Sebaik sahaja Zelda masuk ke perkarangan halaman rumahnya di Taman Serene Johor Bahru, dia terus mematikan enjin kereta Range Rover yang berwarna hitam itu.
Air muka wanita berumur separuh abad itu kelihatan masam mencuka tatkala tangannya menguak pintu kereta yang tegap. Perbualan dia dan suaminya, Kapten Zamani ketika mereka dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sebentar tadi masih terngiang-ngiang di telinga...
"Tak payah belilah baju raya kami. Tahun lepas punya boleh pakai lagi, kan?"
Rajuk hatinya semakin bercambah-cambah tatkala mengingatkan kembali kata-kata itu. Kelihatan Zelda menjinjing beberapa bunjut beg plastik yang berisi kuih-muih ketika dia keluar daripada kereta.
Bap!
Pintu kereta ditutup perlahan dan fikiran masih lagi melayang...
"Lagipun raya pertama nanti I seorang je yang offday. Budak dua orang tu kan kerja... Inipun nasib baik je I dapat swap dengan si Chia sebab flight dia kebetulan cancelled." Kata-kata suaminya masih terngiang-ngiang.
"Apa pulak... Si Ashraf kan sampai sini tengahari raya. Si Azril pulak katanya dah buat flight swap untuk kerja malam raya kedua nanti." Nada Zelda kedengaran yakin.
"Tapi you sendiri tahu, bukan senang nak dapat flight swap tu kan? Apatah lagi waktu perayaan macam ni. I'm sure you know it better. You kan ex-cabin crew, dan you pun dah hidup dengan I bukannya setahun dua."
Zelda hanya mematungkan diri. Jauh di sudut hati, dia mengakui kebenaran tersebut.
"You beli baju Melayu untuk I dengan Haris je lah."
"Baju si Haris I tak risau. Dia boleh beli sendiri dekat KL sana." Potong Zelda dengan nada suara yang mencerun.
"Eh?? Habis tu si Azril dengan si Ashraf tak boleh beli sendiri? Kenapa ada extra treatment pulak dekat budak dua orang tu...? Double standard ni. Kesian si Haris." Kapten Zamani mengusik sambil tersenyum nipis, pura-pura tidak mengerti. Wajah anggun isterinya yang berdarah kacukan Belanda-Acheh-Punjabi itu ditatap lembut.
"You ni macam tak faham pulak... Kalau nak tunggu budak dua orang tu beli, alamatnya seumur hiduplah diorang tak berbaju raya...! Selama ni raya pun macam tak pernah beraya." Mata Zelda menjeling dalam pada dia menahan rajuk.
"Ala, takpelah... Biarlah diorang bekerja dengan senang hati raya ni. I kan ada dekat rumah sambut raya dengan you, dengan anak cucu menantu semua."
"Hmmph! Kalau macam tu, takde bezalah dengan raya tahun-tahun sebelum ni. Bila seorang ada, dua orang tak ada. Bila dua orang ada, seorang lagi pulak tak ada. Tak pernah pun tiga-tiga ada!"
Tawa Kapten Zamani pecah kedengaran. Entah apa yang menggelikan hati suaminya itu dia sendiri pun tak tahu.
Waktu itu, kereta mereka sudahpun merentasi sebuah papan iklan besar merentang jalan bertulis 'Singapore Airlines - World's Best Business Class Airlines Year 2004 by Skytrax'.
"Sudahlah tu... Tengah-tengah puasa ni tak elok marah-marah. I pergi dulu, okay. Drive safe." Kata lelaki Melayu berumur lima puluh empat tahun itu. Mereka telahpun sampai di laluan menurunkan penumpang di Aras Perlepasan. Sebentar lagi, Kapten Zamani akan terbang ke Argentina untuk beberapa hari...
'Hmmph!' Dengusan Zelda mematikan lamunannya. Skarf sutera mahal berjenama 'Aigner' yang melitupi kepalanya dicampak perlahan ke atas sofa. Dia sudah malas untuk memikirkan hal tersebut! Dia terus menyinsing lengan bajunya lantas bergegas ke dapur untuk menyiapkan juadah berbuka puasa...
Sementara itu, di satu benua yang lain pada waktu yang sama...
'Give me your vital statistics.' - Mama
'Vital statistics?!' Kening Ashraf berkerut seribu tatkala membaca SMS mamanya itu.
'Huh?? Vital statistics for what??' Jari Ashraf menekan butang 'Send'.
Setelah itu, dia segera menyimpan telefon tersebut ke dalam poket seluar kerjanya. Dia perlu menumpukan perhatian kepada taklimat penerbangan yang baru saja hendak bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Milan pada tengah malam itu...
Dan di satu lagi benua yang lain, juga pada waktu yang sama...
Azril menghidupkan telefon bimbitnya sebaik sahaja dia keluar daripada Pintu Ketibaan Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada tengahari itu. Notifikasi SMS mula masuk bertalu-talu. Dia membuka satu SMS paling atas, menandakan SMS yang paling baru sekali dia terima.
'How's your flight swap for raya? Dapat?' - Papa
Air muka Azril berkerut seolah-olah berkata 'alamak'. Kelihatan waktu yang tertera sewaktu SMS itu dihantar adalah sepuluh minit yang lepas!
'Huh, top priority ni!' Getus hatinya sambil dia cepat-cepat menekan butang 'Reply'.
'Tried my best, but no luck. Sorry pa...'
Setelah menekan butang 'Send', jarinya membuka satu lagi SMS daripada ibunya pula.
'Give me your vital statistics.' - Mama
Kening Azril berkerut. Jari-jemarinya menari laju di atas papan kekunci telefon.
'Vital statistics?? Mama nak daftarkan Aril masuk agensi modelling ke? :P'
Send.
Ketika itu juga, balasan SMS daripada papanya masuk.
'I definitely understand. Don't say sorry to me, but to your mom. We just had a conversation about this and clearly she's not happy. Pandai-pandai you-lah kasi settle. Papa tak tau. Siapa suruh you janji macam-macam! Okay, I dah pushback. Flight to Argentina. TTYL.- Papa.
'Aduhhh!' Hati Azril berasa kecut dan mukanya mula cemas! Langkah kakinya kemas teratur berjalan keluar daripada lapangan terbang tersebut tetapi fikirannya semak! Perbualan dia dan mamanya sepanjang setahun kebelakangan ini terngiang-ngiang di telinga...
Situasi 1: "Mama jangan risaulah! Tahun ni Aril mesti dapat beraya dengan mama. Aril dah identified muka-muka yang boleh swap flights untuk hari raya nanti...!" Muka bangga.
Gulp! Azril telan liur. Lantas dia teringat pula perbualannya yang satu lagi...
Situasi 2: "Si Fadhil tu tengah heartbroken, ma. Dia kata dia nak fly malam raya, bawak diri! Haha! Orang cakap dekat dia, kalau orang ada flight malam raya macam tahun lepas, kitorang boleh tukar suka sama suka!" Muka yakin.
Azril gigit bibir. 'Mampos! Fadhil pun dah baik balik dengan awek dia! Siot!'
Dan juga perbualan yang satu lagi...
Situasi 3: "Mestilah ma, Arilkan nak sambut raya dengan mama tahun ni!" Sengih.
Serta beberapa lagi siri perbualan yang lain, yang tak sanggup dia ingat juga turut berlegar-legar di fikirannya!
'Aduh, mati aku...! Macam mana ni??' Bisik hati Azril. Raut wajahnya seolah-olah sedang berfikir sesuatu. Lantas, jarinya membuka satu lembaran SMS yang baru.
'Ash, kau dekat Milan kan?? Nak mintak tolong boleh?? Tolong belikan beg Prada yang paling mahal sekali dalam butik tu. Aku janji nanti aku bayar balik!'
Di saat Azril menekan butang 'Send', dia dan rakan-rakan sekerjanya sudahpun menaiki bas pengantara untuk ke hotel penginapan mereka di negara matahari terbit itu.
"Hei, kot iya pun kau penat, janganlah monyok sangat muka tu." Tegur Kapten Rahmat dalam tawanya. Ini disambut pula dengan gelak tawa dan usikan daripada kru-kru yang lain.
Azril paksa dirinya untuk senyum tapi satu senyuman plastik terbit dari wajahnya.
"Bukan penat, capt. Sakit perut! Fara letak apa entah dalam meal tadi." Katanya sambil bergurau. Kedengaran kru kabin yang bernama Fara itu lantang berkata sesuatu dalam tawanya. Azril tidak lagi mendengar kerana telefon bimbitnya sudah bergetar buat kesekian kali.
'Wah, wah... Banyak duit kau?? Aku dah nak baliklah.' - Ash 012
'Ala, tolonglah. Singgah kejap je!' - Azril SINGTEL
'Aku dah nak boarding-lah, gila. Baru habis briefing. TTY when I reach SIN.' - Ash 012
'Urgh!' Desis Azril. 'Dah naik flight pulak mamat ni...!' Dia mengeluh perlahan. Otaknya mula berfikir laju tentang pelan kontigensi yang lain untuk 'membeli' jiwa ibunya dek kerana sebuah janji yang kini hampir-hampir tinggal janji...
Beberapa jenis lauk-pauk yang baru sahaja dimasak sudah tersedia di atas meja. Zelda duduk sendirian di hujung meja sambil dia membelek telefon bimbitnya. Jarinya segera membuka balasan SMS daripada si Azril dan si Ashraf. Entah bagaimana air wajahnya terus mencuka!
"Hei, budak dua orang ni, kan! Orang mintak saiz badan tu bagi aje lah! Apa yang susah sangat?!" Zelda merengus sendirian sambil jarinya mula menaip sesuatu.
"Apa yang mama bebelkan tu?"
Tiba-tiba, kedengaran suara Sofie yang baru sahaja tiba daripada Woodlands muncul di dapur bersama suami dan anaknya, Martin. Kanak-kanak lelaki yang berusia lapan tahun itu terus menerpa ke arah Zelda lantas memeluk neneknya dengan manja sekali.
"Adik-adik you yang dua orang tu, lah! Mama mintak ukuran badan diorang sebab nak belikan baju raya! Tapi masing-masing banyak pulak songehnya!" Ujar Zelda sambil melepaskan Martin dari pelukan.
"Dua orang? Siapa? Ash dengan Aril?"
"Yelah! Siapa lagi kalau bukan dua orang tu!" Satu jelingan tajam dihunuskan ke wajah jelita Sofie.
"Manalah tahu kot-kot Ash dengan Ayis ke, atau Aril dengan Ayis ke..." Kata Sofie sambil tersengih.
"Hmmph! Kalau time nak dekat-dekat raya ni, siapa lagi... Takkan lah si Haris."
Sofie hanya tersenyum lebar memandang ibunya.
Walaupun jawapan ibunya itu ringkas, tetapi Sofie sudah tahu apa pangkal dan apa hujung cerita tersebut. Manakan tidak, setiap tahun 'drama' raya familinya itu sama sahaja. Tak pernah berubah! Tetapi apakan daya. Apabila terdapat tiga orang juruterbang dalam sebuah keluarga, mana mungkin ketiga-tiganya dapat bercuti serentak apatah lagi di waktu-waktu perayaan begini...!
Sofie menghembuskan satu keluhan kecil dalam senyumannya...
Nampak tak perbezaan personaliti Ashraf dengan abang dia? (^__^) 'Give me your vital statistics.' - Mama 'Huh?? Vital statistics for what??' - Ashraf Zildan 'Vital statistics?? Mama nak daftarkan Aril masuk agensi modelling ke? :P' - Azril Zubeen Hi kawan2! Terima kasih sbb sudi baca CRMWB :) Cerpen ni ada 3 bahagian bermula hari ni, esok utk Bahagian 2 dan lusa (hari raya) utk Bahagian 3 (Finale!) Miss harap semua readers terhibur dan sesiapa yg belum pernah baca MWB - Mr Wing Badge, jemputlah baca novel on-going miss tu yea! Stay safe, Miss Tery 18 July 2021
Share this novel