Rate

Bab 4

Short Story Series 2023

Enjin pesawat sistem penerbangan Malaysia bergema sebaik sahaja roda mencecah landasan. Pendaratan yang sempurna itu masih membuatkan aini kecut perut. Rasa mual tiba-tiba menguasainya. Telinganya pun terasa kuat berdengung. Namun apabila melihat orang lain tenang, aini cuba mengawal diri. Masa yang singkat dirasakan sangat lama. Setelah beberapa ketika, pramugari memberikan isyarat untuk para penumpang turun. Serta-merta bunyi tali pinggang dibuka dan para penumpang bangun meluruskan pinggang. 11jam masa perjalanan dari KLIA ke bandar gunung berapi itu amat memenatkan. Dari udara tadi, aini dapat melihat kedua-dua suak pulau utama tempat di mana terletaknya ibu negara New Zealand yang dikelilingi laut itu. Auckland dihuni oleh 1.3 juta penduduk, dibentuk oleh 49 gunung berapi, diapit antara dua pelabuhan dan dikelilingi oleh lebih daripada 50 buah pulau. Secara umumnya, New Zealand terletak di barat laut Australia dengan gugusan pulau yang menganjur ke selatan. Kepulauan yang terkenal dengan jolokan negara Kiwi ini terdiri daripada dua buah pulau besar iaitu utara dan selatan selain beribu pulau-pulau kecil yang lain di sekelilingnya. Kesempatan yang begitu singkat tadi tidak dapat digunakan sepenuhnya oleh aini untuk mengimbau kembali panorama indah tersebut. Bunyi sorakan anak-anak amira segera mengejutkannya daripada lamunan. Kanak-kanak itu sudah jauh meninggalkannya di belakang. Aini masih mamai. Matanya terasa amat mengantuk kerana semalaman berjaga hingga tidak sedar yang dia sudah ketinggalan. Hatinya sebal kerana amira dan ahmad tidak mempedulikannya yang terkial-kial membawa beg galas berisi keperluan anak-anak mereka sendiri. Rutinnya sebagai orang gaji sudah pun bermula. Tapi, itu semua belum lagi di sedari olehnya yang masih tercangak-cangak melihat persekitaran. Di sekelilingnya hanyalah wajah-wajah asing yang tidak pernah dikenali.

"Aini.... Bawak Imad ke tandas! Dia nak buang air." selamba sahaja amira memberikan arahan. Tanpa berdalih, aini mengangguk lalu memimpin Imad. Kanak-kanak itu menarik tangannya, tanda enggan dipegang. Sebaliknya, pantas dia berlari laju. Lintang-pukang aini mengejar. Manakala Iman pula selamba mengekori. Amira hanya memandang dari jauh sambil ternyum puas. Satu masalahnya sudah selesai. Anak-anaknya sudah ada penjaga. Kini, bolehla dia menumpukan sepenuh perhatian di restoran. Pergerakan ahmad pun perlu dipantau kerana lelaki itu acap kali dilihatnya bermain mata dengan pekerja dan pelanggan wanita.

"Teksi dah tunggu. Mana budak-budak tu?" soal Ahmad dengan mata membuntang bila melihat anak-anaknya tiada.

"Imad nak buang air. Iman ikut sekali. Aini ada dengan dia orang," jelas amira sambil membalas renungan suaminya itu. Ada maksud yang tersirat dalam renungan itu tetapi Ahmad tidak menyedarinya. Lelaki itu mengeluh. Bimbang kalau pemandu teksi tadi marah akibat kelewatan mereka. " kenapa tidak dipakaikan lampin? Kan senang? Taklah buang masa macam ni."

"Sabarlah sikit. Sekejap aja," jawab amira.

"Kita tak boleh lengah lagi. Pergi cari mereka, suruh cepat. Teksi dah tunggu!" keras suara ahmad memberikan arahan. Baginya, amira tidak boleh mendolak-dalihkan kata-katanya. Isterinya itu harus diam dan ikut sahaja perintahnya. Nampaknya, amira belum cukup belajar bagaimana cara seorang isteri yang taat pada suami. Tangan ahmad mengepal genggaman. Mukanya merah menahan geram. Melihat perubahan mood ahmad, amira bergegas bangun. Dia sudah masak dengan perangai suaminya yang tidak suka dibantah. Panas barannya semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Baru sahaja beberapa kaki amira melangkah, adik dan anak-anaknya sudah muncul. Melihat wajah risau amira, aini segera mengukir senyuman tanda puas hati kerana telah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik. Malangnya, bukan ucapan terima kasih yang diterima, sebaliknya jeritan yang memalukan muncul daripada mulut amira.

"Cepatlah! Jangan terhegeh-hegeh lagi! Teksi dah lama tunggu!"

Aini terkejut. Imad dan Iman juga terpaku walaupun sudah ucap kali ummi mereka naik angin begitu. Kelam-kabut aini menarik tangan Imad dan Iman agar pantas bergerak.

Sebaik sahaja hampir, amira segera merentap tangan anak-anaknya daripada genggaman aini lalu diheretnya dengan keras. Imad menjerit kesakitan. Ahmad pula sudah jauh meninggalkan mereka tanpa memegang apa-apa pun di tangan. Terkial-kial aini menolak troli seorang diri. Dia cuba bersabar walaupun hatinya benar-benar tergores dengan sikap yang ditunjukkan oleh kakaknya tadi. Bagaimana anak-anak saudaranya mahu menghormati dia kalau ibu mereka sendiri sanggup mengherdiknya di hadapan orang ramai? Aini merintih sendiri. Barulah dia sedar bahawa perangai kakaknya itu tidak pernah berubah. Tapi apakan daya, dia berada di negara orang dan hanya amira sahajalah keluarganya kini. Saat itu, terbayang wajah kedua orang tuanya yang ditinggalkan dalam keadaan berduka. Terasa dirinya anak derhaka dan memang patut dia mendapat pembalasan yang sewajarnya. Perlahan-lahan, air mata aini menitis. Episod sedih dalam hidupnya sudah pun bermula. Yang pasti, selepas ini dia akan terus menangis.

"Hei bodoh! Cepatlah! Tak faham bahasa Melayu ke?

Herdikan itu membuatkan aini tersentak lagi. Hatinya benar-benar tergores. Tergamak kakaknya mengatakan dia bodoh. Meskipun orang lain tidak faham maksud kata-kata itu, tetapi daripada nada suara yang meninggi itu, tentu orang akan tahu yang dia sedang dimarahi. Tapi, apa kesalahan yang dilakukannya? Kenapa ahmad yang gagah perkasa itu tidak menolak troli itu? Kenapa amira tidak mencuci sendiri punggung anaknya? Kenapa semua bebanan diletakkan di bahunya? Dan, sesuka hati pula mereka mengalahkannya.

Memang kedua-duanya tak sedar dek untung! Rungut aini dalam hati. Tetapi, dia hanya mampu mengangguk. Tidak berani mengangkat muka apatah lagi hendak bersuara. Sebaik sahaja sampai di tepi teksi, ahmad dengan kasar membuka pintu lalu menghenyek punggung di kerusi hadapan. Manakala amira pula masuk ke tempat duduk belakang bersama anak-anaknya sambil diikuti pula oleh aini. Pemandu teksi itu pula terkial-kial menyusun bagasi di dalam bonet teksi.

"Kaklong, aini tak tahu pun teksi dah tunggu. Lagipun kenapa abang ahmad tak tolak troli tu? Mana larat aini buat sorang," keluh aini perlahan. Dia memang tidak puas hati dengan layanan kakak dan abang ipar terhadapnya.

Ahmad segera mengerling ke arah amira sebaik sahaja mendengar namanya disebut. Kerlingan yang menyampaikan mesej kurang baik itu membuatkan amira terus meledakkan kemarahannya.

"Eh... Kau ingat tiket tu percuma? Jangan berangan kau dapat layanan macam tuan puteri. Di sini, semua orang kene kerja!" tempelak amira sambil menjegilkan matanya.

Aini menunduk. Dia benar-benar kerkejut. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Berdesing telinganya ditujah oleh kata-kata yang memerhatikan itu. Bukan dia yang mahu datang, tetapi amira yang bersungguh-sungguh mengajaknya. Pelbagai janji manis ditabur. Mustahil cepat benar amira lupa? Mustahil kakaknya itu tidak tahu yang penyakit lupa atau alzheimer itu hanya menyerang orang tua.
Aini bungkam. Belum pun lagi tiba di rumah, dia sudah dihamburkan dengan kata-kata kesat. Bagaimana pula nasibnya setelah tiba di rumah kelak? Bukan sehari, tapi bertahun-tahun dia akan duduk sebumbung dengan amira. Tetapi bukankah abahnya sudah mengingatkan hal itu sebelum dia ke New Zealand lagi? Tetapi, dia yang degil kerana teringin sangat hendak merantau di negara orang hingga hidup sendiri terjajah.

Aini terus membisu dan melemparkan pandangan ke luar tingkap sambil melayan perasaannya yang hiba. Sebaik sahaja meninggalkan kawasan bandar Auckland yang sibuk, dia ternampak sebuah helikopter terbang pada jarak yang Agak rendah. Mahu sahaja aini menjerit agar helikopter tersebut membawanya keluar dari perut teksi itu. Namun, dia sedar yang usaha dan jeritannya hanya sia-sia. Tiada siapa yang mampu menyelamatkannya. Dia sudah terjebak di bumi asing. Semakin lama semakin sayup bunyi helikopter, bagai membayangkan harapan tipis aini untuk meloloskan diri.

"Kaklong, aini minta maaf kalau tindakan aini tadi membuatkan kaklong marah." aini cuba menyedapkan hati kakaknya. Namun, tiada sebarang reaksi diterimanya. Hujan sudah mulai turun dengan lebat. Imad dan Iman melonjak-lonjak keriangan. Lumrah kanak-kanak memang sukakan hujan. Terhibur sedikit hati aini apabila melihat titisan air yang mulai membasahi bumi itu. Bijaknya alam memainkan metafora kehidupan. Hujan adalah tangisan dunia yang memberi rahmat kepada manusia. Kalau di Habshah, hujan dinanti-nantikan untuk melenyapkan kemarau. Tetapi kalau di Kuala Lumpur, hujan lebat selama sejam sudah cukup membuatkan isi kota kacau-bilau. Ramai yang menyalahkan hujan lebat sebagai punca banjir kilat yang meranapkan harta benda dan mengancam nyawa.

Tapi, bukan salah air kerana Allah sudah menetapkan bahawa kawasan khatulistiwa menerima hujan yang banyak setiap tahun. Sebab itu diwujudkan harta, paya bakau, belukar, pokok-pokok dan rumput yang melata serta berakar untuk mempercepatkan serapan hujan ke dalam bumi. Hujan akan mengalir mengikut celah-celah akar lalu berkumpul di dalam bumi. Hujan turut mengalir ke parit dan sungai sebelum menuju ke laut. Tapi bila semuanya ditarah, dirata lalu disimen dan diturap, ke mana hujan yang banyak itu hendak pergi? Longkang dan sungai sudah tohor akibat timbunan sampah-sarap sisa buangan, binaan dan lumpur.

Bukan salah hujan yang mencetuskan fenomena banjir kilat. Air yang terapung di muka bumi tidak mampu lagi diserap dengan pantas oleh bumi kerana sudah tiada pokok dan rumput. Jadi, jangan marah pada hujan. Marahlah pada penghuni bumi yang tamak haloba hingga membelakangkan tuntutan georgrafi sesebuah bentuk muka bumi.

"Hah.... Dah tiba ni, kenapa kau terpaku macam tulang?" aini terkejut.

Sejak semalam, dia banyak mengelamun. Pantas, dia membuka pintu apabila Iman tidak henti-henti menolaknya supaya keluar dari teksi itu. Timbul juga rasa geram akan sikap anak saudaranya itu. Apa tidaknya, pintu di sebelah sana sudah terbuka luas, tetapi pintu yang ini juga dia hendak keluar, getus aini dalam hati.

"Akak nak siapkan makan malam. Kamu angkat semua beg itu. Ahmad nak ke restoran." begitu mudah amira memberikan arahan sebelum dia menghilang di sebalik daun pintu kayu nyatoh yang berkaca bujur di tengahnya. Aini masih tercegat di luar. Melihat rumah dua tingkat kakaknya yang sederhana besar. Persekitarannya nyaman dengan bunga-bungaan yang sedang berkembang. Barulah dia sedar yang sekarang adalah musim bunga. Setahunya, tiket penerbangan pada musim bunga adalah yang paling mahal. Mungkin sebab itulah, amira marah padanya kerana asik terleka. Sambil memujuk hati, dia cuba membuang prasangka terhadap kakaknya itu jauh-jauh.
Dia termenung ke arah bagasi yang diletakkan bertaburan di tepi jalan itu. Ada empat buah semuanya. Ditolak sebuah begnya sendiri, bererti ada tiga buah beg milik kakaknya. Tanpa membuang masa, dia mengangkat bagasi tersebut satu per satu. Maka, bermulalah kehidupannya di daerah Otahuhu, Auckland.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience