Aabid hanya mendiamkan diri. Dia hanya menuruti permintaan Ameerul tanpa sebarang kekangan.
Sesudah tiba di ruang rehat, dia segera membaringkan tubuhnya di atas katil. Namun, matanya masih tidak boleh lelap. Ada saja yang serba tak kena. Segera dia mencapai telefon bimbitnya. Lalu Aabid terus mencari nombor telefon Viyana. Butang dail ditekan.
Aabid mula hampa. Nombor telefon Viyana tidak dapat dihubungi. Seperti yang dikatakan operator tersebut, nombor telefon Viyana tiada dalam perkhidmatan. Aabid mengeluh kasar. Telefon bimbitnya dicampak di tepi bantal. Namun dicapai semula tidak sampai beberapa saat.
Aabid terus menekan aplikasi pesanan mesej. Nombor telefon Viyana dimasukkan di ruangan penerima.
Yana, awak pergi mana? Saya call pun tak dapat. Saya ada sesuatu nak tanya awak. Awak ada maklumat tak tentang bilik penginapan penumpang yang bernombor 200? Saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Lagi satu, bilik yang daun pintunya dipalang dengan rantai besi. Saya musykil kenapa bilik itu kunci? Saya harap awak balas mesej ini ya.
~Aabid ~
Aabid terus menekan butang hantar. Selepas beberapa minit, telefonnya dicampak ke tepi bantal semula. Kain selimut yang menutupi kedua belah kakinya ditarik hingga paras bahu.
Siang tadi aku yakin memang bilik itu tak ada. Tapi, kenapa tadi bilik itu ada? Ke sebenarnya bilik tu dan bilik bernombor 200 adalah bilik yang sama? Kalau sama, kenapa siang tadi bilik tu tak dikunci? Malam dikunci dengan palang besi lagi. Aabid meneka-neka di dalam hati.
Seketika kemudian, dia terus memejamkan matanya. Risau jika kepenatan pada esok hari. Aabid perlu merehatkan diri untuk melaksanakan tugas pada hari seterusnya. Misteri tentang bilik 200 masih bermain-main di fikirannya.
Share this novel