*JAM* menunjukkan kepukul tiga pagi. Laili Nasura membuka kelopak
matanya. Ruang bilik yang suram diperhatikan lama – lama. Selimut yang
menutup dadanya diraba dengan tangan.
Ketik!
Laili Nasura tersentak. Matanya melilau mencari dari mana datangnya bunyi
yang baru saja dia dengar.
Ketik!
Gebar tebalnya dilemparkan hingga kehujung kaki. Kepalanya didongakkan.
Ruang yang hanya diterangi dengan lampu tidur diperhatikan lagi.
Ketik!
Kini dia pasti yang dia tidak salah dengar lagi. Memang ada bunyi terbit
dari dalam kamar tidurnya sendiri. Persoalannya bunyi apa?
Ketik!
Laili Nasura bangkit dari atas katil. Kakinya terjuntai. Bola matanya
terus melinggas mencari dari mana datangnya punca bunyi itu.
Anak gadis itu memerhatikan daun pintu yang tertutup rapat. Mustahil
bunyi itu datang dari pintu bilik, gumamnya didalam hati. Lalu dia turun
dari katil.
Ketik!
Laili Nasura memandang kearah tingkap. Dia tahu bunyi yang dia dengar
datang dari tingkap biliknya. Tapi apa yang membuatkan bunyi itu terhasil?
Ketik!
Dada Laili Nasura berdebar – debar. Bulu romanya brdiri tegak dengan tiba
– tiba. Perasaannya dijalar dengan rasa seram. Pun begitu pandangannya
tidak lepas dari memandang kearah tingkap cermin biliknya. Langsirnya
terbuka sedikit. Dari celahan tingkap itu dia hanya dapat melihat
suasana gelap diluar. Tanpa dipaksa Laili Nasura berjalan setapak demi
setapak mendekati tingkap biliknya.
Ketik!
Gadis kecil itu tersentak apabila ada batu kecil menyinggahi tingkap
cerminnya. Mulutnya terbuka mahu menjerit namun tidak ada suara yang
keluar. Wajahnya mula pucat. Meskipun begitu dia tidak melarikan diri.
Tingkap didalam kamar tidurnya terus dipandang lagi.
*LAILI NASURA * memandang kearah ibunya yang baru saja meletakkan
semangkuk nasi goreng diatas meja. Mulutnya terkunci rapat. Mak Limah
pembantu rumahnya masih lagi sibuk mengemas diruang tamu. Begitulah
keadaannya sejak dari dulu lagi. Tugas mengemaskan rumah sememangnya
diserahkan pada pembantu rumah. Fazlina hanya menyediakan makanan saja
didalam rumah. Sejak dari dulu lagi dia tidak membenarkan Mak Limah
menyibuk kalau dia memasak. Tugasnya menyediakan hidangan untuk suaminya
tetap dia jalankan biar pun dia sesibuk mana sekali pun.
Fazlina meletakkan pula seteko teh diatas meja sambil diperhatikan lagi
oleh anaknya, Laili Nasura . “ Dayah nak makan?” soal ibunya sambil
menjeling sekilas.
Laili Nasura menganggukkan kepalanya.
Fazlina menyendukkan sepinggan nasi goreng lalu dihulurkan pada anak
gadisnya. “ Makanlah. Nanti perut tu lapar,” anjur Fazlina sambil
menuangkan teh kedalam cawan. Kemudian dia melabuhkan punggung diatas
kerusi.
Laili Nasura menyuapkan nasi kedalam mulut sambil sesekali pandangannya
dilemparkan pada ibunya. Dari riak wajahnya ketika itu dia seperti ada
sesuatu yang ingin diberitahu pada Fazlina.
“ Kenapa ni?” tegur Fazlina sebaik saja dia ingin mencicip teh didalam
cawannya.
Laili Nasura tidak menjawap.
“ Nasi goreng tu tak sedap ke?” soal Fazlina lagi. Suaranya kedengaran
tegas.
Laili Nasura geleng.
“ Dah tu?” Fazlina mula sangsi dengan kelakuan anak gadisnya nan seorang
itu.
Laili Nasura tetap menguncikan mulutnya. Hatinya berbelah bagi. Ketidak
pastian jelas teriak diwajahnya tatkala itu.
“ Dayah ada benda yang nak cakapkan dengan ibu?” kali ini Fazlina
bagaikan dapat menangkap apa yang sedang difikirkan oleh gadis kecil
bertocang dua itu. Perlahan – lahan Laili Nasura mengangguk bak belatuk.
Fazlina meletakkan kembali cawannya diatas piring. Lama dia merenung
wajah bulat Laili Nasura . Kemudian dia mendekatkan mukanya pada gadis
comel itu.
“ Cakaplah apa yang Dayah nak bagitau ibu,” desak ibunya. Intonasi
suaranya kembali tenang. Setenang wajahnya ketika itu.
Untuk beberapa detik anak gadis itu kelihatan teragak – agak. Masih lagi
ragu – ragu. Hanya matanya saja yang kelihatan bergerak – gerak meneliti
wajah ibunya sendiri.
“ Cakaplah,” pujuk Fazlina lagi. Ada secubit senyum manis terukir
dibibirnya.
“ Malam tadi.....,” Laili Nasura terhenti seketika.
“ Malam tadi, kenapa?”
Belum pun sempat Laili Nasura menyambung semula kata – katanya Mak Limah
muncul di muka pintu.
“ Puan.... depannya saya sudah kemaskan. Saya bersihkan tingkat atas
ya?” pinta Mak Limah dengan penuh hormat. Fazlina mengangguk dan tersenyum.
“ Baju kotor tu nanti bawak turun sekali. Basuh,” arah Fazlina seketika
kemudian biar pun bayang Mak Limah sudah hilang dari pandangannya. Yang
terdengar cuma bunyi tapak kaki wanita itu menginjak tangga batu naik
keatas.
Fazlina kembali memandang anaknya. “ Okay.... apa yang yang Dayah nak
cakap dengan ibu tadi. Oh.... pasal malam tadi? Kenapa malam tadi?”
“ Dayah cuma nak bagitau ibu yang malam tadi....,” nyata Laili Nasura
tidak berani memberitahu ibunya apa yang dia alami malam tadi ketika
orang lain sedang lena.
“ Cakaplah.... kenapa?”
“ Malam tadi Dayah nampak ada budak.”
Fazlina tergamam. Wajah bulat Laili Nasura yang bulat itu direnung lagi
lama – lama. Tidak percaya dengan apa yang baru dia dengar tadi.
“ Ada budak? Dekat mana? Dayah nampak?” Fazlina mendesak. Ada keterujaan
bermain disudut hatinya.
“ Dekat tingkap bilik Dayah.”
“ Dekat tingkap?” dahi Fazlina berkerut seribu. “ Siapa? Dayah kenal?”
Laili Nasura menggeleng. Bibirnya juga dijuihkan.
“ Dayah tak salah tengok?” andaian itu bermain dibibir Fazlina. Takut –
takut anak gadisnya itu tersalah pandang.
Laili Nasura menggeleng. “ Dayah memang nampak ada budak perempuan kat
bawah malam tadi.”
Fazlina mengusap rambut anaknya perlahan – lahan. Kemudian pipi gadis
kecil itu dicubitnya dengan manja. “ Dahlah tu. Dayah makan. Tak ada apa
– apa,” akhirnya Fazlina membuat kesimpulan sendiri. Biar pun anak kecil
tidak pandai berbohong namun dia sengaja tidak mahu melayan karenah
Laili Nasura itu. Baginya tidak penting. Dia merasakan yang anak tunggalnya
itu memang tersalah pandang malam tadi.
Share this novel