KISAH 8 - DOSA YANG TERPALIT I

Short Story Series 3537

Sudah masuk hari kedua Puan Siti dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), namun dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda perkembangan yang positif. Pada awalnya, dia dimasukkan ke wad otopedik, iaitu wad yang terdiri daripada pakar-pakar pembedahan tulang dan mempunyai pengkhususan di dalam menangani kes-kes berkaitan kemalangan jalan raya dan trauma lebih kurang 4 hari lepas.

Namun, setelah hari kedua dia dimasukkan ke wad otopedik, doktor pakar mendapati kecederaan di bahagian kepalanya yang menyebabkan pendarahan di otaknya memerlukan pembedahan segera. Walaupun setelah berjam-jam pakar bedah neurologi bertungkus-lumus membuang seberapa banyak darah beku di otaknya, disamping membuang sebahagian tempurung kepalanya untuk membenarkan tekanan tinggi di dalam tempurung kepalanya pergi, keadaannya tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia akan pulih.

Sewaktu itu, aku merupakan seorang house officer (HO) yang bertugas di ICU sebuah hospital yang terletak di Kedah. Aku bolehlah dikatakan sebagai seorang HO yang agak senior memandangkan posting di jabatan anaesthesiology ini merupakan posting terakhirku sebelum aku bergelar medical officer (MO).

Sebaik sahaja pembedahan di kepalanya dibuat tempoh hari, pesakit ini terus dihantar ke ICU, di mana para jururawat sememangnya merupakan pakar dalam menjaga pesakit-pesakit yang sangat kritikal ini. Dari segi feeding, ubat-ubatan dan pernafasan Puan Siti kebanyakannya dikawal oleh mesin, kerana dia sendiri tidak mampu untuk bernafas tanpa bantuan mesin yang dipanggil ventilator itu.

Pagi itu, seorang jururawat yang bernama Norli itu datang dan memberitahu aku sesuatu.

"Doktor, temperature badan patient ni tinggi juga, 38.3 darjah celcius", katanya sebaik sahaja terlihat aku sampai daripada dewan bedah.

"Oh, ye ke, saya rasa saya kena ambil blood culture untuk pesakit ni", aku berkata kepada staff nurse (SN) Norli.

"Haa, elok juga tu, tapi ni akak nak kemas katil, tukar lampin dan mandikan pesakit sebentar doktor, nanti lepas tu lah doktor buat ya", katanya.

Aku mengangguk sahaja tanda bersetuju. Aku berjalan merapati sebuah komputer yang terletak di kaunter jururawat. Aku membuka fail pesakit ini dan membaca rentetan peristiwa bagaimana dia boleh dimasukkan ke hospital 8 hari lepas.

Mengikut sejarah dan pertanyaan seorang doktor di wad kecemasan, pesakit dimasukkan ke hospital kerana kemalangan motorsikal. Dia dikatakan keluar ke kedai untuk membeli Panadol, kerana dia mengalami demam dan sakit di bahagian perutnya sejak beberapa hari lepas. Sewaktu dia cuba membelok keluar daripada simpang rumahnya, di mana tiba-tiba ada sebuah kereta meluncur laju di jalan besar dan melanggarnya daripada tepi.

Pelanggaran ini menyebabkan dia terpelanting, dan mengalami patah tulang kaki. Tetapi sewaktu itu, dia masih sedarkan diri. Hanya setelah dia dibedah, di mana sebatang besi dimasukkan di tulang pahanya barulah dia mulai tak sedarkan diri. Apabila doktor mengulang sekali lagi Computed Tomography Scan (CT Scan) otaknya barulah mereka mendapati ada pendarahan yang tiba-tiba muncul.

CT Scan yang dibuat kali pertama di jabatan kecemasan tidak menunjukkan tanda-tanda pendarahan di kepala. Dan kini, hari keempat dia dimasukkan ke hospital, di mana 2 hari pertama dia ditempatkan di wad otopedik. Suhu badannya sewaktu dia di wad tersebut normal. Otak aku mulai ligat untuk memikirkan mana puncanya demam pesakit ini.

Aku sudah faham benar mengenai pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital yang tiba-tiba demam akibat dijangkiti kuman daripada hospital sendiri. Namun, untuk pesakit ini, dia sememangnya sudah demam dan sakit perut sebelum kemasukkannya ke hospital lagi.

Aku terfikit untuk menghantar ujian blood culture memandangkan darah pesakit ini tidak pernah lagi dihantar. Ujian blood culture ini adalah untuk mengenalpasti jenis bakteria atau mikroorganisma yang terdapat dalam badan pesakit ini. Nama kultur ini adalah kerana para staf makmal perubatan akan menunggu beberapa hari dan melihat jika ada kuman yang tumbuh dalam masa beberapa hari selepas darah ini dihantar. Aku mulai menekan-nekan butang yang terdapat di skrin komputer untuk mencetak stiker untuk pesakit. Di hospital ini, stiker ujian darah perlu dicetak sekiranya aku hendak menghantar ujian darah mana-mana pesakit.

Aku menuju ke arah katil pesakit ini dan telah pun menyediakan satu set blood culture, di mana set ini perlu bagi aku mendapatkan darah pesakit dalam keadaan yang sterile. Ujian ini perlu dilakukan sedemikian kerana takut-takut bakteria atau kuman yang terdapat pada kulit pesakit masuk kedalam tiub darah pesakit, menyebabkan keputusan ujian darah pesakit ini tidak tepat.

Aku lihat, SN Norli masih belum siap menukar lampin pesakit. Apabila dia terlihat aku di situ, segera dia panggil aku untuk mendekati pesakit.

"Doktor, tengok ni, pesakit ni ada discharge", katanya.

"Mana kak?", aku bertanya untuk memastikan di mana bendalir yang diperkatakan oleh SN Norli.

SN Norli menunjukkan bahagian alat kelamin pesakit tersebut, di mana terdapat bendalir bewarna hijau keluar. Aku segera mengambil kapas untuk menghantar swab culture, di mana konsep ujiannya sama dengan blood culture, cuma spesimennya sahaja yang lain.

Aku hairan, mengapa pesakit ini mempunyai vaginal discharge sedemikian, yang mana mengikut pengalaman dan pengetahuan aku di dalam bidang perubatan, ada satu jenis mikroorganisma yang menyebabkan vaginal discharge bewarna hijau itu, iaitu Gonorrhoea.

Aku yakin semua orang tahu dan pernah mendengar penyakit Gonorrhoea ini, yang mana menjangkiti golongan-golongan yang mengamalkan seks bebas serta golongan pelacur dan golongan yang mengamalkan seks dengan kaum sejenis.

Gonorrhoea merupakan satu penyakit bawaan seks, atau selalu kita dengar sebagai STD (Sexually Transmitted Disease). Aku mulai berfikir yang bukan-bukan terhadap pesakit ini. Aku ingin bertanya, tetapi mana mungkin aku boleh bertanya pada pesakit yang tidak sedarkan diri ini. Mahu tidak mahu, aku perlu bertanya waris terdekat pesakit, dan pada pesakit ini, suaminya.

Aku memanggil suami Puan Siti yang duduk diluar ICU memandangkan waktu itu bukan waktu lawatan hospital. Lelaki berusia awal 30-an itu, berjanggut lebat, berkopiah putih dan berjubah bangkit dari kerusi yang diletakkan di hadapan pintu masuk ICU berjalan menuju ke arahku.

Aku mulai nak bertanya atas perkara yang aku baru sahaja dapat tahu, tetapi aku terfikir juga, sebagai seorang perawat, aku harus melindungi privasi pesakit serta tidak boleh sewenang-wenangnya menceritakan apa-apa sahaja kepada waris pesakit.

Peraturan ini digelar sebagai privacy and confidentiality, yang mana seorang doktor tidak boleh menceritakan mengenai penyakit-penyakit atau apa-apa findings kepada waris pesakit tanpa persetujuan pesakit. Undang-undang ini dipandang remeh oleh kebanyakkan staf-staf kesihatan yang aku kira sesuka hati sahaja bercerita mengenai pesakit kepada orang lain.

"Encik Adam, ada tak sebelum ini isteri En Adam berbuat sesuatu yang pelik? Atau sesuatu yang tak elok?", aku memulakan pesoalan dengan penuh hati-hati.

"Setahu saya tiada doktor, mengapa? Ada apa-apa perkembangan terbaru ke?", jawabnya sambil melontarkan soalan kembali kepadaku.

"Oh, tiada, Puan Siti cuma demam sahaja. Boleh cerita sedikit tak apa yang berlaku sebelum dia keluar malam itu?", aku cuba mengorek kisahnya sedikit demi sedikit.

"Dia sakit perut doktor. Lepas tu, pagi sebelum dia keluar beli panadol tu, dia ada beritahu saya dia berasa sangat sakit ketika kencing. Dia ada mengadu dia kencing berdarah, tetapi malam tu saya terlalu penat untuk keluar belikan dia ubat, tu yang saya benarkan dia keluar untuk beli ubat", katanya seraya menyambung,

"Ini semua silap saya doktor. Saya ikutkan sangat keletihan saya sampaikan malam itu, kalaulah saya yang keluar bersama dia untuk beli ubat, sudah tentu dia tak terlibat dalam kemalangan sebegini"

Gaya bahasa badannya dan mimik muka Encik Adam jelas menunjukkan penyesalannya. Matanya mulai berkaca saat dia mula berkongsi kepadaku mengenai perkara yang berlaku.

"Kami berdua selalu gaduh baru-baru ini. Adakalanya sampai sebulan tak bertegur sapa kerana dia seringkali marah kepada saya yang selalu lewat balik kerja. Dia sangka saya bermain kayu tiga di belakangnya. Dia selalu marahkan saya yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap anak-anak." dia menyambung.

"Encik Adam ada berapa orang anak?", aku bertanya

"3 orang doktor" jawabnya ringkas.

"Selain daripada kencingnya sakit, sakit perut dan demam ada apa-apa lagi ke?"

"Tiada apa-apa lagi doktor, itu sahaja"

Aku mulai masuk semula ke ICU dan meneruskan tugasan aku seperti biasa. Masih ramai pesakit lain juga yang memerlukan tumpuan bagi membuat pelan perawatan. Selain itu, aku juga harus ke dewan bedah bagi membantu memberi ubat tidur serta melihat beberapa prosedur yang aku tidak pernah lihat sebelum itu.

Sehari kemudian, aku hadir ke wad awal pagi lagi bagi membuat rondaan terlebih dahulu untuk pesakitku. Sedang aku sibuk menulis laporan pesakit, tiba-tiba telefon yang terletak bersebelahan aku berbunyi. Bunyinya yang membingitkan telinga menyebabkan aku terus jawab.

"Salam doktor, ini daripada bahagian makmal, keputusan darah pesakit Siti dah keluar, nanti doktor check komputer ya", kata seorang pegawai makmal perubatan.

"Baik, nanti saya periksa, terima kasih banyak-banyak ya", kataku.

Aku segera log masuk ke akaun aku untuk memeriksa keputusan ujian darah Puan Siti.

BERSAMBUNG........

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience