Bab 1

Detective Series 3357

AGAK lama Jihan termagu. Dapat dia rasakan bercupak mata memberi tumpuan kepada dia. Impaknya, terasa bahang seluruh tubuhnya. Kedinginan penghawa dingin gagal meresap apabila banyak mata menunggu jawapan balas daripada dia.

“So, how Jee? Any question?”

Kiri dan kanan anak mata Jihan bergerak. Peluh di dahi dia hampir tumpah saat mata dia bertembung dengan sepuluh pasang mata lain. Mereka masih setia menanti respon dia.

Puas berfikir, rasanya ada satu soalan ingin diajukan. Dia ada masalah apabila nama dia seorang saja yang tersenarai bagi mencapai misi syarikat. Seolah-olah harapan diletakkan sepenuhnya di bahu dia bagi mengekalkan reputasi syarikat.

“I have a question.” Jihan bersuara setelah agak lama berperang dengan perasaan sendiri yang bergolak hebat.

“Carry on.” Encik Malik selaku pengelola mesyuarat hari ini memberi lampu hijau kepada Jihan.

Jihan perlu menolak. Kerja ditawarkan terlalu ekstrem. Dia tidak sesuai untuk kerja tersebut. Sepatutnya, Melisa yang mempunyai rupa paras dan perwatakkan menarik perlu turun padang. Bukannya dia yang berpenampilan biasa-biasa saja.

Oh, ya!

Mana mungkin Melisa akan dihantar ke tempat kejadian. Encik Malik itu kekasih gelap Melisa. Di situ saja Jihan sudah kalah teruk. Dia tidak mempunyai alasan lain memandangkan yang lain-lainnya ada yang mengandung. Ada yang sudah berumur. Ada pula terikat dengan kerja dan tanggungjawab sebagai suri rumah.

Jadi apa alasan paling kukuh perlu dia berikan demi menolak perkerjaan tersebut?

“Jee?”

Kelip-kelip Jihan apabila nama diseru lagi. Dalam sibuk mencari alasan, sempat dia mengelamun. Jauh menyimpang lamunan dia. Sampaikan nama Melisa terheret sekali.

“I’ll try my best.” Lain pula yang terluah dari mulut dia. Malah jawapan dia mengundang tepukan gemuruh dari semua yang menghadiri mesyuarat hari ini.

Jihan pamerkan senyuman kekok. Rasa seperti dia sedang menempah keranda untuk dirinya sendiri. Dunia terasa gelap. Tiada lagi cahaya lagi. Mengenangkan kebodohan dia menerima kerja tersebut, semakin hambar senyuman dilemparkan.

“Aku rasakan Jee, kalau kau berjaya gambarkan keadaan dekat sana, aku yakin berita tu akan hangat. Semua orang akan tertunggu-tunggu nak tahu kisah selanjutnya.”

Jihan baru cecah punggung di atas kerusi, seorang office mate mendekat lalu singgah meja dia. Apalagi kalau bukan datang nak bergosip.

“Akak sokong cakap Su tu. Lepas ni, Jee dah boleh gantikan tempat Mel. Biar padan dengan muka Si Mel tu.”

Kalau seorang datang, wajib berdua. Baru gamat. Baru seronok bergosip sampai tak ingat dunia.

Jelingan Jihan singgah pada mereka berdua. Paling terkesan dengan jelingan dia, tentunya Kak Zaha. Sebab Kak Zaha saja nak Jihan kena serang dengan isteri Encik Malik dengan menjadikan dirinya kekasih gelap nombor tiga lelaki tersebut. Melisa yang nak dapat tiket menjadi isteri kedua pun belum berhasil. Apa lagi nak ditambah yang ketiga.

“Sorry, Jee.” Kak Zaha tahu dia agak melampau. Memang patut pun kena jeling dengan Jihan.

“Tapi akak cakap benda yang betul. Melisa tu mana boleh ke sana. Dia tak cukup kental. Sibuk gedik sana-sini. Macam mana nak dapat info yang betul nanti? Betul tak?” Ujar Kak Zaha dengan sisa tidak berpuas hati terhadap Melisa.

Jihan tak rasa Kak Zaha akan berhenti bercakap. Mentang-mentang dia selaku ketua unit secara rela hatinya nak berkampung di sana. Kononnya demi menjadi wartawan tak berbayar semata-mata mendapatkan berita sahih demi menaikkan rating syarikat. Bukan main riuh mulut mereka memuji.

Cuba kalau Jihan buka kaunter mencari sukarelawan di kalangan orang bawahannya. Memang semua tunduk kepala. Belum dengar lagi alasan mereka semua yang tahap meraih simpati.

Hanya Jihan sanggup menjadi bidan terjun. Hanya dia yang single. Yang tidak perlu kebenaran sesiapa untuk bekerja di luar kawasan.

“Kali ni, content kita mesti kebabom! Ramai yang nak sangat tahu ajaran apa yang mereka karutkan sampai ada dua puluh ribu orang pengikut.” Suraya pun sama. Lupa dunia. Lupa kerjaya dia sebagai editor berita-berita alam maya. Sibuk bercerita sampai tak ingat kerja yang tergendala.

“Kak Zaha pun rasa macam tu…Cerita ni tengah hot sebab tak ada saksi yang berani tampil bagi keterangan.” Kak Zaha dengan Suraya tiada bezanya. Masing-masing teruja dalam mengupas isu semasa. Mengalahkan ahli-ahli politik.

Kepala Jihan mula berdenyut. Dia menjeling jam dinding. Padanlah, waktu lunch sudah sepuluh minit berlalu. Dia perlu makan sebelum kandungan gula dalam badan dia menjunam. Dia ada sejarah bacaan gula dalam darah rendah dan hampir pitam. Perkara tersebut perlu dielak supaya tidak berulang. Apatah lagi dia hilang tempat untuk diharapkan sejak hidup sendiri. Dia perlu biasakan diri hidup berdikari semula.

“Tak sia-sia Nadi Media ada pekerja macam Jee!”

Jihan sudah lali dengar pujian mereka semua. Dan percayalah, keputusan dia di bilik mesyuarat sebentar tadi membuatkan dia bakal menerima pujian hampir seminggu lamanya. Boleh jadi pujian itu berlarutan hingga sebulan. Itulah kehebatan pekerja-pekerja Nadi Media.

Cuba kalau Jihan menolak, mulalah satu pejabat merungut. Menjeling dia tanpa henti. Herot-berot mulut mereka cuba memujuk. Silap haribulan, pejabat mereka perlu siap-siap menghadapi musim tengkujuh. Takut banjir air mata bakal melanda. Perkara itu wajib dielak kalau tak nak dia ikut sama lemas.

“Ada yang nak ikut?” Jihan sambar beg tangan. Hari ini merupakan hari terakhir Jihan makan dengan mereka. Esok dia akan bergerak ke Besut, berkampung di sana. Mungkin berhari-hari. Tak berhari, mungkin berminggu-minggu. Bergantung pada hasil kerjanya.

“Kali ni biar Kak Zaha belanja!” Kak Zaha terkoncoh-koncoh ke meja mengambil dompet segi empat miliknya.

“Su belanja kak! Sementara masih bujang. Nanti Su dah nak kahwin, bajet dah lari. Ni je la masanya.” Suraya pun tak nak kalah, lekas dia ke drawer mengambil beg.

Geleng kepala Jihan dibuatnya. Setiap kali nak keluar makan, topik yang sama mereka gaduhkan. Selalunya Jihan akan pura-pura ke tandas. Dalam diam dia yang akan membayar makanan mereka. Sekaligus menamatkan perbalahan di antara orang muda dan orang pertengahan umur. Selesai masalah.

PELIPIS dipicit perlahan. Awal-awal lagi dia sudah ditimpa masalah. Ikut perancangan asal, dia perlu berpura-pura seperti orang yang baru pindah ke sini. Kemudian barulah dia akan cuba rapat-rapat dengan orang-orang kejiranan.

Masalahnya sekarang, Jihan tidak pura-pura. Dia memang sudah sesat! Dia gagal menemui rumah sewanya. Sepuluh minit dia berpusing dan berhenti di tempat yang sama. Sampai dia merasakan kemungkinan besar yang dia berada di alam bunian. Namun perkara mengarut itu ditepis jauh-jauh.

