BAB 12

Romantic Comedy Completed 6610

Aku masih ada masa dua bulan dari sekarang dan baju putihku masih belum siap dijahit. Aku masih ada masa dua bulan dari sekarang dan aku masih belum pilih jenis dan warna bunga yang aku mahukan.

Aku masih ada masa dua bulan dari sekarang, dan aku masih belum memilih lokasi yang sesuai dan strategik untuk majlisku itu. Aku masih ada masa dua bulan dari sekarang dan aku masih belum memilih kad yang aku berkenan. Aku masih ada masa.. aku masih ada masa..

Empat patah perkataan itu sajalah yang aku sematkan dalam kepala. Aku. Masih. Ada. Masa. Sedangkan hati aku dah gundah gulana, jiwa aku dah resah gelisah kerana aku masih belum jumpa tema yang sesuai untuk majlis perkahwinanku nanti.

Aku dah membeli kain warna putih susu untuk aku jahit sendiri baju pengantinku, tapi aku masih belum jumpa rekaan yang aku mahu.

Aku dah melihat-lihat bunga segar yang sesuai digunakan untuk tema majlis dalam taman, tapi aku masih keliru samada untuk menggunakan bunga ros atau guna saja bunga-bunga lain macam carnation atau… atau.. oh aku sudah semakin pening.

“Tinggal dua bulan sebelum majlis kau berlangsung tapi satu benda pun kau belum tentukan lagi. Memang nak cari bunga segar tu senang macam nak pilih ikan kat pasar. Memang kau sorang je pelanggan aku yang aku nak kena fikirkan. Memang kau..”

Lina dah mula membebel bila dilihatnya aku masih menyelak-nyelak majalah sejak lima belas minit yang lalu dan tidak memberikan apa-apa respon terhadap pertanyaannya.

Aku tutup majalah dan aku pandang Lina dalam-dalam. Cuba mencari sesuatu di wajah hitam manis itu. Sesuatu yang aku sendiri tak pasti apakah ianya, tapi hati aku mencari sinar keikhlasan di wajah Lina ini.

“Kalau aku serahkan seratus peratus kecuali baju aku, tentang majlis ni pada kau, boleh tak kau janji yang kau akan tunaikan impian aku?” soalku kepadanya.

Lina dah ternganga mulut sambil menunjukkan jari telunjuk ke mukanya sendiri. Seakan tak percaya dengan apa yang aku katakana.

“A..a..aku? Kenapa aku?” soalnya.

“Sebab majlis tinggal dua bulan dari sekarang dan aku masih belum buat keputusan untuk semua benda sebab aku terlalu harapkan kesempurnaan. Aku tau yang aku tak boleh buat semua ni kalau aku mahu majlis perkahwinan aku berlangsung dua bulan dari sekarang” balasku, yakin.

Yakin yang Lina mampu menguruskan majlis ini sebaik-baiknya.

“Oh.. kalau dah kau cakap macam tu.. ya.. aku ok je.” Balas Lina sambil jongket bahu. Gaya orang teruja yang teramata-amat teruja tapi menyembunyikan keterujaan dia dalam hati. Aku tau lepas dia keluar dari kedai aku pasti dia akan melompat kegembiraan.

“Ok, kalau macam tu, nah ambil balik majalah ni dan pastikan aku dapat bersanding dua bulan dari sekarang.”

“Yes, madam-to-be” kata Lina dan terus keluar dari kedaiku.

Dua bulan kemudian.

Aku kini sudah sah menjadi seorang isteri kepada sang lelaki yang bernama Haris dan majlis perkahwinanku diadakan di taman tasik, dengan tema warna putih dan bunga-bungaan segar menjadi pelengkap pelaminku dan aku sangat berpuas hati dengan apa yang Lina dah lakukan untuk majlis ini.

Tapi satu je yang buat aku rasa sangat-sangat risau bila langit kelihatan gelap, aku berdoa dalam hati agar awan hitam itu berarak pergi tapi nampaknya doaku tak dimakbulkan bila hujan mula turun dan kami terpaksa berteduh di bawah khemah.

Maksud aku berdiri di bahagian tengah khemah ramai-ramai sebab kiri kanan dah kena tempias hujan hampir setengah jam juga rasanya.

Lina berbisik di telingaku, “aku dah kata yang idea kau tak boleh dipakai dengan cuaca kat Malaysia ni..”

Aku cuma jongket bahu, malas nak komen apa-apa. Well.. ini majlis perkahwinan impianku, tak kiralah walau apa pun yang berlaku aku cuma ingin mengingati hari ini dan tarikh ini sebagai satu hari yang aku diraikan dengan cinta hatiku dalam majlis idamanku. Cukup.

Tapi bila hujan reda seseorang menjerit dan menunjuk ke arah langit, semua orang berpusu-pusu menuju ke arah yang ditunjukkan oleh budak lelaki itu.

Pelangi! Dua jalur pelangi!

“Rupanya Allah nak beri hadiah untuk majlis perkahwinan kita..” Haris berbisik di telingaku.

Aku tersenyum lalu melentokkan kepalaku di bahunya.

Perkahwinan bukan macam jahit manik pada baju pengantin, ia lebih bermakna dan lebih penting dari itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience