KISAH 9 - TRAUMA III - PTSD

Short Story Series 3537

Aku mengangguk saat dia bertanya sekali lagi untuk pulang ke rumah, atau kemana-mana sekalipun. Dia turuti. Hanif memandu perlahan. Pulang semula melalui lebuhraya yang sama. Lebuhraya yang berlakunya tragedi. Lebuhraya yang umpama disumpah atas namaku. Lebuhraya yang sial.

Aku didakap kedua-dua ibu bapaku. Berjuraian air mata kasih ibu. Aku tahu, ibu risau. Aku tahu, ibu tak henti-henti berdoa untuk ku. Ku tenung wajah ayah. Wajah tua yang sedikit cengkung, penuh dengan 1001 perasaaan. Penuh dengan rasa kesyukuran taktala memandang anaknya yang masih bernafas, masih boleh berjalan seperti insan normal.

Ayah yang tadinya berdiri diam, menghampiri aku dan ibu yang sedang berpelukan. Dia mendepakan kedua-dua tangan seluas-luasnya. Mendakap ibu dan aku. 2 perempuan yang seolah-olah dunia baginya. Perempuan yang disayanginya, yang membuatkan dia terus kuat untuk hidup.

Aku menuruti mereka masuk ke ruang tamu. Ibu dah pun membancuh air kopi dan pisang goreng kegemaranku. Istimewa. Hanya ibu sahaja yang mampu membuatnya. Tiada yang lain-lain. Tiada yang serupa. Segera aku makan air tangan ibu itu. Terasa betapa laparnya aku. Betapa terbebannya otakku ini yang daripada pagi membakar sekalian kalori dalam tubuhku.

Hanif menyuruh aku ke bilik tidur. Berehat. Terlalu banyak perkara yang telah aku lalui daripada pagi tadi. Otak aku perlukan masa untuk berehat. Perlukan masa untuk meredakan saat pancaran demi pancaran disekalian saraf-saraf otakku mengingatkan aku kembali kemalangan itu. Ku pejam mata di bantal empuk itu.

Kegelapan malam bermula apabila sang mentari membenamkan diri. Tuhan menarik sinaran-sinaran mentari yang menyinari dan menggantikannya dengan jutaan bintang-bintang yang memenuhi ruang angkasa. Cantik. Tambahan pula, keadaan bulan yang penuh, memberi sedikit pencahayaan malam yang gelap itu.

Ku lihat di sekelilingku. Aman dan damai. Kurasakan ada sesuatu yang tak kena. Tiba-tiba bunyi deruman enjin seakan-akan semakin kuat. Bunyi lejang-lejang yang menghimpit udara dan menyebabkan letupan itu semakin nyata. Semakin dekat. Aku menoleh.

Terlihat dua lampu kenderaan meluncur laju ke arahku. Aku terkaget, terdiam. Deruan adrenalin memaku kaki di lantai. Aku tidak boleh bergerak. Semakin lama semakin hampir. Tiba-tiba, bunyi seretan tayar kedengaran. Ibarat ABS (antilocking brake system) gagal sepenuhnya. Tayar terkunci menyebabkan kenderaan gagal terkawal. Bunyi yang memekikkan telingaku. Aku menjerit

"Ya Allah, tolong!!"

Aku terduduk. Tersedar daripada alam mimpi. Badanku bermandi peluh. Nafasku tercungap-cungap. Hanif memegang tanganku.

"Sayang okay?", jawabnya, yang sedikit mamai. Dia pun sudah tidur daripada tadi. Dipegangnya bahuku. Ditepuk-tepuk perlahan. Aku mengangguk.

Dia pun nampak mukaku yang pucat lesi, ibarat tiada darah. Ibarat baru nampak hantu. Segala yang aku nampak seperti perkara yang nyata. Seperti berlaku di dunia. Bukan mimpi. Realistik.

Aku mula merebahkan diri semula saat aku menyedari yang berlaku seketika tadi hanyalah mainan tidur. Aku juga merasakan badanku terlalu letih. Ku letakkan kembali kepalaku ke bantal. Angin sejuk daripada pendingin udara memudahkan aku untuk terlena.

Tak semena-mena, bayangan seorang lelaki muncul di depanku, berdiri tegak di hadapan katilku. Ku lihat wajahnya. Aku kenal. Dialah lelaki yang meninggal pagi tadi. Matanya terpaku melihat aku. Aku jadi cuak. Takut yang amat. Kulihat mulutnya yang berkumat-kamit. Semakin lama semakin kuat. Semakin lama semakin dapat ku dengar apa yang dia katakan.

"Semuanya kau punya pasal!!", dia menengking.

Sekali lagi aku terjaga. Kali ini lebih teruk daripada tadi. Aku dapat rasakan degupan jantungku begitu pantas. Bagai nak pecah dadaku. Memang bermula daripada hari itu, segalanya berubah. Aku jadi terlalu takut. Takut akan perkara yang tidak masuk akal.

Aku takut nak masuk kereta. Aku takut apabila ternampak kenderaan melintas di hadapanku, dan yang paling teruk, aku takut nak tidur. Sudah 1 minggu keadaan aku sebegitu. Aku tahu, aku mesti dah kena Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD). Tapi aku tak mahu mengaku. Aku berlakon di hadapan Hanif, kononnya semuanya tiada masalah.

Ibu bapaku menyarankan Hanif membawaku berjumpa bomoh. Berjumpa ustaz. Aku bukan tak mahu, tetapi sebab aku tahu penyebabnya. Aku dapat medical certificate (MC) selama seminggu, dan MC aku hampir tamat. Esok aku bakal bekerja semula. Hanif memerhati sahaja perbuatanku, dia tahu aku tidak boleh. Dia tahu aku masih lagi tidak sihat.

Secara fizikalnya, aku nampak okay. Jahitan di kulit kepalaku pun dah mula pulih. Hanya terdapat pengumpulan darah beku di situ sahaja. Tiada masalah. Namun secara mental, memang ternyata sudah koyak.

Aku tak boleh tidur. 2 - 3 jam sahaja yang mampu aku tidur semalaman. Pasti bayangan arwah menerpa aku, pasti aku akan terlihat lampu-lampu kenderaan menderu laju ke arahku. Aku takut. Lebih menerukkan lagi, aku tak boleh masuk ke dalam kereta.

Serta-merta jantungku laju. Flashback atau bayangan kejadian itu berulang-ulang. Aku jadi mudah tersentak. Apabila ada sahaja bunyi yang kuat, aku akan terkejut, dan terkejutnya aku itu lebih daripada orang lain. Aku mula mengasingkan diri daripada orang ramai. Itu semua aku fikir kesan daripada penyakit ini, bergabung dengan kesan daripada tak cukup tidur.

Akhirnya tiba saat aku bakal memulakan tugas semula. Hanif ingin menghantar aku. Sudah seminggu aku tak keluar menaiki kenderaan. Terlalu takut. Dah cuba, namun tidak berjaya. Subuh itu, Hanif sudahpun berada di tempat duduk pemandu. Aku masuk dan duduk di sebelahnya.

Tak semena-mena aku termuntah-muntah. Aku jadi terlalu takut. Aku trauma sangat-sangat. Segera aku keluar daripada kereta saat aku ternampak cahaya lampu kereta yang menderu, entah dari mana walaupun di dunia nyata, cahaya itu tidak wujud.

"Sayang, that's it, jangan degil dah. Jom kita jumpa psychiatrist", kata Hanif dengan nada tegas. Ini kerana aku degil. Dah berkali-kali diajak, tak mahu. Aku takut, lagipun bukannya ada pakar psychiatrist berdekatan dengan tempat tinggalku. Segera dia bawa aku berjumpa dengan seorang doktor di klinik yang terletak lebih kurang 200 meter daripada rumahku. Klinik swasta.

Setelah diperiksa doktor, dan menceritakan segalanya, doktor itu memberi aku ubat penenang. Cuma 3 biji sahaja dia beri. Aku faham sebab ubat ini sering disalahgunakan, dan boleh menyebabkan ketagihan tak terkawal. Aku sebenarnya tidak faham, apa gunanya Hanif membawa aku ke klinik ini?

"Cuma 3 biji sahaja, itu pun boleh bertahan 2 hari paling lama pun, then what?", kataku menyoal Hanif.

"Takpe, lepas awak makan ubat tu, awak dah tenang sikit, saya bawa awak jumpa psychiatrist", kata Hanif. Aku hairan juga, bagaimana dia boleh mengetahui apa yang perlu dibuat sekiranya seseorang itu menghidapi penyakit seperti ini. Tanpa sempat aku menyoal, terus dia berkata

"Awak ni dah kena PTDS ni", katanya dengan begitu yakin.

"Maksud abang PTSD?", kataku. Saat itu aku tersenyum juga melihat gelagatnya yang cuba mengingati huruf demi huruf.

"Ya, ya, PTSD. Abang dah periksa kat internet. Abang pun ada tanya kawan-kawan abang yang kerja hospital, sampaikan Hospital Sultanah Bahiyah tu pun abang dah call, dapatkan tarikh. Sepatutnya lusa, tapi kata jururawat di situ, boleh bawa terus sekiranya keadaan memaksa. Jadi, abang rasa keadaan pun dah memaksa ni. Jadi, awak makan ubat tu dulu, lepas tu kita pergi", kata Hanif.

Kemudian dia menyambung, "Abang perasan Ina asyik terkejut, terjaga tengah malam. Bukan abang tak tahu, tetapi abang cuma tak tahu apa yang harus abang lakukan untuk membantu. Itulah sebabnya abang buat semua ini".

Kata-katanya menyebabkan aku lebih menyayangi dia. Common sense dan usaha nak rawat aku dah pun dia laksanakan di belakangku. Aku tak tahu nak kata apa dengan dia, aku mula bersedih lagi, seolah-olah apa yang aku alami, walaupun aku cuba berahsia dengan Hanif, dia suamiku. Dia tahu segala-galanya.

Terasa diriku ini bodoh dan melakukan perkara yang tidak masuk akal. Buat apa aku nak berahsia? Aku tak mahu jadi anjing di dalam peribahasa anjing tersepit, kerana saat itu aku betul-betul memerlukan pertolongan. Mungkin kerana aku tak mahu Hanif terbeban. Dia dengan tanggungjawabnya, pekerjaannya, ibu dan ayahnya, aku tak mahu menambah lagi bebanannya. Namun, aku tahu, dia suamiku. Apa-apa, dia adalah syurgaku, dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aku, dan aku juga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dia.

"Terima kasih abang", kataku. Terus aku makan sebiji pil bewarna merah jambu itu. Tak sampai 10 minit, aku rasa kesan ketenangannya. Aku tahu, kesan itu tidak bertahan lama. Ubat itu pun aku tahu, memang digunakan untuk short-term effect sahaja. Paling lama pun 6 jam.

Taktala aku dah bertenang, segera aku masuk ke dalam kereta dan memanggil Hanif pula.

"Jom abang, jom kita gi jumpa psychiatrist", kataku yang tiba tiba agak bersemangat. Maklumlah, itu hanyalah neurotransmitter dan bahan kimia di dalam otakku yang berkata-kata. Yang menambah semangat dan yang menyebabkan aku tak gentar. Cumanya aku tahu kesannya sementara sahaja. Hanif tersenyum sambil menghela nafasnya dalam-dalam, nafas kelegaan.

Sepanjang perjalanan aku tidur. Lena. Itulah tidur yang paling nikmat aku rasakan sejak daripada tragedi yang berlaku, seminggu lalu. Sampai sahaja, pantas sahaja jururawat mengarahkan aku berjumpa terus dengan seorang pakar psikiatri, Dr Lidya. Jururawat tersebut telahpun sedia maklum saat Hanif menelefon sendiri mereka. Lagipun, cerita mengenai kejadian ini tersebar di akhbar dan berita sewaktu itu, jadi aku tak hairan kalau mereka sudah pun kenal siapa aku.

Dr Lidya masih muda, namun pengalaman dan kelulusannya menjadikan dia seorang pakar seawal itu. Aku berjumpa dengannya bersama Hanif. Kuceritakan segalanya kepada doktor. Senyum sahaja Dr Lidya mendengar penceritaan aku.

Mimpi buruk, flashback, gejala-gejala fizikal seperti berdebar-debar, berpeluh-peluh dan tercungap-cungap tanpa sebab. Apabila aku terbangkit daripada tidur, aku rasakan ibarat nak mati. Ibarat takut yang amat. Degupan jantung aku yang terlalu laju membuatkan aku risau, risau kalau tiba-tiba jantungku berhenti. Aku ceritakan segalanya tanpa hijab. Tanpa menyembunyikan apa-apa.

Persoalan untuk mendiagnos keadaan aku ini menjadi semakin mudah apabila aku menceritakan, ini semua berlaku selepas daripada tragedi itu. Sebelum itu aku sihat walafiat. Ternyata sahih lagi benar, sudah terang lagi bersuluh, kejadian itulah yang menyebabkan segalanya. Bagaikan rantaian satu kejadian ke satu kejadian sehingga kini.

Ternyata tanggapan suamiku dan diriku benar. PTSD. Itulah diagnosis yang diberikan. Doktor Lidya memberi aku 2 jenis ubat-ubatan. Satu jika perlu, dan satu lagi harus aku makan setiap hari. Ubat yang 'jika perlu' itu sama dengan ubat yang diberikan oleh doktor di klinik swasta.

Ubat tersebut juga perlu aku makan memandangkan aku harus pulang ke Sungai Petani. Sewaktu itu, aku tidak berani duduk di kuarters berseorangan. Terlalu takut. Sekurang-kurangnya, ada Hanif di sisi boleh menemani aku. Namun Hanif perlu bekerja, dan pejabatnya di sana. Mahu tak mahu, memang aku harus pulang.

Dr Lidya menyambung MC aku seminggu lagi, dan tarikh akhir MC tersebut aku pula berjumpa dengannya untuk rawatan susulan.

Tiba di rumah, waktu itu sudah petang, terus aku makan satu jenis ubat lagi. Namun, hari pertama tiada kesan lagi. Memang Dr Lidya pun dah pesan, ubat ini mungkin mengambil masa 5-7 hari untuk mula menunjukkan kesan. Terjaga juga aku berkali-kali malam demi malam. Namun tidak mengapa, aku ada ubat "jika perlu" itu.

Ubat "jika perlu" itu pun ada 10 biji. Bolehlah aku mengambilnya sekiranya aku terdesak. Hari-hari berikutnya sama sahaja. Flashback mula berkurangan. Mimpi buruk juga semakin jarang. Aku mula sedikit demi sedikit memaksa diriku untuk masuk ke dalam kereta di tempat penumpang. Dan berjaya, namun aku masih lagi mempunyai masalah untuk memandu kereta aku.

Selepas 2-3 minggu aku cuti, akibat keadaan mental aku yang menekan ini, akhirnya Dr Lidya menghubungi aku. Dia kata dia nak ke rumah aku. Aku pelik juga pada asalnya. Yalah, Alor Setar dengan Sungai Petani bukannya dekat. Sejam setengah kemudian dia tiba.

Ibuku menghidangkan air kopi panas kepadanya. Selepas memperkenalkan dirinya dan bersembang dengan ibuku, Dr Lidya menjamu selera juga. Habis menjamu selera, terus dia mengajak aku keluar. Tanpa sempat aku nak berkata apa-apa, segera dia duduk di tempat penumpang keretanya. Mahu atau tidak, aku duduk di tempat pemandu.

Dia menyuruh aku memandu ke satu mall terdekat. Aku merasakan diri aku tak boleh, namun di hadapan Dr Lidya, aku cuba sedaya upaya aku. Mungkin atas dasar hormatkan dia sebagai seorang pakar dan malu, kerana aku hanyalah seorang houseman. Aku mengundurkan kenderaan, membelok keluar memandu keretanya daripada perkarangan rumahku.

Tiba-tiba aku jadi cuak semula. Pucat tak semena-mena. Jantungku berdegup pantas. Dr Lidya yang memerhati aku terus memegang bahuku.

"Bertenang, awak boleh", katanya sambil tersenyum.

Aku masih tak boleh lagi. Aku rasa sedikit susah untuk memandu. Takut tiba-tiba tanpa punca. Aku mula rasa nak muntah. Nadas aku jadi laju.

"Tarik nafas dalam-dalam sambil kira sampai empat, tahan dan kira sampai empat, kemudian hembus sambil kira sampai empat dalam hati", kata Dr Lidya mengajar aku breathing exercise.

Selepas beberapa kali mencuba, aku berjaya juga mengikuti teknik pernafasan yang diajarkan itu. Satu, dua, tiga sehingga sepuluh kali aku buat, aku jadi semakin yakin semula. Ketakutan aku walaupun masih ada, berkurangan daripada tadi. Aku mulai tenang. Setibanya di mall, Dr Lidya belanja aku di sebuah kafe yang terletak di luar mall tersebut.

"See? Awak pasti boleh Zalina. Awak kuat. Tengok, ni kita dah sampai ke sini. Jauh ni tau. Pencapaian dan progress yang bagus"kata Dr Lidya sambil mengacau kopi yang terhidang.

"Ya doktor, saya rasa agak okay sedikit, especially lepas breathing exercise tadi", kataku.

"Ya, awak praktikkan selalu perkara itu. Sedikit demi sedikit, dengan bantuan ubat, sokongan suami awak, ibu dan ayah, serta saya, awak pasti boleh get through masalah ini", katanya.

Semenjak hari itu, hari demi hari dia menemani aku. Memandu, semakin lama semakin jauh. Asalnya ke mall, tidak lama kemudian ke Alor Setar pula. Dr Lidya juga memohon kuarters untuk aku, supaya aku boleh bekerja semula, sebabnya kuarters itu dan hospital hanya walking distance sahaja.

Aku tak boleh bayangkan betapa banyaknya dan besarnya pengorbanan Dr Lidya. Dia seorang pakar. Namun, dia sanggup berbuat sedemikian untuk menyelamatkan karier aku. Untuk memberi pertolongan bagi diriku.

"Tidak apa Zalina, inilah tanggungjawab saya. Hari ini saya menolong awak, esok lusa apabila saya atau mungkin anak saya susah, mungkin giliran awak pula", kata Dr Lidya apabila aku mula bertanya dan berterima kasih atas pertolongannya.

Setelah 2 bulan aku bercuti, akhirnya aku berjaya. Aku berjaya mengatasi penyakit PTSD ini. Walaupun aku masih lagi makan ubat setiap hari, namun dosnya semakin lama semakin berkurangan. Satu per empat sahaja daripada dos yang asal. Aku tiada masalah memandu kereta pulang ke kampung, kereta baru yang aku dapat semula saat syarikat insurans menggantikan kereta lamaku yang sudah total lost.

Memang tujuan asal Dr Lidya bukanlah untuk membuat aku terus melupakan tragedi itu, tetapi lebih kepada membuang elemen trauma dan stress apabila teringatkan perkara itu. Jadi, apabila aku teringat sekalipun, aku hanya sekadar teringat sahaja, tidak stress, tidak gelisah dan tidak takut.

Hari-hari selepas itu, apabila aku mula bekerja, badan pun memang penat. Alah, kerja jadi doktor, memang begitulah adatnya. Aku mudah tertidur malam kerana kepenatan. Asalnya aku memerlukan ubat tidur, namun kini tidak lagi. Apabila aku bekerja, mental aku perlu fokus untuk mengubati pesakit. Merawati pesakit.

Sedikit demi sedikit, lama kelamaan, genap 6 bulan selepas kejadian itu, aku tidak lagi memerlukan ubat-ubatan. Memang aku tak nafikan, kadangkala aku ada juga teringat dan terbayangkan tragedi itu, terbayangkan muka arwah, namun aku atasinya dengan teknik pernafasan yang diajarkan oleh Dr Lidya.

Walaupun kejadian ini menjadi titik hitam dalam riwayat hidupku, namun perkara ini juga seolah-olah memberitahu aku, bahawa aku perlu bersyukur, saat-saat sebegini, aku masih ada ibu bapa, dan suami yang memahami. Yang sabar melayan kerenah aku semasa aku sedang sakit. Betapa beruntungnya aku di dunia ini.

Kini, aku sudahpun berjaya menamatkan latihan aku sebagai pegawai perubatan siswazah dan bergelar pegawai perubatan (Medical Officer). Aku kongsikan pengalaman ini supaya pembaca semua boleh mendapat inspirasi bahawa walau bagaimana teruk sekalipun rintangan dan ujian yang melanda, Allah pasti akan memberikan penyelesaiannya. Daripada situ, kita akan dapat tahu siapa yang bersusah payah membantu sewaktu kita susah, dan siapa yang tidak memperdulikan kita langsung.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience