“Kapal Victoria Regis tu selalu berlayar ke seluruh dunia. Banyak penumpang yang akan naik kapal mewah tu. Setiap kali kapal transit, berbagai-bagai manusia yang akan kita jumpa. Ada yang berkulit putih, hitam dan ada juga yang kacak macam awak. Dahlah, saya nak kemas barang kejap. Awak baliklah dulu, nanti kita jumpa lagi,” ujar gadis itu dengan panjang lebar sebelum bingkas bangkit dari bangku.
“Oh itu aje ke? Saya ingatkan kapal tu berhantu.” Aabid membalas sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
Gadis itu tersenyum hambar.
“Borak punya borak, awak belum perkenalkan diri lagi,” ujar Aabid.
“Saya, Viyana. Boleh panggil, Yana.” Gadis itu memperkenalkan namanya sebelum mengatur langkah ke kaunter pertanyaan.
Aabid hanya melihat gerak kaki Viyana yang diatur ke kaunter pertanyaan. Sesekali dia tersenyum sendiri. Masakan tidak, belum pernah lagi ada gadis yang memuji tentang rupa parasnya. Jam ditangan ditatap buat seketika. Aabid harus segera pulang dek kerana jarum jam hampir menjengah ke angka tujuh malam.
Aabid mula mengorak langkah ke pintu keluar. Sesekali dia diserang seram sejuk ketika melewati ruangan yang sedikit kelam. Aabid mengusap di sekeliling lehernya. Tidak semena-mena, bulu romanya merinding seram.
Sejuk sangat malam ni, desis Aabid di dalam hati. Dia terus berjalan mendekati kereta kancil miliknya yang diparkir tidak terlalu jauh dari situ. Ruangan parkir itu kelihatan lengang. Hanya satu dua sahaja kereta yang masih berbaki. Sesekali Aabid merasakan seolah-olah diperhatikan. Dia melihat sekeliling sebelum melangkah masuk ke perut kereta.
“Hoi...!”
Tiba-tiba bahunya ditepuk seseorang. Aabid segera berkalih dengan hati yang berdebar-debar.
Share this novel