“Aku terima nikahnya Lulu Iryani Binti Mat Hilman dengan mas kahwinnya sebanyak lapan puluh ringgi tunai.”
Aku angkat kepala sebaik mendengar suara lelaki yang sudah sah bergelar suami kepadaku. Dia turut menoleh kepadaku sambil mengenyitkan mata. Ada segaris senyuman di bibirnya. Aku ketap gigi geraham sendiri.
“Assalammualaikum sayang.”
Samuel hulurkan tangan untuk bersalam bagi membatalkan air sembahyang. Tangannya aku salam kemudian aku cium. Dengan peluang singkat yang ada, aku turut mencubit pergelangan tangannya. Samuel mengaduh kesakitan. Aku tersenyum puas. Spontan dia tarik dahi aku untuk dicium.
“Kan betul aku cakap, aku tetamu VIP.”
Samuel kenyit mata sekali lagi. Tapak tangannya sudah berada di atas kepalaku. Kami berdiri bergandingan sambil sebelah tangannya merangkul pinggang aku. Aku mendongak memandang wajah Samuel . Kalau dahulu dia yang ketek, kini ketinggianku hanya separas dengan bahunya sahaja.
“Kenapa sebelum ni tak cakap pun yang kau masuk meminang aku?”
Aku soal Samuel dengan wajah tidak puas hati. Ketika itu, kami sedang mengadakan sesi bergambar untuk dimuatkan dalam album nikah. Samuel pandang wajah aku dengan dahi berkerut.
“Bukan dah cakap ke? Awak aje yang tak ambik pusing. Kononnya nak layan hati rawan sebab cinta tak berbalas.”
Samuel tayang muka toya sebentar. Aku cubit pinggangnya.
“Sekarang ni dah ada hobi baru ya? Banyak sangat makan ketam ke sampai dah pandai nak main cubit-cubit?”
Samuel tayang muka tidak puas hati. Dia sudah bercekak pinggang. Aku turut bercekak pinggang dihadapannya.
“Hari tu awal-awal lagi mak dah suruh tengok gambar bakal tunang, siapa yang pergi buang gambar tu dalam tong sampah? Masa bagi kad nikah pulak, siapa yang pergi koyakkan kad nikah tu? Saya design sendiri tau kad nikah tu ikut citarasa awak. Bukan nak hargai pun.”
Samuel mula tarik muncung. Aku geleng kepala. Jenuh nanti kalau dia sudah merajuk. Aku tarik tangannya lalu aku bawa ke bibir. Kini aku tidak perlu risau, kalau aku merajuk, suami aku adalah orang yang paling pakar memujuk.
“Kita tutup kes ya. Masa tu saya tak tahu yang bakal suami saya adalah awak. Kalau saya tahu, mahu aje saya mintak hantaran sampai berpuluh-puluh ribu, lepas tu mintak buat majlis kat hotel taraf tujuh lapan bintang.”
Aku ketawa apabila mata Samuel yang sepet semakin membulat. Dia juga turut ketawa.
“Sejak jumpa awak sampai sekarang ni, saya cuma ada satu impian saja yang saya nak capai. Dan untuk capai impian tu, saya perlukan awak.”
Samuel tatap wajah aku. Renungannya aku balas. Kini jari kami sudah saling bertaut. Samuel bongkokkan badan lalu berbisik ke telingaku.
“Sayang, I want us to be together forever. Let’s grow old together.”
Terukir senyuman di bibir tatkala mendengar kata-kata itu. Itulah impian aku sejak aku mengenali apek sesat ini. Siapa sangka mulai hari ini, kami akan berkongsi impian yang sama dan mengharungi pahit maung kehidupan bersama-sama.
Share this novel