Makhluk itu terus melompat-lompat kecil mendekati Aabid. Pandangan mata Aabid juga mula berbalam-balam. Namun, sempat juga dia memerhati ke sudut bilik. Terdapat sekeping papan tanda yang tertera tiga angka nombor. Nombor 200. Aabid terus terjelepok jatuh ke atas lantai. Makhluk yang dilihat sebagai pocong itu hanya tersenyum.
“Aabid, Aabid. Bangunlah...” Ameerul menampar-nampar lembut pipi Aabid.
Aabid mulai sedar. Dia bingkas memanggungkan kepalanya. Lantas dia memandang sekeliling. Begitu ramai orang yang memerhatinya kala itu. Ada yang masih lengkap berpakaian tidur. Ada juga yang berseluar pendek mahupun hanya bertuala.
“What’s going on?” salah seorang pelancong asing mula bersuara.
Aabid meraup wajahnya berkali-kali. Kedua belah matanya juga digenyeh-genyeh. Dia memandang wajah Ameerul yang masih menanggung kantuk.
“Kau ni dah kenapa?” soal Ameerul sambil menggosok matanya.
“Kenapa? Kenapa apa?” Aabid masih lagi keliru.
“Yalah. Yang kau baring kat sini buat apa? Pastu kau meronta macam orang kena rasuk. Sampai satu kapal dengar kau jerit,” ujar Ameerul sambil membantu Aabid untuk bangkit.
Aabid masih keliru. Berkali-kali dia memandang ke arah bilik yang dipalang itu. Bagaimana dia boleh berada di luar sedangkan dia sudah berada di dalam bilik itu tadi? Siapakah yang mengeluarkan dia dari situ? Apa kaitan bilik itu dengan bilik yang bernombor 200? Pelbagai persoalan mulai membenih di benaknya.
“Sudahlah. Kau pergi rehat. Muka kau pucat semacam aje ni,” pinta Ameerul lalu segera memapah Aabid ke ruang rehat krew kapal.
Share this novel