Kepala Jihan turun pada cebisan kertas yang tertulis alamat rumah sewanya. Kemudian dia menjeling telefonnya yang sepi. Sudah lima kali dia cuba menghubungi tuan rumah, lima kali itu juga panggilan dia tidak bersambut.

Mengikut sesi short briefing Jihan dengan Encik Malik pagi tadi, bayaran serta wang deposit sudah diuruskan oleh Encik Malik. Kelengkapan rumah juga telah disediakan. Tiada apa yang perlu dia risaukan. Yang merisaukan, sini kawasan perkampungan. Takut matahari terbenam pun, dia masih gagal menemukan rumah sewanya.

Panjang keluhan Jihan.

“Assalamualaikum.”

Hampir terlepas kertas di tangan Jihan. Terkejut dengar suara yang baru menyapa. Segera dia menoleh.

“Wa…Waalikumsalam.” Dalam takut-takut, Jihan menjawab juga salam orang tersebut.

Pertamanya, Jihan disapa raut wajah sedap mata memandang. Keduanya, orang di depan matanya segak. Tinggi juga. Tapi tak tergolong dalam tinggi lampai. Ketiganya, senyuman orang ini menghilangkan rasa takutnya. Jihan tak rasa orang ini penculik.

“Cik cari siapa? Dah tiga kali saya nampak cik dekat sini.”

Tersasar senyuman Jihan. Ada yang nampak rupanya gerak-geri dia. Pipi terus terasa panas.

“Saya cari rumah ni.” Jihan gunakan kesempatan ini bertanya di mana rumah sewanya. Cebisan kertas dihulurkan kepada jejaka di depan matanya. Rasa malunya sebentar tadi diusir menjauh.

“Oh, rumah Haji Isnin!”

Kelip-kelip Jihan pandang jejaka itu. Salah Jihan. Dia lupa bertanya nama tuan tanah. Apa yang dia fokuskan hanya alamat semata-mata.

“Err…Ya.” Hanya itu mampu dia jawab.

“Tapi, rumah Haji Isnin kosong.”

“Saya baru sewa. Baru semalam.” Potong Jihan.

Lelaki itu angkat muka. Tatkala pandangan mereka bertembung, lelaki itu terlebih dahulu memberi Jihan senyuman, sampaikan dia hilang susunan ayat sejenak.

“Saya hantar awak ke sana.”

“Tak perlu susah payah, tunjuk saja…Pandai-Pandai lah saya cari.” Jihan tak nak menyusahkan. Mungkin dengan sedikit pandu arah, dia akan jumpa juga rumah sewanya.

“Bahaya Cik.”

Kali ini, tak berkedip Jihan pandang lelaki di depannya. Hilang seraut senyuman berganti dengan raut wajah serius. Mata langsung tidak mengerdip.

“Saya hantar cik ke sana.”

Entah apa yang merasuk Jihan, kepala diangguk. Setuju dengan cadangannya. Jihan tak sepatut percayakan sesiapa. Tetapi Jihan sedang melanggar prinsipnya.

“Saya Najmi.”

Terima kasih. Akan Jihan semat nama Najmi di kepala. Bahkan selepas ini Jihan akan mengelak bertemu dengan Najmi. Cukup kali ini saja.

“Panggil saya Jemi.”

Lidah Jihan sudah diharamkan menyebut nama lelaki sejak dia berpisah. Jadi minta maaflah Jemi. Kemungkinan besar dia nak menyebut nama Jemi sangat tipis.

Jihan berundur selangkah bila Najmi tiba-tiba mara, merapatkan jurang mereka. Sempat lagi Najmi toleh kiri dan kanan. Jihan dah siap sedia nak buka silat panggung kalau Najmi berani mengapa-apakan dia.

“Sini orang panggil kerajaan langit. Sebab tu bahaya! Lagi bahaya cik merayau seorang diri.” Bisik Najmi. Mata dia nampak berjaga-jaga.

Okey! Jihan tarik semula semua prinsip dia selepas berpisah. Disebabkan dia sebatang kara di sini, nasihat Najmi diterima dengan berlapang dada. Demi kebaikkan dia di masa akan datang juga.

“Jemi orang sini?” Tanya Jihan.

Najmi merenung Jihan tanpa berkedip. Dia nampak sepasang mata Jihan seperti terdesak mencari peneman. Seperti mengharapkan jawapan positif dari dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience