana pesakit lain yang mengalami masalah ini, cuma apa yang lainnya untuk dirinya adalah ini merupakan kali kedua serangan penyakit ini yang mana dia merasakan sakit di belah kanan dadanya yang berdenyut-denyut bersama dengan demam, muntah-muntah dan loya tekak.

Agak pelik pada awalnya kerana pada kali pertama serangan, mengikut Encik Mustafa, dia tidak mendapatkan rawatan dengan mana-mana doktor pun, sebaliknya, dia berubat dengan seorang bomoh di kampungnya yang bernama Tok Habib. Katanya, setelah Tok Habib mengambil beberapa butir kaca yang berbentuk seperti guli dan menggolek-golekkannya ke atas dadanya, kurang 3 hari selepas itu Pakcik Mustafa sihat sepenuhnya.

Dia memerlukan bayaran sebanyak RM30 untuk sehari, dan Pakcik Mustafa membayarnya RM90 kerana Tok Habib perlu datang ke rumahnya setiap hari untuk upacara 'menggolekkan guli' tersebut, dan bayaran tersebut diminta untuk dia membeli guli-guli tersebut disamping bayaran minyak untuk ke rumahnya yang terletak lebih kurang 5 minit itu.

Tapi kali ini nampaknya rawatan tersebut tidak mendajadi. Dah lebih 5 hari Tok Habib menggolekkan gulinya, dan bayaran pun dah mencecah RM150, namun keadaan Pakcik Mustafa masih lagi tidak sihat. Anak pakcik Mustafa, Azizan akhirnya berjaya memujuk ayahnya itu untuk ke hospital. Ultrasound scan dibuat menunjukkan bahagian pundi hempedu Pakcik mustafa mempunyai batu, dan membengkak, sedikit sebanyak mengesahkan diagnosis cholecystitis.

Antibiotik dimulakan. Namun, para jururawat di wad 2 itu menghadapi kesukaran untuk memulakan rawatan kerana Pakcik Mustafa melarang mana-mana doktor untuk mencucuk jarum di tangannya. Dia masih bertegas dan bertikam lidah dengan Azizan dan isterinya untuk memanggil Tok Habib, dan meneruskan rawatan 'golekkan gulinya" itu kerana katanya, hal itu tidak menyakitkan dirinya. Dia marah dan benci akan pihak hospital yang tak habis-habis ingin mencucuk dan mengambil darahnya, dan menuduh salah seorang doktor pakar, Dr Azizi sebagai melakukan eksperimen dan kajian terhadapnya.

Saat tekanan darahnya mulai turun naik, dan demamnya semakin teruk, akhirnya Pakcik Mustafa mengalah. Dia membenarkan sahaja doktor mencucuknya dengan syarat, Tok Habib datang setiap hari dan memberikan rawatannya bersama. Aku menghampiri anaknya, Azizan pada suatu hari dan berbisik untuk bertanyakan jumlah bayaran yang kali ini dikenakan oleh Tok Habib.

"Rm50 adik. Jauh katanya, lepastu susah nak parking. Tapi, dah ayah berdegil nakkan dia ada sama, apa boleh buat?", kata Azizan sambil mengeluh panjang.

Saban hari, keadaan Pakcik Mustafa tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia akan pulih. Setelah rawatan antibiotik tidak berjaya, langkah seterusnya adalah pembedahan. Dr Azizi menghampirinya pada suatu hari, dan aku dapat rasakan dia sudahpun bersedia dengan strateginya tersendiri untuk memujuk pesakitnya itu untuk menjalani pembedahan.

"Mana boleh doktor, doktor kata, lepas bagi ubat ni akan elok, ini sama sahaja. Macamana doktor boleh pasti keadaan sebegini akan elok jika dibedah?", tanyanya sejurus sahaja Dr Azizi bercakap mengenai pembedahan laparoskopik itu.

"Ya, sebab kami rasa jangkitan tu dah bernanah, dan menyumbat saluran pundi hempedu pakcik tu. Itu sebabnya memerlukan pembedahan ni pakcik", kata Dr Azizi.

"Tok rasa macamana? Patut ke saya lakukan pembedahan? Atau Tok rasa Tok memerlukan masa untuk guli tu betul-betul menyerap kesemua kuman yang ada ni?", kata Pakcik Mustafa sambil bertanya kepada Tok Habib yang duduk disebelahnya.

"Ya, memang saya memerlukan sedikit masa lagi utnuk sembuh sepenuhnya", kata Tok Habib.

"Kalau macam tu, saya tak setujulah dengan pembedahan", kata pesakit. Azizan yang berdiri di sisinya menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Beginilah Pakcik. Bila kita bedah nanti, kita akan potong sedikit bahagian kulit tu kan? Masa tu, kami panggil Tok sekali masuk dewan bedah, dan tengok. Kalau dia nampak nanah tu, bolehlah dia letakkan gulinya dan menyerap semua kuman tu, sambil tu kami keluarkan sekali pundi hempedunya itu, boleh?", tiba-tiba sahaja Dr Azizi memberi cadangan sedemikian membuatkan seorang doktor di belakangnya tersenyum.

Pakcik Mustafa memandang muka Tok Habib. Tok Habib mengangguk tanda setuju.

"Baiklah, boleh kalau macam tu. Asalkan Tok ada, saya rasa selamat sedikit", kata Pakcik Mustafa seraya menandatangani borang kebenaran untuk melakukan pembedahan itu.

"You, later you guide this fellow to our operation theater ya adik", kata Dr Azizi kepadaku, menyuruh aku membawa Tok Habib ke bilik untuk menukar baju dan ke dewan bedah apabila saatnya sampai nanti.

Pada sebelah petangnya, terdapat kekosongan di dewan bedah kecemasan, dan kes Pakcik Mustafa diletakkan dengan segera. Aku membawa Tok Habib ke dewan bedah, sambil mulutku tak henti-henti bercakap mengenai konsep steriliti. Iaitu mana-mana kain hijau di dalam bilik pembedahan tidak boleh disentuh, kerana takut jangkitan kuman.

Tok Habib membawa satu beg kain kecil, berisi beberapa butir guli kaca, yang mana bentuknya kelihatan sebagai guli kaca yang selalu digunakan dalam perhiasan akuarium. Aku mendiamkan diri sahaja, dan memberinya baju bewarna ungu untuk pesalinan itu.

"Guli ini bukan guli biasa. Ini guli kristal yang Tok dapat semasa mempelajari ilmu perubatan tabib di SIam", tiba-tiba dia memberitahuku.

Aku mengangguk sahaja. Aku sendiri pun sebenarnya tidak tahu nak memberi respon bagaimana kepadanya. Perasaan aku sendiri pun agak marah juga sebenarnya. Mana taknya, sudahlah mengenakan bayaran mahal-mahal kepada pesakit, dan walaupun dah setahap sebegini pun, masih lagi tak mahu 'back down' dan biarkan doktor merawat sahaja pesakit tanpa banyak bicara.

Namun, walaupun aku marah, aku masih perlu menghormatinya, yang jauh lebih tua daripada aku. Aku cuba bercakap dengan lembut, dan mendiamkan diri sahaja setiap kali dia mulai menyampuk dan menceritakan kehebatannya dalam merawat pesakit yang berkait rapat dengan pesakit bahagian hati, walaupun dia sendiri pun aku dengar agak 'confuse' di antara organ hati dengan jantung. 

Berkali-kali dia cuba menceritakan kepadaku hati pesakit ini rosak, dan dia mengatakan fungsi hati ini adalah untuk mengepam darah ke bahagian lain, apabila dijangkiti kuman, guli-guli yang diletakkan pada kulit itu mampu meresap melalui proses 'osmosis'katanya.

Aku menahan gelak mendengar kata-katanya kadangkala, dan yang paling aku tak menahan adalah sewaktu menukar baju, apabila dia melihat tubuhku yang agak kurus, dia menawarkan perkhidmatan untuk men'scan' tubuhku, kerana takut-takut ada penyakit berkaitan rohani kerana katanya, setiap orang yang kurus pasti mempunyai penyakit rohani. Aku mengangguk sahaja, dan berdoa dalam hatiku agar dia cepat menukar baju, dan 'cut the bullshit' secepat mungkin.

Setibanya di dewan bedah, perangai Tok Habib makin menjadi-jadi. Dengan selamba dia menegur Dr Azizi, dan mengatakan cara dan teknik pembedahannya itu salah. Lokasi salah, pemotongan terlalu laju dan lain-lain. Aku lihat first assistant Dr Azizi, Dr Lakshmi menggeleng-gelengkan kepalanya. Marah, tetapi mendiamkan diri. Melihat gerak badannya, orang lain tahu dia agak bengang dengan Tok Habib, nmaun orang tua tu buat bodoh sahaja.

Aku memandang tinggi dengan penuh rasa hormat kepada Dr Azizi. Dia doktor pakar, dan dia hanya melayankan sahaja segala arahan dan suruhan, di mana tiba satu masa, dia siap meminta pandangan Tok Habib lagi. Aku lihat, jururawat OT tersengih-sengih melihat gelagat kedua-duanya. Setelah beberapa ketika, akhirnya, pundi hempedu Pakcik Mustafa berjaya dikeluarkan.

Setelah meletakkan di dalam kidney dish, dan mengambil gambar keadaan pundi hempedunya, Dr Azizi memberitahu dengan selamba kepada Tok Habib

"Tok, ada baiknya kalau nak guna guli tu masa ni, boleh letak dalam kidney dish ni kalau nak".

Tok Habib tiba-tiba menggelengkan kepalanya. Aku dapat lihat air mukanya, walaupun dia memakai surgical mask, yang sebenarnya dia pun geli dan takut untuk melakukan apa-apa terhadap spesimen itu. Aku rasa, itu mesti kali pertama dia melihat organ pundi hempedu.

Terdapat banyak ketulan-ketulan bewarna kuning, menunjukkan bahawa Pakcik Mustafa, selain daripada mempunyai jangkitan kuman pada pundi hempedunya, dia juga mempunyai banyak 'batu', yang dipanggil sebagai gallstone. Sebenarnya, gallstone ini merupakan salah satu punca jangkitan kuman yang dipanggil cholecystitis ini.

Pembedahan itu dikira berjaya, yang mana tanda-tanda demam dan sel darah putih Pakcik Mustafa kembali normal. Dia ditemani oleh anaknya, Azizan. Dr Azizi yang pada satu hari membuat morning round terus bertanya kepada Pakcik Mustafa, di mana perginya Tok Habib, kerana sejak habis daripada pembedahan, dia langsung tidak kelihatan di wad.

Pakcik Mustafa sedang tidur, dan anaknya Azizan yang duduk disebelahnya memberitahu

"Tok Habib dah balik. Dia kata dia tak perlu dah berada di sini memandangkan ayah dah sembuh. Haritu dia kata pada saya, kalau bukan kerana dia, sudah tentu pembedahan ayah ni gagal. Dia kata dia banyak betulkan kesilapan yang Dr Azizi buat. Cuma itulah dia kata, sebab dia dah habis rawat ayah, tak perlu dah dia berada di sini"

Kata-kata Azizan membuatkan ramai diantara kami tergelak. Air muka Dr Azizi yang pada awalnya serius, turut tersenyum. Azizan kemudian berdiri, merapati Dr Azizi dan kami semua yang berdiri sedikit jauh daripada katil ayahnya. Belum sempat Dr Azizi bercakap, terus dia dipotong oleh Azizan yang bercakap dengan nada perlahan

"Sebenarnya doktor, saya tahu apa yang jadi. Terpaksa cakap macam tu nak jaga hati ayah, lagipun, saya yang suruh Tok Habib balik, sebab kalau dia ada di sini, habislah duit kami dia minta. Lagi satu, lepas keluar dewan bedah tu, dia nampak tak sihat dan demam-demam. Saya ada call anak dia, yang kata ayah dia memang tak boleh tengok darah. Jadi lemah semangat dan gugup sampai nak pitam"

Dr Azizi yang tadinya sengih kini tergelak pula. Kami semua pun sama. Peristiwa golekkan guli-guli ni betul-betul merupakan salah satu peristiwa yang menjadikan morning round dan kelas bersama Dr Azizi menjadi sebegitu menarik dan ceria sekali. Memanglah pakar bedah semua serius-serius belaka, namun, di sebalik itu semua, ada satu dua kisah yang sehingga sekarang menyebabkan aku berasa seronok dan tertawa apabila terkenangkan kembali peristiwa ini.

Aku berasa amat kagum dengan cara Dr Azizi melayan kerenah pesakit yang bermacam-macam ini. Memanglah mungkin ada SOP hospital yang dilanggar, namun, aku rasa itu tidak mengapa kerana tujuannya cuma satu, iaitu menyelamatkan nyawa pesakit. Tak kira lah apa cara pun, asalkan bukan dnegan menggunakan guli-guli yang digolekkan.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience