BAB 4

Romance Completed 11234

Tengah hari itu, semasa Winda tengah menyiapkan makanan, dia mendapatkan isterinya di dapur. Dia datang ke arah belakang Winda yang ketika itu sedang mengacau gulai ayam. Dia meletakkan dagunya di bahu kiri Winda dan kedua-dua tangannya memeluk perut Winda yang semakin jelas ke depan. Alhamdulillah kali ini Winda tidak mengelak. Dia mencium pula leher isterinya dan Winda juga tidak menepis sentuhan manja itu. Winda juga sebenarnya rindu belaian suaminya tapi dia lebih mementingkan egonya.

Nazri masih memeluknya erat dan berkata sesuatu di tepi telinganya.

“Selepas makan tengah hari nanti, kita keluar yer.”

Hanya itu katanya sebelum mencium pipinya dan berlalu ke ruang tamu.

Setelah suaminya beredar, dia tersenyum bahagia. Walaupun dia sentiasa mengelak, Nazri tidak jemu dan tak pernah jemu bahkan sentiasa mengikuti kerenahnya. Dia sedar suaminya sudah banyak berubah dan dia pun sudah tidak dingin seperti sebelumnya. Tetapi, kepercayaan terhadap suaminya yang masih belum kembali. Baginya sukar untuk mendapatkan semula kepercayaan setelah seluruh kepercayaan yang diberikan telah dirobek oleh suaminya sendiri.

Seperti yang dijanjikan, Nazri membawa Winda shopping di Mega Mall. Tujuan Nazri membawanya ke situ untuk membeli baju mengandung untuknya memandangkan perutnya semakin membesar dan dia memerlukan baju yang besar untuk disarungkan ke badannya. Setelah memilih beberapa helai baju mengandung, mereka berdua menuju ke tempat barang-barang bayi.

Bukannya hendak membeli sengaja mencuci mata. Orang kata, kandungan 7 bulan ke atas adalah masa yang sesuai untuk membeli barang keperluan bayi. Winda tertarik dengan warna pink tetapi Nazri lebih berminat dengan warna biru.

“Sayang! Abang sukalah warna biru. Lembut sahaja abang tengok warna ni.”

Katanya setelah melihat beberapa barangan bayi yang berwarna biru laut. Dia memandang Winda yang sentiasa berada di sebelahnya dan tangan kanannya sentiasa memegang tangan Winda tanpa sedikit pun dilepaskannya.

“Tapi, Winda suka warna pinklah abang. Apa kata kita bertaruh, kalau anak kita ni lelaki abang boleh pilih warna sesuka hati abang, tapi kalau perempuan Winda yang pilih. Abang setuju tak?”

Soalnya pada si suami sambil melayangkan senyuman. Nazri mengangkat kening. Menarik. Tapi Nazri pasti, dia yang akan menang. Bagi Winda pula dia yang akan menang.

“Okay, abang setuju.”

Winda tersenyum lebar. Dia pasti akan menang pertaruhan itu.

Selepas selesai shopping, mereka keluar dari kedai anakku. Sebaik keluar, mereka bertembung pula dengan Sherry. Winda ingat-ingat lupa siapa perempuan yang berada di hadapan mereka. Nazri pula menelan air liur dan memerhati raut wajah isterinya kalau-kalau isterinya perasan dengan perempuan itu. Winda menayangkan wajah blur. ‘itu tandanya Winda tidak perasan dengan Sherry,’ telah hatinya.

Tidak disangka, Sherry akan berjumpa bekas teman lelakinya di mega mall. Kecik sungguh dunia. Dia memandang Nazri dan kemudian berpaling pada Winda kemudian jatuh pada perut wanita itu.

‘Sudah mengandung rupanya, patutlah Nazri memutuskan hubungan mereka lima bulan lalu,’ hatinya berkata-kata.

“Jom sayang kita pergi.”

Ajak Nazri sambil menarik tangan isterinya berlalu dari satu. Lebih baik dia mengajak Winda pergi dari situ sebelum Winda ingat siapa perempuan itu. Dia tidak mahu hati Winda kembali terluka dan seterusnya mengingatkan kembali gambar-gambar lepas. Kesemua gambar itu telah dibakar dan dilupuskan.

Sebelum sempat mereka berdua melangkah, Sherry terlebih dahulu bersuara.

“Dulu, bukan lagi bersayang-sayang. Tapi bila isteri dah mengandung kita ditinggal-tinggalkan.”

Sebaris perkataan itu sudah mampu membuatkan hati Winda berubah rentak. Tiba-tiba dia teringat gambar yang diperolehinya lima bulan lalu.

Dia berpaling memandang tajam wanita itu yang tersenyum sinis. Tangannya masih dalam genggaman Nazri. Erat. Seolah memberi kekuatan padanya saat berhadapan dengan perempuan yang cuba merampas suaminya. Cantik juga orangnya tapi pakaian seolah tidak cukup kain.

“Baru saya teringat. Awaklah perempuan yang berada dalam gambar tu.”

Ayat itu membuatkan Nazri menelan air liur. Rupanya Winda masih ingat wajah Sherry. Walaupun gambar sudah dilupuskan tetapi ia tak dapat dilupuskan dalam mindanya. Raut wajah perempaun itu tersimpan kemas dalam kotak memorinya.

“Kau ingat lagi? Hmm… Baguslah kalau kau masih ingat lagi. Kau dah tahu ke kenapa Nazri curang di belakang kau?”

Sherry cuba menyakitkan hati Winda dengan mengingatkan kembali memori terburuk itu. Soalan yang diutarakan itu membuatkan dia berpaling pada suaminya. Apa maksud perempuan itu berkata begitu? Nazri hanya memandangnya sahaja tanpa berkata apa-apa. Tangannya masih kemas dalam genggaman Nazri.

Dia berpaling semula pada wanita yang tidak diketahui namanya itu. Nazri cuba menarik tangannya supaya berlalu dari situ tanpa mengeluarkan sepatah suara. Tapi, Winda memaku keras kakinya. Pasti wanita itu tahu kenapa kalau tidak masakan wanita itu bertanya dia begitu. Kalau dia tidak dapat mendengar sendiri sebab kenapa dari bibir suaminya, biarlah dia mengetahui sebabnya dari bibir wanita itu walau apa yang telinganya dengar nanti mungkin menyakitkan.

Sherry memandang Winda dengan senyuman sinis. Pasti isteri Nazri belum tahu, kalau tidak isteri Nazri tidak menunjukkan riak wajah begitu. Sherry bergerak ke depan sedikit supaya dia nampak jelas wajah terkejut wanita itu nanti. Dia akan menyakitkan hati wanita itu sebagaimana Nazri menyakiti hatinya.

Sejak berkenalan, bukan main lagi Nazri berjanji itu ini dengan syarat dia menjadi isteri kedua kerana dia tak akan pernah menceraikan isterinya. Tapi, itu hanya tinggal janji dan apa yang lebih menyakitkan Nazri memutuskan hubungan mereka. Dia tidak tahu kenapa. Tapi, setelah berjumpa dengan dua manusia itu barulah dia mengerti sebabnya.

“Pasti kau belum tahu bukan. Okay, aku akan beritahu sebabnya.”

Sekali lagi shery menguntum senyuman sinis. Winda semakin sakit hati melihat senyuman mengejek itu. Kalau boleh dia ingin berlalu dari situ, tapi dia benar-benar ingin tahu sebabnya. Kalau dia menanti penjelasan daripada suaminya, entah bila Nazri akan memberitahunya.

“Sebabnya..”

Sebelum sempat Sherry meneruskan katanya, Nazri terlebih dahulu mencantas dengan menjerit nama Sherry.

“Sherry…”

“Abang! Biarlah dia bercerita. Winda perlu tahu sebabnya. Kalau Winda tak tahu sekarang, entah bila Winda dapat tahu.”

Sejak tadi dia diam, kini dia menyampuk. Sudah tidak tahan apabila suaminya cuba menghalang wanita yang bernama Sherry itu memberitahu sebab kenapa suaminya curang. Nasib dia bertemu dengan perempuan yang bernama Sherry itu, kalau tidak sampai bila pun dia tidak akan tahu kenapa suaminya bertindak curang sedangkan sebelumnya Nazri seorang suami yang baik. Mungkin baik di depannya. Di belakangnya dia tidak tahu.

Nazri cuba menarik tangannya lagi, tapi cepat-cepat dia cuba melepaskan pegangan tangan. Dia kaku di situ. Nazri sudah tidak mampu menghalang. Semuanya akan tersingkap sekejap sahaja lagi. Winda membuka telinganya selebar-lebarnya supaya apa yang Sherry katakan nanti akan terus melekat di otak.

“Dia curang dengan kau sebab dia kata kau ni mandul. Tak boleh melahirkan anak untuk dia. Dia menjalin hubungan dengan aku, sebab dia nak sangat anak. Tapi, dia tak boleh ceraikan kau sebab dia kata kau cinta pertama dia. Dia akan setia dengan kau sampai mati dan dia akan meneruskan hubungan dengan aku secara rahsia.”

Tidak menyangka suaminya mengatakan dia mandul. Tergamak Nazri cakap dirinya begitu. Saat dia memandang Nazri, suaminya hanya menunduk. Pasti suaminya tidak berani bertentang mata dengannya.

“Dia juga pernah janji dengan aku macam-macam kalau aku sudi menjadi isteri keduanya. Aku bukanlah perempuan yang suka berkongsi suami. Sebab itu aku rancang semua tu dan aku menghantar semua gambar tu sebagai bukti yang suami kau curang supaya nanti kau meminta cerai daripadanya. Tapi, apa yang aku dapat. Dia tinggalkan aku tanpa menunaikan sebarang janji yang telah dia buat. Baru sekarang aku tahu kenapa dia tinggalkan aku. Sebab sekarang kau sedang mengandungkan anaknya. Aku ingatkan kau betul-betul mandul, tapi ternyata kau masih lagi subur. Atau mungkin itu hanya alasan untuk dia berlaku curang. Opps… Siapa tahu hati lelaki. Takkan pernah cukup kalau seorang.”

Setiap patah perkatan yang keluar dari mulut perempuan itu bagai menghiris hatinya satu persatu. Sakitnya hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Matanya yang berkaca cuba ditahannya supaya perempuan yang bernama Sherry itu tidak bersorak gembira kerana telah berjaya membuatkan hatinya sakit. Setelah mendengar dari bibir perempuan itu, baru kini dia tahu siapa sebenarnya pemilik nama Nazri Haidar. Rupanya suaminya hanya berkelakuan baik di depannya. Di belakang ternyata suaminya lebih teruk sehingga sanggup menuduh dirinya mandul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience