BAB 1

Romance Completed 11234

Petang tadi dia telah menerima satu sampul surat sebesar A4 yang berwarna coklat. Di situ tertulis namanya tanpa alamat mahupun setem. Sampul surat itu seolah-olah dihantar oleh seseorang. Dia tidak tahu siapa yang menghantarnya. Sebaik loceng berbunyi, terus dia keluar dan didapati tiada orang dan dia terpandang sampul surat itu di dalam peti surat. Terus dia mengambilnya. Setelah masuk ke dalam rumah, dia terus menuju ke sofa dan dia sudah tidak sabar untuk mengetahui isi kandungan dalam sampul surat itu.

Sebaik sampul itu dibuka, tangannya terus mengambil isi dan dikeluarkan. Saat itu, hatinya bagai disiat-siat. Wajahnya pucat. Kalau dihiris, tidak berdarah. Remuknya hati apabila melihat gambar-gambar di atas meja kopi yang berserakan. Tidak menyangka suaminya akan berlaku curang di belakangnya. Patutlah semenjak dua menjak ini suaminya sering pulang lewat malam. Apabila di tanya suaminya hanya memberitahu banyak kerja di pejabat. Masa itu dia tidak berfikir suaminya akan berlaku curang. Dia hanya mengiyakan sahaja apabila suaminya sudah berkata begitu kerana dia begitu mempercayainya. Tapi kali ini kepercayaannya semakin menghilang. Apakah dia masih boleh mempercayakan suaminya itu?

Dia menanti kepulangan suaminya dengan hatinya yang walang. Tidak pernah dia menyangka suaminya akan menduakannya di belakangnya. Apakah salahnya sehingga suaminya melakukan perkara seperti itu? Bila mengingatkan gambar yang mengaibkan itu, dia terasa jijik. Segala kelakuan lelaki itu terhadapnya juga dianggap jijik. Geli geleman bila mengingatkan itu semua.

Kedengaran enjin kereta berhenti di perkarangan banglonya. Dia memandang jam di dinding. Baru 8.30 malam. Awal betul suaminya balik. Selalunya sudah pukul 10 lebih baru suaminya pulang. Hari ini lebih awal. Pelik tapi tidak dihiraukan kepelikan itu. Mungkin gadis yang bersama suaminya tidak jadi keluar itu yang balik awal. Mungkinlah!!! Dia pun tak mahu ambil tahu perihal pasangan haram itu. Yang dia tahu hatinya tengah sakit kini. Hatinya bagai disiat-siat kemudian ditumbuk-tumbuk sehingga hancur lumat.

Winda masih setia di sofa. Gambar-gambar yang diterima siang tadi masih setia di atas meja kopi tetapi telah diterbalikkannya dan disusun ke atas dengan kemas. Tujuannya supaya suaminya nampak gambar tersebut dan tanpa perlu dia sendiri beritahu. Sebanyak sepuluh gambar yang diterimanya dengan pelbagai aksi dan adegan. Sudah boleh dibuat filem lagaknya. Adegan dan aksi yang panas sering laku dipasaran. Mungkin berjuta-juta dapat dikutip oleh producer jika filem itu berjaya. Kayalah mereka.

Walaupun hatinya sakit, dia masih lagi mampu untuk bersabar. Tapi tidak tahulah kalau selepas melihat suaminya, dia sudah tidak mampu menahan sabar lagi. Nazri datang menghampirinya dengan senyuman yang terukir. Gembira semacam saja suaminya hari ini. Briefcase yang dipegang Nazri diletakkan di sebelah sofa berhampiran isterinya. Dia terus mencecah punggungnya di sebelah Winda tanpa perasan wajah isterinya ketika itu. Winda dari tadi memeluk tubuh dan kakinya disilangkan. Wajahnya usahlah dikata. Petang tadi, air matanya sudah menitis tatkala melihat gambar-gambar itu. Kini, entah kenapa air mata itu sudah tidak mahu keluar. Mungkin perasaannya semakin kosong sejak mengetahui suaminya bermain cinta dengan perempuan lain.

Winda mendengar keluhan lega dilepaskan suaminya. Kepala Nazri kini sudah berada di pehanya dan tangan kanan Nazri sedang menggosok pehanya. Nazri cuba bermesra dengan memberi sentuhan sambil mata terpejam. Sentuhan telah diberikan, tapi Winda bagai patung yang tidak bernyawa. Tidak memberi sebarang tindak balas terhadap sentuhannya. Apa sudah jadi dengan isterinya kini? Tak kan tiba-tiba berubah menjadi patung. Tidak logik di akal kalau manusia boleh bertukar menjadi patung. Selalunya isterinya yang bermanja dengannya. Tapi hari ini tidak pula. Apa yang telah berlaku? Dibukak matanya yang terpejam tadi. Sahlah. Isterinya sudah menjadi patung. Tidak bergerak dari tadi. Dia mendapat satu akal. Dia cuba menggeletek isterinya tapi Winda tetap kaku. Tidak memberi sebarang respon.

“Kenapa ni sayang? Abang tengok sayang dah macam patung cendana. Tak bergerak dari tadi. Kenapa ni… hmmm…?”

Sekali lagi Nazri cuba memberi sentuhan dengan mencium leher isterinya pula. Winda sudah tidak kaku seperti tadi tapi Winda cuba mengelak sentuhan itu. Segala kelakuan suaminya dianggap jijik. Tiba-tiba dia teringat perempuan itu. Apakah suaminya bermesra dengan perempuan itu seperti Nazri bermesra dengannya tadi? Geli geleman dia dengan apa yang difikirkannya.

Winda menjauhkan dirinya dari suaminya tapi Nazri semakin menghampirinya sehingga Winda tersepit di hujung sofa. Winda cuba untuk bangun tapi tangannya sempat ditangkap sehingga dia terduduk di atas ribaan suaminya. Apa lagi Nazri pantas memeluknya erat. Winda cuba melepaskan rangkulan tangan suaminya, tapi ternyata tangan sasa milik suaminya tidak mampu untuk dia rungkaikan. Terpaksalah dirinya dipeluk erat walau hatinya tidak rela diperlakukan sedemikian ketika hatinya sedang berdukalara.

Nazri sekali lagi melakukan sentuhan dengan menggesekkan pipinya ke badan Winda. Winda menjadi tidak selesa. Setelah dia merasakan pelukan sudah tidak seerat tadi, pantas dia berdiri menjauhkan dirinya. Dia sudah tidak rela dirinya dibelai setelah dia tahu tangan milik suaminya juga telah membela perempuan lain selainnya.

Ingin sahaja dihamburkan rasa hatinya yang sakit itu. Tapi entah kenapa mulutnya seolah berkunci. Nazri cuba mencapai tangannya tapi Winda pantas mengelak. Kalau hatinya sudah sakit, Nazri lakukan apa pun untuk menarik perhatiannya dia tetap tidak terpedaya walau Nazri cuba membuat helah sekalipun.

Kali ini Nazri mendengus. Dia sudah tidak mampu menahan sabar lagi. Sentuhan tidak dibalas. Pertanyaannya juga tidak dijawab. Datang bulan ke isterinya ini.

“Kenapa sayang buat abang macam ni? Abang bagi sentuhan, Winda tak bagi respon. Abang cuba bermesra, Winda cuba hendak menjauhkan diri dari abang. Pertanyaan abang juga Winda tak jawab. Apa salah abang sampai Winda buat abang macam ni?”

Terhambur segala kata-kata tidak puas hatinya. Suara yang tadi lembut kini bertukar nada. Winda sedikit terkejut dengan suara tinggi suaminya. Sejak tiga tahun mereka kahwin, tidak pernah suaminya mengeluarkan suara bernada tinggi begitu. Mungkin salahnya juga yang tidak menghiraukan suaminya itu.

Suara tingginya juga tidak mampu membuatkan Winda memberi respon. Akhirnya, keluhan diberikan.

“Maaf… Abang tak patut tinggikan suara macam tu. Cuba Winda bagitahu abang, apa salah abang?”

Kini nada itu sudah bertukar lembut. Kasihan pula melihat suami yang beria-ria ingin tahu kesalahannya. Tapi kenapa dia patut kasihan, sedangkan suaminya tidak kasihan padanya sehingga tergamak berlaku curang. Hatinya menghalang tapi hatinya yang satu lagi mempertahankan supaya tidak mengasihani suaminya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience