BAB 2

Romance Completed 3425

Raihan mengucup dahi Ainul perlahan.

“Assalammualaikum ya zawjati” bisiknya ke telinga Ainul.

Lembut Raihan mengejutkan Ainul pagi itu, Ainul menggosok matanya
tuntas bangun.

“Waalaikumussalam. Pukul berapa sekarang ni abang?”

“Dah pukul 6 pagi sayang. Pergilah siap-siap, kita solat subuh
sama-sama ya.” Raihan keluar dari bilik, mungkin ke bilik solat di sebelah.

Ainul bingkas bangun dan bersiap, lantas menapak ke bilik solat.
Alunan ayat-ayat Al-Quran yg keluar dari bibir Raihan begitu menenangkan
Ainul. Langkahnya diatur perlahan ke tempat wuduk, mencuci anggota
tubuhnya satu persatu dan tertib sebelum dia masuk ke saf di belakang
suaminya. Raihan yang melihat Ainul sudah bersedia segera melafazkan iqamat.

“Allahu Akbar!” Raihan mengangkat takbir.

Ainul segera turun ke bawah untuk menyiapkan sarapan setelah
selesai melipat telekungnya, Raihan sudah terlebih dahulu turun selesai
solat tadi. Pasti abang dah lapar, bisik hati Ainul sendiri.

Sampai saja di dapur, Raihan sedang duduk di meja makan, bihun
goreng telah tersedia di dalam pinggan di hadapannya dan satu tempat
yang kosong, gelas berisi jus oren berada di sisi pinggan. Ainul
tergamam, pelik melihat sarapan telah tersedia.

“Abang, abang dah buatkan sarapan ke?” soal Ainul kehairanan.

Raihan tersenyum lalu bingkas bangun dan menarik Ainul ke meja.

“Silakan duduk sayang...” ucapnya sambil menarik kerusi buat Ainul.

Ainul duduk perlahan namun masih tidak percaya dengan apa yang ada
di depannya.

“Abang, abang masak ke ni?” soalnya lagi.

Raihan mengambil tempatnya semula sebelum memandang Ainul dengan
senyuman.

“Ya Ainul, abang masak. Abang tahu isteri abang suka sangat bihun
goreng kan?”

Ainul memandang Raihan dengan terharu.

“Kenapa abang buatkan sarapan? Kan Ainul yang patut buatkan? “
Ainul masih tidak puas hati.

“Sekali-sekala apa salahnya abang buatkan sarapan untuk Ainul.
Bukan kewajipan Ainul pun untuk sediakan makanan untuk abang, kan?
Rasulullah pernah bersabda, ‘wanita apabila ia sembahyang lima waktu,
puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami,
maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. Riwayat dari
Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik’. Itu saja yang Ainul perlu
buat, InsyaAllah syurga akan menanti Ainul.” Ulas Raihan dalam senyuman
yang tak lekang.

Ainul terdiam. Susah untuk mempersoalkan setiap tindakan Raihan
kerana setiap kata-katanya pasti ada terselit hadis Rasulullah dan
firman Allah. Ainul tersenyum bahagia kerana memiliki insan yang
berpegang teguh pada pesanan Rasulullah dan perintah Allah. Ainul yakin
Raihan mampu membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah.

“Eh senyum sorang-sorang pulak isteri abang ni.” Kata-kata Raihan
itu mengejutkan Ainul dari lamunan. Dia memandang suaminya dengan wajah
merona merah.

“Ainul, tolong siapkan beg abang ya. Esok abang dah kena bertolak.
Ainul letak jelah pakaian yang Ainul rasa sesuai. Abang akan pakai semua
pilihan sayang. ”

Ainul mengangguk. Esok abang Raihan akan ke luar bandar atas urusan
kerja, mesti aku kesunyian di rumah nanti, fikirnya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience