Bab 4

Detective Series 3357

SUNGGUH. Jihan merasa terhutang budi dengan Najmi. Bahkan, Najmi menyerlah sisi matang yang dibangga-banggakan sebentar tadi. Kerana sifat tersebutlah, masalah Jihan dapat diselesaikan dengan cara paling berhemah. Tanpa tercetusnya pertumpahan darah mahupun perang mulut.

Sesekali lirikan kumpulan lelaki tersebut singgah pada Jihan sehingga mengundang rasa kurang selesanya selaku pemerhati dari jauh. Malah dia tidak dibenarkan sama sekali mengauli mereka kerana itu urusan kaum Adam. Itu yang ditekankan Ustaz Zarif. Malas mahu panjangkan perbalahan, dia hanya menurut. Dia akan mencari Najmi setelah mereka menemukan kata putus. Dan dia akan bertanggungjawab sepenuhnya.

Tidak jauh dari mereka, Jihan nampak trak tunda sedang menunda kereta mereka yang hampir-hampir tergelincir masuk ke dalam parit. Mujur tayar kereta tersekat dalam lumpur. Takut ada yang sedang buat aksi kuak lentang dengan jubah di dalam parit.

Hampir dua puluh minit menunggu, barulah Jihan nampak tanda-tanda mereka akan bersurai. Najmi menghampiri Jihan yang sedang bersandar pada kereta. Hampir-hampir Jihan bersuara jika sesi perbincangan mereka masih berlarutan dan tiada titik noktah. Ada baiknya baik ke balai polis buat laporan. Selesai masalah.

“Macam mana?” Jihan tidak menunggu lama untuk bertanya. Mata tak berhenti-henti melirik mereka.

“Saya akan bayar ganti rugi.”

Berkerut dahi Jihan. Walaupun sebelas tahun yang lalu dia mengambil lesen memandu, jangan ingat dia sudah lupa undang-undang jalan raya. Tiada istilah pilih kasih biarpun jalan ini merupakan jalan kampung. Asalkan adanya jalan raya, undang-undang masih sah. Tanpa mengira kawasan kampung ataupun bandar.

“Kenapa awak nak kena ganti? Dia yang salah.” Tak kisahlah siapa pemandunya, Jihan tetap rasa mereka berempat yang salah.

“Kita jalan lurus. Dia yang keluar simpang. Terang-terang dia salah.” Jihan belum lupa kejadian tadi. Cumanya, fokus dia sedikit terganggu. Tak banyak.

Najmi mengurut tengkuk. Dia jelas nampak tersepit.

“Ustaz dah setuju nak baiki kereta dekat bengkel kawan saya. Anggap saja saya yang salah. Kalau saya tak ajak awak keluar, perkara ni tak akan terjadi.” Terang Najmi.

Hampir jatuh rahang Jihan. Dia tidak percaya semudah ini Najmi mengalah. Mahu beratus duit habis nak baiki pintu kereta yang kemek itu. Sekarang, dia rasa keputusan hasil daripada perbincangan mereka sangat tidak relevan. Tiada konsep ‘win-win situation’.

“Saya tak setuju.” Jihan tetap merasa tidak adil bagi pihak Najmi.

“Awak tunggu sini, biar saya jumpa dia.” Kata Jihan setelah itu.

“Jee…” Tak sempat Najmi menahan, Jihan sudah pun buka langkah.

Kali ini biar Jihan yang membuat rundingan. Najmi itu kalau sandang jawatan ketua kampung sekali pun, belum tentu duitnya cukup nak baiki kereta Ustaz Zarif. Berapa sen sangat gaji ketua kampung? Takkan nak harapkan emak Najmi yang cumanya kerja di warung? Mengarut!

Semakin panas hati Jihan mengenangkan ketidakadilan tersebut. Sepanasnya terik yang sedang memancar.

“Ustaz!”

Panggilan Jihan mengamit empat orang yang berserban menoleh. Satu persatu wajah mereka Jihan pandang. Pandangan dia berakhir pada lelaki yang ditugaskan sebagai pemandu kereta. Lelaki itulah menjadi punca tercetusnya kemalangan. Lelaki itu jugalah yang dia jumpa semalam di warung emak Najmi.

“Saya tak setuju Jemi yang bayar ganti rugi.” Jihan berterus terang. Terus kepada cerita utama.

“Ayah masuk dulu, biar saya berurusan dengan dia.”

Ekot mata, Jihan mengerling lelaki paling tua di antara mereka yang sudah duduk di bahagian belakang. Sempat pandangan Jihan dengan lelaki yang dipanggil ayah bertaut sebelum ada bayang yang menghalang Jihan terus merenung ayah mereka. Siapa lagi kalau lelaki yang memberi arahan.

“Yang lain pun masuk. Biarkan saya berdua dengan dia.” Arahan kedua dia menyusul.

Jihan merasa tidak sedap hati. Dia cuma nak bercakap dengan orang yang bernama Ustaz Zarif. Tapi dia tidak tahu mana satu orangnya di antara mereka bertiga yang menjadi pengiring lelaki berpangkat ayah.

“Tunggu situ. Ini urusan kami.” Arahan ketiga di tuju kepada Najmi yang berada tidak jauh dari Jihan. Barulah tumpuan lelaki itu terhala kepadanya.

“Saya nak bercakap dengan Ustaz Zarif. Mana dia?” Jihan panjangkan leher ke dalam kereta. Tak kisah dengan renungan lelaki yang ada di depannya.

“Apa kesalahan saya?” Soal dia.

Oh! Jadi yang dari tadi bercakap dengan Jihan, adalah Ustaz Zarif lah?

“Ustaz tolong gali semula ilmu undang-undang jalan raya. Saya rasa ustaz yang salah.”

Tiada respon daripada Zarif. Jadi, Jihan tebak Zarif sedar dirinya salah. Mungkin Najmi itu masih budak, bolehlah dia ayam-ayamkan. Tapi bukan dengan Jihan.

“Masalah terjadi disebabkan ustaz. Jadi, ustaz jangan ambil jalan pintas selesaikan masalah.” Silap besar kalau Zarif cuba anak tutup kes dengan cara berat sebelah, kemudiannya melarikan diri.

“Saya tak lari dari masalah. Tapi masalah yang takut dengan saya.”

Bertaut sepasang kening Jihan. Dia kurang jelas dengan maksud Zarif.

“Saya belum sempat cakap apa-apa, Najmi yang tawar diri nak bayar ganti rugi.” Hujung ayat, lirikan Zarif singgah pada Najmi yang galak melarikan sepasang mata sebelum matanya mencari Jihan semula.

Perlahan-lahan muka menyinga Jihan beransur pergi. Jihan jadi bingung. Apa yang Najmi takutkan sangat? Sepanjang perkhimatan Jihan sebagai juri debat tidak berbayar sebentar tadi, dia tak nampak pula tercetusnya ketegangan di antara mereka semua. Perbincangan mereka sangat tenang. Malah, lelaki berpangkat ayah sempat menepuk bahu Najmi bersama segaris senyuman.

“Kalau cik rasa saya salah, saya akan bayar ganti rugi.”

Kata-kata Zarif mematikan lamunan Jihan. Dia hilang susunan ayat saat menerima sorotan Zarif. Sorotan yang belum pernah gagal melemaskan dia.

“Saya perlukan jawapan dalam seminit. Ayah saya ada urusan penting yang nak dikejarkan.”

Suara Zarif berbunyi lagi. Mengetuk-ngetuk jantung Jihan supaya bekerja lebih daripada biasa. Dan akal dia gagal lagi menyusun kata.

“Zarif!”

Hanya Jihan menoleh. Lelaki yang duduk di belakang pemandu telah menurunkan cermin sepenuhnya.

“Ada apa Zarif?”

Rasa menyesal mula bertandang. Jihan tak patut terjebak dalam perbincangan mereka. Dirinya sekali lagi sedang menjadi tumpuan. Sorotan mereka sedikit sebanyak membuatkan bulu roma dia merinding.

“Kita dah terlambat untuk ceramah.” Kata ayah.

“Jemi tak perlu ganti apa-apa. Saya akan baiki sendiri kereta saya. Jadi tak perlu cik risau lagi.” Putus Zarif. Dia tak boleh lama-lama.

Tanpa menunggu jawapan balas Jihan, Zarif terlebih dahulu pusingkan badan. Sedia menggalas tugas sebagai pemandu semula.

“Zarif.”

Baru tangan Zarif menyentuh pemegang pintu, ada yang menggamit dia.

“Ya, ayah.” Sahut dia segera.

“Baiki sekali kereta cik tu sekali. Lampu kereta dia pun pecah.”

Jihan pusingkan badan. Lama dia merenung kereta Nissan Almera milik syarikat. Baru sedar matanya terluka sebelah. Bagaimana dia boleh tak perasan kelukaan tersebut?

“Baik ayah.”

Suara patuh Zarif itu menggamit Jihan. Zarif nampak seperti seorang anak yang sangat sayangkan ayahnya. Apa kemahuan ayah, dia turuti tanpa menyusahkan. Bahasa Zarif juga sedap didengari.

Kini, Jihan berdepan dengan Zarif buat kali keduanya. Seraut wajah ayah hilang disebalik cermin yang sudah dinaikkan sepenuhnya.

“Esok saya akan datang tukarkan lampu kereta cik.”

Baguslah kalau begitu. Zarif sedang memudahkan urusan mereka. Kalau begini sejak dari awal kan senang.

“Assalamualaikum.”

Tak sempat Jihan nak beritahu di mana mereka perlu jumpa, kereta dipandu Zarif sudah membelah jalan. Membiarkan dirinya disapa asap putih yang berkepul keluar dari exhaust kereta.

“Awak tak patut panjangkan masalah.” Suara dari belakang menegur.

Jihan menoleh bila ada bayang hitam di sisinya. Tak tahu mengapa dia dianggap pencetus masalah. Zarif juga seperti Najmi.

“Saya nak selesaikan masalah. Bukan nak timbulkan atau panjangkan masalah. Tengok…Masalah pun selesai.”

Terdengar Najmi menghela nafas panjang.

“Awak tak kenal siapa mereka.”

“Apa kata awak kenalkan siapa mereka.” Jihan berpeluk tubuh. Dia sedia mendengar. Sejak dari semalam cerita-cerita kerajaan langit yang asyik meniti di bibir Najmi.

“Di mana letaknya kerajaan langit tu? Saya pun nak tengok setinggi bangunannya. Nanti boleh saya fikirkan cara nak ke sana. Mungkin kalau setinggi gunung, saya akan hiking. Kalau setinggi langit, saya akan booking flight awal-awal. Tapi kalau ke syurga, maaf. Saya tak mampu. Dan tak layak.” Senafas Jihan berhujah.

Bukannya penjelasan yang Jihan terima, sebaliknya ketawa Najmi terhambur.

“Awak tahu tak Jee…Awak bukan setakat manis orangnya, tapi awak lucu juga. Bertuah siapa yang berjaya miliki awak.”

Segala puji-pujian Najmi itu menakutkan jiwa wanitanya. Bahkan Najmi sengaja menjemput setitik marahnya. Demi mengelak kemarahan setitik menjadi sebelanga, Jihan segera angkat kaki. Malas mahu melayani Najmi.

“Jee…” Najmi berlari-lari anak mengekori Jihan.

Sengaja Jihan pekakkan telinga.

“Marah-marah pun, awak masih nampak cantik Jee…Saya tak bohong!”

Jihan berhenti mendadak. Lama dia pandang Najmi. Ayat Najmi sama dengan ayat seseorang yang pernah menghuni hati Jihan satu ketika dahulu. Ayat yang berjaya meninggalkan parut sehingga kini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience