“Takpun, kenapa?” tanya Ameerul semula sambil matanya berarah ke arah lain. Langsung tidak memandang ke arah yang dituju Aabid.
“Muka dia merah. Macam tengah menangis,” ujar Aabid, bersungguh-sungguh.
“Ada masalah kut. Biarlah...” ucap Ameerul, selamba.
“Kalah judilah tu.” Tiba-tiba ada seseorang di belakang mereka yang menyampuk perbualan Ameerul dan Aabid.
Aabid mula tidak sedap hati. Dia memandang nombor di pintu bilik itu. Nombor 200. Aabid mula merencanakan sesuatu. Sebaik kesemua penumpang dan krew kapal merehatkan diri, dia perlu bertemu dengan lelaki tersebut. Jika benar lelaki itu kalah dalam perjudian, Aabid perlu segera menemuinya.
Seperti yang dirancangkan, senyap-senyap Aabid menyusur keluar dari ruang rehat krew kapal. Dia masih bertegas untuk menemui lelaki tersebut. Jam ditangan ditilik seketika. Jarum pendek betul-betul berada di angka satu pagi. Jarak dari ruang rehat ke ruangan penginapan penumpang agak jauh.
Beberapa minit telah berlalu, kini Aabid telah berada di ruangan tersebut. Dia segera mencari-cari nombor bilik 200. Namun, Aabid mula mengerutkan dahinya. Masakan tidak, di ruangan tersebut hanya menempatkan sehingga bilik yang ke 119 sahaja. Aabid mula runsing memikirkannya.
Takkan aku tersilap tengok kut...! Keluh Aabid di dalam hati.
Dengan tidak semena-mena, anak matanya terpandang sebuah bilik yang pintunya dipalang ketat. Pintu bilik tersebut juga tidak sama seperti pintu yang lain. Ianya merupakan daun pintu yang diperbuat daripada besi. Tombol pintu turut tidak kelihatan disitu.
“Ehem...”
Tiba-tiba, bunyi berdehem garau lantang kedengaran. Hati Aabid mula berdegup kencang. Risau jika kehadirannya disitu diketahui orang. Aabid mula bertindak ingin melarikan diri. Sempat juga fikirannya ligat berputar memikirkan cara untuk Aabid menyembunyikan diri.
“Tap... tap... tap...”
Share this novel