BAB 1

Mystery Completed 435

Laili Nasura memerhatikan sekumpulan anak – anak gadis yang hampir
seusianya dengannya mengayuh basikal diluar. Hanya tingkap memisahkan
antara dia dengan kumpulan gadis itu. Dia tidak dapat bersuara. Kalau
dia menjerit sekali pun kanak – kanak diluar itu mungkin tidak akan
ambil pusing.

Dari tempat dia berdiri dia hanya dapat mendengar suara mereka tanpa
tahu akan butir bicara mereka dengan tepat. Yang hanya dia fahami
cumalah hilai ketawa mereka. Nampak riang dan ceria. Teddy Bear yang
dipegang kemas diusap – usap kepala patung itu dengan lembut. Tumpuannya
tidak lagi pada patung beruang yang agak besar saiznya itu. Dia lebih
tertarik pada sekumpulan anak gadis yang lalu didepan rumahnya.
Keinginannya untuk menyertai mereka mengaru – garu hatinya. Kalaulah dia
boleh keluar dan bermain dengan mereka?

Laili Nasura tahu itu tidak mungkin akan terjadi. Kalau berlaku pun
hanyalah didalam mimpi saja. Tidak lebih dari itu. Matanya berkaca.
Perasaannya dihiris pilu. Dia masih lagi tercegat ditepi jendela. Patung
beruang ditangannya terus diramas – ramas dengan keras. Hati
perempuannya dipaut sedih. Kenapa aku? Laili Nasura tidak faham. Kanak –
kanak seusianya memang sukar untuk memahami. Yang dia tahu keinginannya
sering dihampakan. Tidak pernah tertunai. Kenapa aku?

“ Dayah?”

Laili Nasura memusingkan kepalanya kebelakang.

Ibunya Fazlina berdiri dimuka pintu bilik diperhatikan dengan pandangan
kosong. Laili Nasura tidak menyahut.

Fazlina menapak masuk kedalam kamar. Terus bergerak mendekati
Laili Nasura yang masih lagi tercegat ditepi tingkap.

“ Dayah buat apa tu?” tegur ibunya sambil Fazlina melemparkan
pandangannya kearah bawah.

Laili Nasura tidak menjawap.

Fazlina mendengus tatkala terpandangkan sekumpulan anak – anak perempuan
sedang mengayuh basikal melintasi kawasan didepan rumahnya.

“ Boleh tak Dayah keluar ibu?” dengan suara penuh simpati anak kecil
bertocang dua itu bertanya. Walhal dia sendiri sudah maklum akan
keputusan ibunya. Tidak salah jika dia terus mencuba.

Fazlina mengeluh panjang. Lalu dia bertenggong sambil mengusap wajah
Laili Nasura dengan penuh mesra. Bibirnya mengukir senyum.

“ Dayah buat apa nak keluar rumah?” soal Fazlina dengan nada lembut.
Tidak henti – henti tangannya mengusap lembut wajah anak kesayangannya itu.

Laili Nasura menoleh kearah luar rumah sekilas. Hatinya membuak – buak
dengan tiba – tiba.

“ Dayah nak main dengan kawan – kawan kat luar sana, ibu,” jujur anak
kecil itu menyuarakan hasrat hatinya.

Fazlina terdiam. Lama dia merenung anak mata Laili Nasura .

“ Dah berapa kali ibu pesan. Tak elok bercampur dengan kawan – kawan
diluar sana. Tak baik. Lagi pun dia orang tu.....”

“ Jahat,” pantas Laili Nasura memotong kata – kata ibunya. Memang dia
sudah menduga akan jawapan itu. Lazimnya itulah jawapan yang selalu
ibunya berikan jika dia ingin berkawan. Telinganya sudah biasa mendengar
alasan tersebut. Tidak ada alasan lain. Balik – balik itu juga. Hati
Laili Nasura diserbu dengan rasa tidak puas hati.Kenapa aku?

Fazlina mengeluh. Kepalanya ditundukkan kebawah. Kemudian dia mengusap
lagi wajah anak manjanya itu dengan penuh kasih – sayang.

“ Baik Dayah ikut cakap ibu. Ini pun untuk kebaikan Dayah juga,” ulas
ibunya sambil tersenyum. Berharap agar senyuman itu mampu meredakan rasa
ketidakpuasan hati anak tunggalnya itu. Laili Nasura diam tidak bersuara.
Terkulat – kulat dia memandang wajah ibunya. Dia tahu senyuman yang
dilemparkan oleh ibunya satu pembohongan.

Dia kenal dengan ibunya. Biar pun wajah Fazlina kelihatan lembut dan
ayu, namun itu hanyalah luaran. Ibunya seorang yang keras hati. Mudah
panas baran. Setiap kata – katanya adalah satu arahan yang mesti
diikuti. Jangan banyak membantah. Jika tidak terimalah padahnya. Dia
tahu benar tentang sikap buruk ibunya itu. Andai berkeras juga tubuhnya
akan dihinggapi dengan cubitan. Paling teruk dia pernah ditampar kerana
mempertikaikan keputusan ibunya. Sejak itu dia mula serik. Rasa pijar
akibat ditempeleng oleh ibunya masih berbekas lagi hingga ke hari ini.
Laili Nasura takut untuk mengulangi perbuatannya lagi.

“ Dah.... ibu tak mahu dengar apa – apa lagi. Sekarang ni Dayah turun
kebawah dan makan tengahari. Lepas tu ibu akan kemaskan barang – barang
dalam bilik Dayah. Nanti malam Dayah boleh tidur. Nanti kita minta
tolong ayah kemaskan bilik Dayah ye,” pujuk Fazlina sambil menghadiahkan
senyuman buat anak gadisnya itu. Seperti kelazimannya Laili Nasura tidak
bersuara sebaliknya hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Sebelum
meninggalkan kamar sempat juga dia menoleh dan memerhatikan jalan
didepan rumahnya yang sudah pun kosong.

Malam itu usai saja makan malam Laili Nasura dibawa oleh ibunya ke kamar
tidur. Bilik tidurnya sudah siap berkemas dengan cantik. Memang dia
terasa penat tadi kerana menolong ibu dan ayahnya mengemas bilik. Lantas
badannya terasa letih.

Pintu kamar dibuka dan mereka berdua meloloskan diri kedalam. Fazlina
mengarahkan Laili Nasura naik diatas katil. Anak gadis bertubuh kecil itu
tidak membantah. Fazlina pula mencapai sekeping buku dan seperti selalu
dia akan membacakan buku cerita sehingga Laili Nasura tertidur sendiri.

Laili Nasura memang tidak dibenarkan untuk tidur sebilik dengan Fazlina
dan suaminya. Alasannya dia mahukan anaknya berdikari sendiri. Dan
Laili Nasura tahu setiap kemahuan ibunya perlu dituruti. Jangan bangkang jika
tidak buruk padahnya. Perkara itu selalu disematkan didalam fikiran.

Fazlina membuka dan menyambung semula pembacaannya yang tertangguh.
Laili Nasura pula sekadar berbaring sambil memasang telingannya dengan hati –
hati. Sesekali dia menjeling kearah ibunya tanpa bersuara. Dek kerana
penat dalam waktu yang singkat Laili Nasura terlelap sendiri.

Fazlina yang menyedari anaknya sudah terlelap menutup semula buku
ditangannya. Secubit senyuman menghiasi bibirnnya ketika itu. Selimut
ditarik hingga menutup dada anak kecil itu. Dengan hati – hati dia
bangkit dan meletakkan buku tadi disisi katil anaknya. Perlahan – lahan
Fazlina meninggalkan kamar tidur Laili Nasura . Pintu ditutup rapat – rapat.

Terus dia menuju ke kamar tidurnya sendiri dihujung ruang. Sebaik saja
dia masuk kelihatan suaminya sedang mengemaskan tempat tidur untuk
mereka berdua. Azlan menoleh.

“ Dah tidur Dayah?”

Fazlina berjalan sambil mengangguk. Raut wajahnya terserlah riak penat.

“ Awal jugak dia tidur malam ni.”

“ Penat agaknya tadi kemaskan bilik dia,” ucap Fazlina selamba.
Rambutnya yang panjang dibiarkan terurai sendiri. Kemudian dia duduk
dimeja solek. Seperti kelazimannya dia akan membelek – belek wajahnya
dulu didalam cermin sebelum masuk tidur. Azlan sudah bersandar dikatil.
Memerhatikan kearah isterinya.

“ Pindah rumah baru, memanglah macam tu,”ulas Azlan sambil tersenyum
nipis. Fazlina menjeling. Malas dia hendak memberi sebarang komen.
Rambutnya yang panjang disisir perlahan – lahan.

“ Abang perasan tadi kat sini ramai jugak budak – bduak sebaya dengan
dia,” nyata Azlan masih lagi bernafsu untuk berbual dengan isterinya.

“ Nanti ramailah dia kawan baru,” sambung Azlan sambil melipat tangannya
dibelakang kepala.

Mendengar akan ucapan suaminya itu membuatkan Fazlina pantas berkalih
pada suaminya. Sorotan matanya tajam menikam wajah Azlan.

“ Itu yang buat saya tak suka bang.”

Azlan mendengus. Ada rasa kecewa menghambat perasaannya dikala itu. Dari
bersandar tenang dia mengubah posisinya dengan duduk menegak. “ Sayang
ni pun satu.Sampai bila nak jadi macam ni?” tegur Azlan.

Fazlina berpaling semula mengadap muka cermin. Tiba – tiba hatinya
dipanah dengan rasa marah. Kecewa juga datang menimpa. Saling bercampur
baur.

“ Sayang tak boleh terus macam ni,” Azlan memujuk. “ Budak tu perlukan
kawan. Mana ada manusia yang boleh hidup sorang – sorang” tambah lelaki
berkumis nipis dibibir itu.

“ Siapa cakap dia hidup sorang – sorang?” tikam Fazlina dengan suara
yang garang. Ada amarah mengunung didadanya ketika itu.

Fazlina beralih duduk mengadap suaminya yang masih lagi tercegat diatas
katil. “ Siapa cakap dia sorang – sorang. Saya kan ada. Saya yang akan
jaga dia,” keras lagi suara Fazlina ketika itu. Azlan mengeluh.

“ Sayang ni masih tak faham? Atau pura – pura tak faham?” soal Azlan.
Tidak seperti isterinya, suaranya masih lagi boleh dikawal.

“ Maksud abang?” sinar dimata Fazlina makin garang.

“ Budak tu perlukan kehidupan dia sendiri. Dia perlu berkawan. Perlu
ambil tahu dunia luar. Kadang – kadang abang kasihan tengok budak tu.
Terperuk dalam rumah sejak kecil. Tak bercampur dengan orang lain. Nanti
kalau dia sudah besar macam mana? Kenal orang pun tidak,” tekan Azlan
dengan nada memujuk.

Fazlina mendengus kasar. Mukanya mencuka. Perubahan wajah Fazlina
membuatkan Azlan diterkam dengan rasa serba salah pula. Bukan niat dia
mahu meluka atau menyinggung perasaan isterinya. Dia cuma menegakkan
akan pendiriannya. Tidak lebih dari itu.

“ Abang ingat dengan Asmah?” nama itu meniti dibibir Fazlina ketika itu.
Membuatkan Azlan tertegun sendiri diatas katil.

“ Abang ingat dengan adik perempuan saya tu kan?” galak Fazlina bertanya.

Mahu tidak mahu terpaksa juga Azlan menganggukkan kepalanya. Memang dia
kenal benar dengan adik perempuan Fazlina yang bernama Asmah.

“ Saya tak nak apa yang terjadi pada Asmah, berlaku pada Laili Nasura .
Cukuplah dengan apa yang dah jadi, abang faham tak?” Fazlina menjegilkan
biji matanya. Seolah – olah mahu saja ditelan suaminya ketika itu juga.

“ Tapi....,” Azlan cuba membantah.

“ Tapi apa bang? Tapi apa?” mencerlang matanya menikam wajah Azlan
ketika itu. Marah didalam dadanya bagaikan meluap – luap.

“ Mana boleh sayang samakan dia dengan Asmah. Anak kita lain,” ujar
Azlan. Fazlina berdiri lantas bergerak mendekati Azlan. Punggungnya
dilabuhkan dibirai katil. Matanya tajam merenung wajah bulat suaminya.

“ Abang jangan ambil mudah dalam perkara ni tau. Saya tak suka. Saya
memang tak suka dia bercampur dengan budak – budak kat luar sana. Saya
tak suka,” suaranya mula ditinggikan. Azlan yang masih lagi berada
diatas katil diam seribu bahasa. Dia tahu isterinya sudah mula naik angin.

“ Soalnya apa kena mengenanya Asmah dengan anak kita?” soal Azlan. Biar
apa pun dia merasakan yang mereka perlu berbincang.

“ Abang ni buta ke apa? Abang pun tahukan apa yang dah jadi pada Asmah?
Masih lagi nak tanya?” serang Fazlina yang sememangnya sudah mula berangin.

Fazlina sudah serik dengan apa yang terjadi pada adik perempuannya. Dia
tidak mahu bala yang menimpa keluarga ibunya berulang pula dalam
keluarganya sendiri. Lebih – lebih lagi pada anaknya. Darah dagingnya
sendiri. Dia terlalu sayangkan Laili Nasura . Dia tidak mahu ada perkara
buruk berlaku pada anak gadisnya. Minta dijauhkan.

“ Kerana kawanlah Asmah jadi macam tu. Abang tahukan?” sergah Fazlina lagi.

Azlan diam.

“ Hidup dia musnah sebab kawan – kawan bang. Dia jadi penagih sebab
kawan – kawan. Lina tak mahu Dayah ikut macam dia.”

“ Tapi tak kan Dayah pun jadi macam tu,” ujar Azlan dengan suara yang
perlahan. Sempat juga dia menjeling kearah isterinya.

“ Segala kemungkinan boleh berlaku bang. Segala kemungkinan dan.... saya
tak mahu ianya berlaku lagi. Abang faham tak?” kali ini Fazlina
menjegilkan lagi biji matanya.

“ Lina....”

“ Tak ada tapi – tapi lagi bang. Saya buat semua ni demi untuk kebaikan
dia. Abang faham tak?” Fazlina sudah bercekak pinggang.

“ Tapi abang rasa Lina dah melampau sangat. Sampaikan budak tu tak
berkawan. Nak keluar rumah pun dah tak boleh. Apa nak jadi ni?” Azlan
meluahkan rasa tidak puashatinya.

“ Saya tak kira bang. Abang jangan nak mempertikaikan apa yang saya
buat. Saya tahulah apa yang terbaik untuk anak saya,” putus Fazlina.
Terus dia berbaring dan menarik selimutnya. Membelakangkan suaminya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience