BAB 6

Romance Completed 11234

Sejak perjumpaan dengan perempuan itu, Winda semakin dingin dengan Nazri. Walaupun begitu, dia masih melayan Nazri seolah-olah tiada apa yang berlaku. Walau Nazri curang dengannya dia masih setia bersama kerana janji yang telah dibuat. Dia terpaksa terima segala perbuatan termasuk kata yang sangat menghiris hatinya. Dia tidak pernah menyangka sama sekali suami yang dicintainya separuh mati sanggup mengeluarkan perkataan itu seolah-olah dia seorang isteri yang tidak berguna kerana dia tidak mampu melahirkan anak.

Kini, perkataan itu menjerat suaminya sendiri memandangkan sekarang dia sedang mengandungkan anak Nazri.

Sering kali dia teringat perkataan yang satu itu, air matanya menitis. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa pedihnya hati bila mengenangkan itu semua. Demi anak dalam kandungannya ini, dia harus bersabar. Sesungguhnya dia tidak mahu anaknya nanti tidak berbapa. Kerana itu dia perlu mempertahankan rumah tangganya selagimana dia boleh bertahan.

Nazri mendekati Winda yang sedang tidur di atas katil. Winda membelakanginya. Dia tahu Winda masih belum tidur kerana sekejap tadi badan Winda terhenjut-henjut seolah-olah sedang menahan tangis. Setiap kali melihat air mata Winda, hati lelakinya sakit. Kerana dia, hati Winda terluka. Kerana dia, hidup Winda menderita. Kerana dia juga, hati dan jiwa Winda terseksa. Kenapa dia boleh melakukan itu semua? Betapa kejamnya dia melakukan itu pada isteri tercinta.

Dia membaringkan tubuhnya di sebelah Winda dan memeluk isterinya itu. Winda tidak menolak tangan sasanya yang sedang menggosok perut Winda yang semakin membungkit. Tak lama lagi Winda akan melahirkan anaknya. Betapa bersalahnya dia bila mengatakan isterinya mandul. Dia tidak sepatutnya mengeluarkan perkataan itu. Dia sepatutnya bersabar menanti kehadiran cahaya mata. Jika dia bersabar sedikit masa lagi, sudah pasti Winda tidak akan menderita seperti ini.

“Maafkan abang… Abang tahu abang tidak layak untuk Winda maafkan. Abang telah banyak buat Winda terluka. Tapi, demi anak kita abang harap Winda dapat maafkan abang. Kalau Winda tidak dapat maafkan abang, abang tak boleh buat apa-apa. Abang sedar segala yang berlaku abang yang mulakan. Memang tidak sepatutnya Winda maafkan abang.”

Winda hanya mampu menangis. Dia sudah mati kata. Sejak pertemuan itu sehingga kini. Hanya mata dan badannya sahaja yang berbicara.

Hari yang dinantikan hampir tiba. Hujung minggu itu, setelah mengemaskan rumah, dia duduk di sofa. Nazri pula entah ke mana. Keretanya ada. Mungkin Nazri berada di bilik bacaan. Kebiasaannya, Nazri berada di bilik itu setelah bersarapan pagi. Menyambung kerja mungkin. Ketika menonton televisyen, perutnya terasa senak. Seolah-olah masa untuk dia bersalin hampir tiba. Kalau mengikut jangkaan sepatutnya seminggu lagi. Mungkin anaknya sudah tidak sabar untuk menjengah dunia yang indah ini.

Perutnya teramat sakit. Dia menjerit sekuat hati memanggil suaminya.

“Abang!!!”

Nazri yang leka dengan kerjanya, pantas turun ke bawah sebaik mendengar suara isterinya berteriak memanggilnya. Dengan wajah yang cemas, dia mendapatkan Winda yang sudah bangun sambil memegang perutnya.

“Winda dah tak tahan bang. Sakit sangat.”

Wajah Winda berkerut menahan sakit. Jemarinya memegang kemas tangan Nazri. Sebagai kekuatan ketika dia mengerang kesakitan.

“Tahan yer sayang. Kita pergi sekarang.”

Nazri pantas membawa Winda ke hospital yang tidak berapa jauh dari tempat kediaman mereka. Sebaik sampai, Winda terus di bawa masuk ke wad bersalin. Ketika dalam wad, Winda meminta seorang nurse memberitahu suaminya. Dia mahu Nazri menemaninya sehingga dia selamat bersalin. Doktor wanita yang bernama Halimah itu telah memberikan kebenaran untuk membenarkan suaminya bersama-samanya ketika proses bersalin.

Nazri yang berada di luar, terus mendapatkan nurse. Dengan wajah yang cemas dia terus bertanya mengenai isterinya.

“Macam mana nurse, isteri saya dah bersalin?”

“Belum lagi encik. Rahim Puan Winda hanya terbuka beberapa cm. Doktor telah memberi kebenaran pada encik untuk bersama-sama dengan Puan Winda ketika proses bersalin. Sila ikut saya encik.”

Nazri hanya mengangguk. Dengan peluang yang diberikan ini, dia akan menemani Winda sehingga isterinya selamat bersalin. Semoga dengan ini, dapat menginsafkan dirinya tatkala melihat isterinya bertarung nyawa. Semoga lepas ini juga dia tidak akan menyakiti hati Winda lagi.

Nazri yang memakai baju warna hijau merapati Winda yang terlantar di atas katil. Sekejap sahaja lagi Winda akan melahirkan anaknya. Dia tersenyum pada Winda dan Winda turut membalas. Winda hendak berkata sesuatu pada suaminya. Nazri mendekatkan telinganya.

“Abang… Winda nak meminta maaf. Selama ini Winda tak layan abang dengan baik. Maafkan Winda yer bang. Halalkan juga segala makan minum Winda. Satu lagi abang. Winda nak abang tahu, Winda sayangkan abang dan cintakan abang selama-lamanya.”

Air matanya menitis tulus. Nazri yang mendengar bicara Winda sebak. Air matanya juga sudah keluar. Dia mengesat air mata Winda begitu juga dengan Winda.

“Abang maafkan sayang. Dan abang juga nak minta maaf kerana abang Winda terluka.”

Tangan mereka masih berada di pipi. Masing-masing memberi kehangatan dalam keadaan begini.

“Dah lama Winda maafkan abang. Cuma Winda tak tahu nak cakap dekat abang.”

Sekali lagi dia tersenyum manis menandakan dia benar-benar sudah memaafkan Nazri setulus hatinya.

Ketika pasangan suami isteri berbicara, doktor Halimah yang bertindak menyambut kelahiran bayi tiba-tiba bersuara.

“Encik Nazri, Puan Winda. Pintu rahim puan sudah terbuka hampir 10cm, sekejap lagi puan boleh meneran yer.”

Winda hanya mengangguk. Dia kembali memandang suaminya. Mereka sama-sama tersenyum.

“Okay puan, kalau saya kata teran, puan teran yer.”

Sekali lagi Winda mengangguk. Setelah merasai pintu rahim Winda benar-benar sudah terbuka 10cm, doktor Halimah menyuruh Winda bersedia. Nazri mencium ubunnya sebelum dia bersedia untuk meneran.

“Bersedia yer puan. Okay puan… Teran.”

Winda meneran dengan sekuat hatinya. Badannya terangkat. Dahinya berpeluh dan tangannya menggenggam tangan Nazri kuat. Tangannya yang satu lagi memegang besi di tepi katil. Semakin dia meneran semakin dia menggenggam kuat tangan Nazri. Walaupun tangan Nazri sakit digenggam Winda tetapi dia lebih sakit melihat Winda meneran dengan sedaya upayanya.

Hatinya benar-benar tersentuh dengan kekuatan Winda yang tidak cepat mengalah untuk melahirkan anaknya. Bagi Winda, walaupun dia sakit dengan kehadiran Nazri di sebelahnya kesakitan itu seolah-olah pergi. Kekuatan yang diberikan Nazri menjadi penyuluh semangat dia untuk terus meneran sehingga ke titisan terakhir.

“Sudah nampak kepala bayi, puan. Sekali lagi yer puan. Kali ini, puan perlu meneran lebih lama. Okay puan… Teran…”

Dengan wajah yang berkerut, sekali lagi dia cuba meneran dengan sekuatnya. Kali ini lebih kuat lagi.

Akhirnya, tangisan bayi menggegarkan ruang wad bersalin. Sebaik mendengar tangisan anaknya, Nazri mengucapkan syukur. Alhamdulillah semuanya telah selamat. Winda yang masih lemah, dipandangnya dengan penuh kasih sayang. Dia mencium ubun Winda dan saat itu Winda tersenyum ke arahnya. Walaupun masih lagi lemah, dia sempat lagi mengukir senyuman. Senyuman itu adalah senyuman gembira kerana dia telah berjaya melahirkan zuriat buat suaminya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience