Tahun 2006 - Bahagian Akhir

Drama Series 8998

Sehari sebelum Syawal
10.00 pagi

Buk buk buk...

"Pinggang, pinggang..."

Buk, buk, buk, buk...

"Kiri, kiri, kiri..."

Buk, buk, buk, buk, buk...

"Atas sikit... Atas lagi..."

Ashraf yang sedang menonton televisyen memandang abangnya daripada ekor mata.

Kelihatan Azril sedang tekun sekali menumbuk-numbuk badan Kapten Zamani yang sedang tertiarap di lantai.

Buk, buk, buk, buk...

Bunyi tumbukan tangan Azril pada bahu Kapten Zamani.

Ashraf terus sahaja memerhatikan gelagat abangnya...

Apa kena dengan si gila ni? Kenapa tiba-tiba saja dia jadi rajin? Ashraf tertanya-tanya sendiri, sungguh penasaran. Namun dia yakin, pasti ada sesuatu di sebalik kebaikan itu.

Ashraf kembali menatap televisyen.

Tittt tittt!

Kedengaran pula notifikasi SMS masuk ke telefon bimbit Ashraf. Apabila dia melihat ke skrin telefon, tertera perkataan '1 MMS Received'.

Wah! Siapa pula yang hantar MMS?

Ashraf tekan butang 'Show'.

Selang beberapa saat, terpacul gambar Lara yang sedang memakai baju kurung turquoise bersama selendang mak datin juga dalam warna yang sama.

'This is my baju and selendang for tomorrow. Cantik tak? Samakan warna dia dengan warna baju Melayu you?' - Princess

'Urgh! Cantiknya!' Senyum lebar.

Macam bidadari!

Hati Ashraf cair dan perasaannya meletus macam pertunjukan bunga api!

Dalam keterujaan, Ashraf lantas menuju ke arah Azril yang sedang tekun 'bekerja'. Terus dia menggoncang-goncang kepala abangnya sehingga lelaki itu menjerit!

"Hei?! Apa kena korang berdua ni?!" Sergah Kapten Zamani yang masih tertiarap.

"Entah, Ash ni! Dah takde kerja sangat kot main kepala orang!" Azril berkata dengan wajah yang menyinga.

"Ash, you daripada melepuk dekat sofa tu tak buat apa-apa, baik you jadi macam Azril! Tolong picit kaki I ni ha, malam ni malam raya, I kerja!"

Ashraf buat muka dan terus menunjukkan imej Lara di telefonnya kepada Azril.

"Cantik tak?" Tanya Ashraf menyengih tetapi dia lihat Azril mencebik.

"Hmm... Biasa je."

'BIASA JE?! Kurang asam mamat ni! Mata dia buta ke apa?! Dia ingat koleksi awek-awek sekeliling pinggang dia tu cantik sangat?!' Getus Ashraf dalam hati.

"Esok dah rayalah... Mana sempat nak cari tudung tu untuk mama? Iklan dari mana kau dapat tu?"

Sekaligus pertanyaan Azril itu membuatkan Ashraf tersenyum lebar. Rupanya Azril ingatkan pertanyaannya tadi mengenai selendang yang dipakai Lara. Padahal Ashraf bertanya tentang orang yang memakai selendang!

Ya, begitulah cantiknya Lara sehinggakan gambar biasa pun orang boleh sangkakan yang ianya iklan selendang! Ashraf tersengih lagi tetapi tidak menjawab soalan. Sengaja dia menunjal kepala Azril sambil berlalu pergi, menyebabkan abangnya itu memekik daripada belakang...

2.00 petang
Ruang makan

Perut Ashraf terasa seolah dikorek-korek. Lapar! Apatah lagi aroma rendang daging serta pelbagai masakan lain memenuhi ruang makan yang bersebelahan sahaja dengan dapur.

Suara Zelda bersembang dengan Sofie Zahirah, anak yang sulung kedengaran sayup-sayup di dapur. Mereka sedang sibuk menyediakan juadah untuk buka puasa yang terakhir pada malam ini dan juga untuk 1 Syawal esok.

Di atas meja makan kayu jati, koleksi kristal Zelda tersusun kemas. Kelihatan Ashraf duduk sendirian menghadap kesemua koleksi tersebut. Di tangannya ada sehelai kain dan dia sedang leka menggilapkan barang-barang kristal itu satu per satu.

"Phuhh!" Ashraf meniup habuk pada arca kristal tersebut.

Gosok, gosok, gosok.

"Phuhh!" Dan dia menggosok lagi.

Ini adalah tugas hakiki Ashraf atau Azril setiap kali sebelum menjelang hari raya. Siapa yang tidak terbang bekerja sebelum raya, dialah yang akan melakukan tugas ini.

"PHUHHH!"

Kedengaran Azril juga meniup sesuatu. Tetapi dia tidak duduk di meja makan bersama Ashraf. Dia duduk di anak tangga yang berhadapan dengan ruang makan, menghadap Ashraf. Di tangannya juga terdapat sehelai kain berserta kasut kulit berwarna hitam, milik Kapten Zamani.

"Phuhh!" Azril bersungguh-sungguh menggilap kasut ayahnya!

"Sejak bila kau start gilapkan kasut papa ni?" Tanya Ashraf seperti tidak puas hati.

Waktu itu juga bayang Kapten Zamani menuruni anak tangga kelihatan.

"Biarlah, esokkan raya. Bagilah papa smart sikit pergi kerja malam raya."

Mendengarkan jawapan Azril itu, Kapten Zamani berhenti sebentar bagi mengamati kasutnya di tangan Azril.

Berkilat!

Lantas dia menggosok tapak tangannya pada rambut Azril sehinggakan rambut anaknya kusut dan kemudian berlalu pergi.

'Hmmph! Dasar mengampu!' Ashraf mencebik.

"Assalamualaikum!"

Kedengaran suara Haris Zikri, anak bongsu yang baru tiba daripada Kuala Lumpur memberi salam.

"Hah! Kau!" Ujar Ashraf kepada Haris sebaik menjawab salam. "Tugas kau hari ni sapu sampah sekeliling rumah, siram bunga, dan sapu porch jugak."

Haris tercengang. Sudahlah halaman rumah mereka besar, cuaca panas pula tu!

"Kitorang dah kemas satu rumah siap complete package dengan vacuum dan tukar langsir. Kau buat kerja dekat luar rumah pulak." Sampuk Azril, padahal semua kerja-kerja itu dibuat oleh Sofie sebentar tadi! Dia dan Ashraf berpandangan, lalu masing-masing tersengih jahat.

"Wei, aku baru je sampai daripada KL!"

"Aku kerja tengahari esok. Boleh je buat kerja macam-macam." Ujar Ashraf padahal tugasnya dari tadi cuma menggilapkan kristal sahaja.

Haris garu kepala yang tidak gatal dan berlalu pergi...

Satu jam sebelum berbuka

"Pa... You fly dengan siapa malam ni?" Tanya Azril sambil menggantung baju seragam ayahnya yang baru digosok di ruang tamu keluarga tingkat atas.

Mana pernah dia gosokkan baju papanya sebelum ini!

"Dengan Capt Siew." Kapten Zamani jawab acuh tak acuh kerana sedang menonton berita.

"Oh..." Azril duduk sekali menyertai papanya. "Pa... Nak mintak tolong sikit boleh?" Sengih.

Apabila dengar saja nada suara Azril seperti itu, Kapten Zamani terus tarik muka. Patutlah anaknya yang seorang ini baik lain macam saja sepanjang hari. Nak membodek rupanya!

"Hmmph, apa dia?" Dia memandang Azril dari hujung mata.

"Err... Nanti bila papa dah sampai Narita, tolong pergi HQ store Noritake boleh? Belikan pinggan mama yang pecah tu." Sengih lagi.

Kapten Zamani menyengetkan mulut memandang Azril. Bertuah punya anak!

"Please-lah, pa...! I dah janji dengan mama nak ganti balik pinggan tu sebelum I pergi kerja on the third raya!"

"You tak pergi kerja, macam mana you boleh janji pulak dengan mama??"

"Sebab orang tahu papa pergi Narita malam ni!" Sengih.

Keadaan sepi seketika.

"Hmmph... Tengoklah nanti."

Akhirnya Kapten Zamani bersuara tetapi Azril tahu, pasti papanya akan menolong!

Hah, lega...! Azril senyum lebar.

Jam sudah menunjukkan pukul 7.15 petang. Ada lebih kurang lima belas minit lagi sebelum masuk waktu berbuka.

Azril melangkah masuk ke dapur dengan sesuatu di dalam genggaman tangannya.

"Can I help with drinks preparation?" Tiba-tiba dia bertanya kepada mama dan kakaknya. Di hadapannya terdapat satu jug besar teh ais lemon yang sudah tersedia.

Zelda yang mendengar, memandang Azril dari hujung mata. Nak bodeklah tu! Dah pecahkan pinggan orang! Fikirnya. Dia buat tak tahu saja dengan pertanyaan Azril itu.

"Wow... This is very unusual. And very kind of you, I must say." Jawab Sofie sedikit terpinga.

"Hah. So, nak buat apa lagi ni?" Tanya Azril lagi.

"You put sugar in it and tuang dalam gelas. Then bring it to the front." Sofie berkata sambil menyambung potong ketupat.

Azril mengangguk dan tersenyum penuh helah.

'Ash, Ash... Sepanjang hari ni kau asyik mengutuk dan mengenakan aku je kan... Meh sini, kita tengok siapa yang terkena... Aku tolong kau dapatkan MC untuk esok, okay... Esokkan hari raya... Haa, ambik... Ambik...!' Ujar Azril dalam hati sambil membancuh satu sachet teh kurus, baki yang dia dapat daripada Fara dahulu!

'Wahahaha!' Dia ketawa jahat dalam diam!

Kemudian air teh kurus itu dicampurkan pula ke dalam sebiji gelas berisi teh ais lemon khas untuk Ashraf. Sebagai 'penanda', dia memasukkan sepotong lemon supaya dapat membezakan gelas Ashraf dengan gelas yang lain.

HAHA! Sudah pasti raya tahun ini lebih meriah kerana kesemua anak-anak Madam Zelda akan ada bersama sehingga hari raya ketiga, fikir Azril dengan senyum sumbing umpama seorang psiko!

"Allahumma Lakasumna Wabika Aamanna Wa’alaa Rizqika Afthorna Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin..."

Kapten Zamani membaca niat berbuka puasa dengan hati yang penuh gembira kerana kesemua anak, menantu dan cucunya ada bersama pada malam terakhir Ramadhan!

"Aamiin..." Mereka semua mengaminkan doa lantas mula makan dan minum.

Kapten Zamani duduk di sudut tengah meja makan seolah-olah mengepalai meja tersebut manakala Ashraf pula duduk di sebelah kiri hadapan. Ashraf terus mengambil salah sebuah gelas yang bersebelahan dengan gelas Kapten Zamani lalu meneguknya dengan penuh nikmat.

Nun jauh di hujung sana pula, kelihatan Azril sedang enak makan sambil bersembang kecil dengan Noah, abang ipar mat salehnya...

Pagi 1 Syawal

Suara takbir bergema sungguh syahdu pada pagi Aidilfitri.

Di ruang tamu rumah banglo tersebut, kelihatan semua ahli keluarga Ashraf berkumpul sambil bersalaman antara satu sama lain.

Namun begitu bayang Kapten Zamani tidak ada kerana dia telah terbang bekerja pada tengah malam tadi!

"Ma... Selamat hari raya, ma. Ikhlas dari hati anak pungut mama." Ujar Azril seperti menagih simpati. Terasa Ashraf yang ada di belakang mencuit pinggangnya seolah-olah memberi isyarat berhati-hati.

"You ingat I nak kesian dekat you kalau you cakap macam tu? Susah payah I keluarkan you, muka pun dah macam copy muka I dengan muka papa you, you cakap you anak pungut?!"

Aduh, tersalah cakap pula! Betullah isyarat Ash tu! Getus Azril dalam hati.

"Ma, janganlah marah dekat Aril lagi ma... Aril tahu pinggan mama tu berharga macam emas! Tapi Aril janji, sebelum Aril fly raya ketiga nanti, mama akan dapat balik pinggan mama tu okay?" Dia tersengih sambil menghulur tangan untuk bersalaman.

Dengan wajah yang kelat, Zelda menyambut juga huluran tangan itu. Ah, hati ibu. Semarah mana pun dia, tak kan lah sampai hati untuk menolak maaf si anak.

Ketika giliran Ashraf pula bersalaman, Azril menyaksikannya dengan kerutan di wajah.

Kenapa mamat ni steady je lagi? Tak lut langsung perut 'malaun' ni dengan teh kurus tu! Kenapa dirinya dahulu sampai lesu ulang-alik ke tandas sampai tak ingat dunia?? Apa ilmu yang malaun ni pakai?

Adakah kerana teh itu sudah lama? Azril berfikir-fikir sendiri...

Sebaik sahaja selesai bersalaman dengan ahli keluarga semua, Ashraf masuk ke dalam bilik dengan telefon bimbit di tangan dan membuat panggilan.

"Selamat hari raya, Ash!"

Suara Lara yang menjawab panggilan terus menerjah lantas membuatkan Ashraf tersenyum lebar!

"Selamat hari raya, princess. Haih, kalau tak kerana I kena kerja tengahari ni, I sanggup datang KL sekejap jumpa you."

Lara yang mendengar senyum sampai telinga.

"Ash, I minta maaf kalau pernah buat salah pada you. Especially masa I marah you dekat KLCC hari tu sebab you suruh I pakai pampers orang tua-"

Lantas mereka berdua ketawa!

"Yeah... I pun minta maaf jugak sebab bagi idea bodoh tu dekat you."

Dan sekali lagi mereka ketawa.

Mereka berbual seketika sebelum terdengar suara ibu Lara memanggil dari kejauhan. Lantas mereka segera memutuskan talian dan Ashraf kembali semula ke ruang tamu...

Sewaktu Azril sedang asyik menikmati juadah hari raya bersama keluarga, dia teringat sesuatu.

Keadaan di meja makan agak riuh dengan suara percakapan dan gelak tawa.

Azril segera membuka lembaran SMS dan menaip sesuatu. Bukan menghantar ucapan Selamat Hari Raya kepada Diela mahupun Ziela. Ataupun Fiera, seorang lagi skandalnya. Kepada Fara si senget tu pun bukan. Ini ucapan raya yang paling penting sekali dalam hidupnya!

'Selamat hari raya pa! Maaf zahir dan batin! Jangan lupa tolong singgah Noritake store ye! :) Thanks pa, you're the best!' - Azril Zubeen

'Selamat hari raya, son. But sorry. I can't go to the store.' - Papa

Wajah Azril pucat!

'Alamak! Kenapa?' - Azril Zubeen

'I've got diarrhea since I touched down Narita and it's been so bad! I thought it was from our foods last night tapi bila papa tanya mama dia kata semua orang okay. Weird.' - Papa

Kali ini bukan setakat pucat tetapi mulutnya ternganga!

Dia memandang Ashraf yang tampak senang hati memakan lemang dan ketupat sambil bergelak ketawa dengan Noah, ipar mereka. Ciss! Bergembira sungguh! Sepatutnya malaun ni yang sakit perut! Getus Azril.

"Ash!"

Ashraf memandangnya.

"Malam tadi dalam gelas minuman kau ada lemon sliced tak?" Tanya Azril.

"Takde. Tapi aku tengok dalam gelas papa ada." Ashraf jawab dengan selamba dan kemudian terus bersembang semula dengan Noah.

Sah...! Sahlah Kapten Zamani terkena teh kurus di malam raya! Hati Azril terasa kecut.

Dia memandang pula ke arah mamanya yang sedang ketawa bersama Sofie. Terbayang jeritan mamanya sewaktu pinggan Noritake berderai di lantai!

Mampus...!

Maknanya tak adalah pinggan Noritake sebelum dia pergi bekerja nanti! Aduh, macam mana ni?!

'Ala, papa tak boleh ke pergi sekejap? Public toilet dekat Jepun kan semua best-best... Siap ada butang dekat toilet seat untuk dengar lagu-lagu lagi...' - Azril Zubeen

'You nak suruh I mati terbongkang tepi jalan ke?!' - Papa

Uwaaaa!! Azril berteriak dalam hati.

Habislah dia... Pasti kes pinggan Noritake ini akan berlanjutan sampai ke raya tahun hadapan kalau tak dapat diganti sebelum hari raya ketiga!

Azril cepat-cepat menghabiskan makanannya dan selepas itu duduk mengasingkan diri di ruang tamu untuk membuat panggilan ke rakan-rakan juruterbang yang lain. Hendak hantar email, sudah tidak sempat maka terpaksalah dia 'menerjah' seorang demi seorang kru teknikal (juruterbang) melalui panggilan telefon.

Kali ini dia tekad untuk melepaskan hari rehatnya dengan membuat pertukaran untuk penerbangan ke Narita.

Azril terus mencuba nasib, bertanyakan kalau-kalau ada rakan sekerja yang dia kenal ada jadual kerja ke destinasi tersebut...

"Gila kau nak tukar off day dengan hari kerja! Biar betul...?!" Sahut FO Ramzan, orang yang ketujuh dia telefon.

"Haih, terpaksa bro! Ini antara soal hidup dan mati ni..."

"Pucuk di cita, luas tapak tangan aku petik, bro!"

"Peribahasa kau salahlah bodoh." Suara Azril kedengaran mendatar tetapi tawa FO Ramzan sudah kedengaran girang.

Kini Azril sudah hampir untuk menukar hari rehatnya dengan penerbangan ke Narita malam ini!

"So, confirm ye? Kita swap?" Tak perlu tengok muka, dengar suara sahaja Azril tahu lelaki itu sedang tersenyum lebar.

Haih! Beratnya rasa hati hendak melepaskan off day hari raya. Azril menangis dalam hati.

"Okay, kejap. Last check, sebelum kita confirm. Kau hold sekejap." Ujar Azril. Dia tidak memutuskan talian tetapi segera bangun dan meluru ke arah mamanya di meja makan. Telefon di tangan digenggam erat.

"Ma..."

Panggil Azril dan saat itu juga matanya bertatapan dengan wajah Zelda.

"Aril nak minta izin mama... Aril nak pergi kerja malam ni, for Narita sector. Raya kelima nanti Aril balik sini semula."

"Kenapa tiba-tiba nak pergi kerja?!" Wajah Zelda seperti harimau lapar melihat ayam serama melintas lalu.

"Aril nak pergi cari pinggan mama."

Ashraf yang mendengar terus mencebik! Huh, drama king!

Azril lihat mamanya terkedu. Tetapi pandangan mata itu masih tajam.

"Tak payahlah! Ganti je bila-bila masa you pergi Narita nanti!" Jeling.

Wajah Azril terus bertukar ceria!

"Hah?! Betul ke ma?!"

Keadaan sepi seketika dengan semua mata memandang Zelda.

"Hmm. Betullah." Jawab mamanya, acuh tak acuh.

"YES!! Hello, bro! Tak jadi, tak jadi! Kau pergilah kerja elok-elok malam ni ye! Bye, bro! Thanks! Fly safe!" Suara Azril kedengaran seperti orang menang loteri sambil menamatkan talian. Dia pasti si Ramzan sedang menyumpah seranahnya ketika ini. Haha! Lantaklah!

"Tapi...! Sebagai denda, kalau you pergi cari dekat Narita nanti, you belikan sekali set Damask Platinum pulak. Gold dah ada." Ujar Zelda sambil buat muka.

"Hahaha! No problem, madam! Your wish is my command! Yes!! Martin, let's play mercun tonight!!"

Serentak itu juga Martin melonjak riang bersama pakciknya!

Di hujung meja, Ashraf memandangnya dengan pandangan yang tidak puas hati. Dia pun hendak bermain mercun juga! Tapi apakan daya, sebentar lagi dia harus bersiap untuk pergi kerja. Urgh! Jealous!

Azril terus mendukung anak buahnya dan bersorak girang. Serentak itu juga, kedengaran suara tetamu memberi salam di luar rumah menambahkan lagi suasana meriah pada pagi Syawal tersebut...

Sehingga tiba pada hari Azril membeli pinggan mangkuk itu di Narita nanti, pasti jurujual Jepun itu akan terfikir perkara yang sama dengan jurujual di KLCC tempoh hari;

Muka handsome tapi collect pinggan mangkuk! Cuma bezanya, kali ini dalam bahasa Jepun ;P

TAMAT

Miss mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri (mengejut ;D)  buat semua pembaca MWB dan Cerpen Raya MWB, Maaf zahir dan batin! Semoga bergembira dengan kaum keluarga dan hati-hati di jalanraya yea! :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience