Samuel tayang muka toya? Tak ada maknanya pun. Dia tayang muka teruja tahap gaban lagi ada bila dengar khabar berita aku nak bertunang. Aku pandang muka Samuel yang sedang tersengih macam kerang busuk.
“Kau ni memang suka je kan kalau aku kena kahwin paksa?”
Aku hembus nafas dengan sekali hembus. Hampir serupa dengan gaya kerbau hembus nafas sebelum kejar koboi yang dok kibar-kibar bendera merah. Samuel tersengih lagi.
“Dah tu, kau nak aku buat aksi macam mana? Mestilah aku happy bila dengar kau nak kahwin. Berita baik kan.”
Aku toleh ke tepi. Mengelak apabila Samuel ingin pandang wajah aku. Samuel tarik nafas panjang sebelum menghelanya perlahan. Badan aku ditarik agar berhadapan dengannya. Selamba sahaja tangan Samuel mendarat di atas kepala aku lalu sebelum digosok-gosok seperti menggosok kepala anak kucing.
“Kenapa ni? Kau tak suka ke calon suami pilihan mak kau? Dah tengok ke belum gambar dia? Hensem macam aku tak?”
Samuel mula menggayakan aksi model ahli bina badan. Aku gelak besar. Jika bersama Samuel, projek merajuk aku mesti gagal. Ada sahaja ideanya nak menghiburkan hati. Alahai, macam mana agaknya kalau lepas nikah nanti, takkan aku nak suruh bakal suami tuntut ilmu memujuk dari Samuel pulak.
“Tak hingin aku nak tengok muka dia . Aku tak nak tengok muka dia, aku tak nak jumpa dia langsung. Banyak cantik muka dia nak datang merisik aku jadikan isteri dia. Hello ada cermin muka ka?”
Samuel panjang wajah aku dengan muka terkejut. Dahinya berkerut-kerut. Sekejapan dia terus melompat di hadapan aku.
“Kau dah ada balak ke weh? Tak pernah cerita kat aku pun. Konon sahabat hingga ke syurga, sekali dah ada balak, aku ni kau tolak masuk longkag rupanya.”
Aku tahan ketawa mendengar suara Samuel yang bernada lirih. Nak berdrama lah pulak mamat muka toya ni. Muka toya ke? Aku sahaja yang kata muka Samuel ni muka toya, muka apek sesat sebab Samuel ni anak kacukan Cina-Melayu-Pakistan. Ayahnya berdarah Cina dan mamanya berdarah Melayu-Pakistan.
“Kalau dah ada balak, kau ajaklah balak kau tu nikah. Selesai masalah kau.”
Samuel membuka cadangan tak berakal. Mata aku sudah bulat pandang wajah Samuel. Nak ajak kahwin macam mana kalau aku memang tak ada balak? Aku mula mengherot bibir.
“Kau tak nak nikah dengan aku ke?”
Spontan aku keluarkan soalan cepumas. Samuel hanya tersenyum sambil berdiri lalu mengibas seluar track-suit nya untuk membuang baki rumput kering yang melekat di punggung. Aku turut perlakuannya. Soalan ku tadi dibiarkan sepi.
“Meh sini, aku tolak kau atas troli ni.”
Samuel mengarahkan agar aku naik ke atas pelantar troli yang selalu Pak Cik Daud gunakan untuk tarik pasu bunga. Aku naik juga atas troli itu lalu Samuel menolak troli mendaki bukit menuju ke rumah kami. Matahari sudah terbenam di balik gunung. Kebanyakan rumah kampung di bawah bukit sudah menyalakan lampu rumah masing-masing.
Share this novel