BAB 5

Mystery & Detective Completed 406

Dengan perasaan marah dia turun semula ketingkat bawah. Kemudian dia
masuk ke dapur dan menemui Mak Limah yang sibuk membasuh dibilik mandi.

“ Mak Limah?” dia memanggil pembantu rumahnya.

Tergesa – gesa wanita tua itu keluar dari bilik mandi dan berdiri
didepan Fazlina.

“ Mak Limah ada nampak anak saya tak?”

Mak Limah angguk. Ada sedikit perasaan lega didalam hati Fazlina.

“ Dia ada dekat mana?”

“ Dia keluar tadi.”

“ Kemana?”

“ Tadi saya nampak dia keluar ikut pintu dapur,” jujur Mak Limah
memberitahu majikannya.

Fazlina tidak bersuara lagi. Terus dia keluar melalui pintu dapur. Dari
tempat dia berdiri dia melihat Laili Nasura sedang duduk bermain dengan
seorang lagi anak kecil yang hampir seusia dengannya. Fazlina menjadi
marah. Tidak pula dia tahu kebelakangan ini anak gadisnya itu curi –
curi berkawan dengan orang luar. Soalnya bagaimana mereka bertemu. Anak
siapa yang sedang bermain dengan anaknya? Bagaimana dengan latar
belakangnya? Dari keluarga yang baik – baikkah? Segera wajah adik
perempuannya Asmah tergambar dilayar fikirannya.

Kerana hasutan dan bercampur dengan kawan- kawanlah membuatkan hidup
Asmah hancur dan tidak berguna lagi. Dia sudah serik. Asmah kini menjadi
penagih dadah. Tidak lagi pulang ke rumah. Entah dimana dia merempat,
Fazlina tidak tahu. Yang dia tahu dia sudah kehilangan seorang adik yang
amat dia kasihi sebelum ini. Semuanya kerana kawan – kawan! Sejak
mengetahui apa yang terjadi pada diri Asmah, Fazlina mula menjadi
trauma. Sebolehnya dia tidak mahu Laili Nasura mengalami nasib yang sama
seperti mana adik perempuannya. Dia sudah serik. Cukuplah dengan apa
yang telah berlaku. Dia tidak mahu kehilangan Laili Nasura pula selepas
dia kehilangan Asmah.

“ Dayah!”

Kedua – dua anak kecil yang leka bermain itu menoleh. Laili Nasura
terkejut besar melihat ibunya sedang bercekak pinggang dimuka pintu dapur.

“ Siapa tu?” sempat Ummu Lia berbisik pada Laili Nasura .

Laili Nasura tidak menjawap. Mukanya pucat. Nafasnya mula terasa sesak.
Dia takut dan kaget. Apatahlagi melihat muka garang ibunya.

“ Dayah!” suara Fazlina melengking memecah keheningan pagi itu.

Fazlina mendekati keduanya. Laili Nasura menundukkan kepalanya kebawah.
Ummu Lia pula masih lagi memandang kearah ibu Laili Nasura dengan pandangan
yang tidak berkerlip.

“ Kamu buat apa dekat sini, Dayah!?” tengking Fazlina.

Laili Nasura kecut perut. Manakala Ummu Lia pula diam. Masih lagi
memerhatikan kearah Fazlina.

“ Cakap dengan ibu. Apa yang kamu buat dekat sini hah!” suara Fazlina
makin kuat. Laili Nasura membisu. Kepalanya terus ditundukkan. Tidak
berani langsung mahu menentang muka ibunya.

“ Heh! Kamu ni pulak siapa hah!?” kini kemarahannya ditujukan pada Ummu Lia
pula. Anak kecil itu terpingga – pingga sendiri.

“ Kamu dah pekak ke? Aku tanya ni!” sekali lagi Fazlina menengking.
Perasaan marahnya bagaikan tidak dapat ditahan - tahan lagi.

Ummu Lia bingkas bangun dan berlari meninggalkan Laili Nasura dan Fazlina.
Fazlina yang terkejut dengan sikap Ummu Lia cuba mengejar dari belakang.
Namun sayang langkah Ummu Lia lebih laju darinya. Ketika dia sampai didepan
banglo dilihatnya bayang Ummu Lia sudah hilang. Dia tercunggap – cunggap
sendiri. Kemana budak perempuan tu pergi? Tak kan sekejap saja sudah
lesap? Fazlina merasa tidak puashati. Matanya liar mencari bayang Ummu Lia
namun tidak kelihatan dimana – mana. Fazlina merapati pintu pagar yang
tertutup rapat. Dia menjengah keluar. Ummu Lia sudah hilang! Fazlina
melangkah masuk sambil terus membebel dan merungut.

Hari itu juga Laili Nasura dimarahi oleh Fazlina dengan semahunya. Tidak
cukup setakat memarahi tubuh Laili Nasura juga dihinggapi dengan rotan
beberapa kali. Laili Nasura yang meraung kesakitan tidak mampu
melembutkan hati ibunya yang sudah terbakar. Libasan demi libasan rotan
hinggap dilengan, kaki dan belakang badannya.

“ Kamu memang degil ya Dayah!” amuk Fazlina seolah – olah kerasukan
dengan perasaan amarahnya.

“ Tolong mak.... Dayah tak buat lagi!” berterusan juga Laili Nasura
memohon ampun dari ibunya.

Setelah puas melepaskan kemarahannya Fazlina berhenti. Nafasnya
tercunggap – cunggap. Laili Nasura terus jatuh kelantai. Sayang,
keadaannya langsung tidak mendapat simpati dari ibunya. Sebaliknya
Fazlina terus memandang kearah gadis comel itu dengan pandangan garang.
Dadanya kelihatan berombak menahan rasa marah yang masih lagi bersisa.

Laili Nasura pula meraba – raba bahagian yang sakit. Lengan, kaki dan
belakangnya badannya terasa pedih dan bisa. Sesekali dia menjeling juga
pada rotan yang masih lagi dipegang oleh ibunya. Takut jika angin ibunya
naik lagi, dia akan menerima akibatnya lagi.

“ Kamu jangan keluar dari bilik ni. Sampai ibu panggil. Faham!” tengking
Fazlina tiba – tiba. Laili Nasura yang kecut perut sekadar mengangguk.
Tangisan dan sendunya masih lagi kedengaran. Sayu. Fazlina segera keluar
dan menghempaskan daun pintu sekuat mungkin. Marahnya masih lagi belum
reda. Tinggalkan Laili Nasura keseorangan sambil ditemani dengan
kesakitan yang dirasakan diseluruh badannya. Air matanya makin lebat
mengalir.

*MALAM* itu usai makan malam Laili Nasura terus berkurung didalam
kamarnya. Fazlina langsung tidak membenarkan anaknya itu keluar menonton
TV seperti biasa. Hanya Mak Limah saja yang sempat menjenguk kanak –
kanak itu. Simpatinya datang bertimpa – timpa.

“ Sudah.... jangan banyak bergerak. Nanti badan tu sakit lagi. Tidurlah.
Jangan bantah cakap ibu, tahu,” pesan Mak Limah sebelum meninggalkan
kamar tidur si kecil itu. Laili Nasura hanya mengangguk. Perasaannya
dilanda kesedihan yang amat sangat. Kenapa dia tidak dibenarkan berkawan
dengan orang lain? Apa salahnya? Lalu dalam sendu dan tangis akhirnya si
comel itu terlena.

*JAM* 3 pagi Laili Nasura membuka kelopak matanya. Terpisat – pisat dia
sendiri diatas katil. Ruang kamar itu hanya diterangi dengan cahaya
lampu tidur yang samar – samar. Sejenak dia menoleh kekiri dan kekanan.

Ketik!

Laili Nasura menoleh ketingkap. Dia tahu benar akan bunyi batu dibaling
ketingkap. Ummu Lia ? Apa yang dia buat malam – malam begini? Laili Nasura
merangkak turun dari katil. Terus dia mendekati tingkap.

Benar seperti yang dia jangka. Ummu Lia ada diluar sana. Melambai tangan
kearahnya. Laili Nasura merasa pelik. Kenapa gadis kecil itu tidak tidur
lagi? Kenapa dia ada disini?

“ Dayah,” sayup – sayup kedengaran suara Ummu Lia memanggilnya dari luar.
Tangannya terus melambai – lambai kearah Laili Nasura . Seolah – olah mahu
mengajak dia turun.

Laili Nasura pula terus kaku ditepi tingkap. Masih lagi memandang kearah
Ummu Lia dengan riak hairan.

“ Dayah.... sinilah,” panggil Ummu Lia lagi.

Seperti dirasuk, Laili Nasura keluar dari dalam kamar. Berlari dia
menuruni tangga. Secara senyap – senyap dia keluar ikut pintu belakang.
Tanpa berlenggah lagi dia menemui Ummu Lia yang sedang menunggunya.

“ Dayah,” tegur Ummu Lia . Pantas dia menarik lengan gadis itu.

Laili Nasura mengaduh kesakitan. Segera dia mengurut lengannya yang
terdapat kesan calar akibat dirotan oleh ibunya siang tadi.

“ Sakit?” soal Ummu Lia dengan rasa simpati.

Laili Nasura tidak menjawap sebaliknya hanya menganggukkan kepalanya saja.

“ Ibu awak pukul ye?”

Sekali lagi Laili Nasura mengangguk.

“ Teruk... kan,” sambung Ummu Lia .

Angguk lagi.

Ummu Lia tersenyum pahit. Jari – jemari Laili Nasura dipegangnya dengan
penuh mesra. Mereka saling berpandangan sesama sendiri.

“ Saya tahu perasaan awak, Dayah,” ucap Ummu Lia dengan lembut. Senyumnya
masih menghiasi bibir.

“ Mana awak tahu?” suara Laili Nasura kedengaran sayu.

Senyum dibibir Ummu Lia makin panjang.

“ Mestilah saya tahu, sebab saya sendiri pernah kena pukul,” sahut Ummu Lia .

Laili Nasura terkesima. Lama dia memandang kearah Ummu Lia . Tidak percaya.

“ Awak pun pernah kena pukul?”

Giliran Ummu Lia pula mengangguk. Senyum dibibirnya tidak mati.

“ Sama macam awak. Saya pun pernah kena dera. Saya tahu sakitnya macam
mana.”

Laili Nasura diam.

“ Tiap - tiap hari saya kena pukul. Habis badan saya bengkak – bengkak.
Luka sana, luka sini. Tapi tak ada orang yang kesian tengok saya. Makin
kena pukul lagi adalah,” adu Ummu Lia . Namun air mukanya kelihatan tenang
saja.

“ Awak rasa ibu awak sayangkan awak?” soal Ummu Lia dengan tiba – tiba.
Laili Nasura kaku lagi. Dia tidak pasti kenapa sahabatnya itu bertanyakan
soalan seperti itu.

“ Saya rasa dia tak sayangkan awak. Awak sama macam saya.”

“ Maksud awak?” Laili Nasura perlukan penjelasan dari teman baiknya itu.

“ Kalau dia sayangkan awak, kenapa dia pukul awak macam ni. Sama macam
saya. Ibu saya tak sayangkan saya. Itu sebabnya dia selalu pukul dan
dera saya. Kadang – kadang dia tak bagi saya makan. Seharian saya lapar.
Dia tak pernah kesiankan saya,” luah Ummu Lia . Pengalamannya yang lalu
diterangkan pada Laili Nasura .

“ Mak saya memang tak sukakan saya,” sambung Ummu Lia lagi. Kepalanya
ditundukkan. Namun tangan Laili Nasura tidak dilepaskan.

“ Mungkin betul apa yang awak cakapkan,” Laili Nasura mula bersuara.
Angin malam yang bertiup kuat membuatkan rambutnya yang tidak ditocang
mengerbang. Baju tidur yang dipakainya juga mengeletar kuat. Daun kering
dari pokok ditepi pagar berguguran.

“ Ibu saya tak sayangkan saya. Tiap hari dia paksa saya duduk dalam
rumah. Dia tak suka saya berkawan dengan sesiapa pun, termasuk awak.
Tengok siang tadi bila dia dapat tahu terus dia pukul saya sampai jadi
macam ni,” Laili Nasura menunjukkan lengannya yang masih lagi berbekas
akibat dipukul dengan rotan. “ Betul cakap awak, ibu saya memang tak
sayangkan saya lagi,” lanjut Laili Nasura merintih sedih.

Ummu Lia mengukir senyumnya.

“ Awak,” Ummu Lia menyeru lembut.

Laili Nasura mendongak perlahan.

“ Mulai sekarang awak jangan takut ye,” ujar Ummu Lia dengan nada memujuk.

“ Kenapa awak cakap macam tu?” ketidak pastian membuatkan Laili Nasura
bertanya.

“ Kalau awak nak saya akan temankan awak untuk selama – lamanya,” ucap
Ummu Lia dengan nada mengharap. Seulas senyum manis tergaris dibibirnya
yang kelihatan agak pucat.

Laili Nasura tidak faham.

Seperti mengerti dengan reaksi Laili Nasura , Ummu Lia tersenyum lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience