Completed
6610
Pada pagi yang panas dan sunyi, yang kedengaran cuma bunyi mesin jahit dan suara Farah, Faizal, AG dan Ucop di corong radio Hot fm dan aku sedang menjahit manik pada dress biru, seseorang memberi salam dan masuk ke dalam kedai. Seorang perempuan yang ayu dan manis sedang tersenyum-senyum memandang aku.
“Saya nak tempah jahit manik pada baju bertunang saya ni boleh tak?” Soal gadis itu.
Aku dah terkelu, nak terima rasa macam dah tak mampu. Nak menolak..
“Saya bukan nak pakai cepat pun, hujung bulan ni baru nak guna..” katanya lagi dengan reaksi muka seperti sedang memancing aku agar menerima tempahan bajunya.
“Ohh.. ok!” tanpa sedar rupanya perkataan itu yang aku sedang ucapkan kepadanya lalu membuatkan dia tersenyum lebar dan Qila melakukan apa yang sepatutnya macam mengambil nama dan nombor telefon juga mencatitkan tarikh untuk dia ambil bajunya dan aku kembali tenggelam dalam misiku untuk menyiapkan baju pengantin si Lina…
Segala tentang apa yang berlaku disekelilingku pada hari itu langsung tidak aku ambil kisah bila aku betul-betul terasa macam aku sedang terbenam bersama-sama manik yang berwarna warni. Dua hari lagi sebelum hari jumaat dan aku masih belum siap pasang manik pada dress biru ini sedangkan kain layah dan baju akad nikah warna krim itu pun masih belum aku sentuh.
Disaat begini aku benar-benar berharap agar aku diberi masa 30 jam sehari supaya aku punya lebih banyak masa untuk makan, tidur dan solat kerana selain solat, aku betul-betul tak bangun dari kerusiku mahupun mengangkat kepala untuk melihat jam pun!
Dua hari kemudiannya…
Lina datang ke kedai dengan harapan baju-baju yang dimintanya sudah siap serba sempurna manakala aku sedang tertidur di mesin jahitku kerana terlalu penat dan tak lalu untuk bangun.
“Ini apasal tidur kat tempat kerja ni? Woit.. tunjuklah contoh yang baik sikit pada pekerja wehh..”
Aku terjaga dari lena bila terasa badan aku dicuit-cuit. Mata aku berpinar-pinar memerhatikan sekeliling. Aku gosok mataku perlahan dan menguap.
“Hemm.. baju kau dah siap tu..” kataku dengan suara yang tak berapa nak keluar. Sekali lagi aku menguap. Mengantuk sangat! Malam tadi pukul 4 pagi baru aku tidur semata-mata nak siapkan baju nikah warna krim, itupun nasib baik manik pada veil Nik tolong jahitkan, kalau tak aku tak taulah pukul berapa pula baru aku tidur dan pagi ni aku dah kena bangun awal untuk bukak kedai.
Sepanjang lapan tahun aku jadi tukang jahit sejak berumur 18 tahun sehingga kini 25 tahun, ini kali pertama aku terima ‘tugasan’ yang sangat, sangat, sangat mencabar kredibiliti aku sebagai seorang tukang jahit.
Pertama, aku tak pernah jahit baju pengantin sebelum ini dan tiba-tiba disuruh buat mengikut rekaan dalam majalah tanpa ada guru yang mengajar mahupun apa-apa tutorial, aku memberanikan diri memotong dan menjahit kain-kain itu sehingga ianya berjaya kelihatan seperti pakaian pengantin di dalam majalah itu.
Kedua, dahlah tak pernah buat, tiba-tiba kena siapkan dalam masa yang singkat pula tu. Sekarang aku tak tau samada aku patut ucap terima kasih pada Lina kerana telah memberi aku pengalaman yang sangat mencabar ini atau memintanya supaya berhenti meminta khidmatku untuk menjahit baju-baju pengantinnya lagi?
“Pandai pun kau jahit, perfect! Marvellous! Sebiji macam yang aku nak. Nanti aku hantar lagi kat kau eh? Hari tu aku pergi makeup wedding anak Dato’, dia punya baju warna biru tua dengan gold, smart weh.. aku ingat nak buat la sepasang warna tu..”
“Biru gold?” Soal Nik dengan dahi yang berkerut.
Aku menguap. Telinga aku memang mendengar yang kombinasi warna itu agak pelik, tapi mulut aku tak larat untuk bertanya dimanakah cantiknya kombinasi kedua-dua warna itu,
“Ha’ah.. biru bukan macam biru ni.. “ ditunjuknya dress biru muda yang dah siap dipegang ditangan bersama dua lagi baju yang aku jahit itu.
“Tapi biru dia pekat lagi, macam warna balai polis. Kan biru pekat tu kan.. hah biru itulah, kain lace dia letak warna gold. Perh.. mesti smart gilalah..”
“Eee… ye ke.. macam pelik je?” Sangkal Nik, masih tidak yakin yang kombinasi kedua-dua warna itu akan menghasilkan sesuatu yang ‘smart’ bak kata Lina.
“Pelik sebab orang jarang guna warna tu, tapi kalau dah siap nampak ok.. nanti aku beli kain, bla, bla, bla..”
Butir-butir perbualan mereka yang seterusnya dah tak masuk ke telingaku lagi. Aku kembali melentokkan kepala dia tepi mesin jahit dan sekejap saja aku dah terlena kembali. Bukan masalah aku untuk memikirkan warna biru dan gold itu sesuai atau tidak untuk dijadikan gaun baju pengantin.
Share this novel