2004 - Bahagian 3 (Akhir)

Drama Series 8998

Lagu 'Selamat Hari Raya' dendangan Seniwati Saloma berkumandang di dalam kereta Range Rover tersebut. Ashraf memandu dengan penuh berhati-hati dengan ibunya berada di tempat duduk penumpang sebelah.

Keadaan trafik di Jalan Wong Ah Fook pada petang itu sudah semakin sesak lantaran ramai orang sudah pulang ke kampung halaman dan tak kurang juga yang keluar membeli-belah pada hari-hari terakhir Ramadhan.

"Mama happy tak...?" Tanya Ashraf dalam senyumannya. Kelihatan mamanya itu juga tersenyum lebar.

"Mestilah happy!" Sambut Zelda. Kelihatan di tempat duduk belakang, semua barangan yang dibeli di JB City Square tadi terdampar daripada kerusi hinggalah ke lantai kereta. Tetapi barang yang paling istimewa sekali ialah beg kertas Habib Jewels yang berada di pangkuan Zelda!

"Mama nak singgah shopping mana-mana lagi tak?" Ashraf bertanya sambil memberhentikan kereta apabila lampu trafik di hadapannya bertukar merah.

"Ish! Sudah-sudahlah tu! Banyak dah duit habis... Rantai ni je pun dah beribu-ribu." Satu senyuman lebar terukir di bibir Zelda menunjukkan betapa gembiranya dia pada hari itu.

"Ala, don't worry. Duit Aril belum hab- Opss, alamak!" Ashraf cepat-cepat menekup mulutnya apabila tersedar yang dia sudah terlepas kata!

"What?!" Mata Zelda terbeliak memandang Ashraf. "Duit Azril??!"

Ketika itu juga Ashraf lihat wajah ibunya itu sudah merah padam!

"Ooo... Ini rupanya taktik si Azril nak mengelak beraya dengan I yea?!! Jadi ini semua duit sogokan dialah ni?!!" Suara Zelda mencanak naik.

"Ish, bukan sogok... Bukan mengelak... Diakan kena kerja, ma..."

"Diam, you...!"

Ashraf terus mengetap bibir. Tangannya menukar gear kereta apabila lampu trafik sudah bertukar warna.

"Rupanya you bawak I shopping satu pasaraya tadi sebab si Azril ni lah?! Mama mati-mati ingatkan you ikhlas, Ashraf!"

"Laa... Kenapa ke situ pulak perginya...? Mestilah orang bawak mama ni ikhlas, cuma guna duit Aril je... Aril yang bagi duit ni pun, dia ikhlas. Dia cuma nak buat mama happy je..." Nada Ashraf kedengaran tenang bersama senyuman nipis di bibir.

"Jadi you bersubahat dengan abang you-lah?! Maknanya, memang betullah dia tak beraya dengan kita semua tahun ni?!"

"Aduh... Bukan bersubahatlah ma..." Ada sedikit tawa pada nada suara Ashraf. Waktu itu kelihatan trafik semakin sesak. Ashraf memberhentikan kereta sekali lagi.

"Habis tu kalau bukan bersubahat?? Apa namanya ni?!"

"Ma... Mama janganlah marah-marah macam ni... Mamakan puasa."

"You senanglah cakap sebab you memang tak pernah peduli pun! Raya ke tak raya ke, sama je!"

"Apa pulak..." Ashraf tersenyum memandang ibunya. "Semua orang suka bila nak sambut raya, ma. Ash pun suka, tapi kalau dah kena kerja, nak buat macam mana? Memang dah macam ni cara kita cari rezeki, kan..."

"Itulah... Ini semua sebab you degil! Tak nak dengar cakap mama!"

"Eh?? Kenapa orang pulak??" Ashraf terkejut dan tertawa geli hati apabila dia tiba-tiba dipersalahkan.

"Sejak dari you kecik dulu I dah pesan... Jangan jadi pilot..! Tapi you degil! Tak cukup-cukup ke dua orang pilot dalam family kita?! I ni asyik kena tinggal je! Selfish!" Jerkah Zelda lantas membuatkan Ashraf ketawa sekali lagi.

"Haih... Kenapa sampai ke situ pulak ma..." Ashraf senyum sambil menyandarkan kepala pada headrest kereta. Matanya dihalakan pada trafik yang masih lagi merangkak perlahan.

Suasana terdiam seketika...

"Ash, mama ni makin tua tau..."

Suara Zelda bergetar pilu menyebabkan Ashraf segera menoleh dengan wajah yang cuak.

"Eh??! Laa, kenapa mama ni...?? Janganlah nangis... Iye, orang tahu mama makin tua, tapi janganlah nangis macam ni..." Ashraf menggosok-gosok bahu ibunya seolah-olah ingin meredakan kesedihan wanita itu. Sebenarnya, itulah kelemahan terbesar Ashraf, iaitu melihat orang yang dia sayangi menangis!

"Syhh..." Ashraf cuba menenangkan ibunya lagi. "Dah lah... Janganlah menangis, ma... Ash tak sukalah mama nangis macam ni..."

"Seumur hidup mama... Mama mintak sekali je... Sekali je mama nak beraya dengan papa dan semua anak-anak mama... Takkanlah benda ni mustahil sangat dalam hidup mama??" Air mata Zelda jatuh menderu sambil dia teresak-esak.

"Syhh..." Tangan kiri Ashraf terus menggosok-gosok bahu ibunya tanpa henti.

"Jangan nanti kalau jadi apa-apa pada mama, korang semua tak dapat nak tengok mama sebab kerja! Sampai-sampai je, tinggal tanah je nanti!"

Kata-kata itu bagaikan satu tamparan buat Ashraf. Wajah tampan lelaki itu berubah redup dan dahinya berkerut. Dia kehilangan kata-kata buat seketika...

Sementara itu di Changi City Point...

"Nah, barang kau! Aku bagi dua. Satu lagi tu as a backup kot-kot rosak ke, terjatuh ke..." Fara berkata sambil dia menghulur sekeping sampul angpow ke arah Azril.

Muka Azril saspen. Dia perlahan-lahan mengambil sampul angpow tersebut dengan perasaan yang penuh tanda tanya.

"Eh!" Tiba-tiba sahaja Fara menarik semula hulurannya menyebabkan Azril terpinga-pinga.

"Kau kena ingat! Barang ni kau kena ambik tujuh ke lapan jam sebelum pergi klinik! Ingat...! Sebelum pergi klinik! Bukan sebelum flight tau!" Ujar Fara tegas.

Wajah Azril semakin saspen.

"Kau faham tak ni?!" Fara menghulurkan kembali sampul tersebut.

"Err... Ye, aku faham..." Jawab Azril lalu 'barang' tersebut bertukar tangan.

Azril membukanya perlahan-lahan dan menjenguk isi di dalam...

"Huh?!!" Matanya terbeliak dan dia segera memandang ke wajah Fara dengan pandangan yang tidak percaya...

"Ma... Listen to me..." Suara Ashraf akhirnya memecah kesunyian di dalam kereta tersebut. Trafik masih lagi sesak. Kereta-kereta berplat Singapura juga memenuhi ruang di jalanraya.

"Ma, I'm sorry if I end up being a pilot. If that comes off as selfish, well then I'm sorry again." Satu senyuman pahit terpamer di wajah Ashraf. Dia merasakan seolah-olah pekerjaannya tidak direstui.

"I never knew me being a massive geek of those flying machines would've affected you this way..." Sambung Ashraf lagi. Saat itu, hati keibuan Zelda mula tersentuh.

"Me and abang fly for foods, ma. It's a rough life, but it pays the bills." Ashraf memandang ibunya tetapi kelihatan wanita itu membeku.

"We need your blessings. It's a tough job, it's either a smooth journey or a bumpy ride. Selamat atau tak, hidup atau mati. Black or white, tak ada grey area dalam kerja kami. Kalau jadi apa-apa dekat atas sana, nyawa umpama telur dihujung tanduk je, ma."

Kelihatan Zelda mengetap bibir.

"Setiap kali Ash dengan Aril pergi kerja, kami pergi dengan iringan doa mama. Setiap button yang kami tekan, setiap benda yang kami sentuh dalam kokpit, dan setiap decision yang kami buat, tiga puluh lima ribu kaki di atas awan semuanya antara hidup dan mati. Dan semuanya tu dengan iringan doa mama..."

Kini air mata Zelda tumpah sekali lagi!

"Kami minta maaf kalau kami selalu tak ada pada masa-masa yang mama nak kami ada. Kami bukan nak sogok mama dengan wang sebagai ganti, tapi wang itulah hasil daripada masa yang tak dapat kami adakan buat mama... Kami sayang mama. Kalau boleh, apa saja kehendak mama, semua kami nak bagi! Tapi bukan semua benda kami mampu bagi pada mama... Macam tu jugak dengan papa..."

Zelda terus menangis teresak-esak manakala Ashraf pula tertawa kecil sambil menggosok-gosok bahu ibunya.

"Ala... Dah lah, ma... Janganlah nangis... Mama jangan marah pada kitorang lagi, ye?"

Zelda menganggukkan kepala sambil mengesat airmatanya. Walaupun dia tidak pernah membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anaknya tetapi inilah yang membuatkan si Ashraf Zildan itu lebih dekat di hatinya. Tutur kata anaknya yang seorang ini selalu dapat melembutkan hati keibuannya.

"Hmm... Mama minta maaf... Maybe, mama pun tak pernah tengok dari you all punya point of view." Zelda tersenyum tawar dan saat itu juga hati Ashraf berasa sungguh lega!

"Okay, takpe! Kali ni mama nak makan apa untuk berbuka?? Mama suka pergi bazar Ramadhan, kan?? Mama nak pergi bazar yang mana satu? Dekat Stadium Larkin? Dekat Carrefour Pandan? Ke dekat Plaza Angsana?? Nak pergi semua tempat pun takpe, Ash bawak mama pergi!"

Zelda terus ketawa.

"Pergilah mana-mana pun, janji mama dapat beli tepung pelita dengan ayam percik... Mama teringin!" Air wajah Zelda sudah betukar girang. Lantas, Ashraf terus memberi signal kereta ke kiri, jalan menuju ke Stadium Larkin.

"Ma, orang terfikir... Apa kata raya tahun depan, kitorang apply untuk kerja ke destinasi yang sama. Lepas tu Mama, Haris, dengan famili Sofie semua pergilah bercuti dekat destinasi kitorg tu!"

"Huh?! Buat apa???" Kening Zelda mencerun.

"So that kita bolehlah sambut raya sama-sama!"

Cadangan Ashraf itu disambut dengan gelak ketawa.

"Hish, mengarutlah you ni! Kita ni orang Melayu! Pagi raya mesti nak ada lemang, rendang... Kalau pergi travel, macam mana I nak bakar lemang, kacau rendang semua tu masa malam raya...?!"

Mendengarkan kata-kata ibunya itu, Ashraf tersengih nakal.

"Mama Melayu ke, ma??" Gelak.

"Hey, husband I Melayu jati okay?!" Suara Zelda meninggi dan dia terus meleteri Ashraf sambil Ashraf tertawa besar!

"You gelaklah! I sumpah you jadi enjin kereta ni karang, Ashraf Zildan! Tahulah nasib you!" Jerkah Zelda dalam senyuman dan raut wajah yang tidak puas hati. Ashraf terus ketawa .

"Enjin kereta?! Ala... Mamakan tahu Ash suka kapal terbang, mama sumpahlah Ash jadi enjin kapal terbang!"

"Diam, you...!" Kedua-dua beranak itu terus tertawa lagi bersama.

Dalam pada itu, di fikiran Ashraf sudah merangka sesuatu untuk mengenakan Azril...

* * * * *

Azril membaca SMS yang dihantar Ashraf beberapa hari yang lepas.

'Habislah kau, Ril... Aku tak dapat pujuk mama, aku dah give up dah! Mama nangis teruk dalam kereta siang tadi sebab kau tak tunaikan janji kau untuk sambut raya dengan dia. Mama cakap, jangan nanti kalau jadi apa-apa pada mama, kau tak dapat tengok dia sebab kerja. Nanti kau sampai-sampai je, tinggal tanah je nanti... Aiyok Ril... Aku tak tahu!- Ash 012

Gulp!

Hati Azril sebal! Penyesalan datang berbondong-bondong menerjah ke benaknya kerana menabur janji kosong.

Azril menelan liur sekali lagi.

'Barang' yang dia ambil daripada Fara sudahpun berada di dalam genggamannya, sedia untuk digunakan...

*          *          *          *          *

1 Syawal 1425...

Sofie muncul di ruang tamu bersama pinggan-pinggan yang telah dicuci. Kedengaran lagu-lagu raya berkumandang melalui siaran televisyen pada tengahari itu. Tetamu-tetamu yang datang beraya semuanya sudah pulang sebentar tadi.

Di satu sudut pula, kelihatan Zelda sedang menuangkan air teh panas buat Kapten Zamani. Wajahnya berkemilauan ceria! Suasana di ruang tamu itu agak bingit dengan gelak ketawa Martin dan pakciknya, Haris. Sekali-sekala, kanak-kanak lelaki itu berlari ke sana-sini.

"How's it hangin', mate?" Noah, pemuda Australia dan ayah kepada Martin menegur Azril yang terbaring lesu di sofa. Dia berasa kasihan melihatkan keadaan adik iparnya itu.

Azril tidak mampu berkata apa, hanya tersenyum dan membuat isyarat 'okay' dengan jarinya. Noah tertawa sambil menepuk-nepuk bahu Azril. Kemudian, pemuda mat saleh itu duduk menyertai ayah dan ibu mentuanya di meja makan di ruang tamu tersebut.

"Assalamualaikum."

Tiba-tiba, Ashraf terpacul di pintu rumah dalam pakaian seragamnya. Tubuh yang sasa dan tinggi lampai itu tertunduk-tunduk membuka kasut dan stokin di kaki.

"Waalaikumsalam... Alhamdulillah, lengkap dah anak-anak mama semua!" Jawab Zelda bertambah riang. Ashraf berjalan masuk sambil mengheret beg bagasinya dengan senyuman yang melebar.

"Selamat hari raya, Mr Pilot! Welcome home!" Ujar Kapten Zamani dengan nada yang bangga. Ashraf memandang ayahnya seraya membalas, "Thank you, capt! Selamat raya raya! Maaf zahir batin, pa!" Mereka berdua bertukar senyuman.

"Hey man, selamat hari raya!" Tegur Ashraf kepada Noah. Noah membalas ucapan selamat itu bersama slang mat salehnya yang pekat.

"Ma..." Ashraf sudahpun berdiri di sisi Zelda.

"Selamat hari raya, ma." Kata Ashraf sambil menghulurkan salam. Zelda segera menyambut tangan Ashraf dan ketika anaknya itu mencium tangannya, dia mengusap rambut Ashraf dalam pandangan mata yang hampir berkaca!

"Mintak maaf kalau Ash pernah buat salah pada mama."

"Takde apa... Kalau adapun mama dah maafkan..."

Ashraf mengangkat kepalanya lantas tersenyum memandang Zelda.

"Cuma... Sebab you kerja hari ni, you bagi je dua ribu ringgit pada Haris nanti, mama nak kirim skarf Aigner dekat Pavilion KL dengan dia." Mata Ashraf terus membulat!

"Lambat setengah hari kena kompaun dua ribu ringgit?!" Ujar Ashraf.

"Hehe! Mama guraulah!" Zelda memukul bahu tegap Ashraf dan serentak itu juga mereka berdua tertawa.

Tiba-tiba, Ashraf terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Dia lantas mengeluarkan gajet tersebut daripada poket seluar dan menekan butang 'Read'.

'Selamat hari raya, baby! ;-* Mmuah!' - Irene

Jari Ashraf menekan butang 'Reply'.

'Selamat hari raya, Irene. Enjoy your raya!'

Mesej terus dihantar...

Saat itu, mata Ashraf menangkap bayang Azril di sofa. Dia berasa sungguh terkejut kerana menyangkakan Azril sudah pergi kerja!

"Eh...? Kau memang MC ke??" Tanya Ashraf sambil perlahan-lahan menghampiri Azril. Muka abangnya itu kelihatan pucat dan di hadapannya pula, terdapat satu botol besar air 100Plus yang sudah diminum separuh. Azril memandang Ashraf dari hujung matanya.

"Apa kena kau terdampar macam kain buruk ni??" Pertanyaan itu dibalas dengan satu jelingan tajam daripada Azril.

"Uncle Ril have got a stomach bug!" Martin menyampuk sambil berlari-lari riang.

Ashraf duduk di birai sofa sambil memerhatikan keadaan abangnya.

"Aku ingatkan kau kerja..."

"Tak... Aku diarrhea teruk."

"Hah?? Diarrhea?! Macam mana boleh diarrhea?? Kau kena waktu nak pergi kerja ke?" Mendengarkan pertanyaan Ashraf itu, Azril segera bangun dari pembaringannya.

"Kru aku ajar cara budak-budak cabin crew ambik MC... Aku terus setuju je lah... Tengok-tengok..." Kata-kata Azril terhenti di situ.

"Tengok-tengok apa??" Potong Ashraf.

Azril merenung wajah Ashraf lantas membisikkan sesuatu di telinga adiknya...

"Dia bagi aku minum teh kurus."

"TEH KUR...UPHHH!!"

Azril segera menekup mulut Ashraf menyebabkan Ashraf ketawa dengan nafas yang tersangkut-sangkut!

"Lemaslah aku, setan!!" Ashraf menolak tangan Azril sambil ketawa. "Kah kah! Apalah sengal sangat kau ni! Kah kah kahh!" Dia terus ketawa berguling-guling di atas sofa. Gelagat dua beradik itu mengundang perhatian mereka yang lain.

Azril hanya terdiam dengan wajah mencuka. Sakit sungguh hatinya diketawakan sebegitu.

"So... Kau minum benda tu sebab aku bagi tahu kau yang mama marah dekat kau eh?" Bisik Ashraf dalam tawanya. Mukanya merah kerana banyak ketawa!

"Memanglah! Gila kau aku nak pergi kerja, mama dah cakap macam-macam!" Bisikan Azril kedengaran keras. Ashraf terus sambung ketawa!

"Ril... Sorry-lah... Hari baik, bulan baik ni aku nak mintak maaflah dekat kau..." Ujar Ashraf apabila tawanya reda.

"Hah?? Kenapa??" Wajah Azril berkerut seribu.

"Sebenarnya, aku dapat pujuk mama hari tu. Mama dah tak kisah dah kalau kau nak pergi kerja malam tadi... Tapi sengaja aku buat kau cuak! Sorryyy..." Saat itu juga Ashraf sambung ketawa manakala raut wajah si Azril sudah seperti harimau yang bangkit dari lena!

"Maknanya sia-sia je lah aku sakit ni?!!" Azril sepantas kilat menenyeh tapak tangannya ke muka Ashraf.

"HA HA HAH! Aduh! Aduhh! Sakitlah bodoh! Hahaha!" Ashraf gelak besar sambil menolak tangan kasar dan tubuh Azril yang semakin mara!

"Kau tahu tak betapa seksanya aku berlari macam lipas keluar masuk tandas sejak malam tadi?! Hah?!! Hahh?!! Kau meh sini! Siotlah kau ni!" Mereka terus bergelut diiringi dengan gelak ketawa yang sungguh gamat.

"Woi, woi!! Apa hal ni?!! Meh sini referee tolong leraikan!" Tiba-tiba si Haris pula mula masuk campur dan menyertai pergelutan tersebut!

Keadaan menjadi semakin riuh. Martin yang sedang berlari-lari tadi terkaku menyaksikan gelagat buas ketiga-tiga pakciknya itu. Mulut Martin terlopong!

"Eh... You tengok tu..." Nada suara Kapten Zamani seakan bimbang.

Zelda segera memandang ke arah anak-anaknya. "Hmpph! Biarlah diorang!" Ujarnya sambil tertawa kecil.

"Eh, jangan... Macam nak runtuh dah sofa mahal you, diorang dok bergelut atas tu..." Kata Kapten Zamani lagi.

"Kalau runtuh karang beli baru." Zelda berkata dengan selambanya sambil menghirup teh.

"Eh you ni... Masa diorang kecik ringan dulu, you marah pulak." Sekali lagi kata-kata Kapten Zamani itu membuatkan Zelda tertawa. Lantas pandangannya disorot semula ke tiga-tiga anaknya.

Dalam pergelutan itu, Zelda terbayangkan tubuh Azril yang kecil dengan potongan rambut tempurungnya, si Ashraf dengan gigi hadapannya yang rongak dan si Haris dengan mukanya yang berbedak umpama tepung gomak. Dia rindu sebenarnya. Rindu dengan keletah dan suasana hingar-bingar mereka bertiga seperti dua puluh tahun yang lepas dan hari ini, momen itu hidup semula walaupun ketiga-tiga anaknya itu sudah besar panjang!

Zelda hanya tersenyum lebar sambil menikmati teh panas dan kuih raya. Jeritan riuh-rendah di belakangnya itu umpama satu alunan memori yang sungguh indah dia rasakan pada hari raya pertama itu...

TAMAT.

Begitulah akhirnya... Tercapai jugak hasrat mama Ashraf nak sambut raya dengan keluarganya yg LENGKAP kann.. :D Insya Allah cerpen raya tahun depan dah ada Lara! Miss nak ucapkan Selamat Hari Raya buat kawan2 dan readers CRMWB & MWB semua! Stay safe! <3

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience