Bab 3

Detective Series 3357

MENYESAL Jihan tak minta teman. Baru sekarang dia kenal istilah takut sebenar-benarnya. Apalagi dia sendirian bagi menyaksikan dengan mata kepalanya kesahihan khabar angin yang bertiup kencang. Sekencang hatinya sekarang ini.

Jihan kerling cebisan kertas yang terletak di atas meja solek. Itu kertas pemberian Najmi sebentar tadi. Najmi sedia berkhidmat jika bantuan dia diperlukan. Bila-bila masa saja. Oleh kerana itu Najmi memberi nombor telefonnya kepada Jihan.

Nampak gayanya, terpaksa dia kuburkan niat nak berjauhan dengan Najmi. Anak muda itu bakal menjadi pandu arah kejayaan Jihan dalam menyediakan laporan kerjanya. Paling Jihan tidak menyangka, dalam diam banyak juga yang Najmi tahu rupanya. Malah hampir kesemua orang-orang kampung disapa. Kira familiar juga Najmi di kampung ini.

Ketukkan pintu mematikan lamunan Jihan, membawa pergi sekali bayang-bayang Najmi. Tubuh masih membeku di atas katil antik berusia hampir sedekad yang masih kukuh. Tiada niat nak keluar membuka pintu. Bunyi ketukkan yang hilang seketika, muncul kembali. Semakin kuat, disusuli pula suara orang memberi salam. Barulah Jihan melompat turun dari katil. Selagi tidak terima salam, jangan harap Jihan nak buka pintu.

“Waalaikumsalam.” Daun pintu dibuka sedikit bagi mengintai tetamu yang bertandang sebagai langkah berjaga-jaga.

Sipi-sipi Jihan melihat susuk tubuh Najmi, barulah daun pintu dibuka luas-luas. Ada sedikit kelegaan terpancar. Takut kalau ada penyamun ataupun hantu disiang hari.

“Ada apa Jemi?”

Sehabis baik Jihan mengawal riak wajahnya. Sehabis baik juga Jihan melunakkan suaranya. Rasanya, terlalu kerap dia berjumpa dengan Najmi. Baru dua puluh minit tadi Najmi mengiringi dia pulang. Sebentar tadi pula, dia dibayangi bayangan Najmi. Sekarang, orang yang menghantui dia, sudah terpacak depan rumah.

Jihan kerling kiri dan kanan. Takut ada jiran yang mengintai. Lebih takut kalau gosip mereka merebak sekampung. Itu tidak sihat. Jihan baru dua hari di sini. Takut dituduh membawa aura jahat ke kampung mereka.

“Nah! Mak bagi.”

Kepala Jihan tunduk pada bekas segi empat di tangan Najmi, kemudian mencari lelaki itu semula. Berkerut dahi Jihan.

“Saya tak tahu pun kampung ni ada sediakan perkhidmatan food grab. Lagipun, saya tak ada buat pesanan untuk lunch.” Huluran Najmi dibiar sepi tanpa menyambut.

Hilang sepasang mata Najmi disebalik tawanya. Semakin dalam kerutan Jihan bila belum mendengar sebarang penjelasan.

“Mak bagi. Percuma. Mak suruh Jemi hantar untuk awak.” Bersungguh-sugguh Najmi hulurkan pada Jihan setelah tawanya reda.

Panjang helaan nafas Jihan. Perkara yang paling dia takuti menjadi juga. Dia takut dituduh mengambil kesempatan.

“Terima kasih Jemi. Lebih baik awak bawa balik je. Pandai-pandai lah saya nak hidup.” Jujur Jihan. Sarapan pun percuma. Takkan makan tengahari pun percuma? Besar kemungkinan, makan dan minum dia bakal ditaja sepanjang berada di sini.

“Ambil lah. Penat mak masak.” Sekali lagi Najmi suakan pada Jihan. Ada rasa kecewa yang terbias di wajahnya.

Penat lagi melayan karenah Najmi sebenarnya. Terlalu kerap Jihan menerima kunjungan lelaki ini. Kedatangannya pula bukan dengan tangan kosong. Jihan takut, penerimaan dia disalah erti kelak. Lebih susah hatinya kerana banyak makan budi.

“Ambillah.” Najmi tak akan berputus asa selagi Jihan tak ambil pemberian dia.

Jihan mengeluh. Terbayang wajah tua emak Najmi.

“Kali ni saja saya terima. Lain kali, saya tak teragak-agak bagi kucing yang lalu depan rumah.” Sengaja Jihan nak menakut-nakutkan Najmi. Ugutan Jihan disambut senyuman lebar. Tak terkesan langsung.

“Tunggu sini.” Jihan masuk ke dalam untuk kembalikan semula bekal Najmi.

Tak sampai lima minit, Jihan bertemu Najmi yang setia menunggu di depan pintu. Sebaik saja nampak kelibat Jihan, Najmi bangkit dari duduknya. Kepala didongak pada Jihan yang selang tiga anak tangga dari Jihan.

“Cakap dekat mak awak, terima kasih.”

“Untuk saya?” Najmi bantutkan niat Jihan nak masuk ke dalam rumah.

Agak lama Jihan merenung Najmi. Dia macam dapat mengagak apa kemahuan Najmi sebenarnya. Dia tidak bodoh untuk memahami setiap renungan dan senyuman yang lemparkan lelaki iyu. Cuma dia yang pura-pura tidak faham. Pura-pura naif.

“Terima kasih juga pada awak, Jemi. Sebab susah payah hantar ke sini.” Ucap Jihan separuh paksa. Agak mendatar sebutan dia.

“Saya masuk dulu.” Masa berdua-duaan dengan Najmi sudah tamat. Dia tidak mahu diganggu lagi.

“Jee…”

Tanpa sedar, Jihan merengus. Kedua kalinya niat dia untuk masuk ke dalam rumah tergendala. Dia mencari Najmi. Apa kemahuan Najmi lagi?

“Awak nak ronda-ronda kampung?” Najmi kerling motorsikal EX5 dia tidak jauh dari sini.

“Panas Jemi, saya takut kulit saya terbakar. Nanti saya tak cantik.” Biarlah Najmi nak cakap dia perempuan mata duitan sekalipun. Jihan rela Najmi meluat dengan dia, asalkan bukan orang-orang kampung.

“Saya boleh pinjam kereta mak.”

Najmi ini degil juga orangnya. Punyalah Jihan beria-ia cipta alasan menolak keluar berdua. Sebaliknya, Najmi pula bersungguh-sungguh mengajak Jihan keluar. Malah, Najmi menawar diri menjadi pemandu pelancong pula.

“Saya akan bawa awak pusing satu kampung, nanti tak ada lah awak sesat lagi.”

Ini mesti kes pagi tadi sudah sampai ke pengetahuan Najmi. Kes Jihan tak jumpa warung emak Najmi.

“Saya ikhlas. Lagipun, saya dah beritahu mak. Mak setuju sangat.” Najmi bersuara lagi bila Jihan masih membeku tanpa suara.

Lama Jihan berfikir. Dia berharap Najmi tidak ada maksud lain. Maksud yang membabitkan soal hati dan perasaan. Dia ke sini kerana kerja. Bukan mencari jodoh.

“Okey.” Jihan mengalah.

Jawapan Jihan mengundang senyuman lebar Najmi. Terkoncoh-koncoh dia menghampiri motorsikalnya. Bekal disumbat ke dalam raga, tanpa berlengah lagi dia sudah duduk di atas seat motor. Sedia untuk menghidupkan enjin.

“Jemi!”

Panggilan Jihan membuatkan Najmi menoleh.

“Naik kereta saya. Saya drive.” Jihan tidak akan sesekali naik motor dengan Najmi. Takut kemesraan mereka akan menjadi bualan orang kampung.

“Tunggu saya siap, nanti saya follow awak sampai rumah. Baru kita keluar.” Arahan kedua Jihan menyusul. Kalau boleh, Jihan tak nak rumahnya dikunjungi mana-mana lelaki selepas ini. Lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Berapa lama pun saya sanggup tunggu. Asalkan orang itu Jihan.”

Jelingan Jihan muncul. Tak berapa suka dengan gurauan Najmi. Gurauan tersebut sedang menguis halus tangkai hatinya. Segera dia angkat kaki masuk ke dalam rumah. Tak sanggup nak hadap senyuman Najmi yang semacam itu.

Kepala Jihan turun, merenung penampilannya sendiri. Tak tahu apa yang pelik dengan penampilan dia sampai banyak kali mengundang lirikan Najmi. Fokus memandu dia juga terganggu.

“Sepatutnya, awak jadi pemandu pelancong. Bukannya menjadi pegawai JPJ yang sedang menguji cara pemanduan saya.” Suara Jihan memecah keheningan.

Sakit telinga Jihan mendengar ketawa Najmi. Lebih sakit bila Najmi itu pemurah dengan senyuman.

“Awak manis orangnya. Sekali pandang tak akan puas.” Najmi pandang depan. Tapi mata dia masih juga melirik pada Jihan. Cumanya, tidak sekerap tadi.

Terlepas pautan stereng mendengar pujian Najmi. Mujur Jihan mampu mengawal semula sebelum kereta dinaiki mereka berdua terhumban ke dalam anak sungai.

“Hati-hati Jihan!” Tak tentu arah Najmi bila merasa kereta dipandu Jihan tiba-tiba ke kiri jalan.

Keadaan sepi seketika. Masing-masing cuba meredakan rasa terkejut sebentar tadi.

“Berapa umur awak, Jee?”

Kata nak jadi pemandu pelancong. Tapi kenapa Jihan rasa Najmi sedang mengadakan sesi temuduga mencari calon isteri?

“Saya tak sesuai untuk awak Najmi. Jurang kita terlalu besar.” Jihan boleh agak berapa umur Najmi. Dan mereka berdua tidak sesuai menjalin cinta. Hanya akan mengundang tertawa masyarakat saja nanti.

Ekor mata, Jihan nampak Najmi tidak mengalihkan sepasang matanya dari merenung dia. Ada rasa tidak puas hati yang ditunjukkan.

“Setahun lagi saya nak masuk three series.” Beritahu Jihan. Biar jelas. Biar Najmi rasa dia terlalu tua untuk dipasangkan dengannya.

Turun naik kepala Najmi. Dia baru masuk dua puluh tahun. Agak besar jurang mereka.

“Kita beza sembilan tahun.”

Sebutan Najmi perlahan. Namun sampai juga ke pendengaran Jihan. Baguslah kalau Najmi sedar diri. Jihan lebih layak menyandang gelaran kakak.

“Saya muda, tapi saya matang orangnya. Percayalah.”

Tajam lirikan Jihan mendengar pengakuan berani mati Najmi. Sikit lagi dia mahu mengusir Najmi keluar kalau bukan tiba-tiba orang disebelahnya menjerit.

“Pandang depan Jee, ada kereta…”

Sayangnya, teguran tersebut terlalu lambat untuk sampai ke akalnya. Tubuh Jihan sudah terdorong ke depan, dahi pula selamat mendarat pada stereng kereta. Impaknya, pandangan dia berpinar seketika. Mujur, dia sempat menekan pedal brek.

Perlahan-lahan Jihan angkat kepala. Apa yang dikatakan Najmi sudah tidak sampai ke pendengaran dia lagi. Dia lebih tertarik melihat apa yang baru terjadi.

Besar bukaan mata Jihan apabila melihat sebuah kereta di depan dia sudah senget sebelah. Dua tayarnya depan kiri dan belakang kirinya terbabas ke dalam parit. Apa yang merisaukan dia, keadaan pemandu kereta tersebut.

“Sa…Saya langgar orang ke, Jemi?” Hampir tidak terluah suara Jihan dalam keadaannya masih menggigil.

“Tunggu sini, saya turun tengok keadaan Ustaz Zarif.”

Belum sempat Jihan menahan, kelibat Najmi telah hilang dari pandangan matanya. Pintu kereta yang remuk dipandang Jihan lagi sekali. Semakin teruk dia diserang rasa cemas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience