KISAH 9 - TRAUMA I - KEMALANGAN

Short Story Series 3537

Namaku Zalina. Cerita yang bakal aku kongsikan berlaku semasa aku masih di alam pekerjaan, selaku pegawai perubatan siswazah (house officer) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Aku memasuki posting kelima di jabatan pembedahan. Itu merupakan posting kedua terakhir aku sebelum bergelar medical officer (MO).

Aku dilahirkan di Sungai Petani, iaitu satu bandar yang terletak lebih kurang 40 minit daripada Alor Setar. Sememangnya, seorang house officer ini jarang-jarang dapat cuti. Cuti yang aku mohon ini pun sudah ku kumpul sejak aku memulakan kerjaya aku sebagai doktor lagi, daripada posting pertama.

Cuti selama 5 hari aku manfaatkan bersama suamiku di rumah ayah dan ibuku. Bukan mudah nak dapat cuti. Bukan mudah nak meluangkan masa dengan ibu bapa dan orang tersayang apabila ditakdirkan dengan karier sebagai seorang doktor ini.

Semua ibu bapa nakkan anak berjaya, menjadi seseorang yang berbakti kepada masyarakat. Tetapi itulah hakikatnya, masa-masa hidupku sebagai seorang doktor banyak dihabiskan dengan pengajian dan pesakit. Aku kadangkala takut juga apabila memikirkan usia kedua-dua ibu dan ayahku yang semakin meningkat.

"Ina, you okay tak? Kenapa termenung sahaja tu?", kata suamiku, Hanif. Aku perasan juga dia perhati aku daripada tadi, yang termenung di balkoni luar saat memikirkan tentang kehidupanku yang banyak berbakti kepada pesakit sahaja.

"Takde apa abang, jom kita masuk, I buatkan you kopi", kataku sambil menarik lembut tangannya ke dalam.

Memang aku rasa akulah manusia paling bertuah saat bertemu dengan Hanif. Dia bukanlah bekerja di sektor kesihatan, dan memang sejak berkenalan dengan dia sebelum aku dijadikan isterinya yang sah, aku kadangkala risau.

Risau akan keadaanya yang tidak memahami pekerjaan dan karier sebagai seorang doktor. Aku lihat ramai rakan-rakanku bercerai-berai saat berkahwin dengan orang yang tidak bekerja di sektor kesihatan. Akan selalu terjadi risiko pertelingkahan di antara pasangan masing masing.

Mereka yang jadi doktor, jadi jururawat, jadi MA, selalu akan dilabelkan sebagai seseorang yang gila kerja. Obses dengan pekerjaan. Obses dengan pesakit sehingga mengabaikan tanggung jawab keluarga. Tuduhan-tuduhan liar sedemikianlah yang menghancurkan rumahtangga seseorang.

Tetapi, Hanif lain. Hanif seorang yang sangat memahami. Dia menyayangi aku sepenuh hati. Diri aku. Bukannya pangkat aku sebagai seorang doktor. Dia sanggup bekorban dan bersedia melakukan apa sahaja untukku.

Saat aku terpaksa batalkan pelan makan malam bersama, saat aku memaksanya menunggu aku di dalam kereta saat dia ingin menjemput aku pulang. Hampir kesemua saat itu berlaku disebabkan pekerjaan. Disebabkan pesakit. Disebabkan perkara yang tidak diduga.

Pesakit tiba-tiba nak collapse. Tiba-tiba nak sakit. Rakan sekerja yang tiba-tiba cuti sakit. Itulah antara perkara yang tidak diduga. Tetapi Hanif menerima seadanya.Hanif lebih daripada memahami apa yang aku harus lalui. Cabaran-cabaran dan pancaroba sebagai seorang yang bergelar doktor.

Hari itu merupakan hari terakhir aku cuti. Esok, aku bakal masuk kerja seawal 6.30 pagi, dan aku bakal menempuhi lagi liku-liku sepanjang pekerjaan aku menjadi seorang doktor. 6 bulan lagi, aku akan menamatkan latihan. Menjadi medical officer (MO) selepas itu.

Walaupun bebanan kerja mungkin semakin berkurang, namun tanggungjawab lebih besar. Sikit sahaja lagi. Sikit sahaja masa lagi, dan selepas itu, akan ku tumpukan perhatian sepenuh hati terhadap suamiku, dan keluargaku.

Jam 5.30 pagi aku bertolak. Suamiku pula menetap di Sungai Petani kerana pejabatnya, tempat dia bekerja terletak di situ. Aku memandu berseorangan pagi itu.

Kereta aku dilengkapi dengan fungsi auto cruise. Aku menetapkan kepada kelajuan maksimum di lebuhraya yang menghubungkan antara Sungai Petani dan Alor Setar itu, selaju 110 kilometer per jam.

Lampu keretaku yang bewarna putih cukup membantu diriku yang sedikit rabun jauh sepanjang perjalanan di lebuhraya tanpa lampu jalan itu. Gelap gelita. Bukan semua tempat, tetapi sebahagian sahaja. Aku tidak hairan, dan tidak pelik. Itu bukan kali pertama aku memandu seawal pagi. Dah berpuluh-puluh kali sehinggakan setiap lerengan, alunan jalan dan selekoh telah aku hafal.

Bunyi alunan muzik daripada radio menyerikan suasana. Tiba di satu selekoh, sekilas mata aku memandang, ternampak akan satu objek di tengah-tengah lebuhraya itu. Aku memulas stering, membelok ke kiri, mengelak serta menekan brek dengan kuat. Tindakan refleks bagi mengelak objek yang berbentuk kotak itu.

Saat keretaku mula menggelongsor ke kiri jalan menuju ke longkang, aku memulas pula ke kanan. Aku tak tahu mengapa. Tidak sempat aku fikir. Semuanya refleks.

Bunyi brek serta geseran getah tayar dengan jalan raya sempat ditangkap oleh telingaku. Saat itu aku terasa badanku melayang. Daya gravity (G force) ke kanan, kiri, atas dan bawah menuruti satu sama lain, berselang seli. Aku lihat dunia jadi terbalik, dan kemudian betul dan kemudian terbalik semula.

Aku sedar kereta aku berguling. Bumbung kereta di bawah, tayar kereta mendongak ke langit.

"Bam!", bunyi yang sangat kuat menyebabkan aku hilang kesedaran selama beberapa saat. Aku cuba membuka mata. Ku lihat, segalanya terbalik. Tali pinggang keledar memegang aku erat ke tempat duduk pemandu.

Secepat mana keadaan berlaku, secepat itulah keadaan itu berakhir. Senyap dan sepi. Sunyi. Ku rasakan darah panas mengalir menitik-nitik di tudungku. Sakit dan pedih kepalaku.

Aku cuba membuka tali pinggang keledar. Tangan kiriku terasa begitu sakit. Dalam kegelapan subuh itu, ku lihat cahaya lampu dan bunyi enjin yang sangat kuat menghampiri aku dengan pantas.

Aku kaget. Ku pegang stereng kereta kuat-kuat. Sudahlah kaki ku berada di atas, kepalaku di bawah. Aku bersedia. 2...3 saat. Aku menutup mata,

"Bamm!"satu lagi bunyi dentuman kedengaran. Kurasakan keretaku terhenjak dengan kuat. Tetapi tidaklah sekuat pelanggaran pertama. Sedikit sahaja. Daripada cermin tempat dudukku yang berderai, ku lihat pintu keretanya terbuka. Seorang lelaki berjalan ke arahku.

Dia ibarat tercari-cari. Hairan dan pelik. Serta ingin tahu juga keadaan keretanya dan keretaku saat pelanggaran kedua berlaku. Ku lihat juga, kereta Proton Wira miliknya sedikit kemik dan lampu kanannya pecah. Tiba-tiba hatiku berasa tak sedap. Otak aku ibarat mendesak, memaksa aku keluar segera daripada kenderaan. Ku tekan picu yang memegang tali pinggang keledarku.

Tingkap yang pecah memudahkan aku meloloskan diri, keluar. Aku lihat lelaki yang melanggar keretaku tercengang. Tercengang melihat kot putihku yang dipenuhi darah. Darah merah. Aku merangkak perlahan, cuba sedaya upaya ke tepi lebuhraya. Dia yang tadinya terpaku, mula bergerak ke arahku.

"Bom!", satu bunyi yang memekakkan telinga dengan tiba-tiba. Aku perhati, aku perhati dengan mata kepala aku sendiri. Lelaki yang tadinya berjalan ke arahku tercampak. 3 meter dia melambung sebelum jatuh berdebuk di sisi keretaku.

Aku bingung. Saat itu baru aku sedari, kereta ketiga telah merempuh lelaki tersebut sebelum berlanggar dengan keretaku yang terbalik.

"Ya Allah!", deruan adrenalin memaksa diriku untuk berdiri. Berlari ke tepi. Pandangan yang mengerikan apabila kulihat lelaki itu tidak bergerak. Terbaring kaku.

Aku ingin menolong. Tetapi aku sendiri pun rasa susah nak bergerak. Susah. Kakiku lembik. Badanku lemah longlai. Ku usap dahiku. Pedih. Darah mengalir pantas.

"Tolong...aduh, ya Allah, sakitnya", aku dengar pemandu kenderaan yang ketiga itu meminta bantuan. Asu lihat air mukanya yang menahan sakit. Berkerut-kerut dahinya. Aku cuba menghampirinya. Tetapi kakiku ibarat kejung. Kaku.

Aku dapat rasakan dunia berpusing-pusing. Mataku berpinar-pinar. Masih aku ingat, bunyi dentuman demi dentuman selepas itu. Aku tidak boleh lihat sepenuhnya. Kurasakan mataku semakin gelap. Ibarat ada kegelapan yang memenuhi pandangan mataku. Semakin lama semakin gelap. Telinga ku berdesing.

BERSAMBUNG

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience