Aku duduk di serambi rumah sambil menghadap kegelapan malam. Bunyi cengkerik dari pokok rambutan di simpang rumah menjadi lagu penghibur hati.
“Sejak balik dengan Samuel petang tadi, mak tengok kamu ni asyik termenung aje. Kamu bergaduh ke?”
Mak sudah duduk di sebelah aku. Aku memeluk lengan mak sambil bersandar di bahunya. Kepala aku mak usap penuh kasih.
“Mak tengok kamu ni asyik berkepit sahaja dengan Samuel tu, balik kampung sama-sama, pergi Kolumpu pun sama-sama. Mak bukan apa, tak elok kalau orang kampung ni tengok anak dara dengan anak bujang asyik berkepit ke hulur ke hilir.”
Aku angkat bahu pandang muka mak. Kenapa baru sekarang mak hendak utarakan soal itu? Kenapa tidak halang aku berkawan dengan Samuel sejak kecil lagi? Mak lebih tahu bahawa Samuel adalah satu-satunya kawan baik yang aku ada selepas arwah Masitah meninggal. Aku mula tarik muncung.
“Mak tahu kamu dengan Samuel tak buat apa-apa yang salah. Mak ni lagi nak berterima kasih dekat Samuel tu sebab tolong jagakan kamu kat sana. Kesian pun ada jugak mak tengok dia. Eh, buah hati dia tak cemburu ke tengok kamu dua orang ni asyik berkepit memanjang?”
Mak cuba korek rahsia. Aku sentap dengan soalan mak. Buah hati? Aku tidak pernah tanya soalan itu kepada Samuel. Pernah sekali aku cuba mengkenenkan Samuel dengan teman sepejabat, akibatnya, Samuel merajuk tidak mahu jumpa aku sebulan. Jenuh juga aku hendak pujuk dia. Aku hadiahkan dia sebiji mug dengan coretan Weh apek sesat! Gua mintak maaf ya.
“Mak, kalau Samuel yang pinang Lulu, mesti seronokkan. Iyelah, rumah kita dekat, nanti balik kampung pun senang. Tak payah nak berebut. Balik raya pun tak perlu nak gaduh-gaduh.”
Aku utarakan idea bernas. Mak pandang wajah aku dengan penuh kelainan. Kemudian mak pamit ke dalam rumah dengan senyuman di bibir. Aku mengeluh kecil. Kenapalah Samuel ini tak mahu pinang aku?
Share this novel