BAB 5

Romance Completed 3425

“Assalammualaikum... abang...” Ainul cuba mengejutkan Raihan dari
tidur. Tubuh suaminya digoyang perlahan. Selama ini Raihan yang bangun
dahulu, tapi hari ini Raihan masih belum bangun saat Ainul sudah terjaga.

“Abang..abang..” Ainul pelik kerana Raihan masih belum terjaga.
Segera dia memegang dahi suaminya. Ya Allah, panas! hati kecilnya menjerit.

“Abang, abang!” Ainul cuba mengejutkan suaminya sekali lagi.
Perlahan Raihan membuka mata.

“Sayang...” lemah suaranya memanggil Ainul. Air mata yang hampir
menitis diseka Ainul perlahan. Keadaan Raihan benar-benar mengejutkan
dirinya.

“Abang ok ke?” soal Ainul penuh risau. Segera dia memangku
kepala suaminya.

Raihan mengangguk tanpa bersuara. Wajahnya pucat lesi.

“Abang sakit kepala. Tolong picitkan kepala abang kejap, sayang.”

Ainul memicit-micit kepala suaminya dengan hati yang penuh gusar.
Perlahan Raihan memegang tangan Ainul.

“Mari kita bersolat, abang dah ok.” Ajak Raihan sambil tersenyum
pada isterinya itu walaupun terasa lemah dalam dirinya untuk bangun.

Usai solat, Raihan kembali lelap di atas sejadahnya. Ainul
merenung wajah suaminya dalam sayu. Dahi Raihan diusap perlahan. Masih
panas, bisik hatinya.

“Abang, jom kita pergi klinik ya bang.” Soal Ainul saat Raihan
mencelikkan matanya. Sedari tadi Ainul menunggu Raihan bangun dari
tidurnya kerana terlalu bimbangkan Raihan.

Raihan menggeleng perlahan. “Tak perlulah sayang, sikit je ni.
Nanti sembuh la. InsyaAllah.” Raihan berkeras tidak mahu ke klinik.

Sudah seminggu berlalu, namun demam Raihan belum kebah. Puas
Ainul memujuk Raihan ke klinik, namun kedegilan suaminya itu mengalahkan
anak-anak kecil. Kemanjaan Raihan semakin bertambah sejak dia demam,
mahu disuapkan makan, mahu tidur di riba Ainul, namun Ainul tidak kisah
semua itu cuma kerisauannya pada kesihatan Raihan kian menebal.

“Uwek!” suara Raihan sedang muntah kedengaran di bilik air,
segera Ainul bergegas ke sana, mengosok-gosok belakang suaminya itu.

Wajah Raihan pucat dan cengkung, tubuhnya kelihatan lemah tidak
bermaya. Ainul memapah Raihan ke katil.

“Abang, tolong jangan berdegil lagi, mari kita ke klinik, Ainul
tengok abang makin lemah.”

Raihan masih sempat tersenyum walaupun ada kesakitan yang
ditanggungnya. Perlahan dia mengangguk.

“Puan kena merujuk suami puan ke hospital, keadaan dia nampak
teruk. Suhu badannya tinggi, dan dah lebih seminggu dia demam.
Kemungkinan suami puan menghidap demam denggi. Saya akan menghubungi
pihak ambulans untuk mengambil suami puan dari klinik ini.” Kata-kata
doktor itu bagaikan pisau yang menyucuk saraf Ainul. Raihan yang
terbaring lemah di atas katil rawatan direnung perlahan, ada air jernih
yang kian bertakung di kelopak matanya.

Saat berada di dalam ambulans, Raihan kelihatan sangat lemah,
bantuan oksigen terpaksa diberikan. Ainul tidak henti dari mengenggam
erat tangan suaminya sambil berdoa di dalam hati. Kerisauan kian membuak
dalam dadanya. Air mata yang cuba ditahan dari tumpah, tetap turun
berjuraian di pipinya.

Raihan terlena di atas katilnya di dalam wad itu. Ainul hanya
mampu merenung suaminya yang kelihatan sungguh lemah. Tubuh suaminya itu
diurut perlahan, dan dalam hatinya tak berhenti berdoa.

“Puan, doktor panggil.” Suara jururawat itu mengejutkan Ainul yang
terlena di sisi Raihan. Perlahan dia menghampiri bilik doktor bertugas.

“Silakan duduk puan.” Doktor yg berkacamata itu mempersilakan
Ainul sambil dirinya asyik membelek fail ditangannya.

Matanya beralih ke arah Ainul dan duduknya dibetulkan.

“Macam nilah puan, saya harap puan banyakkan bersabar. Suami puan
disyaki menghidapi Leptospirosis, sejenis penyakit disebabkan oleh
bakteria dari air kencing haiwan seperti tikus. Simptom-simptom penyakit
ini memang macam penyakit demam biasa tetapi sangat berbahaya. Dah
berapa lama suami puan demam?”

“Errr.. dalam seminggu doktor.” Jawab Ainul dalam getaran.

“Kalau suami puan dibawa untuk rawatan lebih awal, mungkin keadaan
boleh berubah, tapi...”

“Tapi apa doktor?” pantas Ainul memotong.

“Keadaan suami puan semakin tenat, buah pinggangnya sudah
dijangkiti dan sudah tidak berfungsi, anggota lain juga hampir sama,
harapan untuknya hidup cuma 20%-80% sahaja.”

Tiba-tiba Ainul merasakan pandangannya gelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience