Bab 5

Detective Series 3357

BAKUL di tangan Jihan hampir penuh. Itupun, dia masih belum selesai berbelanja. Ada sedikit lagi barang yang perlu dia cari. Mata dia merenung deretan makanan ringan yang tersusun di atas rak. Kemudian dia menoleh sebelah kanan. Di situ tersusunnya pelbagai biskut-biskut kering. Tangan dia segera mencapai kotak biskut jenama Jacob. Dia tercari-cari di mana letaknya tarikh luput pada kotak tersebut. Itu perkara wajib dia lakukan sebelum membeli.

Melihat tarikh yang tertera. Jihan masukkan ke dalam bakul. Puas hati dengan pilihannya. Di hujung lorong, dia menemukan peti ais sederhana besar. Automatik bibir melengkung nipis. Dua botol bliss perisa strawberry dia ambil. Nak ke kawasan bandar pun makan masa, ada baiknya dia beli lebih untuk stok. Tak perlu setiap hari ke bandar.

Jihan melangkah ke kaunter pembayaran. Mujur tak perlu beratur lama. Pelanggan di depan sedang membuat bayaran dan giliran dia akan tiba tidak lama lagi.

Selesai saja, cepat Jihan keluar dari pasaraya dan terus menghampiri keretanya. Sesampai di kereta, keluhan dia meletus. Salah dia tak keluarkan kunci kereta awal-awal. Kiri dan kanan tangannya sarat dengan beg-beg plastik. Terkial-kial dia cuba mengeluarkan kunci dari poket seluar. Entah ke berapa kali dia mengeluh apabila percubaan hampir lima minit belum berhasil.

Nampak gayanya, terpaksalah Jihan letakkan kesemua barang di atas boot kereta. Belum sempat beg plastik cecah di tempat sepatutnya, bunyi barang jatuh bertimpa-timpa membuatkan kepala Jihan tunduk. Dia dah boleh agak perkara ini akan terjadi. Mata dia tertancap pada semua isi barang yang terlambak.

Panjang helaan nafas Jihan. Cepat dia tunduk mengutip semula barang-barangnya. Dalam hati, mulalah dia mengutuk dirinya sendiri gara-gara cuai. Tak setakat cuai, clumsy!

Baru separuh jalan mengutip, Jihan angkat kepala bila ada bayang hitam yang turut serta membantu. Bayang yang tidak dialu-alukan bantuannya.

“Jemi…”

Ayat Jihan terhenti apabila orang di depannya bukan Najmi. Lebih parah, otot matanya mengalami kekejangan sehingga tidak pandai berkedip lagi. Dia terus-menerus merenung empunya bayang di depan mata.

“Barang awak.” Kerja mengutip barang selesai. Lima beg plastik dihulurkan pada Jihan.

Tidak setakat mata, bibir Jihan juga mengalami kekejangan. Bibirnya hanya mampu bergerak namun suaranya tersekat di celah kerongkong.

Melihat orang di depannya masih tercegat, Zarif sendiri membawa semua barang-barang ke pintu kereta.

“Boleh unlock alarm? Saya nak masukkan barang.”

“Ya?! Oh…” Jihan seperti terjaga dari mimpi. Cepat dia mengeluarkan kunci kereta lalu punat alarm ditekan.

“Terima kasih.” Sebut Jihan setelah Zarif berdiri betul-betul di depannya. Tak sampai tiga saat bertentang mata, Jihan terlebih dahulu melarikan sepasang matanya. Tak manis jika tertangkap. Buat malu saja.

“Saya lalu sini, kebetulan jumpa cik.”

Mustahil mereka tidak berjumpa. Kawasan sini tidaklah sebesar mana pun. Tidak hari ini, mungkin esok atau lusa mereka akan terserempak.

“Saya nak tunaikan janji saya.”

Wajah Zarif dicari. Janji? Janji apa?

“Nak tukarkan lampu kereta.” Sebut Zarif setelah itu.

Oh. Sejak berjumpa dengan Zarif, penyakit lupa Jihan semakin kerap menyerang. Paling ketara jika dia bertemu empat mata dengan Zarif. Semakin menjadi-jadi penyakit lupanya.

“Dekat mana bengkel tu? Nanti saya akan terus ke sana.” Jihan masih mengelak bertembung mata dengan Zarif.

“Lupa?”

“Sorry?” Jihan kurang dengar.

“Cik lupa.”

Diam dipihak Jihan apabila kelemahannya berjaya dikesan oleh Zarif. Bahkan, penyakit dia disebut dengan cukup jelas.

“Semalam saya cakap, saya sendiri akan tukar lampu kereta cik.”

Sekarang Jihan sudah ingat. Memang Zarif ada berkata begitu semalam. Cumanya, dia penasaran. Atas dan bawah dia menilik Zarif. Jubah putih yang sentiasa membaluti tubuhnya, membuatkan dia sangsi dengan kemampuan ustaz di depannya.

“Macam ni lah. Saya pun tak nak susahkan ustaz. Bagi saja barang tu pada saya…Saya akan minta Jemi tolong pasangkan.”

“Panggil saya Zarif.” Pangkah Zarif.

Apa-apalah. Jihan lebih rela berjumpa dengan Najmi sepanjang hari daripada berjumpa dengan Zarif. Aura Zarif itu sangat jahat. Sampaikan dia boleh merasai semua kejahatan Zarif biarpun luaran lelaki itu nampak warak.

“Cik tak susahkan saya, tapi cik menyusahkan orang lain.”

“Upah pemasangan, saya akan bayar Jemi. Jadi, tiada istilah menyusahkan.” Selar Jihan. Dia bukan suruh dengan tangan kosong.

“Saya sendiri akan buat. Jemi tak ada kepakaran.”

“Saya pun rasa ustaz tak ada kepakaran.” Bidas Jihan laju.

Lama Zarif merenung Jihan. Dirinya sedang diperlekehkan oleh sepasang mata bening itu. Mata yang sentiasa mengalahkan dia apabila setiap kali direnung.

Zarif hela nafas berat.

“Cik dah selesai belanja?” Zarif datang bukan nak mencetus perbalahan. Dia datang untuk menunaikan janjinya.

“Atau cik ada nak ke mana-mana selepas ni?” Soal Zarif lagi bila dia belum menerima sebarang maklum balas.

“Jihan.” Secara tidak langsung Jihan perkenalkan diri. Tak tahu kenapa, orang-orang di sini terlalu formal dengannya. Berbeza dengan kampung halaman orang tuanya yang santai saja menegur orang luar.

“Cik Jihan…”

“Jee…” Jihan betulkan sebutan Zarif.

“Jihan.”

“Jee!” Hampir padam kesabaran Jihan dengan kedegilan Zarif.

“Gee…”

Jihan malas mahu perbetulkan sebutan Zarif. Sebutlah apa pun, dia tak kisah. Asalkan jangan ada perkataan ‘cik’.

“Saya nak balik rumah.” Jihan tak ada perancangan nak ke mana-mana lagi. Dia pun belum tahu selok-belok di sini. Takut sesat.

“Saya ikut.”

Gila!

Zarif nak Jihan kena halau dari kampung gamaknya dengan membawa lelaki warak pulang ke rumah. Nanti ada yang buat cerita dia melakukan zina dengan ustaz.

“Saya buat kerja luar rumah, bukan dalam rumah.” Kata Zarif setelah diperlihatkan kerutan di wajah Jihan. Sangat dalam kerutan Jihan. Dan dia cukup faham apa makna disebalik kerutan tersebut. Wajib dia bersuara bagi menghilangkan kerutan di wajah Jihan.

Tanpa kata, Jihan hayunkan langkah ke bahagian pemandu. Dia tertangkap kerana salah faham. Jauh menyimpang pemikiran dia. Diam lebih baik sebelum keadaan bertambah buruk.

Hujung mata, Zarif mengekori langkah Jihan sehingga susuk tubuh itu hilang ke dalam perut kereta. Barulah dia menuju ke keretanya yang hanya beberapa langkah saja dari sini. Kepala digeleng perlahan. Kurang faham kenapa kaum Hawa suka buat andaian yang bukan-bukan.

Kurang dua puluh minit kemudian, Jihan sampai ke rumah. Tidak jauh dari halaman rumahnya, ada sebuah kereta proton wira warna kelabu yang menunggu. Siapa lagi kalau bukan Zarif.

Jihan akan masukkan semua barang-barangnya ke dalam rumah terlebih dahulu, barulah dia akan serahkan keretanya pada Zarif.

Setelah selesai kerja memunggah, Jihan menghampiri kereta kelabu milik Zarif. Cermin kereta diketuk sekali. Pandangan mereka bertaut seketika sebelum Jihan jauhkan diri memberi ruang Zarif keluar dari perut kereta.

“Kereta saya dekat sana.” Jihan kerling kawasan beranda rumah. Dia masih ada rasa empati. Tak tergamak nak suruh Zarif buat kerja bawah matahari terik.

“Saya tak lama…Mungkin ambil masa dalam setengah jam.” Zarif ke kerusi belakang, tool box dicapai.

Jihan sekadar memerhati tubuh sasa Zarif dari belakang. Tiada lagi kibaran jubah putih. Lelaki itu santai dengan baju t-shirt berkolar dipadankan dengan slack hitam. Kepalanya dibiar bebas tanpa serban mahupun kopiah. Rambutnya elok beralun setiap kali ditiup angin.

Perlahan-lahan Jihan menghampiri.

“Tak perlu susah payah teman saya. Awak boleh masuk dalam. Dah siap, saya panggil.” Mendatar saja suara Zarif. Pandang Jihan pun tidak.

Tangan cekap Zarif sibuk mengangkat bonnet depan, lalu di stand dengan sebatang besi. Tak tahu apa yang sedang dibuat Zarif, tahu-tahu saja, ada beberapa biji screw telah diletakkan atas wiper. Cara Zarif buat kerja macam pernah menjadi pomen. Semuanya dilakukan tanpa kekok.

“Nak air?” Pelawa Jihan.

“Terima kasih. Saya biasa buat kerja dengan tangan. Jarang-jarang rasa haus masa buat kerja.”

Berbahang muka Jihan. Menyesal pelawa. Lebih menyesal tak biarkan kereta di bawah menteri terik. Biar Zarif buat kerja di tengah-tengah panas. Lebih elok kalau mulut Zarif melecur.

Jihan menghampiri anak tangga. Baru saja punggung cecah di anak tangga paling bawah, ada suara yang berbunyi. Yang cuba mengembalikan semula moodnya.

“Maafkan saya kalau awak terasa.”

Memang Jihan terasa. Dia sedang menahan diri daripada mencetus peperangan. Jika perkara tersebut berlaku, takut makin melarat nanti. Takut nanti Jihan pilih untuk bermasam muka dengan Zarif sampai bila-bila.

“Sini kampung…Mesra sikit, mula cerita kurang elok tersebar. Saya lelaki, tak kisah apa orang nak kata. Tapi awak…”

Tak sangka, pemikiran Zarif sama dengan Jihan. Persepsi orang-orang kampung jauh lebih penting daripada segala-galanya. Apatah lagi, sedar diri sedang menumpang.

“Saya dah biasa kena mengata.”

Ayat Zarif macam menyindir Jihan. Macam tahu-tahu ada yang menyampai padanya cerita kurang elok perihal Zarif.

“Dah siap!”

Terkebil-kebil Jihan saat mendengar bonnet kereta ditutup. Pandangan dia beradu dengan Zarif. Ada yang ingin dia bertanya pada lelaki ini. Soalan peribadi.

“Perlu ke pakai celak tebal-tebal?” Dah lama Jihan nak bertanya. Sorotan Zarif itu menyesakkan, bertambah pula dengan coretan hitam yang menyerlahkan aura kejahatan dalam dirinya.

“Perlu.” Jawab Zarif pendek.

Mengecil sepasang mata Jihan mendengar jawapan Zarif. Musykil.

“Supaya pandangan saya terjaga, sihat dan bersih.” Kata Zarif lagi.

Okey!

Jihan sedar diri. Di mata Zarif, dirinya tidak sihat. Sebab itu Zarif selesa bercelak dua puluh empat jam. Zarif takut dengan memandang dia akan menggamit syaitan bergayut di matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience