BAB 3

Romance Completed 11234

Sejak kehadiran gambar-gambar itu, hubungan mereka suami isteri semakin dingin. Lebih-lebih lagi sejak dia disahkan mengandung. Segala kelakuan suaminya, sedikit pun tidak menarik perhatiannya hatta Nazri membuat lawak. Tidak sedikit pun dia tergelak. Jiwanya kosong. Walau dimasukkan batu besar ke dalam jiwanya, keberatan batu itu pun tidak mampu menampal balik jiwanya yang kosong.

Sudah lima bulan berlalu, dia masih belum dapat menerima hakikat yang suaminya curang. Untuk memaafkan suaminya juga teramat sukar. Entah kenapa dia sukar untuk memaafkan suaminya walau itu kesalahan pertama suaminya. Hatinya yang tercalar mungkin belum sembuh, itu yang menyebabkan dia sukar untuk memaafkan.

Sejak hari itu, Nazri tidak lagi pulang lewat dan jarang keluar daripada tempat kediaman mereka hatta hari minggu. Nazri lebih suka duduk di rumah sahaja menemaninya. Tapi, dia tidak tahulah pula kalau hari bekerja Nazri masih keluar dengan perempuan itu atau masih berhubungan. Dia sudah tidak mahu mengambil peduli tentang semua itu. Nazri hendak buat apa buatlah asalkan dia masih kekal menjadi isteri Nazri. Itulah tekadnya sejak hari pertama dia berkahwin dengan Nazri kecuali Nazri yang ingin melepaskannya.

Selama lima bulan ini, Nazri mengikut sahaja rentak Winda. Melayan Winda dengan sebaik-baiknya walau tindakan Winda semakin hari semakin dingin. Dia bersabar dengan segala kerenah Winda. Sejak malam itu, dia bertekad untuk mengembalikan semula kepercayaan Winda padanya. Dia juga sudah tidak lagi menjalin hubungan dengan Sherry.

Walaupun Sherry pernah datang ke pejabatnya mengajaknya keluar, tidak pernah sekalipun dia mengikuti Sherry sebab dia tidak mahu Sherry beranggapan yang mereka masih lagi berhubungan. Dia hanya mahu bersama Winda seorang sahaja sehingga nafasnya yang terakhir.

Winda masih belum tahu kenapa dia menjalin hubungan dengan Sherry. Sebabnya dia rasa rumah tangganya kosong tanpa kehadiran bayi. Sudah masuk tiga tahun mereka berkahwin dan mereka masih belum dikurniakan anak. Kerana itu, dia cuba menduakan Winda dengan harapan dia bertemu dengan seseorang yang boleh memberikan dia zuriat. Ternyata dia tersilap pilihan. Sherry tidak sesuai menjadi isteri keduanya. Lebih-lebih lagi apabila Sherry cuba meruntuhkan mahligai yang dibinanya dengan hasil cintanya bersama Winda. Dia mengetahui Winda hamil keesokannya apabila pagi itu Winda muntah-muntah, dan tengah hari itu dia membawa Winda berjumpa doktor. Doktor mengesahkan Winda hamil dua minggu. Sejak itulah, dia bertekad untuk terus memutuskan hubungannya dengan Sherry dan memberi sepenuh perhatian pada isterinya dan juga pada anak yang bakal lahir. Walaupun Winda masih belum memaafkannya di atas perbuatannya itu, dia perlu membaik pulih semula hubungan mereka yang telah retak. Dia perlu mendapatkan semula perasaan sayang dan cinta dari isterinya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience