Chapter 39

Romance Completed 18868

Bab 39

Tidak tergerak langsung kakinya untuk melangkah, mendapatkan Anisa. Dia tidak akan berbuat demikian.

Arman menelan air liur pahit. Kehadiran gadis bergaun putih itu benar-benar membuat seleranya terbantut. Dia masih ingat segala yang berlaku dua bulan yang lalu. Namun suaranya tersekat di kerongkong, tidak berani untuk bertanya apa-apa pada Azwanie.
Sekeping hatinya mulai terasa goyah. Pandangan tajam mata Anisa terasa sedang mengelar dan mengerat tangkai jantungnya.

Kenapa? Kenapa gadis itu harus ada di rumah ni? Siapakah dia? Pertanyaan itu hanya bergema dalam hatinya sahaja. Dia menjeling Azwanie yang duduk di hadapannya. Bakal isterinya itu tersenyum manja. Dia membalas senyuman itu dengan separuh hati sahaja. Terasa panas kerusi yang sedang didudukinya sekarang. Jika boleh dia ingin berlalu meninggalkan rumah itu.

Selesai makan malam, Tan Sri Daud mengajak bakal besannya berbual di ruang tamu sambil minum kopi. Datin Mazlin bersama Puan Sri Sarah naik ke tingkat atas, ingin melihat kamar tidur bakal pengantin. Lalu Puan Sri turut menunjukkan segala persiapan yang sudah dibuat. Azwanie pula setia mengikut bakal ibu mertuanya. Arman bersendirian. Dia mengambil keputusan untuk mengambil angin di luar rumah.

Arman terlihat seseorang berdiri dalam remang malam di bawah pergola. Kakinya seperti terpaku di lantai, tidak tergerak untuk ke sana. Dia tahu gadis yang dilihatnya di ruang makan tadi berada di situ. Patutkah dia mendekatinya? Dia buntu. Fikirannya seperti tidak mampu berfikir lebih jauh lagi. Dia diburu rasa tidak keruan, serba salah. Walau bagaimanapun rasa takut tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Dia mulai melangkah, menghala ke pergola.

Gadis itu sedang duduk di tubir kolam ikan membelakanginya. Rambutnya yang panjang melepasi bahu dibuai angin malam. Dia berdehem menyatakan kehadirannya. Anisa menoleh. Dia terus bangun dan berdiri, menghadapi lelaki itu. Bayang-bayang wajah lelaki itu terlindung dari cahaya. Namun susuk tubuh lelaki itu dan bau colognenya seperti amat familiar bagi Anisa.

Hati Anisa bergolak. Seribu rasa berbaur di hati kecilnya. Dia ingin menghamburkan semuanya. Dia ingin menerkam dan menjerit. Ingin memaki hamun dan menampar wajah lelaki itu. Namun dia dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia pasrah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience