Sejak kejadian hari itu, aku mula menjauhkan diri daripada Samuel walaupun tahu dia sering datang ke rumah untuk berbincang tentang pengurusan majlis pernikahan aku. Petang tadi Samuel datang lagi, kali ini dia selitkan kad jemputan perkahwinan aku di hadapan pintu bilik tidur. Kad itu aku ambil dan campak ke meja solek. Aku tidak mahu tahu akan kewujudan kad itu.
Malam ini adalah malam berinai. Rumah kami sudah penuh dikunjungi oleh sanak saudara yang tinggal jauh di serata negeri. Bilik tidurku sudah dihias indah dengan warna tema putih dan ros merah. Aku tahu Samuel yang pilih tema itu mengikut warna kesukaan aku. Ah! Dia memang sentiasa memahami citarasa aku.
“Samuel tunggu kat bawah tu. Pergilah jumpa dia. Kesian mak tengok dia. Sepanjang masa ni, dia aje yang sibuk uruskan semua hal pasal majlis ni. Jumpalah dia sekejap ya.”
Akhirnya aku termakan pujukan mak. Aku lihat Samuel sedang tersenyum menunggu aku di bawah kanopi di tepi rumah. Aku pandang sekitar rumah, ada yang sedang memotong daging, ada yang sedang memotong sayur dan kanak-kanak pula sibuk bermain kejar-kejar di sana sini. Rewang, itulah suasananya.
“Weh, dah kenapa pulak nak masam-masam lagi ni? Esok dah nak bergelar puan tau. Tak kesian ke kat aku yang dah penat buat semua ni? Aku buat semua ni sebab aku sayang kau tau.”
Samuel tersenyum gembira dengan hasil titik peluhnya. Aku mengeluh kecil. Samuel gosok lagi kepalaku. Kali ini aku menepis tangannya. Biarlah Samuel terluka dengan tindakan aku. Aku mahu dia tahu apa yang aku rasakan. Aku lihat wajah Samuel berubah galau. Aku pula dipagut rasa serba salah. Dia sudah banyak bersusah payah untukku.
“Terima kasihlah sebab kau dah susah payah tolong aku uruskan semua majlis ni. Esok jangan tak datang pulak tau. Aku nak kau jadi pengapit aku.”
Aku lihat Samuel menggeleng kepala. Kemudian dia ketawa kecil. Aku kerut kening kehairanan.
“Engkau dah buang tabiat ke? Mana ada lelaki jadi pengapit perempuan. Tak naklah aku. Weh, esok aku jadi tetamu VIP la.”
Share this novel